Browsing Tag

Baca rukun qauli dalam hati

Solat jamak dan qasar
Isu, Pilihan Editor,

Tak Sah Solat Bila Baca Rukun Qauli Dalam Hati? Ini Penjelasannya

no comment

SEMUA umat Islam maklum tentang kewajipan solat. Masakan tidak, ia adalah hak ALLAH SWT yang wajib dipenuhi oleh setiap hamba kepada Sang Pencipta.

Bahkan, solat juga menjadi perkara pertama yang akan dihitung pada hari kiamat kelak.

Bercakap tentang Rukun Islam kedua ini, memang ramai yang cakna tentang waktu dan pergerakan dalam solat. Begitupun, dalam bab rukun-rukun solat pula, walaupun nampak mudah, namun usah sesekali kita memandang enteng tentangnya.

Lebih-lebih lagi apabila melibatkan rukun qauli dalam solat. Ketahuilah bahawa ia antara penentu kesahan solat seseorang, bukan sekadar tempat, diri dan pakaian solat yang digunakan suci daripada najis semata-mata.

Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, rukun-rukun qauli wajib dilafazkan sehingga ia didengari sendiri oleh telinga si pembacanya.

DR SYED SHAHRIDZAN

 

“Ia tidak memadai dengan hanya menggerakkan lidah tanpa suara atau membaca di dalam hati,” tegasnya.

Sebagaimana dirakam di dalam Kitab Taqrirat Sadidah yang berbunyi: “Rukun-rukun qauli ada lima. Ia dinamakan sebegitu kerana disyaratkan ke atas orang yang mengerjakan solat melafazkannya yang mana memperdengarkan dirinya sendiri dan ia (rukun qauli) adalah takbiratulihram, al-Fatihah, tasyahud (tahiyat) akhir, selawat ke atas Nabi SAW dan salam.”

Melihat ungkapan tersebut, jelas agamawan itu, seandainya kita tidak menepati syarat yang disebutkan, maka tidak sah solat yang dikerjakan.

“Begitu juga dengan bacaan-bacaan sunat seperti takbir intiqal (perpindahan) dan tasbih. Tidak diganjari pahala melainkan tuan punya badan membacanya dengan lafaz yang didengari oleh diri sendiri.

“Fakta ini ada dinyatakan dengan jelas oleh Imam Nawawi dalam Kitab al-Majmu’,” katanya dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Ujar Dr Syed Shahridzan, Imam Nawawi menjelaskan bahawa keuzuran memperdengar lafaz tersebut kepada diri sendiri hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan deria.

Baca rukun qauli dalam hati

“Sebagai contoh, individu yang mengalami cacat pendengaran, bisu dan ada halangan seperti keadaan sekeliling yang bising sama ada bunyi yang datang daripada manusia atau yang lain seperti kipas atau kenderaan.

“Meskipun wujud keuzuran yang menghalang itu, seseorang itu tetap juga (perlu) berusaha membaca dengan kadar yang mengeluarkan suara walaupun tidak dapat didengari oleh telinganya. Pendek kata, tidak cukup hanya sekadar membaca di dalam hati,” ungkapnya.

Adapun bagi kes wanita hamil yang mengalami masalah air liur yang banyak dan kesukaran untuk menelannya disebabkan loya, pendakwah itu menegaskan, golongan itu tidak mempunyai keuzuran sebagaimana dijelaskan tadi sehingga menghalang mereka memperdengarkan bacaan kepada diri sendiri.

Cuma situasi yang tidak selesa menyebabkan wanita tersebut sukar untuk membaca rukun-rukun qauli, jelasnya.

“Cara terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah dengan mengerjakan solat sambil memegang kain atau tuala kecil pada tangan.

“Apabila air liur yang berlebihan keluar, maka sapulah pada mulutnya sebelum meneruskan bacaan dalam solat.

“Ketahuilah bahawa pergerakan tangan menyapu air liur itu tidak membatalkan solat kerana ia dikategorikan sebagai pergerakan yang sedikit.

“Tidak perlu dirisaukan keadaan dirinya yang mengerjakan solat sambil memegang tuala/kain yang berlumuran air liur atau kahak (jika ada) kerana ia tidak termasuk dalam kategori najis,” terangnya.