Browsing Tag

Bagi duit kepada ibu bapa

Berita Semasa,

Anak bagi duit, tapi tak ziarah ibu bapa, macam mana tu… 

SEBAIK sahaja seorang anak itu sudah dewasa dan mampu bekerja, kehidupannya berubah sama sekali. Masanya banyak dihabiskan di tempat kerja.

Begitu juga bagi mereka yang sudah berkahwin. Keutamaan diberikan kepada suami atau isteri dan rumah tangga yang dibina.

Begitupun, ia bukanlah alasan untuk kita terus melupakan kedua ibu bapa yang telah penat lelah menjaga kita sejak kecil hinggalah kita berumah tangga.

Paling tidak pun, ziarah dan bertanya khabar kedua orang tua kita sementara mereka masih ada.

Bagaimanapun, segelintir orang menganggap cukup sekadar memberikan wang belanja kepada kedua ibu bapa masing-masing dan jarang-jarang menziarahi mereka.

Apakah cukup sekadar berbuat demikian? Apa pandangan agama tentang perkara ini?

Pendakwah terkemuka, Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid menjelaskan, memberi wang belanja kepada orang tua yang ditanggung oleh seorang anak memang wajib dari segi hukumnya.

Begitu juga dengan berbuat ihsan kepadanya kedua-duanya. Hukumnya juga adalah wajib, terang beliau.

“Bilamana dia (anak) tidak menziarahi orang  tuanya kerana geram kepada orang tuanya, di sini dia sudah derhaka kepada orang tua.

“Sejahat-jahatnya orang tua, tetap mempunyai hak untuk kita hormat kepadanya,” jelas beliau dipetik menerusi video di Instagram miliknya baru-baru ini.

Habib Ali Zaenal Abidin menegaskan, batasan seorang anak terhadap ibu bapanya hanya apabila kedua orang tua meminta mereka melakukan maksiat atau kemungkaran.

“Maka, di sini (suruhan berbuat mungkar dan maksiat) jangan taat. Dalam al-Quran ada menyebut bahawa jika kedua orang tua menyuruh kita berbuat maksiat, janganlah taat.

“Namun, tetaplah berbuat baik kepada kedua mereka. Walaupun tidak taat kepada orang tua yang menyuruh berbuat maksiat, tetap hormat (mereka).

“(Ketahuilah) Kedudukan orang tua adalah pintu bagi anak menuju syurga atau neraka,” jelas beliau.

Bagi duit kepada ibu bapa

ZIARAHILAH ibu bapa dan sentiasa bertanyakan khabar mereka serta menunaikan kewajipan kita sebagai seorang anak selagi masih hidup.

Seperkara lagi, andai ibu bapa pernah berbuat salah kepada kita, Habib Ali Zaenal Abidin menasihatkan agar kita memaafkan mereka.

Terangnya lagi, dalam al-Quran, ALLAH meletakkan berbuat baik kepada ibu bapa (jatuh) setelah perintah menyembah ALLAH. Bermakna ia adalah satu perintah yang berat.

“Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sudah sampai ke usia tua, janganlah kamu mengatakan ah atau mengherdik mereka.

(Artikel berkaitan: Syurga di bawah telapak kaki ibu… Berbaktilah kepada mereka selagi hayat dikandung badan)

“Mengatakan ah saja tidak boleh, apatah lagi memaki, tak menziarahi, nak geram dan seumpamanya.

“Begitu juga jika kita menunjukkan muka kurang senang dengan kedua orang tua, itu juga sudah tidak boleh, apatah lagi dengan kata-kata, apalagi tak mahu memaafkan.

“Kalau orang tua salah macam mana? Wajib anak memaafkan (mereka). Kalau bukan kerana orang tua, macam mana adanya anak? Apa yang diperoleh oleh anak semuanya kalau bukan kerana sebab orang tuanya, macam mana dia nak mendapat nikmat?,” jelas beliau.

Justeru, hargailah kedua ibu bapa kita selagi mereka masih bersama kita. Ingatlah, tanpa mereka, tiadalah kita di dunia ini.

Sumber: Instagram habibalizaenalalhamid

Foto: Freepik & 123rf