Browsing Tag

batalkan puasa

Ganti puasa
Ibadah,

Rupanya makruh hukumnya bila kita sengaja batalkan puasa sunat

KETIKA puasa sunat, auranya sedikit berbeza jika dibandingkan dengan mengerjakan ibadah tersebut dalam bulan Ramadan.

Masakan tidak, bukan semua orang berpuasa pada hari atau waktu tertentu berbanding dalam bulan barakah tersebut.

Disebabkan itulah adakalanya iman dan nafsu kita teruji. Lebih-lebih lagi apabila ternampak orang lain makan atau minum di hadapan kita yang sedang menahan lapar dan dahaga.

Akhirnya kita pun rebah dan tidak mampu menahan godaan tersebut, lantas membatalkan puasa berkenaan. Apatah lagi, ia hanya ibadah sunat, bukan yang fardu mahupun puasa qada.

Begitupun, pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus mengingatkan, jika kita berbuka tanpa keuzuran ketika sedang berpuasa sunat, makruh hukumnya.

“Meneruskan puasa sunat sampai waktu Maghrib adalah sunat dan sengaja berbuka tanpa uzur pula hukumnya makruh,” terang beliau sebagaimana dipetik menerusi laman sosial Instagram miliknya.

USTAZ AZHAR IDRUS

Agamawan itu kemudian mengemukakan pandangan yang dinukilkan oleh Imam Taqiyuddin al-Husni dalam kitab Kifayatul Akhyar.

Baca juga Rupanya Ada Banyak Kelebihan Apabila Kita Berpuasa Sunat Isnin Dan Khamis

Ulama yang faqih dalam bidang fikah itu menyatakan: “Dan siapa yang berpuasa sunat, tidak wajib dia habiskan dan disunatkan baginya menghabiskan puasanya itu. Maka jika dia putuskan berpuasa, maka tidak wajib dia mengqadanya, tetapi sunat dia qada. Adakah makruh jika dia putuskan puasa sunat? Jika kerana uzur, tidaklah makruh dan jika tanpa uzur, makruh hukumnya.”

Fakta yang sama turut dikemukakan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji yang menjelaskan, makruh jika membatalkan puasa sunat dengan sengaja dan tidak diwajibkan mengqadakannya.

Perkara tersebut turut dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Seseorang yang berpuasa sunat, jika dia mahu, dia boleh teruskan berpuasa, dan jika mahu dia juga boleh berbuka.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Berdosa jika batalkan puasa qada tanpa uzur

Puasa sunat

BAGI mereka yang berpuasa qada, jangan membatalkannya melainkan disebabkan keuzuran dibenarkan oleh syarak. -FOTO: 123RF

Begitupun, bagi mereka yang menggantikan puasa fardu Ramadan, jangan sewenang-wenangnya untuk membatalkan ibadah itu.

Baca juga [VIDEO] Ini rupanya sebab kenapa isteri kena minta izin suami untuk berpuasa sunat

Memetik artikel Al-Kafi #1299 yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum membatalkan puasa qada tanpa uzur yang disyariatkan seperti haid dan musafir adalah berdosa.

Ia sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani RA: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah berbuka sedangkan aku berpuasa.” Maka Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Adakah kamu sedang mengqadakan sesuatu (puasa)?” Beliau berkata: “Tidak.” Sabda baginda SAW: “Maka tidak memudaratkan (memberi dosa) kepadamu sekiranya ia adalah puasa sunat.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Perkara itu turut dibincangkan dalam kitab Kifayah al-Akhyar. Dalam monumental tersebut, ada dinyatakan bahawa tidak boleh membatalkan puasa qada kerana telah memulakan sesuatu yang wajib melainkan dengan keuzuran dibenarkan syarak.

Puasa sunat

KEPADA mereka yang berpuasa sunat, sempurnakan ibadah tersebut dengan sebaiknya. -FOTO: 123RF

Pandangan sama turut disuarakan oleh Ibn Qudamah dalam kitab Mughni li Ibnu Qudamah bahawa: “Barang siapa memasuki di dalam sesuatu perkara yang wajib, seperti qada Ramadan atau nazar Mua’iyyin atau mutlak atau puasa kafarah, tidak harus baginya untuk keluar daripadanya (membatalkannya).”

