Browsing Tag

Bahagiakan anak yatim

Bahagiakan anak yatim
Isu,

Bahagiakan anak yatim, ALLAH janjikan imbalan bukan calang-calang kepada penjaganya

KETIKA melanjutkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi sekitar 15 tahun lalu, rakan penulis kerap kali memberi pinjam bukunya kepada seorang kenalannya. Kadangkala jika memerlukan rujukan tersebut, beliau sendiri terpaksa meminjamnya daripada sahabat yang lain pula.

Pada mulanya, penulis sendiri tidak faham mengapa dirinya sanggup bersusah payah sedemikian. Pertanyaan demi pertanyaan akhirnya terbongkarlah bahawa kenalan yang selama ini dibantunya tadi rupa-rupanya ialah anak yatim.

Menurut kisah yang diceritakan oleh rakan penulis, mahasiswi tersebut orang susah. Dirinya merupakan anak ketujuh daripada 11 beradik. Walaupun kehidupannya dihimpit kesusahan selepas bapanya meninggal dunia pada usianya 10 tahun, semangat beliau begitu kuat untuk menggali ilmu walaupun berdepan dengan kesulitan dari segi kewangan.

“Saya anak yatim dan bukan orang senang. Cukuplah kami susah sekarang dan keluarga disisihkan adik beradik emak dan ayah yang lain. Mungkin kerana ahli keluarga kami yang rapat dan miskin. Yang penting, saya kena belajar rajin-rajin dan pandai untuk keluar daripada kesusahan ini.”

Begitulah petikan ungkapannya yang meruntun jiwa rakan penulis. Beliau menyambung pelajaran dengan bantuan pusat zakat. Alhamdulillah, berkat kesungguhannya yang tidak pernah padam, wanita tersebut kini bergelar usahawan berjaya. Malah, beliau juga sudah mampu membayar zakat pendapatan dan perniagaan sendiri.

Kisah itu benar-benar menjentik hati penulis. Bayangkan pada saat kaum kerabat menyisihkan keluarganya, ada insan lain yang sudi menghulur bantuan.

Ya, memang itulah yang dianjurkan dalam agama Islam supaya kita memuliakan anak yatim. Apakah hak mereka yang perlu dipenuhi? Siapakah yang bertanggungjawab memelihara anak yang kehilangan orang tua?

Definisi anak yatim

Sinar Islam Plus menghubungi pendakwah Datuk Hassan Mahmud al-Hafiz untuk berbicara lanjut mengenai topik berkenaan.

HASSAN MAHMUD

Beliau kemudian mengajak kita mendasari maksud sebenar anak yatim. Islam mendefinisikannya sebagai anak yang kematian bapa ketika belum sampai usia baligh.

Ia sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada keyatiman setelah baligh.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Baca juga Jangan beza-bezakan anak yatim, berdosa sakiti mereka

“Dari segi tanggungjawab terhadap mereka pula, selagi anak itu masih berada di bawah tanggungan ibu bapa dalam memberikan tempat tinggal, makanan, nafkah, pelajaran, keselamatan dan seumpamanya, mereka masih digelar sebagai anak yatim.

“Andai sudah dewasa, tamat pengajian dan mampu menanggung dirinya sendiri, ia sudah tidak lagi dikategorikan sebagai anak yatim,” jelasnya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Agamawan itu turut memberi peringatan tegas agar umat Islam tidak sesekali menyakiti insan istimewa yang diuji kehilangan orang tuanya pada usia kecil.

Firman ALLAH SWT: “Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya.” (Surah ad-Dhuha, ayat 9)

“Berdasarkan kalamullah tersebut, jelaslah kita tidak boleh berbuat tidak baik kepada mereka dan jangan menyisihkan golongan berkenaan. Bukan mereka mahu semua itu terjadi, tetapi sudah begitu suratan takdir yang ditetapkan oleh ALLAH SWT.

“Apa pun, kita sebagai insan yang masih hidup di dunia ini dan dikurniakan segala macam kurniaan, janganlah membeza-bezakan anak yatim dengan orang lain.

“Jika mampu, jadikanlah anak yatim itu sebagai anak angkat kita. Ketahuilah, rumah yang ada memelihara kelompok tersebut akan diberkati oleh ALLAH SWT, selain manfaat dan meraih rezeki sebagaimana yang dijanjikan oleh-NYA,” ungkapnya.

Bahagiakan anak yatim

GEMBIRAKAN hati anak yatim dengan melakukan perkara yang disukainya dan jangan sesekali menyakiti mereka walaupun hanya dengan kata-kata yang mengguris perasaan.

