Browsing Tag

Baca al-Quran sebelum tidur

Hukum, Soal Jawab Agama,

Baca al-Quran sebelum tidur tanpa menutup aurat, ini hukumnya yang wajib kita tahu

SEBELUM melelapkan mata untuk tidur, ramai yang akan melazimkan bacaan tiga Qul dan ayat Kursi, selain membaca doa tidur saban hari tanpa gagal. Malah, ada juga yang tidak melepaskan peluang untuk membaca surah-surah lain yang begitu banyak manfaatnya kepada diri seperti Surah al-Mulk dan as-Sajadah.

Maklum sahajalah, kita sudah terbiasa melakukan sedemikian sejak dari kecil lagi. Malah, amalan itu turut ‘diturunkan’ kepada anak-anak masing-masing.

Jika namanya pun hendak tidur, sudah tentulah pakaian yang dipakai sebelum itu tidak cukup sempurna. Pendek kata, ada aurat yang terdedah dan tidak ditutup dengan elok.

Malah, ada yang sudah siap sedia baring di atas katil lagi, tetapi tidak lupa untuk menadah tangan membaca doa dan bait-bait kalamullah tadi.

Dari segi hukumnya pula bagaimana? Ini kerana ayat yang kita bacakan sebelum tidur kebanyakannya datang daripada al-Quran.

Menjawab persoalan tersebut, pendakwah Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, membaca ayat-ayat al-Quran paling afdal sudah tentulah dalam keadaan yang menutup aurat.

MUHAMMAD FAHMI

“Meskipun begitu, sekiranya seseorang membaca al-Quran dalam keadaan auratnya terdedah, maka tiada masalah padanya.

“Ini kerana menutup aurat tidak termasuk dalam syarat semasa membaca al-Quran. Sebaliknya, ia termasuk dalam bahagian akhlak, adab dan memuliakan syiar ALLAH SWT,” katanya menjawab soalan warganet menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

Baca juga Baca ayat al-Quran atas katil atau sambil berbaring, adakah dikira tidak beradab?

Dalam perihal membaca al-Quran dalam keadaan berbaring atau di atas katil, ia dihukumkan harus sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #1708: Hukum Membaca Al-Quran Dalam Keadaan Berbaring yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Baca al-Quran sebelum tidur

SEBELUM tidur, jangan lupa membaca doa dan melazimkan diri membaca tiga qul serta ayat Kursi bagi memohon perlindungan ALLAH SWT daripada sebarang kejahatan.

ALLAH SWT berfirman: “(Golongan ulul albab) adalah mereka yang sentiasa mengingati ALLAH dalam keadaan berdiri, duduk, di atas lambung mereka (pembaringan), serta mereka berfikir tentang penciptaan langit-langit dan juga bumi, (lalu mereka berkata) wahai Tuhan kamu, tidakkah KAU menciptakan (kesemua) ini secara batil (sia-sia), maha suci kamu (dari perkara tersebut), maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 191)

Imam al-Nawawi berhujah menggunakan ayat tersebut sebagai dalil menyatakan pandangan yang mengharuskan pembacaan al-Quran dalam keadaan berdiri, berbaring ataupun di atas katil.

Jelas ulama berkenaan: “Sekiranya seseorang itu membaca al-Quran dalam keadaan berdiri, berbaring, di atas katilnya atau keadaan-keadaan selainnya, makai a diharuskan (dibolehkah) dan dia mendapat pahala.” (al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran, al-Nawawi (Hlm. 80))

Baca juga Ini sebenarnya 10 cara Rasulullah amalkan sebelum, ketika dan selepas tidur

Pun begitu, keadaan paling sempurna ketika membaca al-Quran adalah apabila seseorang itu berada dalam keadaan duduk dengan penuh khusyuk dan tenang, selain menundukkan kepalanya menghadap ke arah mushaf dan duduk penuh adab sebagaimana kita duduk di hadapan para guru.

Foto: 123rf & Freepik