Browsing Tag

barakah

Menumpang nama
Isu,

Jauhi amalan ‘menumpang nama’, ia penghalang kepada barakah

SECARA mudah, ‘menumpang nama’ bererti mengambil kredit ke atas hasil kerja akademik, seperti penyelidikan dan penulisan, tanpa memberikan sumbangan sewajarnya dalam prosesnya.

Kesan daripada amalan ini sangat memudaratkan.

Bagi pensyarah, kenaikan pangkat dan gaji yang diterima hasil daripada amalan itu paling tidak bersifat syubhah, kalau pun tidak haram.

Jika pandangan ini betul, seluruh kehidupan pensyarah tersebut akan berada dalam kekotoran dan kemungkinan apa yang dilakukan dalam kehidupannya tidak diredai ALLAH SWT.

Bagi yang tidak mengamalkan perbuatan itu, mereka tidak akan dapat kenaikan pangkat dengan cepat kerana kurangnya penulisan berbanding penghasilan mudah melalui amalan tersebut.

Baca juga Menumpang nama suatu jenayah akademik, ini sebab-sebabnya

Berlanjutan dalam kerjaya

Bagi pelajar pula, mereka akan berasa tertekan jika sedar amalan itu. Tambah lagi jika pensyarah atau penyelia memaksa melakukannya, atau ada pensyarah yang tidak menyumbang apa-apa tetapi memasukkan nama dalam penulisan pelajar.

Menumpang nama

JIKA unsur penipuan dibiarkan berlaku, maka tidak akan ada barakah dan keredaan ALLAH. -FOTO: FREEPIK

Tetapi jika pelajar tersebut merasakan amalan ini tidak salah, mereka akan meneruskannya bukan sahaja dalam penulisan, tetapi akan berlanjutan hingga ke dalam kerjaya dan kehidupan mereka.

Amalan menumpang nama juga boleh menjadi penghalang kesuburan pertumbuhan kesarjanaan para pelajar, dan peluang pelajar mencipta nama mereka. Bila ada nama pensyarah (selalunya penyelia mereka) dalam tulisan yang dihasilkan, tentulah orang lebih nampak pensyarah daripada pelajar.

Bagi IPT membiarkan keadaan itu berlaku dalam warganya, tidak akan ada barakah dan keredaan ALLAH.

Penghalang kepada barakah, bantuan dan keredaan ALLAH ini adalah pembabitan mereka yang membiarkan unsur penipuan berlaku.

Kuat kuasa pengawasan

Bagaimana masalah ini boleh diatasi?

Pertama, pihak universiti wajib membina garis panduan yang jelas tentang amalan ini.

Setakat ini belum wujud secara terperinci kriteria yang dikatakan sebagai menumpang nama. Akibatnya, pensyarah berbelah bagi pandangan tentang perkara itu. Sebahagian mereka berpendapat perbuatan itu tidak salah.

Baca juga Jangan berbohong untuk apa tujuan sekalipun…Tiada juga istilah bohong sunat dalam Islam

Kedua, apabila garis panduan yang sistematik telah ada, maka Pusat Tanggungjawab (PTj) seperti Fakulti, Pusat Pengajian, Pusat Kajian dan sebagainya perlu mengawasi di peringkat PTj masing-masing agar amalan itu tidak berlaku, seperti mereka sekarang mengawasi amalan plagiarisme dan pelanggaran hak cipta.

Menumpang nama

CARI solusi terbaik untuk menangani amalan menumpang nama sebelum ia menjadi lebih parah lagi. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: 123RF

Pengawasan ini bukan hanya berlaku di Pejabat Perundangan dan Ombudsman universiti di peringkat pusat semata-mata, tetapi juga di peringkat bawah di PTj-PTj universiti.

Ketiga, pihak universiti dan PTj perlu sentiasa menanam rasa bertuhan dan kehambaan dalam diri warganya, agar wujud keupayaan pengawalan kendiri untuk tidak melakukan amalan yang dikira salah, bukan sahaja dalam penulisan, tetapi juga kerjaya dan kehidupan.

***Artikel ditulis oleh Muhammad Syukri Salleh, Profesor Kehormat di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia