Browsing Tag

Barang diterima tak seperti yang dipesan

Barang diterima tak seperti yang dipesan
Muamalah,

Barang Diterima Tak Seperti Yang Dipesan, Ketahui Hak Kita Menurut Islam

no comment

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

SEMENJAK pandemik Covid-19 mula melanda dunia termasuk Malaysia, ramai yang mula membuat urus niaga secara online. Walaupun sebelumnya sudah ada platform seperti itu, tetapi penggunaannya mungkin tidaklah sekerap mana.

Dalam berurusan secara dalam talian, penjual perlu menjual barangannya dan pembeli pula ingin memenuhi kepelbagaian keperluan sama ada berkaitan dengan urusan kerja sehinggalah yang berkaitan dengan ‘hal ehwal’ dapur.

Kemudahan yang ada digunakan sepenuhnya bagi meneruskan kelangsungan hidup. Begitupun, kadang-kadang berlaku keadaan yang kita tidak ingini.

Pernahkan anda memesan suatu barang secara dalam talian, tetapi yang diterima berbeza daripada yang dipesan? Dengan kata lain, dalam sangkaan dan bayangan anda, barang yang dipesan adalah ‘sekian-sekian’, tetapi rupa-rupanya apa yang disangka itu tidak sama seperti barang yang diinginkan.

Dalam perbincangan para fuqaha, ada satu topik yang disentuh di bawah tajuk perkara-perkara yang mencacatkan kehendak (iradah) iaitu mengenai al-ghalat.

Barang diterima tak seperti yang dipesan

KETAHUI hak pembeli dan penjual yang digariskan oleh syarak agar tiada unsur penipuan ketika berurus niaga.

Pelbagai tafsiran diberikan terhadap perkataan al-ghalat itu. Secara rumusannya, ia merujuk kepada satu keadaan yang mana berlaku salah tanggapan terhadap subjek akad atau barang yang dikontrakkan (mahal al-aqd) iaitu hakikat sebenar barang tersebut berbeza dengan apa yang ada dalam tanggapan pihak pembeli.

Salah tanggapan itu boleh jadi berlaku pada jenis subjek akad dan juga pada sifat subjek akad.

Contoh salah tanggapan yang melibatkan jenis subjek akad adalah A berkontrak membeli barang perhiasan yang pada sangkaannya adalah daripada emas, tetapi sebenarnya ia bukan emas. Contoh lain pula, kontrak yang dilakukan adalah untuk membeli kereta jenama tertentu yang dikeluarkan pada tahun tertentu, tetapi rupa-rupanya ia dikeluarkan pada tahun sebelumnya.

Baca juga Ambil Keuntungan 100 Peratus, Ini Hukumnya Yang Perlu Kita Tahu

Al-Ghalat yang berlaku pada jenis subjek akad akan menyebabkan kontrak berkenaan batal. Oleh itu, apabila kita membeli suatu barang yang kita telah kemukakan spesifikasinya, tetapi penjual menghantar barang lain yang tidak menepati ciri tersebut, maka jual beli tersebut dikira batal.

Ini kerana ia melibatkan jual beli suatu yang tidak ada. Subjek akad dikira tidak ada kerana yang dijual itu berbeza dengan apa yang dikehendaki oleh pembeli.

Sebaliknya, jika al-ghalat itu hanya melibatkan sifat subjek akad sahaja, maka akad tersebut tidak batal, tetapi pembeli ada hak khiyar iaitu hak untuk memilih sama ada untuk teruskan akad atau fasakh (membatalkan) akad tersebut. Sebagai contoh, kontrak yang dibuat adalah membeli beg berwarna hitam, tetapi yang diterima adalah beg berwarna kelabu.

Barang diterima tak seperti yang dipesan

JIKA al-ghalat ataupun perkara yang mencacatkan kehendak berlaku pada jenis subjek akad, ia akan menyebabkan kontrak suatu jual beli berkenaan batal.

Dalam situasi kedua itu, tidak dihukumkan akad tersebut batal kerana subjek akad tetap ada iaitu beg. Apa yang berbeza hanyalah sekadar sifat iaitu warna beg sahaja. Oleh itu, pihak pembeli diberi hak khiyar sama ada untuk meneruskan akad dan bersetuju membeli beg berwarna kelabu tersebut ataupun membatalkannya.

Begitulah ketetapan dari segi hukum. Namun, apa yang sukar dalam urus niaga pada hari ini adalah ruang untuk membuat pilihan sama ada untuk meneruskan akad atau tidak, boleh dikatakan tidak diberi kepada pembeli.

Malah, jika barang yang silap dihantar kepada pembeli, pihak yang menjual enggan memulangkan kembali duit pembeli. Ada juga keadaan yang mana penjual meletakkan pelbagai syarat kepada pembeli jika ingin dapatkan kembali wang yang telah dibayar.

Akhirnya, pembeli hanya berputih mata sahaja dan terpaksa reda dalam keterpaksaan.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Freepik