Browsing Tag

bahaya riak

Untitled design (18)
Gaya Hidup,

Bahaya Sifat Riak, Pendakwah Ini terangkan Betapa Mudarat Sifat Ini Jika Tidak Ditangani

no comment

RIAK merupakan salah satu daripada penyakit hati. Ia boleh wujud dalam diri sesiapa sahaja jika tidak dikawal dengan iman.

Sifat riak amat berbahaya kerana ia boleh mengakibatkan amalan ibadat kita menjadi tidak bernilai di sisi ALLAH SWT.

Pendakwah, Dr Mohd Faisol Ibrahim berpandangan, ramai yang tidak menyedari kadang-kadang perbuatan dan percakapan serta ibadah sedikit sebanyak terselit dengan unsur-unsur riak.

“Riak bermaksud melakukan sesuatu perkara dengan tujuan mendapat perhatian dan pujian daripada orang lain. Dalam erti kata lain riak ini merupakan amalan yang dilakukan secara tidak ikhlas.

“Sebagai contoh seseorang yang sengaja berzikir secara kuat bagi menunjukkan dirinya sedang khusyuk berzikir. Begitu juga seseorang yang sengaja sujud begitu lama bagi menunjukkan kepada jemaah lain bahawa dia seorang yang khusyuk di dalam sembahyang,” katanya kepada SI+.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut memetik pernyataan daripada Mahmud bin Labid memberitahu bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah syirik yang kecil.” Para sahabat bertanya: “Apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah.” Nabi Muhammad SAW menjawab: “Itulah Riya’. ALLAH SWT akan befirman pada hari kiamat kelak: “Pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalam kamu).” (Hadis Riwayat Ahmad)

“Pernah juga berlaku suatu peristiwa di zaman Saidina Umar ketika beliau masuk ke dalam Masjid Nabawi. Dia melihat seorang sahabat Muadz bin Jabal sedang menangis teresak-esak di makam Rasulullah SAW. Saat ditanya sebab tangisannya, Muadz menjawab, “Aku menangis sebab aku takut kepada riak kerana ia sebahagian daripada syirik,” kongsi agamawan itu lagi.

Dr Mohd Faisol berkata, antara perkara yang paling dirisaukan sekarang adalah jika perasaan riak itu datang bersama-sama dengan takabbur dan ujub.

“Takabbur bermaksud sombong dan bangga diri dan mengganggap orang lain adalah lemah, bodoh, tidak cerdik, tidak mulia dan tidak baik. Manakala ujub pula perasaan bangga dengan kelebihan yang ada pada diri sendiri dan keluarga.

 

Perasaan riak akan mendatangkan kesan negatif kepada kehidupan.

“Jadi perbuatan riak ini amat berbahaya dan jika tidak ditangani dengan iman dan takwa boleh menyebabkan riak ini menjadi virus yang boleh menyebabkan amalan seseorang tidak diterima dan ditolak oleh ALLAH SWT bukan sahaja di dunia tetapi juga di hari akhirat,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut berkongsi doa ketika menerima pujian, ucapkan “alhamdulillah, haza min Rabbi” (segala pujian bagi ALLAH SWT, Ini semua daripada ALLAH SWT).

“Ketiga-tiga penyakit hati ini perlu diubati dengan terapi yang terbaik kerana ia mampu mempengaruhi corak kehidupan di dunia dan akhirat.

“Zaman yang semakin mencabar dengan teknologi canggih dan kemudahan internet yang senang diperolehi boleh menyebabkan ketiga-tiga penyakit hati ini semakin membarah dalam masyarakat dan diri,” katanya.

Justeru, beliau berkata, ia perlu diubati segera demi melahirkan masyarakat yang madani di negara ini.

“Terdapat beberapa cara untuk kita melawan penyakit hati ini iaitu pertama kita perlu tahu ALLAH SWT adalah MAHA MENGETAHUI dan MAHA MELIHAT, sedangkan kita hanya khalifah yang diamanahkan untuk beribadah sebaik mungkin kepada-NYA.

“Kedua, kita perlu elak dan ingat bahawa riak, takabur dan ujub ini adalah sifat Iblis menerusi kisah ALLAH SWT ciptakan Nabi Adam AS).

“Cara ketiga adalah kita perlu ingat bahawa adanya alam lain selepas dunia ini iaitu alam barzakh dan alam akhirat yang kekal abadi,” akhirnya.