Browsing Tag

BALASANALLAH

3 kisah zaman nabi yang wajib jadi suri teladan kepada seluruh umat Islam
Panduan,

3 kisah zaman nabi yang wajib jadi suri teladan kepada seluruh umat Islam

MANUSIA itu diciptakan dengan memiliki rupa, warna kulit, bentuk fizikal dan utamanya cap jari yang tidak mungkin akan pernah sama antara satu sama lain.

Begitu juga hidupan flora dan fauna, daratan serta lautan yang diserikan dengan kehijauan gunung-ganang yang menjadi pasak bumi.

Biarpun terdapat banyak nikmat telah ALLAH kurniakan, tetapi manusia sering leka dan alpa dengan sering mengambil mudah pada setiap teguran ILAHI.

Bencana alam seperti taufan, banjir, gempa bumi, dan ribut menjadi sebahagian petunjuk buat kita untuk memperbaiki khilaf diri.

Sekiranya jabatan meteorologi wujud pada zaman nabi, adakah mereka akan tahu setiap apa yang dimiliki akan lenyap sekelip mata?

Katakan mereka ketahui sekalipun, adakah peluang itu akan digunakan untuk mereka beriman kepada ajaran Islam?

Justeru, mari kita merenung kembali iktibar daripada kaum yang telah dibinasakan ALLAH atas sebab keangkuhan sehingga sanggup memalingkan muka daripada agama Islam:

1. Angin kencang lapan hari tujuh malam (Kaum ‘Ad)

Aad merupakan kaum Nabi Hud yang hidup dalam serba kemewahan dengan binaan bangunan tinggi di Al-Ahqaf merupakan sebuah wilayah di kawasan bukit berpasir di Tanah Arab.

Disebabkan keangkuhan itu, mereka mula menyembah berhala yang dipanggil Shamud, Shada, dan Al-Haba selain maksiat menjadi satu kebiasaan kaum ‘Ad.

ALLAH kemudian mengutuskan Nabi Hud dengan harapan dapat mengembalikan keimanan mereka, namun sayangnya disebabkan keangkuhan, mereka ingkar.

Natijahnya, ALLAH menurunkan bencana cuaca panas terik sehingga mengeringkan kebun-kebun mereka.

Biarpun dalam keadaan sebegitu, mereka tetap degil. ALLAH memberikan mereka dengan balasan awan hitam yang disertakan dengan hujan dan angin kencang pula.

Kaum ‘Ad diazabkan dengan air dingin dan kencang yang bertiup selama lapan hari tujuh malam. Seperti diceritakan dalam kalamullah, mayat kaum itu bergelimpangan, manakala sebahagianya terbenam di bawah timbunan pasir.

2. Panahan petir dan runtuhan bongkah batu (Kaum Tsamud)

Kaum Tsamud diberi kelebihan dengan memiliki kekayaan hasil daripada tanaman mereka yang segar.

Disebabkan itu, mereka menjadi riak dan kerap melakukan maksiat serta berfoya-foya selain gemar berpesta.

ALLAH kemudian memerintahkan Nabi Saleh untuk mengembalikan iman mereka kepada ajaran Islam dengan dikurniakan seekor unta betina.

Haiwan tersebut merupakan mukjizat Nabi Saleh sebagai salah satu usahanya mengajak kaum Tsamud beriman kepada ALLAH, tetapi sebaliknya berlaku apabila haiwan tersebut dibunuh oleh dua lelaki daripada kaum itu.

Tindakan mereka telah mengundang kemungkaran ALLAH.

Maka, diturunkan azab pada hari pertama ketika bangun dari tidur. Wajah mereka berubah menjadi warna kuning, hari kedua menjadi warna merah manakala ketiga menjadi hitam.

Pada hari keempat, ketika mereka beramai-ramai ingin membunuh Nabi Saleh, bunyi dentuman guruh bersertakan petir menggemparkan disertakan dengan runtuhan bongkah batu menghempap kaum Tsamud.


3. Gempa bumi (Kaum Madyan)

Kaum Madyan dikurniakan kemahiran dengan pandai berniaga dan membina binaan bangunan yang indah sama seperti kaum Tsamud.

Oleh kerana keangkuhan mereka dalam menjalankan perniagaan, kaum Madyan suka berlaku tidak jujur dengan menipu jumlah timbangan barang.

Golongan berharta menindas yang lemah dan menyembah berhala sudah menjadi budaya mereka sehinggalah ALLAH mengutuskan Nabi Syu’aib agar dapat mengembalikan mereka ke jalan yang benar.

Disebabkan ingkar ALLAH kemudian menurunkan azab kepada mereka dengan gempa bumi. Gegaran yang kuat sehingga meruntuhkan binaan telah menyebabkan kaum Madyan mati bergelimpangan di kediaman mereka.
Justeru setiap yang salah itu pasti akan menerima hukuman sama ada di muka bumi atau di hari akhirat kelak.

Paling utama ketakwaan dan keimanan kita kena sentiasa dipelihara agar tidak terpesong daripada akidah yang sebenarnya.

Jangan hidup kita binasa kerana takbur dengan nikmat ALLAH!

Diharapkan perkongsian SinarPlus ini dapat sama-sama kita mengambil iktibar dan teladan.

Ketahuilah, setiap bencana yang berlaku itu pasti ada hikmah disebaliknya.

Begitu juga dengan penularan wabak Covid-19 ini diharapkan akan segera pulih.

Semoga dipermudahkan segala urusan barisan hadapan dalam usaha menyelamatkan pesakit yang dijangkiti virus tersebut. #kitajagakita