Browsing Tag

australia

Australia
Antarabangsa,

Peragakan baju dengan kalimah ALLAH di acara fesyen, jenama pakaian Australia dikritik

SEBUAH jenama pakaian ‘streetwear’ dari Australia dikritik para netizen apabila memperagakan baju mengandungi kalimah ALLAH di Festival Fesyen Melbourne, baru-baru ini.

Isu itu mendapat perhatian warganet menerusi satu video dimuat naik oleh seorang penulis blog fesyen Muslim, Mona Khalifah di TikTok.

Menurut video tersebut, jenama pakaian dikenali sebagai ‘Not A Man’s Dream’ telah memparagakan dua reka bentuk pakaian dengan menampilkan seorang model memakai ‘jumpsuit’ tanpa lengan dalam fabrik lut sinar dipenuhi tulisan Arab bertulis ALLAH.

Di samping itu, rekaan itu juga menyerupai pakaian wanita Muslim kerana bahagian leher dan kepala model berkenaan turut ditutup dengan fabrik yang sama.

Baca juga Sangat biadab, ayat al-Quran dicetak di bikini

Australia

Baca juga Gara-gara Islamofobia, ramai profesional Muslim di Perancis cari kerja di luar negara

Dalam pada itu, Mona yang kesal melihat rekaan terbabit meluahkan rasa marah sehingga mendapat perhatian pelbagai agama.

Melihat ke ruangan komen di TikTok, seorang pengguna berkata, rekaan itu bukan sahaja tidak menghormati Islam, malah bagi orang Kristian Arab yang juga menggunakan perkataan Arab sama untuk Tuhan.

Bagaimanapun, Festival Fesyen Melbourne dan pereka fesyen itu telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka serta menyatakan tidak berniat untuk menghina sesiapa.

JENAMA pakaian asal Australia itu sememangnya gemar menggunakan perkataan Arab dalam reka bentuknya. Foto: Not A Man’s Dream

Baca juga Kebiadapan atas nama kreatif, filem ‘Mentega Terbang’ papar mesej buruk tentang Islam, dimana sensitiviti pembuat filem?

Memetik artikel SBS News, ‘Not A Man’s Dream’ merupakan jenama pakaian ‘streetwear’ yang diasaskan tahun lepas oleh pereka fesyen Australia, Samantha Saint James.

Jika dilihat pada reka bentuk pakaian lain yang pernah dikeluarkan jenama itu sebelum ini, pihaknya banyak menggunakan perkataan Arab, namun biasanya berkaitan cinta dan kasih sayang.

Ini kali pertama syarikat berkenaan terpalit dengan kontroversi sedemikian.

Baca juga Lelaki pakai cincin di jari tengah, apa kata Islam?

australia

NABI SAW sendiri pernah memakai cincin yang mengandungi kalimah ALLAH SWT. Foto: Google

Hukum memakai sesuatu dengan kalimah ALLAH

Dari segi hukum, diharuskan untuk kita memakai cincin yang ada kalimah ALLAH atau Rasulullah SAW selagi ia dipelihara daripada perkara-perkara yang boleh dianggap menghina dan mencemarkan kemuliaan nama-nama tersebut.

Ia sepertimana hadis riwayat daripada Saidina Anas Bin Malik RA. Beliau berkata: “Adalah ukiran pada cincin Nabi Muhammad SAW terdapat tiga baris. Baris yang pertama tertulis kalimah Muhammad. Baris yang kedua tertulis kalimah rasul dan baris yang ketiga tertulis kalimah ALLAH.“(Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Syaratnya, cincin tersebut harus ditanggalkan sebelum memasuki tandas.

Namun, selain cincin, rata-rata ulama berpendapat bahawa hukumnya makruh mencetak kalimah ALLAH pada baju, apalagi memakainya. Justeru, sebaik-baiknya perbuatan ini dielakkan.

Sumber: SBS News

Foto: TikTok, Instagram & Google

The Australian
Berita Semasa, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Bekas Senator Diperintah Buang catatan di Facebook dan Twitter Kerana Menghina Islam

no comment

BEKAS senator Australia, Fraser Anning telah diperintahkan oleh Mahkamah Queensland untuk membuang 141 kandungan daripada media sosialnya kerana mendapati melanggar undang-undang anti diskriminasi dengan menghina Islam.