Baca juga Usah batalkan puasa ganti sesuka hati, ini penjelasannya

Kepada mereka yang berpuasa sunat, sebaiknya teruskan ibadah masing-masing sehingga waktu berbuka. Semoga amalan kita diterima oleh-NYA dan menerima ganjaran yang selayaknya.

***Foto: Freepik

Qada puasa jika waswas
Isu, Pilihan Editor,

Usah batalkan puasa ganti sesuka hati, ini penjelasannya

KURANG dua bulan lagi, Ramadan bakal menjengah. Jika dihitung, hanya berbaki 40 hari sahaja bulan paling mulia itu membuka tirainya.

Bagi yang pernah meninggalkan puasa Ramadan pada tahun lalu dek kerana uzur syarie, pastinya mereka sedang bertungkus-lumus menghabiskan baki puasa qada tersebut.

Namun begitu, ada segelintir orang tanpa rasa bersalah membatalkan puasa qada tersebut disebabkan oleh suatu perkara yang remeh.

Ini kerana pada pandangan mereka, masih ada banyak masa lagi untuk menggantikan puasa berkenaan pada hari yang lain sebelum tibanya Ramadan akan datang.

Hakikatnya, baik puasa Ramadan mahupun puasa ganti Ramadan, hukumnya masih sama. Kedua-duanya adalah fardu ain dan wajib ditunaikan.

Memetik artikel Al-Kafi #1802: Apakah Hukum Membatalkan Puasa Ganti Ramadan yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini menyatakan, tidak boleh membatalkan puasa ganti Ramadan dengan sengaja tanpa uzur yang disyariatkan oleh syarak.

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani RA, katanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah berbuka sedangkan aku berpuasa”. Maka Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Adakah kamu sedang mengqadakan sesuatu (puasa)?” Beliau berkata: “Tidak”. Sabda baginda SAW: “Maka tidak memudaratkan kamu (tidak berdosa) sekiranya ia puasa sunat.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Baca juga Jangan Lepaskan Peluang Berpuasa Pada Hari Asyura

Berdasarkan hadis berkenaan, maka jelaslah bahawa tidak berdosa andai sengaja berbuka jika berpuasa sunat. Begitupun, bagi mereka yang berpuasa qada, maka tidak dibenarkan berbuat demikian.

Puasa ganti

SEMPURNAKAN puasa ganti atau puasa qada sehingga selesai dengan sebaiknya kerana ia merupakan fardu ain bagi individu yang meninggalkan puasa Ramadan tempoh hari.

Dalam hal itu, Imam Taqiyuddin al-Hisni menyebut dalam Kitab Kifayah al-Akhyar bahawa: “Sesiapa yang mengerjakan puasa ganti, sekiranya puasa yang perlu digantikan segera (seperti puasa yang sengaja dibatalkan tanpa uzur) begitu juga, sekiranya puasa boleh dilewatkan ganti (puasa yang batal kerana uzur tertentu seperti musafir dan sakit), menurut pandangan yang sahih dan nas daripada Imam al-Syafie di dalam al-Umm bahawa tidak boleh membatalkannya kerana telah melakukan perkara yang wajib dan tidak ada keuzuran. Oleh itu, dia wajib menyempurnakannya sepertimana seseorang yang menunaikan solat pada awal waktu, maka tidak boleh membatalkannya.”

Mengulas lanjut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, puasa ganti Ramadan merupakan fardu ain yang diwajibkan ke atas mereka yang meninggalkannya.

“Maka sesiapa yang memutuskan atau membatalkan puasa berkenaan dengan sengaja adalah haram. Bahkan, ia menyebabkan dosa yang besar,” tegasnya.

Ia sebagaimana yang disebutkan Syeikh Jamal menerusi Hasyiah Jamal ala Syarh al-Minhaj: “(Menurut Imam Zakaria al-Ansari: haram membatalkan fardu ain) sebahagian daripada dosa besar sepertimana yang disebut oleh para ulama.”

Justeru, kepada mereka yang sedang berpuasa qada, pejabat mufti berkenaan menasihatkan supaya menyelesaikan ibadah tersebut dengan sempurna.

“Ia melainkan individu tersebut ada kekangan tertentu iaitu dalam keadaan uzur yang disyariatkan seperti sakit, haid atau bermusafir,” jelasnya.

Foto: Freepik