Layanan baik

Melihat semua imbalan yang dijanjikan itu, Hassan Mahmud menjelaskan, maka tidak hairanlah mengapa umat pada masa Nabi Muhammad SAW dahulu berlumba-lumba memelihara anak yang sudah kematian bapa atau kedua-dua orang tua mereka.

Malah, katanya, Rasulullah SAW sendiri pun memelihara anak yatim dan menjadikan mereka sebagai anak angkatnya. Antaranya Zaid bin Tsabit dan Zaid bin Harithah yang semuanya dilayan bagaikan anak sendiri.

“Seperkara yang perlu diingati, seandainya dalam kampung kita ada anak yatim yang tidak makan, menangis, tidak dapat pembelaan dan seumpamanya, maka dosanya kita juga yang akan menanggungnya.

“Sebab itulah Khalifah Umar bin al-Khattab dulu begitu mengambil berat hal ehwal rakyatnya sehinggakan beliau berjalan sampai ke satu rumah. Di kediaman tersebut, beliau melihat sendiri bagaimana si ibu terpaksa memasak batu bagi mengaburkan mata anak-anaknya yang sedang kelaparan sehingga mereka tertidur.

“Tanpa berlengah lagi, Umar kemudian pulang ke rumahnya dan memikul sendiri gandum untuk dibawa ke rumah tersebut,” katanya mengimbas tentang tanggungjawab terhadap anak yatim.

Baca juga Nafkah anak yatim bukan tanggungjawab utama ibu, tapi…

Senada dalam hal itu ialah Pegawai Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Panji Alam Mazhisham.

PANJI ALAM

Dalam ajaran Islam, jelas beliau, anak yatim mendapat perhatian khusus melebihi seorang anak yang masih memiliki kedua-dua orang tuanya.

“Agama suci ini memerintahkan umat Islam untuk senantiasa memerhatikan nasib mereka, berbuat baik, mengurus dan mengasuh mereka sehingga dewasa.

“Bayangkan perasaan anak yang ditinggalkan tanpa bapa dan ibu kandungnya. Pasti akan tergoncang jiwa mereka akibat kehilangan insan yang paling dekat dalam hidupnya. Masakan tidak, ibu bapalah yang selama ini menyayangi, memerhatikan, menjadi penghibur dan penasihat mereka.

“Maka barang siapa yang membahagiakan dan memenuhi hak anak-anak yatim itu, agama Islam memberi nilai yang sangat istimewa ke atas mereka,” katanya.

Ganjaran

Secara asasnya, Panji Alam menjelaskan, individu yang berhak mengambil alih pengurusan harta anak-anak yatim ialah mereka yang telah diwasiatkan oleh bapa kandungnya. Ia tidak kiralah sama ada terdiri daripada kaum kerabatnya otau orang lain.

Andai bapanya tidak sempat membuat wasiat, maka tanggungjawab itu jatuh kepada datuk sebelah ayah iaitu bapa kepada si mati, terangnya.

Bahagiakan anak yatim

BERILAH pendidikan terbaik dan sempurna kepada anak yatim agar mereka tidak rasa terasing.

“Agama Islam telah menggariskan bahawa waris keluarga terdekat sebelah ayah harus pikul tanggungjawab ini iaitu datuk, ayah kepada datuknya atau bapa saudaranya.

“Jika tiada waris keluarga terdekat, maka tanggungjawab itu diserahkan kepada ibunya dan ahli keluarga sebelah ibu anak-anak yatim tersebut.

“Seandainya waris diberi tanggungjawab menjaga dan mengurus harta anak yatim, pastikan semuanya dilakukan dengan dokumentasi bagi mengelak masalah berbangkit selain memastikan keperluan mereka dipenuhi,” ungkapnya.

Sesungguhnya, amanah yang dipikul oleh penjaga anak yatim bukan mudah, namun ALLAH SWT menjanjikan balasan bukan calang-calang kepada kelompok berkenaan, terangnya.

Umpamanya, penceramah itu menjelaskan, ALLAH SWT akan menghindarkan seksaan di akhirat kepada orang yang menyayangi dan menjaga anak yatim. Malah, mereka juga akan dimasukkan ke dalam syurga bersama junjungan besar, Nabi Muhammad SAW.

Daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Aku dan orang yang menjaga anak yatim seperti ini di dalam syurga. Baginda SAW mengisyaratkan dengan merapatkan dua jari baginda SAW iaitu jari telunjuk dan jari tengah.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Panji Alam kemudian menukilkan pandangan Syeikh Muhammad Fu’ad Abd al-Baqi RA ketika menjelaskan makna hadis berkenaan iaitu: “Yang dimaksudkan dengan orang yang menjaga anak yatim ialah orang yang menjalankan perkara-perkara melibatkan perihal anak yatim tersebut seperti nafkahnya, pakaiannya, mengajarnya adab-adab, mentarbiahnya dan lain-lain lagi. Kelebihan ini akan diperolehi bagi setiap orang yang menjaga anak-anak yatim ini dengan menggunakan harta mereka sendiri atau dengan menggunakan harta anak yatim tersebut dengan wilayah penjagaan.”

Bukan itu sahaja, ujar pegawai hal ehwal Islam itu lagi, individu berkenaan juga akan dimuliakan dan dilapangkan rezeki, di samping dilipatgandakan pahalanya.

Bahagiakan anak yatim

DIDIKLAH anak yatim sebagaimana anak kita sendiri dan jangan sesekali membeza-bezakan mereka.

“Sekalipun kebaikan yang dilakukan terhadap anak yatim tadi sebesar zarah, mereka tetap akan mendapat pahala yang besar.

“Lebih istimewa lagi apabila kelompok ini dikurniakan kenikmatan untuk minum dari mata air syurga. Itulah janji ALLAH SWT kepada mereka yang berbuat baik kepada anak yatim dengan hati yang tulus,” ungkapnya.

ANEKDOT

HAK-HAK anak yatim

1. Dididik dan diberi makan.

Firman ALLAH SWT: “Tahukah kamu individu yang mendustakan Agama, itulah individu yang menghardik seorang anak yatim piatu, dan tidak memberi makan kepada individu miskin.” (Surah al-Ma’un, ayat 1-3)

2. Diperlakukan dengan baik.

ALLAH SWT berfirman: “Maka terhadap seorang anak yatim piatu janganlah engkau berlaku sewenang-wenang. Dan terhadap pengemis janganlah mengherdik”. (Surah ad-Dhuha, ayat 9-10)

3. Mendapatkan kecukupan segala keperluan.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang memberi makan dan minum individu seorang anak yatim di antara kaum muslimin, maka ALLAH akan memasukkannya kedalam syurga, kecuali dia melakukan satu dosa yang tidak diampuni.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Bahagiakan anak yatim

JIKA diberi tanggungjawab menguruskan harta anak yatim, jalankanlah amanah dengan sebaiknya.

4. Diberi kasih sayang.

Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah RA: “Bahawa lelaki mengadu kepada Nabi Muhammad SAW akan hatinya yang keras, lalu baginda bersabda: “Usaplah kepala seorang anak yatim dan berilah makan individu miskin.”

5. Hak dalam perihal harta.

Hak yang dimaksudkan tersebut iaitu larangan untuk membelanjakan harta yang ia miliki di luar tujuan kemaslahatannya.

Ia bertepatan dengan firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu dekati harta seorang anak yatim piatu, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, hingga sampai ia dewasa.” (Surah al-An’am, ayat 152)

6. Hak dijauhkan daripada kezaliman.

Larangan menganiaya dan berbuat zalim terhadap yatim dalam apa juga bentuk sama ada dari segi ucapan mahupun perbuatan.

7. Mendapat perlindungan.

Hak mereka untuk mendapatkan kehidupan yang layak meliputi perlindungan dan pendidikan.

Dalam Surah al-Insan, ayat 8, ALLAH SWT menegaskan pentingnya memberi makan kepada seorang anak yatim. Demikian juga, seruan untuk melindungi mereka seperti termaktub dalam Surah ad-Dhuha, ayat 6.

Bahagiakan anak yatim


MENJADI tanggungjawab untuk setiap Muslim mengambil berat dan membela nasib anak-anak yatim terutama yang tinggal berhampiran dengan kejiranan mereka.

8. Hak warisan.

Bahagian harta waris yang diterima tersebut wajib dijaga oleh pengasuh atau orang yang menjaga harta anak yatim. Harta berkenaan harus dikembalikan apabila mereka dewasa kelak.

9. Hak diberi kebaikan.

Hak yang mesti diterima oleh anak yatim adalah perlakuan baik. Seorang anak yatim merupakan ladang untuk menuai kebaikan. Maka, sepatutnya mereka terhindar dari segala bentuk sikap dan perbuatan keji yang ditujukan untuk mereka.

Sumber: Pegawai Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Panji Alam Mazhisham

Foto: Pexels & 123rf