Browsing Tag

balasan ALLAH

Untitled design (8)
Gaya Hidup,

Anak Derhaka Tak Layak Cium Bau Syurga! Ini Yang Perlu Diketahui

no comment

Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

BEBERAPA tahun lalu, penulis ditugaskan untuk menemuramah penghuni sebuah rumah jagaan orang tua di Negeri Sembilan.

Sebaik melangkah ke sebuah dorm, hati kecil ini terusik. Masakan tidak, ruang itu dipenuhi dengan ibu bapa malang yang ditinggalkan.Ada yang nampak ceria, namun majoritinya bermuram durja.

Seperti yang dijanjikan, penulis dibenarkan mendekati seorang lelaki tua yang dikatakan memilih sendiri duduk di rumah jagaan berkenaan.

Beliau menangis sebaik mendengar soalan pertama yang diajukan penulis. Beritahu beliau, perbuatan lampaunya yang mengabaikan tiga anak yang sedang membesar gara-gara terlalu sibuk dengan kerjaya sebagai jurufoto sangat dikesali.

Mahu dipendekkan cerita, pada usia 50-an beliau jatuh sakit. Pun demikian, tiada seorang pun daripada anaknya mahu menjaganya. Lebih teruk lagi, beliau dihalau keluar dari rumah. Tiada pilihan lain, lelaki berkenaan mendaftarkan diri secara sukarela di rumah jagaan orang tua.

Melihat kepada situasi pilu berkenaan, penulis terfikir sejenak. Mengapa si anak tergamak berbuat demikian? Adakah disebabkan mahu membalas dendam terhadap perbuatan silam bapa mereka?

Bukankah seburuk-buruknya si ayah, perbuatan tersebut sangat ditegah di sisi agama? Bukankah kedudukan ibu bapa di sisi ALLAH amatlah tinggi sehinggakan ALLAH meletakkan perintah berbuat baik kepada mereka bersebelahan dengan perintah tidak menyembah selain daripada ALLAH dan mensyirikkan-NYA?

Si Tanggang moden
Bagi membincangkan topik tersebut, Sinar Islam Plus mendapatkan ulasan pendakwah Dr Mohd Faisol Ibrahim.

 

Dengan penuh kesungguhan, Dr Mohd Faisol berkata, anak-anak yang dipupuk dengan ilmu naqli (al-Quran) dan aqli (sunnah), di samping menekankan adab-adab Islam dalam jiwa, merupakan ganjaran terhebat kepada orang tuanya.

Namun, jika ibu bapa gagal mendidik anak dengan jiwa yang dipasak dengan dua sumber utama agama itu (naqli dan aqli), ia merupakan satu kerugian besar.

“Rugi kerana tidak menggunakan peluang yang ALLAH SWT berikan sepenuhnya bagi menyemai saham pada hari akhirat kelak,“ ujarnya.

Ujar pendakwah itu lagi, tidak mudah sebenarnya hidup pada era milenial yang dilingkari dengan pelbagai liku. Situasi sebegitu sememangnya menuntut ibu bapa lebih peka, prihatin, cakna, di samping memiliki kekuatan iman yang utuh.

“Cabaran-cabaran yang hadir itulah yang mewujudkan segelintir anak yang tidak patuh kepada ibu bapa. Mereka mempunyai pemikiran sendiri yang
adakalanya salah dan tersasar,“ katanya.

Pun demikian, apapun tantangan yang hadir, seorang anak perlu memahami tanggungjawab dan keterbatasan mereka terhadap ibu bapa tanpa mengambil pusing soal sejarah hidup orang tuanya, status hidup, warna kulit, agama, pangkat, kekayaan, waima agama mereka.

Dalam erti kata mudah, siapa pun ibu bapa kita, seorang anak sangat ditegah daripada memperlekehkan, apalagi melakukan perbuatan derhaka.

“Anak derhaka akan dimurkai ALLAH SWT dan tidak mencium bau syurga. Itu adalah jaminan ALLAH SWT dan memang selayaknya. Anak derhaka itu ialah anak yang tidak mengenang jasa. Mereka tidak berbakti kepada orang tua, walhal ia adalah jalan mudah menuju ke syurga.

“Hari ini, saya lihat anak derhaka boleh digelar sebagai ‘si tanggang moden‘. Bermacam berita yang dipaparkan di dada akhbar dan televisyen. Ada yang sanggup memukul dan mencerca ibu bapa gara-gara impian mereka tidak dipenuhi.

“Ada juga yang menghantar ke rumah jagaan orang tua tanpa rela, halau ibu bapa dari rumah dan sanggup tinggalkan ibu bapa di jalanan,“ katanya dengan nada kesal.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Celakalah dia, celakalah dia, celakalah dia,“. Lalu baginda ditanya: “Siapa Ya Rasulullah? Jawab baginda: “Sesiapa yang mendapati kedua-dua orang tuanya (dalam usia lanjut) atau salah seorang daripada kedua-duanya, tetapi tidak berusaha masuk syurga (dengan memelihara orang tuanya sebaik-baiknya).“ (Hadis Riwayat Muslim)

Berbakti selamanya
Dr Mohd Faisol yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia menambah, anak yang soleh dan solehah akan
selamanya berbakti kepada ibu bapa semasa hayat mereka.

“Ketahuilah, mak ayah kita adalah salah satu nikmat terbaik yang ALLAH YANG MAHA BERKUASA kurniakan dan memang tolok bandingnya,“ terangnya.

Dalam hal tersebut, ALLAH telah memberi peringatan jelas menerusi Surah al-An‘am, ayat 151: “Katakanlah, marilah, supaya AKU bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan ALLAH sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa.”

Justeru, dengan penuh rasa tawaduk, pendakwah itu mengajak masyarakat untuk terus menabur jasa kepada ibu bapa masing dengan apa cara sekali pun.

“Sesungguhnya, pengorbanan mereka tidak boleh dibalas  wang ringgit atau harta benda. Berbakti dan gembirakanlah mereka sedaya mungkin semasa ibu dan ayah masih hidup agar kita tidak terkilan pada kemudian hari,“ ungkapnya.

Semua pandangan yang diperkatakan oleh Dr Mohd Faisol dipersetujui oleh pendakwah Asmak Husin. Kata Asmak, memang sudah menjadi lumrah dalam kehidupan manusia yang kadangkala berselisih pandangan dan tidak sependapat.

 

Pun demikian, dengan ibu bapa, seorang anak perlulah sentiasa beralah dengan orang tuanya, sekalipun pendapat mereka dilihat kurang tepat dan sedikit tergelincir.

“Tiada gunanya bertegang leher, membeliakkan biji mata atau meninggikan suara semata-mata mahu menegakkan pendapat. Ingat, pangkat kita hanya
sebagai seorang anak. Biarkan mereka. Sebagai anak kita perlu faham bahawa ibu ayah juga ada ego mereka tersendiri,“ katanya.

Bagaimana pula jika kedua-dua ibu bapa kita telah pergi menghadap ILAHI?

Jawab pendakwah terkenal itu, antara perkara yang perlu anak-anak lakukan adalah meraikan dan menyambung kembali silaturahim dengan sahabat-sahabat orang tuanya.

“Agama Islam amat menganjurkan setiap umatnya untuk menyambung pertalian (silaturahim) dengan sesiapa sahaja, bukan hanya sesama ahli keluarga, tetapi dalam kalangan sahabat-handai ibu bapa mereka,“ jelasnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturahim.“ (Hadis Riwayat Bukhari)

Tutur pendakwah itu lagi, ungkapan reda ALLAH SWT terletak kepada reda kedua-dua ibu bapa perlu direnung dan diperhalusi sedalam-dalamnya.

 

ANAK yang soleh dan solehah akan sentiasa mencurahkan kasih sayang dan bakti kepada ibu dan ayah mereka. Bersikap dingin atau berselisih pandangan dengan kedua-dua orang tua sangat merugikan kerana ia hanya mengundang kemurkaan ALLAH SWT.

“Sekali lagi, saya ingin tegaskan, kita perlu menyantuni dan menghormati ibu bapa, sungguhpun mereka bukan beragama Islam. Kita wajib taat kepada
mereka kerana ALLAH SWT dan bukan batang tubuhnya,“ ujarnya.

ANEKDOT

CARA terbaik menjadi anak yang soleh dan solehah
1 Berdoa kepada ALLAH SWT supaya diberi petunjuk dan bimbingan untuk menjadi anak yang soleh. Hal ini perlu diamalkan agar hidup kita sentiasa dipandu untuk berbakti kepada kedua ibu bapa dan mengutamakan mereka berbanding individu lain.

2 Sentiasa membaca ayat suci al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW yang menghuraikan tentang kewajipan dan kelebihan anak soleh serta ancaman azab yang pedih untuk anak yang menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa.

3 Melihat sejarah perjalanan hidup para nabi, sahabat dan orang soleh. Contoh terbaik adalah meneladani kelembutan Nabi Ibrahim AS ketika berbicara dan berdakwah dengan lemah lembut dengan ayahnya yang merupakan pembuat patung sembahan kaumnya. Demikian juga kelembutan Rasulullah SAW sewaktu berdakwah dengan bapa saudaranya, Abu Talib.

4Berbicara dengan tutur kata yang sopan dan lemah lembut dengan ibu bapa, sama ada melalui perbualan telefon atau ketika menziarahi mereka. Selain itu, anak perlu membiarkan ibu bapa menghabiskan kata-kata mereka dan tidak memotong percakapan mereka.

5 Meminta pandangan dan nasihat orang-orang yang soleh di sekeliling dalam mendepani kerenah ibu bapa yang berbagai ragam. Antaranya ibu atau bapa yang enggan dibawa ke hospital. Nasihat individu yang soleh, lagi berpengalaman amat diperlukan dalam situasi seperti itu.

Sumber Pendakwah Dr Amiruddin Mohd Sobali