Antara catatan yang menghasut dan menghina Islam. Gambar: Daily Mail

Catatan berbaur perkauman itu dikongsi di Twitter dan Facebook ketika dia menjadi senator antara tahun 2017 hingga Julai 2019.

Ini termasuk ketika dia ditemuramah dan berkongsi pautan di media sosialnya dan menyeru untuk melarang Islam di Australia serta mengkritik kem latihan AFL untuk pemuda Muslim.

Anning juga diperintahkan untuk menghapus siaran akhbar yang dikeluarkan pada hari pembunuhan di Christchurch yang menyalahkan imigran Muslim atas pertumpahan darah itu.

Kenyataan itu dikeluarkan hanya beberapa jam selepas seorang lelaki Australia bersenjata membunuh 51 orang di dua masjid di bandar Christchurch di New Zealand. Tindakan itu mendapat kecaman oleh Senat atas komennya.

Tribunal Sivil dan Pentadbiran Queensland (QCAT) mendapati Anning telah melanggar undang-undang negara yang melarang menghasut kebencian, penghinaan serius atau ejekan yang teruk keatas agama.

Tindakan undang-undang itu dibuat organisasi hak sivil Australian Muslim Advocacy Network (AMAN) dan Majlis Islam Queensland.

Tulisannya beberapa jam selepas peristiwa pembunuhan di Christchurch .Gambar: Joe.ie

Dalam laporan itu, mereka mengambil salah satu catatan dari laman Facebook Anning yang mendapat hampir 8,000 komen dan menjangkau hampir 315,000 capaian.

Turut disertakan juga komentar daripada pengikut laman sosial Anning yang menyokong dengan menghasut keganasan terhadap orang Islam Australia.

Penasihat AMAN, Rita Jabri-Markwell, mengatakan dia kecewa dengan tindakan Anning terhadap pembunuhan besar-besaran di Christchurch dan mengharapkan dia mendapat hukuman yang setimpal.

“Kami sudah merasa sedih dan kecewa dengan kes pembunuhan di Christchurch,  tetapi apabila kami melihat media sosial dengan apa yang ditulis Anning itu ia menambahkan kemarahan dan ia adalah perbuatan yang sangat kejam.

“Ia membuatkan kita merasa seperti tidak berharga, seperti Anning bukan sebahagian daripada rakyat Australia,” kata Rita.

Dia mengatakan keputusan pengadilan akan ‘memperbaiki banyak luka’ dan berpesan kepada ahli politik untuk tidak menggunakan komuniti apa pun sebagai alat penghasut.

“Ahli politik sering menganggap mereka mempunyai lesen percuma untuk mengatakan apa yang mereka mahukan.

“Itu dapat mendorong seseorang untuk bertindak menyerang individu dari latar belakang migran secara fizikal atau menyerang mereka di dalam talian,” tambahnya.

AMAN juga menyeru pihak Facebook dan Twitter untuk menghapus akaun yang berkaitan dengan Anning.

Ia mahu memberi lebih banyak tekanan kepada kerajaan Australia untuk menambahbaik sistem perundangan yang memberi hak kesamarataan kepada semua warga Australia tanpa mengira bangsa dan agama.

 

Sumber: abc.net.au

1
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Australia Beralih Minuman Tanpa Alkohol, Pilih Gaya Hidup Sihat Sejak Pandemik.

no comment

PERMINTAAN minuman tanpa alkohol semakin meningkat dan menjadi pilihan penduduk Australia. Ia sebagai alternatif gaya hidup yang lebih sihat sejak pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia bermula awal tahun lalu.

Salah satu cawangan kedai minuman beralkohol, Dan Murphy mengakui permintaan bagi produk tanpa alkohol melonjak dua kali ganda.

Syarikat pengeluar minuman keras Australia, BWS dan Dan Murphy menyatakan penjualan minuman tanpa alkohol meningkat dua kali ganda pada tahun lalu. Bir dan wain tanpa alkohol katanya telah menjadi salah satu produk mereka yang paling laris dijual.

Pengasas Sans Drink Australia, Irene Falcone berdiri di hadapan kedainya. Gambar: SmartCompany.

