Browsing Tag

bakar al-Quran

Serangan dan penodaan al-Quran
Antarabangsa,

Lagi serangan dan penodaan terhadap al-Quran, kali ini kitab suci itu ‘dicincang’ dan ‘diparut’

BIADAB dan keterlaluan! Demikian reaksi umat Islam apabila menyaksikan satu lagi insiden serangan dan penodaan terhadap al-Quran di Denmark, London baru-baru ini.

Sabtu lalu, seorang wanita Denmark kelahiran Iran telah ‘mencincang’ dan ‘memarut’ kitab suci umat Islam di hadapan Kedutaan Iran di ibu negara Copenhagen.

Menurut laporan portal berita Anadolu Agency, wanita yang memakai baju T tertera tulisan ‘Wanita’, ‘Hidup’ dan ‘Kebebasan’ itu tergamak melakukan tindakan provokatif yang disifatkannya sebagai ‘persembahan seni’.

Untuk rekod, itu bukanlah kali pertama Bazrafkan bertindak sedemikian.

Sebaliknya, lapor Ice News, artis dan blogger tersebut sebelum ini pernah mengadakan persembahan serangan dan penodaan terhadap al-Quran berkenaan sekitar tahun 2014!

Baca juga [Video] Himpunan bantah bakar al-Quran jadi perhatian di Kedutaan Sweden

Antaranya termasuklah berbogel di hadapan al-Quran dan semasa bait-bait kalimah suci itu dikumandangkan, selain mencincang kitabullah berkenaan.

Serangan dan penodaan al-Quran

TINDAKAN Bazrafkan yang memarut dan mencincang al-Quran dikecam sekeras-kerasnya kerana perbuatannya dianggap satu penghinaan terhadap agama Islam. -Foto: Iran International

“Bazrafkan menggunakan karya seninya untuk menunjuk perasaannya tentang wanita yang ditindas, terutama di negara kelahirannya dan negara lain di dunia Islam,” katanya.

Sementara itu, menurut portal Iran International, Kerajaan Iran mengutuk sekeras-kerasnya penghinaan tersebut dan pegawainya telah mengancam pelakunya dengan hukuman berat.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, menurut Anadolu Agency, serangan al-Quran dilihat begitu membimbangkan.

“Ia telah menyaksikan insiden bakar al-Quran berulang kali dan mencemarkan al-Kitab tersebut atau percubaan oleh tokoh ataupun kumpulan Islamofobia terutamanya di negara Eropah utara dan Nordik sehingga menimbulkan kemarahan negara-negara Islam serta dunia,” katanya.

Baca juga Biadabnya pemimpin Sweden bakar al-Quran, umat Islam wajib tegakkan kesucian kalam ALLAH SWT

Meskipun isu serangan dan penodaan ke atas al-Quran itu meledakkan amarah umat Islam, namun dari satu sudut, menurut laporan portal berita Republika, insiden berkenaan langsung tidak mematahkan harapan umat Islam untuk terus berpegang dengan akidah mereka.

Bahkan, boleh jadi ia sebenarnya mendorong orang ramai untuk lebih berkeinginan tentang ajaran Islam, sekali gus mendorong lebih banyak individu untuk bersyahadah.

Serangan dan penodaan al-Quran

SERANGAN dan penodaan al-Quran sejak akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi dan ramai pihak termasuk negara-negara Islam menggesa supaya perbuatan provokatif itu segera dihentikan. -Foto: Republika

Demikian pandangan yang dilontarkan oleh Profesor Masyarakat dan Keyakinan di Pusat Pengajian Islam Universiti SOAS, Alison Scott-Baumann dan Profesor Teologi dan Agama di Universiti Bermingham, David Thomas sebagaimana dipetik Republika menerusi Mehr News.

Perlukah kerajaan meluluskan undang-undang untuk mencegah terhadap serangan buku-buku agama?

Baca juga Pelihara kesucian al-Quran setiap masa, walaupun ketika lupuskannya

Ketika menjawab persoalan wartawan Mehr News, Thomas mengakui perkara tersebut sukar untuk dilakukan.

“Mungkin terdapat beberapa implikasi dalam undang-undang yang tidak dapat dijangka oleh kerajaan.

“Ia memerlukan banyak perbincangan dan pemikiran,” ungkapnya.

***Foto: anews.com.tr

Muslim pantauan FBI
Isu,

Ketahui sejarah Islamofobia dan serangan halus untuk burukkan Islam

SEJAK kebelakangan ini, sentimen Islamofobia dan serangan halus terhadap Islam dilihat begitu ‘kencang’. Lebih-lebih lagi apabila kitab suci al-Quran dibakar secara terbuka.

Melihat mukjizat agung Nabi Muhammad SAW itu diperlakukan sedemikian rupa membuatkan suhu kemarahan umat Islam seantero dunia mendidih.

Tindakan biadab aktivis anti-Islam, Rasmus Paludan sebanyak dua kali baru-baru ini tidak boleh diterima sama sekali.

Bayangkan, kitab ALLAH yang menjadi manual hidup Muslim dipijak bagai tiada nilai. Ia sesuatu yang sukar dicerna oleh akal.

Baca juga Biadapnya pemimpin Sweden bakar al-Quran, umat Islam wajib tegakkan kesucian kalam ALLAH SWT

Walaupun pemimpin negara-negara Islam termasuk Malaysia, Turkiye, Arab Saudi dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk keras perbuatan itu tetapi isu berkaitan Islamofobia dilihat tidak pernah kendur.

Tindakan membakar kitabullah merupakan satu contoh kes Islamofobia atau dengan kata lainnya, menyimpan rasa takut, benci dan prasangka terhadap Islam dan umatnya.

Peristiwa itu seakan sengaja mencabar parameter kesabaran Muslim. Provokasi demi provokasi yang ditonjolkan memperlihatkan sisi hormat terhadap umat Islam diabaikan.

Mengapa Islam dilihat sebagai ancaman, sedangkan ia adalah agama yang membawa rahmat ke seluruh alam? Sampai bila Muslim akan dilihat dengan pandangan salah?

Bimbang pertambahan umat Islam

Mengupas lanjut topik itu, Sinar Islam Plus mendapatkan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmad Che Yaacob.

DR AHMAD

Tatkala diajukan persoalan tersebut, beliau menjelaskan, isu Islamofobia sebenarnya berpunca daripada ketakutan dan kebimbangan Barat disebabkan pertambahan umat Islam di Eropah.

“Bukan sahaja dari aspek kuantiti tetapi juga kualiti mereka yang sudah memeluk Islam. Orang Eropah yang bergelar Muslim berubah perangai ke arah lebih baik.

“Ia termasuklah beberapa orang ahli politik Eropah yang dahulunya kuat menentang Islam seperti bekas pemimpin anti-Islam yang memeluk agama suci ini dan menulis buku tentang keindahannya pada Oktober 2018, Joram van Klaveren.

“Sebelum itu, Arnoud van Doorn yang juga bekas pemimpin anti-Islam mengambil langkah sama pada 2012 selepas menerbitkan filem yang mengaitkan Islam dengan keganasan,” terangnya.

Perkara sama turut mempengaruhi kejadian pembakaran al-Quran baru-baru ini.

Menurut perspektif Dr Ahmad, insiden tersebut bukan disebabkan hilangnya sensitiviti bukan Islam terhadap Muslim.

Baca juga 90 peratus platform media sosial mengandungi unsur islamofobia

“Sebaliknya, ia berpunca daripada rasa ingin tahu dalam kalangan masyarakat bukan Islam yang semakin bertambah.

“Kejadian yang mencetus provokasi berkenaan dipercayai akibat dorongan untuk meraih populariti dan kepentingan politik peribadi menjelang pilihan raya pada September,” ungkapnya.

Selepas peristiwa serangan ke atas Menara Berkembar World Trade Center di New York pada 11 September 2001, ahli akademik itu menjelaskan, Islam telah diberikan imej negatif oleh media Barat.

Islamofobia

TINDAKAN biadab ahli politik Sweden membakar al-Quran mendapat bantahan dan kecaman ramai menerusi demonstrasi termasuk di Malaysia baru-baru ini. -FOTO: BERNAMA

“Sebenarnya, ia adalah antara bentuk serangan pemikiran (ghazwatul fikri) oleh Barat untuk memberikan imej buruk terhadap Islam,” katanya.

Rahsia kekuatan Islam

Menelusuri lembaran historiografinya, jelas Dr Ahmad, serangan pemikiran Barat sudah bermula seawal abad ke-12 lagi ketika berlaku Perang Sabib antara umat Islam dan Kristian selama 200 tahun.

Menurut beliau, Raja Louis IX, raja Perancis yang terlibat dalam siri Perang Salib sebanyak dua kali itu mendapati, kekuatan umat Islam bukan terletak pada bilangan tentera, sebaliknya ia berkait dengan akidah.

Raja Louis IX mengatakan: “Jika kamu ingin mengalahkan umat Islam, jangan perangi mereka hanya dengan senjata kerana kamu telah kalah waktu menggunakan senjata. Namun, perangilah akidah dan pemikiran mereka, keluarkan semangat Islam daripada dada mereka, jadikan mereka bodoh terhadap akidah Islam kerana dalam akidahlah terletak kekuatan Islam. Apabila akidah telah hilang, mudah untuk mengalahkan mereka. Dengan menyerang pemikiran mereka, kita tidak akan rugi, bahkan kaum Muslimin yang akan rugi.”

Baca juga Wanita Islam Cenderung Diganggu Golongan Islamofobia Berbanding Lelaki

Bukan itu sahaja, ahli akademik itu menjelaskan, rahsia kekuatan Islam juga dipelajari oleh Barat hingga wujud kelompok dikenali sebagai orientalis.

Islamofobia

PROTES orang ramai terhadap tindakan Paludan membakar al-Quran di Turkiye baru-baru ini.
-FOTO: AP

Sejak Islam mula bertapak, katanya, pihak Barat berusaha untuk mengetahui kekuatan agama suci itu.

“Raja Parsi misalnya, menghantar seorang pengintip bernama Ibn al-Dahqan al-Attar untuk menyiasat rahsia kekuatan umat Islam Madinah.

“Alangkah terkejut dirinya apabila dia tidak menemui seorang lelaki pun kerana semuanya menunaikan solat Jumaat. Tambah memeranjatkan lagi apabila didapati Saidina Umar RA mengadili sendiri kes-kes mahkamah dan dengan aman tidur sendirian di bawah pohon kayu tanpa sebarang kawalan keselamatan,” ungkapnya.

Kepada satu soalan, Dr Ahmad menjawab: “Sampai bila Islam akan diberi label yang salah, semua itu bergantung kepada umat Islam sendiri.

“Banyak perkara terjadi hari ini di mana umat Muslim sendiri telah gagal menampilkan imej Islam sebenar sebagai agama yang adil, toleran, mementingkan kebersihan dan sebagainya.

“Kita tidak mampu mengubah apa yang ada dalam pemikiran orang tetapi kita boleh melakukan transisi bagi memberikan imej yang bersih dan adil,” titip beliau.

ANEKDOT

Tindakan yang boleh dilakukan umat Islam membendung Islamofobia

1. Negara-negara Islam hendaklah bersatu untuk menyatakankecaman terhadap perbuatan membakar al-Quran dan apa-apa perbuatan yang menghina kesucian agama Islam.

2. Negara-negara Islam hendaklah memboikot aktiviti ekonomi dari negara yang membenarkan perbuatan yang mengancam kesucian agama Islam.

3. Usaha untuk mencetak dan mengedarkan al-Quran secara percuma kepada seluruh dunia.

4. Memberikan dakwah dan penerangan yang benar tentang agama Islam dalam pelbagai media termasuklah dalam bentuk media filem, hiburan, sukan serta media sosial.

Islamofobia

SENTIASA menonjolkan akhlak Islam dalam setiap perbuatan selain tidak bertindak keterlaluan di luar batas syariat andai menerima provokasi daripada kelompok lain. -FOTO: 123RF

5. Umat Islam tidak cepat melatah dan tidak bertindak di luar batas yang dibenarkan oleh hukum serta undang-undang. Sebaliknya hendaklah mengamalkan akhlak yang baik dan tidak membalas dengan membuat kerosakan serta keburukan.

6. Golongan Muslim dan pertubuhan sosial serta kebajikan Islam menggandakan lagi usaha untuk memberi imej yang baik supaya syiar agama Islam terserlah seperti memberikan bantuan makanan percuma dan pakaian kepada gelandangan di negara Barat. Ini kerana Barat sedang mengalami masalah kemiskinan bandar dan kemelaratan hidup terutama dalam kalangan gelandangan dan mereka yang ketagih arak.

7. Umat Islam hendaklah memperbaikisahsiah dan peribadi mereka, disamping menambahkan lagi ilmu supaya mencerminkan akhlak sebenar Islam.

***Sumber Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Che Yaacob

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Hormat Barat terhadap Islam
Berita Semasa,

Hilangnya deria hormat Barat terhadap Islam

DUNIA Barat kian hilang deria hormat terhadap Islam. Sentimen Islamofobia kerap berlaku walaupun agama Islam di sisi sirahnya terlalu banyak menabur budi kepada umat manusia.

Ini ekoran kejayaan penganjuran Piala Dunia FIFA 2022 oleh tuan rumah Qatar dari dunia Islam.

Piala Dunia kali ini membuka mata dunia tentang keindahan Islam yang universal, saling mengasihi sesama manusia serta tidak radikal seperti yang dipaparkan mereka. Bahkan lebih 500 orang memeluk Islam sepanjang acara itu berlangsung. Pengikut Islam semakin meningkat dan syiar suci ini terus menyinar.

Situasi tersebut seakan mengancam Barat yang seperti tidak senang dengan kebangkitan Islam seperti yang ditegaskan dalam surah al Imran, ayat 19:

“Sesungguhnya agama (yang diredai) disisi ALLAH hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang telah diberi al-Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barang siapa yang kafir terhadap ayat-ayat ALLAH maka sesungguhnya ALLAH sangat cepat hisab-NYA.”

Sebenarnya dunia Barat kebanyakannya melihat Islam sebagai ancaman kepada kemenjadian kegemilangan mereka sebagai kuasa dunia dalam pelbagai aspek.

Mereka juga lupa punca dari sentimen mereka (golongan kuffar) yang mencipta dogma pemikiran orang Islam sebagai penganut lemah hingga mudah dibuli.

Ini terbukti dengan berlakunya tindakan pelampau sayap-kanan Sweden-Denmark, membakar al-Quran di Stockholm. Amat menyedihkan lagi Rasmus Paludan, ketua Parti Stram Kurs telah mendapat kebenaran daripada kerajaan Sweden dan di bawah perlindungan polis untuk membakar senaskah al-Quran di luar Kedutaan Turkiye di sana.

Baca juga Biadapnya pemimpin Sweden bakar al-Quran, umat Islam wajib tegakkan kesucian kalam ALLAH SWT

Jangan membisu tatkala agama dipijak

Justeru, tindakan terbaik yang boleh dilakukan oleh orang Islam dalam mengekang gejala ini bukan membisu tatkala agama dipijak. Atau lebih sadis sanggup menjadi barua si penghina, kerana sesungguhnya mempertahankan agama ALLAH adalah suatu kewajipan.

Hormat Barat terhadap Islam

Sekitar himpunan bantahan bakar al-Quran di hadapan Kedutaan Sweden, Jalan Mayang Sari Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sejarah Islam telah menyaksikan akan apa yang telah dilakukan oleh para sahabat dalam mempertahankan Rasulullah SAW daripada dipermainkan oleh orang-orang kafir musyrikin seperti mana kata-kata Buya Hamka:

“Jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan.”

Tidak inginkah kita mencontohi para Sahabat? Adalah menjadi tanggung jawab seluruh Muslimin untuk menjaga agama ini seperti sabda Rasulullah SAW:

“Jagalah (agama) ALLAH, nescaya ALLAH akan menjagamu, jagalah (agama) ALLAH, nescaya ALLAH selalu bersamamu.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Baca juga Penguasa agama perlu lebih tegas pertahankan Islam agar tidak dipandang lemah

Bangunlah wahai Muslimin. Bersatu dan bertindak secara hikmah sebagaimana firman ALLAH:

” ….Tolaklah kejahatan yang ditunjukkan kepadamu dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah sahabat karibmu.” (Surah Fussilat, ayat 34).

Hakikatnya, Islam wajib dipertahankan walau nyawa jadi taruhan. Mulianya Islam kerana tidak pernah mengajar umatnya menghina agama lain, bahkan menyeru agar menyantuni sesiapa sahaja walau berbeza anutan.

***Artikel ditulis oleh Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia & Kaunselor Berdaftar Kementerian Wanita, Keluarga & Masyarakat, Prof Madya Dr Zaizul Ab Rahman