Browsing Tag

bantu orang dalam kesusahan

Berita Semasa,

Betulkan niat masa tolong orang, kelak ALLAH akan bantu kita

MASYARAKAT kita terkenal dengan sikap pemurah mereka. Masakan tidak, hati mudah tersentuh apabila melihat orang lain yang dalam kesusahan.

Tidak kiralah apa jua bentuk kesukaran yang dihadapi, pasti ada sahaja orang akan bantu.

Contoh paling mudah kita lihat, motosikal seseorang rosak di jalan raya. Kemudian, akan ada penunggang motosikal lain datang membantu ‘menunda’ ke bengkel berhampiran.

Itu belum cerita lagi tentang pemurahnya sikap masyarakat kita apabila melihat kehidupan orang lain yang susah. Bantuan pasti akan dihulur mengikut kemampuan mereka.

Begitupun, di sebalik pertolongan yang diberikan, usahlah sesekali riak atau berbangga diri ketika dapat membantu orang lain.

Pegawai Hal Ehwal Islam di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Muhammad Fahmi Rusli berkata, Islam mengajar kita membantu orang lain bukan dengan tujuan agar orang itu akan menolong kita semula.

Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang mempermudahkan urusan seseorang yang dalam kesukaran, ALLAH akan mudahkan kesukarannya di dunia dan akhirat.” (Riwayat Ibnu Majah)

“Kalau kita teliti hadis ini, kita diajar untuk menolong orang susah supaya ALLAH tolong kita semasa susah, bukan dengan tujuan orang yang dibantu akan tolong kita semula.

“Kadang-kadang manusia yang ditolong, tidak ingat pun pada orang yang pernah menolongnya,” katanya dipetik menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

Justeru, beliau menasihatkan agar umat Islam membetulkan niat semasa menolong orang susah iaitu mengharapkan ganjaran ALLAH SWT iaitu pertolongan-NYA ketika kita dalam kesukaran.

“Maka jiwa kita lebih tenang saat manusia yang ditolong tidak membalas pertolongan dengan pertolongan,” jelas beliau.

Apa-apapun biarlah bantuan yang diberikan itu dilakukan seikhlas hati, bukan mahu mengharapkan balasan semula.

Semoga kebaikan yang kita lakukan kerana ALLAH SWT akan memudahkan laluan kita menuju ke syurga-NYA.

Sumber: Twitter @fahmirusliMFR