Browsing Tag

bantal peluk

Teddy bear
Gaya Hidup,

Ini hukumnya jadikan ‘teddy bear’ sebagai bantal peluk

PATUNG teddy bear begitu sinonim sebagai permainan anak-anak kecil. Adakalanya ia dijadikan sebagai bantal peluk ketika tidur. Itu perkara biasa kita lihat selama ini.

Namun begitu, terdapat segelintir orang yang terbawa-bawa perilaku tersebut sehingga usianya menginjak dewasa. Langsung tidak boleh berenggang dengan teddy bear yang dijadikan sebagai bantal busuk.

Mengambil kira suasana uruf masyarakat setempat, menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, tidak mengapa jika kita menjadikan teddy bear dan seumpamanya sebagai bantal peluk.

DR ZULKIFLI

Ia selagi mana patung berkenaan tidak dimuliakan, diletakkan di tempat terhormat atau tidak disucikan, dihormati dan bertujuan untuk disembah atau dipuja.

“Apabila ia digunakan sebagai bantal, sudah jelas menunjukkan ia bukan bertujuan untuk dimuliakan. Apatah lagi kadangkala teddy bear itu terdedah kepada air liur basi dan lain-lain.

Baca juga Islam melarang sebarang bentuk ukiran patung? Bagaimana pula jika makanan berbentuk manusia atau binatang?

“Andai patung tadi dijadikan sebagai bahan pujaan atau diletakkan di tempat dihormati sehingga membawa kepada penyucian, maka perkara itu adalah haram dan dilarang sama sekali,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web maktabahalbakri.com.

Meskipun dibolehkan untuk dijadikan bantal peluk, agamawan itu mengingatkan agar umat Islam mengelakkan diri untuk menggunakan patung teddy bear dan seumpamanya yang bersaiz besar ataupun terlalu menyerupai makhluk hidup.

“Sekalipun digunakan untuk bantal atau mainan, sebaiknya hindarkanlah diri daripada berbuat demikian agar kita tidak termasuk dalam larangan hadis.

Teddy bear

WALAUPUN teddy bear boleh digunakan sebagai bantal dan mainan, sebaiknya hindarkanlah diri daripadanya agar tidak termasuk dalam larangan hadis. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: FREEPIK

“Kami ingin mengesyorkan, sekiranya dapat dielakkan penggunaan patung seperti teddy bear dan seumpamanya sebagai bantal, itu adalah lebih baik.

“Ia supaya tidak timbul perkara yang boleh membawa kepada perasaan-perasaan pemujaan dan sebagainya,” katanya.
Pada masa sama, Dr Zulkifli mencadangkan supaya penggunaan boneka berkenaan boleh digantikan dengan bantal berbentuk lain seperti bintang, tumbuhan dan seumpamanya.

Baca juga Hobi menyimpan figura aksi sebagai perhiasan, apa hukumnya?

“Cara itu lebih baik dan selamat serta jauh daripada sebarang bentuk syubhah.

“Lebih-lebih lagi meninggalkan perkara khilaf itu adalah digalakkan,” katanya.

Malaikat tak masuk rumah ada patung?

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Teddy bear

SEBAIKNYA tidak payahlah menyimpan patung teddy bear di dalam rumah lebih-lebih lagi jika tiada keperluan. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: FREEPIK

Riwayat berkenaan merupakan hadis masyhur yang menyatakan secara jelas bahawa malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang ada patung. 

Memetik artikel Al-Afkar #47: Hukum Patung Sebagai Perhiasan, hanya Malaikat Rahmah sahaja yang tidak masuk ke rumah kita. Malaikat Rahmah ialah malaikat yang memohon keberkatan dan keampunan bagi penghuni di dalam kediaman tersebut.

“Akan tetapi, Malaikat Hafazah masih tetap masuk ke dalam rumah kerana mereka diperintahkan untuk mencatat setiap amalan manusia,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

***Foto: Freepik