Browsing Tag

ayah kandung

Bapa
Isu, Pilihan Editor,

Haram Bin Atau Bintikan Anak Angkat Kepada Nama Bapa Angkat

no comment

BARU-BARU ini, tular kes tertukar bayi yang dilahirkan 20 tahun lalu. Cerita itu mendapat liputas meluas dan perhatian ramai pihak.

Masakan tidak, kes-kes seperti itu jarang-jarang sekali kita dengari. Namun, ia melibatkan kes yang berat kerana dipercayai melibatkan kecuaian petugas kesihatan di sebuah hospital dua dekad lalu.

Apatah lagi, isu itu melibatkan nasab kepada anak tersebut. Mujur sahaja anak tadi masih belum berkahwin. Ternyata kuasa dan takdir ALLAH SWT mempertemukan mereka dengan keluarga kandung masing-masing.

Kepada Bernama, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad sudah pun memberikan penjelasan tentang nama anak tadi yang perlu dibintikan kepada bapa kandungnya.

Menurut beliau, dari segi hukum agama, perkara itu wajib dilakukan kerana anak sebenar mempunyai hak untuk mendapatkan sumber pusaka yang ditinggalkan oleh bapa kandungnya yang sudah meninggal dunia.

Anak angkat

ANAK angkat perlu dibin atau dibintikan dengan ayah kandung bagi urusan sumber hak pusaka yang ditinggalkan oleh bapa kandungnya.

“Wajib seseorang itu dibin atau dibintikan kepada bapa sebenar, tidak boleh dibinti atau bin kepada bapa angkat. Haram kalau sengaja. Dalam kes ini, ia ‘tersilap’, jadi apabila tersilap, insya-ALLAH Tuhan ampunkan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel terbitan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia pada hari ini.

Baca juga ‘The Misfits’ Di Kecam Sindir Islam

Ketahuilah, isu berkenaan sudah dijelaskan oleh para ulama menerusi ayat suci al-Quran yang terkandung dalam kalam ALLAH SWT.

Firman ALLAH SWT: “(Diperintahkan dengan yang demikian kerana) ALLAH tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan IA tidak menjadikan isteri-isteri kamu ‘zihar’lan itu sebagai ibu kamu; dan IA juga tidak menjadikn anak-anak angkat kamu sebagai anak kamu sendiri. (Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) ALLAH menerangkan yang benar dan DIALAH yang jua memimpin ke jalan yang betul. Panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi ALLAH. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai ‘maula-maula’ kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah ALLAH MAHA PENGAMPUN, lagi MAHA MENGASIHANI).” (Surah al-Ahzab, ayat 4-5)

Memetik artikel yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertajuk Al-Kafi #701: Hukum Berbinkan Kepada Ayah Angkat, Imam al-Qurtubi menjelaskan: “Ayat ‘panggillah anak-anak angkat itu dengan berbinkan kepada bapa-bapa mereka sendiri’ diturunkan kepada perihal Zaid bin Harithah. Sepertimana kata Ibnu Umar bahawa para sahabat memanggil Zaid bin Harithah dengan Zaid bin Muhammad menjadi dalil bahawa anak angkat telah diamalkan sejak zaman jahiliah. Datang Islam meneruskan amalan tersebut dan mendukungnya sehinggalah turun ayat tersebut. Maka ALLAH menjelaskan hukum tersebut dan melarang untuk menasabkan anak angkat kepada bapa angkat dengan menggunakan perkataan ‘lebih adil’. Yang lebih utama adalah menasabkan anak angkat tersebut kepada bapanya sendiri.” (Rujuk al-Jami’ li Ahkam al-Quran (14/119)

Anak angkat

PATUHILAH hukum syarak tatkala meletakkan nama pada anak angkat.

Bahkan, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang memanggil seseorang dengan selain nama ayahnya atau selain daripada maulanya, maka ke atasnya laknat ALLAH, para malaikat dan manusia seluruhnya.” (Sunan Ibnu Majah)

Melihat kepada nas dan perbahasan itu, maka sudah terang lagi bersuluh bahawa anak angkat tadi wajib dibin atau dibintikan dengan ayah kandung masing-masing supaya mereka tahu tentang asal-usul dan keturunan mereka.

Bukan itu sahaja, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan tentang menggabungkan nama anak angkat dengan bapa angkat dalam sijil pengangkutan dan kad pengenalan.

Muzakarah memutuskan bahawa mana-mana anak angkat yang diangkat oleh orang Islam tidak boleh dinasabkan dengan bapa angkatnya.

Seperkara lagi, kita juga dilarang keras untuk menggabungkan nama anak angkat dengan bapa angkat. Sebagai contoh, nama Syarifah Nur Iqbal yang mana Iqbal itu merupakan nama bapa angkatnya, tetapi diletakkan sekali pada anak angkat tersebut. Cuma tidak diletakkan binti di tengah-tengahnya.

Ujar Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, umat Islam diharamkan berbuat demikian sebagaimana yang disepakati oleh para ulama.

Anak angkat

JANGAN mengelirukan anak angkat dan orang ramai melalui pemberian nama yang menggabungkan nama anak tadi dengan nama bapa angkat masing-masing.

“Pemberian nama anak angkat dengan menggandingkan nama bapa angkatnya sekali, jelas merupakan helah yang boleh mengelirukan orang lain.

“Ia termasuklah kepada si anak yang ditipu oleh ayah angkatnya. Di sini jelas juga wujud unsur penipuan atau membawa kepada penipuan. Ketahuilah, penipuan dalam Islam adalah haram hukumnya di sisi syarak,” tegasnya sebagaimana dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Justeru, berhati-hatilah jika kita ada mengambil anak angkat. Jangan menggugurkan nama bapa kandung mereka.

Andai berlaku kesilapan seperti tertukar bayi, segeralah membintikan atau membinkan anak tadi kepada bapa kandungnya apabila diketahui demi menjaga syariat yang ditetapkan oleh agama.

Foto: Freepik