Browsing Tag

Batalkan nazar

sasun-bughdaryan-GQ5uX_BlfmY-unsplash
Isu,

Tak boleh sewenang-wenangnya batalkan nazar yang telah dibuat, kena ‘bayar’ kafarah dulu…

MASYARAKAT kita gemar bernazar apabila berhajatkan sesuatu. Mereka berharap agar apa yang diimpikan itu tercapai dan dimakbulkan oleh ALLAH SWT.

Lazimnya, kebanyakan daripada kita suka bernazar untuk berpuasa atau menginfakkan sebahagian harta setelah hajat itu dikabulkan.

Namun begitu, bukan semua yang kita mahukan itu boleh dicapai dengan segera. Barangkali ada yang mengambil masa sehingga bertahun-tahun lamanya.

Dalam kes sebegini, bolehkan suatu nazar yang telah dilafazkan sebelum ini dibatalkan begitu sahaja sebelum hajat kita dikabulkan oleh ALLAH SWT?

Sebelum menjawab persoalan itu, kita perlu memahami lanjut tentang nazar.

Jabatan Mufti Negeri Pahang menjelaskan, nazar bermaksud mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri kepada ALLAH SWT iaitu yang baik sahaja) yang tidak ditentukan olehnya secara asal dalam syariat. Ia boleh sama ada secara mutlak atau ta’liq.

Dalam hal itu, ALLAH SWT menjelaskan menerusi firman-NYA: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.” (Surah al-Hajj, ayat 29)

Batalkan nazar

NAZAR wajib ditunaikan jika memenuhi rukun-rukun yang telah ditetapkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang bernazar untuk mentaati ALLAH, maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barang siapa yang bernazar untuk melakukan maksiat, maka janganlah dia melakukan maksiat itu.” (Riwayat al-Bukhari)

Benar, tidak semua nazar itu wajib ditunaikan. Ia hanya wajib dilaksanakan apabila sempurna rukun-rukunnya. Antaranya adalah:

1. Sighah; hendaklah disebut dengan perkataan.

2. Orang yang bernazar.

3. Perkara yang dinazarkan.

Mudah kata, apabila semua rukun-rukun itu telah dipenuhi, wajib bagi kita melunaskan nazar tersebut.

Contohnya, apabila seseorang bernazar dengan mengatakan: “Sekiranya ALLAH menyembuhkan penyakitku ini, maka demi ALLAH aku akan berpuasa.”

Andai begitulah lafaz nazar kita yang disebut dalam perkataan, bukan sekadar niat dan lafaz yang membawa maksud iltizam, wajib untuk kita melakukannya sebaik sahaja hajat diperkenankan oleh-NYA.

Seperkara lagi, orang yang bernazar mestilah terdiri daripada orang Islam, taklif (tidak sah bagi kanak-kanak dan orang gila), secara sukarela dan tiada paksaan.

Seandainya seseorang itu bernazar gara-gara dipaksa oleh orang lain, maka tidak sah nazarnya.

Bukan itu sahaja, terdapat tiga jenis nazar yang dibenarkan iaitu:

1. Perkara ibadah.

Batalkan nazar

Tidak boleh kita menazarkan sesuatu yang harus pada pandangan syarak seperti meninggalkan makan dan minum dan lain-lain.

2. Tidak bernazar dalam perkara-perkara maksiat.

3. Perkara yang dinazarkan itu bukanlah suatu perkara yang diwajibkan secara fardu ain seperti solat fardu, puasa Ramadan dan sebagainya.

Ketahuilah bahawa sebahagian ulama berpendapat makruh bagi kita memulakan nazar sekalipun wajib melaksanakan dan berpahala.

Namun, mereka berpandangan, lebih baik seseorang Muslim itu melakukan qurbah terus (mendekatkan diri kepada ALLAH) terus tanpa diikat dengan nazar.

Jika seseorang itu bergantung kepada nazar, ia menunjukkan kepada kebakhilan diri sendiri.

Berdasarkan hujah tersebut, Jabatan Mufti Negeri Pahang berpandangan, andai seseorang itu bernazar, wajib bagi mereka melaksanakan nazar tersebut dan ia tidak boleh dibatalkan dengan sewenang-wenangnya.

Batalkan nazar

Begitupun, nazar tersebut terikat dengan jenis-jenis nazar yang dinyatakan tadi.

Seandainya kita tidak mampu dan mahu membatalkan nazar tersebut, kita dituntut membayar kafarah sumpah sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bernazar dengan satu nazar, namun dia tidak mampu melakukannya, maka kafarahnya adalah kafarah sumpah.” (Riwayat Ibnu Majah)

Justeru, wajib kita menunaikan satu daripada tiga perkara berikut untuk menggantikan kafarah sumpah iaitu:

1. Memberi makan kepada 10 orang miskin.

Batalkan nazar

2. Memberi pakaian kepada 10 orang miskin.

3. Memerdekakan seorang hamba sahaya.

Andai kata, tiga perkara itu tidak dapat ditunaikan, maka kita perlu berpuasa selama tiga hari sepertimana yang disebutkan dalam Surah al-Maidah, ayat 89.

Ingatlah, usah begitu mudah bernazar seandainya perkara itu tidak mampu ditunaikan. Ia bukan perkara main-main.

Apa-apapun, ia tetap perlu ditunaikan. Bahkan, sesiapa yang membatalkannya perlu ‘membayar’ kafarah yang ditetapkan tadi.

Sumber: Kemusykilan Soal Jawab Agama: Apakah Hukum Membatalkan Nazar Yang Telah Dilaksanakan, Portal Rasmi Jabatan Mufti Negeri Pahang Darul Makmur

Foto: Koleksi foto Sinar Harian, Freepik & Unsplash