Browsing Tag

Banduan

Banduan
Inspirasi,

Peluk Islam ketika dalam penjara, bekas banduan kini jadi pendakwah

TIDAK pernah terlintas dalam fikiran setiap insan untuk bergelar banduan. Mendengarnya sahaja sudah digeruni, apatah lagi untuk menelan hakikat terpaksa melalui situasi getir itu.

Barangkali disebabkan itulah stigma negatif masyarakat terhadap bekas banduan masih ‘bersarang’ kemas dalam kotak fikiran.

Lantaran itu, tidak hairanlah terdapat segelintir mereka dibuang keluarga.

Ada pula yang sukar mendapatkan pekerjaan menyebabkan kelompok itu berdepan keperitan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Hakikatnya, bekas banduan itu memerlukan kita untuk perlindungan dan bimbingan. Malah, ada dalam kalangan mereka yang menerima hidayah ALLAH ketika berkurung di sebalik tirai besi.

Sinar Islam Plus mendalami kehidupan dua bekas banduan yang kini berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Masuk Islam dalam penjara

Kepada Sinar Islam Plus, Mohd Anas Abdullah, 56, mengakui laungan azan dalam mimpi yang menggetarkan hati membuatkan beliau begitu nekad memeluk agama Islam pada tahun 2012.

Cerita bekas banduan yang kini bergelar pendakwah bebas itu, dirinya bermimpi seruan mulia tersebut selepas memukul salah seorang banduan dalam Penjara Kajang, Selangor.

MOHD ANAS

“Sebelum tertidur petang itu, entah mengapa saya terfikirkan diri sampai bila mahu jadi begini. Kemudian saya bermimpi ada orang azan di telinga kiri. Saya nampak bayangan ada ‘orang putih’ dengan janggut panjang.

Baca juga Hidayah perlu dicari, masih ramai yang tidak tahu tentang perkara ini

“Saya ingatkan ada orang nyanyi. Jadi saya sambung tidur balik dan benda sama terjadi. Kali ini di sebelah telinga kanan pula. Selepas azan tamat, saya terjaga dalam keadaan badan basah seolah-olah sedang mandi. Bila saya tanya warden, ketika itu jam baru pukul 2.30 pagi.

“Namun, ketika itu, hati saya bagaikan ditarik-tarik mahu memeluk agama Islam. Pagi itu, saya terus maklumkan mahu berjumpa ustaz untuk mengucapkan kalimah syahadah. Saya rasa inilah Tuhan yang benar,” katanya yang dengan rasminya bergelar saudara baru Muslim keesokan harinya.

Kuasa ALLAH SWT tiada siapa yang dapat menandinginya. Bayangkan Mohd Anas, yang dahulunya buta huruf, tetapi akhirnya beliau mampu membaca dan menulis dengan baik.

Dengan izin ALLAH, beliau dapat menghabiskan Iqra 1 selama dua hari sahaja. Dalam tempoh sebulan, beliau mampu manamatkan Iqra 6, seterusnya Muqaddam dan khatam sepurnama kemudian.

Baca juga Jangan malu merangkak-rangkak baca al-Quran, insya-ALLAH dapat dua ganjaran pahala

“Ketika ditempatkan di Penjara Penor, Kuantan, Pahang atas kesalahan jenayah lampau pada tahun 2016, saya mendalami ilmu agama. Alhamdulillah, saya boleh jadi imam di penjara dan dalam tempoh tiga bulan, tiga kali saya khatam al-Quran. Perkara itu memangkin semangat untuk belajar serta belajar, selain menulis rumi dan jawi.

MOHD ANAS yang dahulunya buta huruf kini sudah pandai menulis rumi dan jawi serta beberapa kali khatam al-Quran. -Gambar hiasan

“Bukan setakat ustaz dan pegawai penjara yang membantu, tetapi boleh dikatakan banduan (di Penjara Penor) turut menolong. Semua itu membangkitkan semangat saya untuk terus mendalami agama Islam. Malah, saya berdoa untuk membuat kerja-kerja (dakwah) Rasulullah SAW dan berazam menjadi pendakwah bebas,” katanya.

Anak-anak semakin jauh

Mohd Anas, yang sebelum ini seorang free thinker dan pernah menganut tiga agama lain berasa ‘pencariannya’ selama ini berakhir apabila mengenali ALLAH SWT.

Pun demikian, ada cabaran di sebalik itu semua. Lima anak hasil empat perkahwinan sebelum ini semakin jauh daripadanya.

Sepanjang menemu bual bekas anggota kongsi gelap dan gengster itu, bibir Mohd Anas tidak putus-putus melafazkan syukur dikurniakan isteri yang sanggup hidup susah bersamanya sehinggalah dibebaskan.

“Dia ialah isteri yang kelima. Walaupun pada mulanya isteri ‘bising’ saya masuk Islam, empat bulan kemudian, dia mula terbuka menjadi Muslimah. Meskipun dia orang kurang upaya (OKU) kaki, tetapi setiap bulan tidak pernah culas menziarahi saya di penjara,” katanya yang dibebaskan pada bulan Mei lalu.

Sebenarnya, itu bukanlah kali pertama Mohd Anas dipenjarakan. Sebaliknya, lelaki berusia lebih separuh abad tersebut sudah lebih lima kali keluar masuk tirai besi berkenaan sejak tahun 1986.

Barangkali kemasukannya ke Penjara Penor selama enam tahun sebelum dibebaskan pada Mei lalu memberinya peluang untuk menimba pelbagai ilmu. Ia termasuklah ilmu tasawuf menerusi program Yayasan Pahang dan menerima pengiktirafan anugerah pelajar terbaik dalam bidang tersebut.

MOHD ANAS (kiri) semakin aktif dalam kerja-kerja dakwah selepas dibebaskan pada Mei lalu.

“Sejujurnya apabila melihat sijil-sijil pencapaian yang saya dapat (di dalam penjara), saya rasakan seolah-olah pernah belajar di luar negeri. Alhamdulillah, tamat pengajian, segala ilmu fardu ain dan Iqra, saya curahkan kepada rakan-rakan banduan ketika diberi peluang mengajar fardu ain oleh pihak penjara.

Baca juga Apa gunanya kedekut ilmu yang ALLAH beri? Lebih baik berkongsilah, ada juga manfaat dan pahala pun mengalir sama

“Paling menyentuh sanubari saya apabila ada banduan lain yang turut sama menerima hidayah ALLAH ketika mendengar tazkirah yang saya sampaikan,” katanya.

Selepas keluar dari tirai besi lima bulan lalu, Mohd Anas kini mampu menyampaikan dakwah secara lebih meluas. Langkahnya lebih panjang apabila beliau dilantik sebagai da’i di Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.

Di sebalik kegembiraannya dengan tugas baharu itu, rupanya ada duka yang disimpannya. Mohd Anas yang selama ini tercari-cari ibunya berasa sedikit terkilan apabila mengetahui insan yang paling dicintai itu telah pergi buat selama-lamanya pada tahun 2005 tanpa diketahuinya.

“Saya hanya tahu apabila saya ke Jabatan Pendaftaran Negara sebelum dikhabarkan dengan berita kematiannya. Tidak sempat untuk saya menatap dan memberitahu padanya bahawa saya sudah menjadi pendakwah kini,” katanya dalam nada sebak.

***Foto: IHSAN MOHD ANAS ABDULLAH