Pengusaha dan Pengasas Sans Drink Australia, Irene Falcone, berkata industri minuman tanpa alkohol telah “meletup” kerana permintaan yang sangat tinggi bagi penduduk di Australia sejak tahun lalu.

Falcone yang membuka kedai minuman tanpa alkohol keduanya di Australia setelah memulakan perniagaan dalam talian sejak Oktober 2020 berkata, syarikatnya tidak berniat untuk mengganggu industri minuman alkohol di Australia.

“Semasa wabak Covid-19, ramai orang Australia mengubah tabiat mereka kerana tindakan pencegahan yang paling ketat di seluruh dunia membataskan untuk mereka keluar rumah.

“Sekiranya anda ingin minum minuman beralkohol dan ingin berehat atau minum lebih, maka anda kini sudah tidak mempunyai banyak pilihan.

“Ketika ini ramai orang telah beralih untuk minum di rumah bagi mengekang peningkatan masalah kesihatan, secara tidak langsung meningkatkan pengambilan minuman tanpa alkohol,” kata Falcone.

Menurut satu kajian, pengambilan alkohol dalam kalangan gololongan muda dari sekolah menengah di New South Wales, Tasmania dan Australia Barat, berkurangan dengan penjualan minuman keras telah menurun sebanyak 17 peratus berbanding data keseluruhan sebelum pandemik.

Bukan hanya kuantiti tetapi kekerapan penggunaan alkohol juga menurun dalam kalangan orang muda di Australia, iaitu kejatuhan 34 peratus.

Minum di kedai bukan lagi gaya hidup normal bagi penduduk Australia. Gambar: TRT World

Pengambilan minuman alkohol telah menjadi sebahagian kehidupan masyarakat Australia dan memainkan peranan penting dalam kehidupan sosial di negara itu. Bahkan minuman keras diterima dalam hampir semua situasi sosial, bermula selepas waktu sekolah atau aktiviti kerja hingga majlis perkahwinan bahkan di majlis pengebumian atau majlis pra-kelahiran bayi.

Menurut Kajian Yayasan Promosi Kesihatan Victoria, meminum alkohol dapat memberi kesan ketenangan, menjalin hubungan sosial dan cara meraikan sesuatu kejayaan atau pencapaian.

Semasa zaman penjajahan di Australia, rum digunakan sebagai mata wang de facto (mata wang tidak rasmi) di samping mata wang lain.

Bagi rakyat Australia, Jess Stor, 27, kesan daripada wabak ini telah memudahkan dirinya untuk berhenti daripada tabiat mengambil minuman alkohol sejak Ogos tahun lalu.

“Saya adalah penggemar bir dan ketagihan minuman alkohol ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya selama ini. Saya mula minum alkohol sejak usia remaja dan selepas meninggalkan tabiat itu, kini keadaan mental saya jauh lebih seimbang berbanding dulu.

“Sungguh mengagumkan bagaimana apabila kita dapat meninggalkan tabiat itu, rasa masa depan kita lebih bermakna dan segala kehidupan yang kita lalui lebih segar dan gembira,” katanya.

Bukan hanya orang muda, tetapi juga warga Australia yang lebih berusia juga mengambil keputusan untuk berhenti mengambil minuman keras sejak pandemik berlaku.

Janene Young, 44, ibu kepada dua anak di Brisbane, berhenti minum alkohol dua tahun lalu setelah 27 tahun ketagihan meminum alkohol.

“Minuman alkohol lebih menambah perubahan emosi dan ia bukanlah ubat penahan sakit emosi. Saya tidak begitu baik, saya tidak dapat menjadi ibu dan isteri yang baik untuk anak-anak dan suami saya. Saya cepat murung, sangat cemas dan mudah tertekan sebelum ini.

“Namun semua itu berubah dan saya mendapat kembali kehidupan yang sudah lama saya tinggalkan sejak saya berhenti mengambil minuman akohol,” katanya.

Sumber: TRT World

wuduk
Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Ayam Percik Ubat Rindu Pelajar Canberra

no comment

Hanya tinggal berbaki dua hari saja lagi, umat Islam seluruhnya akan ditinggalkan bulan mulia, Ramadan al-Mubarak. Sudah tentu inilah masa-masanya yang terbaik untuk banyak pihak berlumba-lumba mencari kebaikkan, keberkatan dan ketakwaan di akhir ini.

Menyediakan makanan kepada mereka yang berpuasa antara amalan yang besar pahalanya di sisi Allah SWT. Malah inilah yang dilakukan penganjur Asian Taste Canberra dengan kerjasama Pertubuhan Pelajar Malaysia menganjurkan program ’10 Ramadan Sharing Infaq’ yang mendapat tajaan Serba Dinamik Group Berhad (SDGB).

Menyenarai pendek 100 pelajar yang kini melanjutkan pendidikan tinggi di Universiti Canberra, Australia, program ini diselaraskan dengan tujuan untuk memberi keriangan dan kegembiraan kepada pelajar bagi melupakan sejenak kerinduan menyambut Aidilfitri bersama keluarga yang berada di tanah air, seterusnya mewujudkan rasa kebersamaan sesama mereka.

Chef Norazura (kanan) yang berkhidmat bersama Asian Taste sedang melakukan persiapan makanan berbuka puasa untuk pelajar Malaysia di Canberra.

Pengarah SD Impex Australia, Fatos Omar Othman, berkata Malaysia terkenal sebagai tempat kepelbagaian makanan yang memang sudah terbukti di seluruh dunia. Banyak artikel ditulis mengenai bagaimana makanan Malaysia yang pelbagai ini menjadi faktor penyatuan bagi rakyat Malaysia.

“Mengetahui bahawa makanan tempatan sangat sedap dan dapat, kami merasakan tindakan kecil kami ini dengan menyediakan makanan Malaysia kepada para pelajar berbuka puasa adalah satu nikmat kesyukuran.

Jelas memperlihatkan riak muka yang riang sebahagian pelajar yang menerima makanan iftar pada program berkenaan.

“Secara tidak langsung usaha ini dapat membantu pelajar mengubat kerinduan mereka terhadap keluarga dan kehidupan di negara asal yang sudah lama ditinggalkan.

“Walaupun citarasa setiap individu pelbagai, namun cinta kami terhadap masakan tempatan tidak dapat dipertikaikan dan rakyat Malaysia secara kolektif akan bersatu untuk mempertahankan masakan kami apabila ada orang asing yang kurang berpengetahuan merasai sajian tempatan kita.

“Kami juga mengharapkan melalui program seperti ini, pihak penganjur dapat memupuk semangat kebersamaan dan semangat berkongsi yang menjadi amalan tradisi umat Islam bukan saja pada bulan Ramadan tetapi sepanjang masa,” katanya.

Chef Norazura Mustaffa (kiri) bersama sukarelawan pasangan suami isteri yang ditugaskan untuk mengedar makanan berbuka puasa kepada pelajar.

10 Ramadhan Sharing yang bermula pada 1 Mei lalu adalah penting dalam menyediakan makanan sihat kepada para pelajar untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan dan memastikan bahawa tidak ada pelajar Malaysia yang ketinggalan.

Menurut Fatos, sesiapa saja yang pernah melanjutkan pelajaran ke luar negara pasti akan berhadapan dengan situasi terputus bekalan kewangan yang sudah menjadi kebiasaan.

Ayam Percik pembuka selera.

“Sepanjang program ini kami harap para pelajar tidak memasak dan membeli makanan untuk berbuka puasa, setidaknya mereka dapat berjimat dan menyimpan duit itu untuk kegunaan lain. Kami akan memastikan 10 Ramadan terakhir ini mereka akan menunggu makanan berbuka puasa yang akan dihantar oleh sukarelawan kami,” katanya yang menyediakan makanan seperti ayam percik, mi goreng dan teh tarik.

Lepas rindu masakan Malaysia.

SD Impex Sdn Bhd adalah syarikat makanan dan minuman yang berpusat di Malaysia dan mula beroperasi sejak tahun 2009. Asian Taste adalah jenama kedai makanan dan minuman yang kini mempunyai cawangannya di Malaysia, Australia dan beberapa negara lain di dunia.

Asian Taste ditubuhkan adalah bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan makanan dan minuman halal untuk pelbagai fungsi di pasaran korporat di dalam dan luar negara. Syarikat lain di bawah kumpulan itu termasuk Ladangku Maju; Brew Crew; Lada Merah; JM Bariani, Mozer’s On The Go dan Nakanishi.