Browsing Tag

bahasa isyarat

indonesia hafal al-quran guna bahasa isyarat
Antarabangsa, Berita Semasa,

Pelajar kurang pendengaran di Indonesia hafal al-Quran guna bahasa isyarat

GARA-gara bimbang terhadap pelajar dengan masalah pendengaran yang sukar mendapat akses kepada pendidikan Islam, seorang warga Indonesia Abdul Kahfi telah mengasaskan sekolah pondok khas untuk golongan tersebut mempelajari al-Quran menerusi bahasa isyarat.

Ditubuhkan pada tahun 2019 di Yogyakarta, Jawa Tengah, Sekolah Agama Darul A’shom terdiri daripada 12 tenaga pengajar serta 115 pelajar berumur antara 7 hingga 28 tahun dari seluruh kepulauan itu.

Seperti yang dilaporkan Arab News, Abdul Kahfi berharap dengan adanya sekolah seperti Darul A’shom, generasi akan datang akan lebih mudah untuk mempelajari agama Islam.

“Ramai orang dewasa dengan masalah pendengaran kini tidak mempunyai pengetahuan mendalam terhadap agama kerana mereka tidak pernah belajar mengenainya pada zaman persekolahan dahulu,” kata ulama itu.

Baca juga Gunakan ‘bahasa kasih sayang’ sebarkan Islam, pendekatan unik imam di Turkiye

Di Indonesia, pengajaran agama yang disediakan oleh sekolah awam kepada kanak-kanak dengan keperluan khas sangat terhad dan hanya bermula ketika mereka berusia lapan atau sembilan tahun. Hal ini berbeza dengan pelajar biasa lain yang mula mendapat pendidikan Islam seawal peringkat tadika.

Selain itu, hasil tinjauan oleh agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendapati hanya tiga daripada 10 kanak-kanak kurang upaya di Indonesia yang mampu bersekolah.

indonesia hafal al-quran guna bahasa isyarat

KEWUJUDAN pusat pengajian seperti Darul A’shom memberi peluang kepada individu kurang pendengaran untuk mendalami ilmu agama.

Di Darul A’shom, pelajar biasanya mengambil masa kira-kira lima tahun untuk belajar mengaji dan menghafaz al-Quran.

Berbanding orang biasa yang boleh menghafal suku kata untuk membaca teks al-Quran dengan kuat, individu yang cacat pendengaran perlu mengingati setiap isyarat tunggal bagi kesemua 30 juzuk ayat kitab suci itu.

Baca juga Warga Indonesia berbasikal 5000 km untuk tunaikan haji

Muhamad Rafa, 13 tahun yang sudah dua tahun belajar di sekolah itu, menggunakan isyarat jarinya untuk tanda bacaan berbeza bagi menghafal ayat al-Quran di hadapannya.

“Saya amat gembira bersekolah di sini. Di rumah sangat sunyi, tiada siapa untuk bercakap kerana saya sahaja yang pekak, semua orang normal,” kata Rafa, yang sudah menghafal sembilan juzuk al-Quran, kepada wartawan AFP melalui jurubahasa.

Baca juga Pemuda Mesir khatam al-Quran dalam masa 7 jam

Selain ilmu al-Quran, pelajar juga diajarkan undang-undang Islam, matematik, sains dan bahasa asing supaya mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Dalam masa sama, pihak sekolah juga berdepan cabaran untuk meningkatkan keyakinan pelajar sebagai anggota masyarakat yang bermasalah pendengaran.

indonesia hafal al-quran guna bahasa isyarat

DARUL A’shom juga menawarkan pendidikan selain agama seperti ilmu matematik dan sains.

“Dahulu, anak saya mengalami masalah keyakinan diri kerana dia tahu dia berbeza. Sejak dia bersekolah di sini, rasa malu untuk berdepan dengan orang ramai sudah berkurang. Dia beritahu saya, TUHAN menjadikan dia seperti ini dan dia menerima seadanya,” kata Zainal Arifin, ayah kepada Arfi yang merupakan salah seorang pelajar di situ.

Baca juga Gaza disekat bukan penghalang bagi pereka fesyen Palestin ini

Indonesia mempunyai banyak pondok pesantren dan sekolah agama. Adakalanya, sekolah jenis agama menjadi satu-satunya jalan bagi anak-anak daripada keluarga miskin mendapatkan pendidikan.

Sehubungan itu, bagi pelajar yang tidak mampu untuk membayar yuran sekolah sebanyak 1 juta rupiah atau kira-kira RM302.00, mereka ditawarkan belajar secara percuma hasil wang derma atas inisiatif Abu Kahfi.

Pelajar kurang pendengaran di Indonesia hafal al-Quran guna bahasa isyarat

Foto dan sumber: Arab News & RTM