Browsing Tag

bahasa Arab

Nahu ringkas
Berita Semasa, Dalam Negara,

Kaedah Nahu Ringkas hilangkan kegusaran belajar bahasa Arab dan al-Quran

YAYASAN Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama Akademi Al-Quran Al-Bayan menganjurkan Bengkel Kaedah Nahu Ringkas (Bahasa Arab al-Quran) di Kumpulan Karangkraf pada awal Disember lalu.

Seramai 35 peserta daripada ahli Rumah Ngaji di seluruh negara dan warga kerja WUIF menyertai bengkel untuk mempelajari cara mudah belajar serta menterjemah bahasa Arab al-Quran agar mesej umumnya dapat diterima secara langsung.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program empat hari (20 jam) itu memberi pendedahan untuk memahami al-Quran melalui Kaedah Nahu Ringkas yang dibangunkan oleh Akademi Al-Quran Al-Bayan.

Ia selari dengan kempen #QuranHour melalui baca, faham dan amal di bawah WUIF dalam membawa misi MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah.

Baca juga My #QuranTime 2.0 bakal menemui penonton mulai Rabu depan, ada 2,111 episod kesemuanya

“Surah al-Insan sebagai surah pilihan sepanjang kempen #QuranHour pada 2023, termasuk World #QuranHour, Arafah #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan World #QuranConvention menjadi bahan latihan bengkel tersebut.

“Dengan memahami isi kandungan surah tersebut, ia mengajak orang ramai untuk memanusiakan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

“Bengkel Kaedah Nahu Ringkas yang pertama kali diadakan di bawah WUIF memberi pendekatan untuk mengenali bahasa Arab al-Quran yang lazim dibaca untuk difahami,” katanya.

Mengupaya masyarakat

Sementara itu Mudirah, Nahuringkas. com, Norhaida Kasim berkata, Akademi Al-Quran Al-Bayan membangunkan modul Kaedah Nahu Ringkas untuk belajar bahasa Arab dengan tujuan mengupaya masyarakat Islam dengan kemahiran asas nahu bahasa Arab.

NORHAIDA

Kemahiran yang diperoleh dari bengkel tersebut, ujarnya, dapat menghilangkan kegusaran dan ketakutan belajar bahasa Arab.

Menurut Norhaida lagi, ALLAH pilih bahasa Arab untuk belajar dan memahami ayat al-Quran.

Justeru, ia memerlukan akal untuk menggali isi kandungan al-Quran.

Baca juga Jangan malu merangkak-rangkak baca al-Quran, insya-ALLAH dapat dua ganjaran pahala

“Untuk memahami kalam ALLAH, kita perlu tetapkan niat untuk belajar. Ia merupakan satu kewajiban agar ada kefahaman untuk mentadabbur al-Quran”, jelasnya.

ALLAH SWT berfirman: “Kitab (al- Quran) yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang berakal sihat mendapat pengajaran.” (Surah Sad, ayat 29)

ALLAH SWT berfirman: “Dan sungguh, telah Kami mudahkan al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pengajaran.” (Surah Al-Qamar, ayat 17)

Beliau memetik kata-kata Saidina Umar al-Khatab: “Pelajarilah bahasa Arab, sesungguhnya ia adalah sebahagian daripada agama kamu.”

Ia menunjukkan belum sempurna orang Islam tanpa mempelajari dan memahami bahasa Arab al-Quran.

“Akademi yang ditubuhkan bersama rakan kongsi, Shaziman Mohamad dan Zolkapli Ibrahim ini turut berusaha membangunkan mushaf per-kata yang disertakan dengan panduan i’rab serta saraf bahasa Arab.

“Disebabkan usaha tersebut, kami terdorong menghasilkan modul Nahu Ringkas ini.

Nahu ringkas

FASILITATOR membimbing peserta membuat latihan nahu ringkas.

“Hasil usaha bersama Munsyi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Zauwiyah Abd Shukur, kami membuat terjemahan mengikut kaedah nahu yang ringkas, padat dan berstruktur. Dengan izin ALLAH, kaedah tersebut berkesan untuk semua peringkat umur,” katanya.

***Artikel ditulis oleh Fouziah Amir daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas