Browsing Tag

batalkan pahala

Pahala
Aqidah,

8 perbuatan yang boleh membatalkan pahala amal soleh, sama-sama kita berwaspada

BERSUSAH payah kita mengumpul pahala amal soleh, tetapi akhirnya musnah begitu sahaja. Sia-sialah apa yang dikerjakan selama ini.

Sudahlah tidak sempat menuai hasilnya di akhirat, tiba-tiba sahaja diisytiharkan ‘muflis’ pula ketika berada dalam alam yang kekal abadi itu.

Bayangkan jika situasi itu berlaku pada diri, hendak menyesal pun sudah tidak berguna lagi kerana pada masa tersebut, segala apa yang dikerjakan akan ditanya dan dihitung oleh ALLAH SWT.

Tiada siapa yang mahu kehidupan ukhrawinya sengsara seperti itu. Disebabkan itulah jangan pernah mengeluh apalagi mengalah untuk terus melakukan walau sekecil-kecil kebaikan buat bekalan kita di akhirat kelak.

Meskipun demikian, tabungan amal masing-masing ada pasang surutnya. Masakan tidak, manusia sememangnya tidak sempurna dan sering sahaja melakukan kesilapan.

Bagaimanapun, jangan sampai dek kerana kesilapan sendiri, ia boleh merosakkan pahala kita yang lain.

Justeru, Sinar Islam Plus kongsikan perbuatan yang boleh membatalkan pahala amal soleh yang dipetik daripada laman web Kalam.sindonews.com, Republika, Brilio.net dan Muslim.or.id.

Perinciannya seperti berikut:

1. Menyekutukan ALLAH SWT atau berbuat syirik.

Pahala

UMAT Islam diwajibkan menjauhi diri daripada amalan khurafat dan syirik.

ALLAH SWT berfirman: “Dan sesungguhnya, telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu, “Jika engkau menyekutukan (ALLAH), nescaya akan terhapuslah amalanmu dan tentulah engkau termasuk dalam orang yang rugi.” (Surah al-Zumar, ayat 65)

Baca juga Elakkan Amalan Khurafat Ketika Wabak

Dalam Surah al-An’am, ayat 88, ALLAH SWT berfirman: “Itulah petunjuk ALLAH, dengan itu DIA memberi petunjuk kepada sesiapa sahaja di antara hamba-hamba-NYA yang DIA kehendaki. Sekiranya mereka menyekutukan ALLAH, pasti lenyaplah amalan yang telah mereka lakukan.”

2. Murtad.

Firman ALLAH SWT: “…Barang siapa di antara kamu yang murtad daripada agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka segala amalan mereka di dunia dan di akhirat itu sia-sia, dan mereka itu adalah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 217)

3. Riak dan ujub.

Perbuatan melakukan suatu amalan dengan tujuan untuk mendapatkan pujian oleh orang lain begitu tidak disukai oleh ALLAH SWT.

Pahala

JANGAN riak dengan ibadah yang dilakukan, sebaliknya kerjakan segalanya semata-mata kerana ALLAH SWT. -FOTO: 123RF

Sang Khalik berfirman menerusi al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya orang munafik itu hendak menipu ALLAH, tetapi ALLAH-lah yang menipu mereka. Apabila mereka berdiri untuk solat, mereka lakukan dengan malas. Mereka riak (ingin dipuji) di hadapan manusia. Dan mereka tidak ingat akan ALLAH kecuali sedikit sekali.” (Surah an-Nisa’, ayat 142)

Baca juga Sifat riak, sombong boleh membuatkan manusia mudah lupa kepada YANG MAHA ESA

Ujub merupakan perilaku mengangumi diri sendiri dan sentiasa berbangga diri kerana merasa memiliki kelebihan tertentu. Sheikh Ibn Al-Utsaimin pernah mengungkapkan bahawa sifat itu akan membatalkan amal.

4. Mendatangi dukun atau bomoh.

Usah sesekali kita mendatangi dukun atau bomoh yang secara jelas meminta bantuan daripada syaitan. Mereka itu ibarat ‘pelayan’ makhluk dilaknat tersebut.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa mendatangi tukang ramal, kemudian menanyakan tentang sesuatu (menilik nasib), maka tidak diterima solatnya selama 40 hari.” (Hadis Riwayat Muslim)

5. Mengungkit pemberian.

ALLAH SWT berfirman: “Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu merosakkan sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan penerima), seperti orang yang mendermakan hartanya kerana riak (menunjuk-nunjuk) kepada manusia dan dia tidak beriman kepada ALLAH dan hari akhirat. Perumpamaan (orang itu) seperti batu yang licin yang di atasnya terdapat debu, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, maka tinggallah batu itu dalam keadaan licin kembali. Mereka tidak memperoleh apa-apa pun daripada apa yang mereka kerjakan. Dan ALLAH tidak memberi petunjuk kepada orang-orang kafir.” (Surah al-Baqarah, ayat 264)

Baca juga Jangan Sesekali Ungkit Pemberian Kepada Orang Lain, Begitu Dahsyat Ancaman Yang Menanti

6. Memelihara anjing selain tujuan untuk menjaga kebun dan ternakan.

Dalam hal itu Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membela anjing selain daripada anjing memburu, atau anjing yang menjaga tanaman, berkurang pahalanya setiap hari sebanyak dua qirat.” (Hadis Riwayat Muslim)

7. Derhaka kepada ibu bapa.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Ada tiga golongan manusia yang ALLAH tidak akan menerima daripada mereka amalan wajib (fardu), dan tidak pula amalan sunat (nafilah) mereka pada hari kiamat kelak; seseorang yang derhaka kepada orang tuanya, seseorang yang menyebut-nyebut sedekah pemberiannya dan seseorang yang mendustakan takdir.” (Hadis sahih, al-Jami’ ash-Shaghir)

Pahala

KEPADA yang masih mempunyai ibu bapa, ziarahlah selalu serta penuhi segala keperluan dan menyantuni mereka. -FOTO: 123RF

Baca juga Anak Derhaka Tak Layak Cium Bau Syurga! Ini Yang Perlu Diketahui

8. Isteri derhaka kepada suaminya yang soleh.

Ibn Umar RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ada dua orang yang solat mereka tidak pernah melepasi kepala mereka (tidak diterima ALLAH), (iaitu) seorang hamba sahaya yang lari daripada tuannya sehingga ia kembali kepada mereka, dan seorang wanita yang memurkakan suaminya (dengan melakukan kesalahan terhadap suami) sehingga ia kembali (dan memohon ampun).” (Hadis Riwayat at-Tabarani dalam al-Ausath)

Demikianlah antara faktor penyebab yang berupaya merosak dan mengikis ganjaran amal soleh kita.

Justeru, ambil maklum dan cakna dalam hal itu agar kita berwaspada, sekali gus menghindari diri daripada melakukannya.

Semoga segala amalan soleh yang dilakukan diterima oleh ALLAH SWT, sekali gus menjadi bekalan untuk kehidupan kita di alam yang kekal abadi buat selama-lamanya.

***Foto: Pexels, Freepik & Unsplash