Browsing Tag

aurat

hukum aurat rambut wanita
Hukum,

Betul ke non-Muslim tidak boleh potong rambut orang Islam?

GARA-GARA membenarkan pekerja wanita memotong rambut pelanggan lelaki, seorang pemilik salun rambut dikompaun RM100 kerana melanggar undang-undang kecil Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).

Pemilik premis berkenaan yang terletak di bandar Kota Bharu itu dikompaun semasa MPKB melakukan operasi pada minggu lalu.

Selepas isu ini tular, ramai yang menyoal. Bolehkah memotong rambut dengan bukan Muslim dan adakah hukum syarak tidak membenarkannya?

Memetik portal rasmi Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menjelaskan tiada nas daripada ayat al-Quran mahupun hadis Nabi yang melarang rambut orang Islam digunting orang bukan Islam.

Baca Juga ‘Ulama boleh tegur kerajaan’ – Anwar

Ujarnya, sekiranya tiada ayat al-Quran ataupun hadis Nabi yang melarang umat Islam daripada melakukan sesuatu perbuatan, maka hukum asalnya adalah harus sehingga menjumpai nas yang menyatakan sebaliknya.

“Dalam isu-isu selain daripada ibadat, kita dikehendaki membuat keputusan dengan mempertimbangkan maslahat atau kepentingan awam kerana Malaysia adalah sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum yang berbeza etnik, agama dan budaya.

Zulhijah

PERIHAL ibadah, kita dikehendaki membuat keputusan dengan mempertimbangkan maslahat atau kepentingan awam kerana Malaysia adalah sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum.

“Begitu juga menyekolahkan anak di sekolah Cina atau Tamil tiada nas yang melarang, maka ada kelebihannya dari sudut memberi manfaat kepada umat Islam kerana dapat mempelajari bahasa dan memahami budaya bangsa lain yang boleh membawa kepada kesefahaman antara sesama rakyat Malaysia,” katanya.

Aurat wanita Muslim dan bukan Muslim

Sementara itu, merujuk agamawan terkemuka, Ustaz Azhar Idrus mengenai persoalan bagaimana aurat seorang wanita Muslim dengan bukan Muslim.

Terangnya, wujud khilaf ulama iaitu dalil pengharaman menunjukkan aurat di hadapan mereka yang bukan Islam pada zaman Nabi Muhammad SAW adalah kerana pada zaman tersebut ramai yang tidak memahami keperluan umat Islam lagi.

Turut Disyorkan Mat Tudung, bukan sekadar cerita tetapi soal hukum Islam

“Maka, adalah paling utama jika umat Islam sendiri yang berusaha untuk menjaga maruahnya dengan tidak membuka auratnya di hadapan bukan Islam. Hal ini kerana, bimbang jika wanita Yahudi atau bukan Islam pada zaman tersebut menceritakan aib ini kepada kaum lelaki atau suaminya.

rambut terkeluar solat

RAMBUT termasuk aurat wanita yang perlu dipelihara ketika mendirikan solat. -Foto: Unsplash

“Namun, jika dilihat kini, masing-masing sudah memahami keperluan umat Islam, ditambah pula apabila berada dalam golongan masyarakat majmuk.

“Malah, banyak salun yang sudah memahami keperluan perempuan, iaitu melakukannya dalam keadaan atau bilik yang tertutup dan menjaga hak-hak yang diinginkan.

“Maka, sebahagian ulama ini termasuk sebahagian ulama Mazhab Syafie mengatakan bahawa tiada masalah untuk bertaqlid (menggunakan) berpegang dengan pendapat ini bagi memudahkan urusan masing-masing.

“Oleh itu, jika terdapat salun atau kedai gunting rambut yang dimiliki oleh orang Islam, maka adalah lebih baik untuk menggunakan perkhidmatan mereka di samping dapat membantu memajukan umat Islam sendiri.

“Jika berada di negara yang sukar untuk mendapatkan perkhidmatan gunting atau cuci rambut dengan bukan Islam, maka adalah tidak mengapa untuk bertaqlid dengan pendapat yang kedua.

“Yang paling penting ialah menitikberatkan bahan-bahan yang digunakan sama ada halal atau haram dan juga menjaga maruah sendiri,” ujarnya.

Artikel Berkaitan 

syaitan
Aqidah,

Syaitan dan jin boleh melihat aurat kita. Ini cara untuk elak dari dipandang

SYAITAN dan jin boleh melihat aurat kita. Ini cara untuk elak dari dipandang…

Syaitan adalah antara makhluk ALLAH SWT yang tidak dilihat oleh manusia, namun kita wajib percaya akan kewujudannya.

Malah, syaitan adalah musuh nombor satu kepada orang beriman. Ini kerana mereka akan sedaya upaya berusaha bagi menyesatkan anak-anak Adam dengan mendekatkan mereka segala jenis maksiat.

Perkara ini diingatkan berkali-kali oleh ALLAH SWT melalui kitab suci al-Quran. Firman-NYA:

Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup)…” (Surah al-‘Araf, ayat 27)

Baca juga Makanan dan minuman jin yang patut diketahui, serta perlu Muslim hindari

Walaupun kita tidak mampu melihat syaitan dan adakalanya, jin, tetapi mereka sendiri boleh melihat kita, jelas portal Mufti Wilayah Persekutuan. Hal ini ada disebutkan oleh ALLAH dalam kalamullah.

Firman ALLAH: “…Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya KAMI telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.” (Surah al-‘Araf, ayat 27)

Oleh itu, syaitan dan jin sebenarnya mampu melihat kita dalam semua keadaan, apatah lagi ketika kita sedang memakai atau menanggalkan pakaian, mandi, menunaikan hajat di dalam tandas dan lain-lain.

Sehubungan itu, kalimah berkenaan mengingatkan kita agar sentiasa berhati-hati dengan gangguan syaitan. Makhluk tersebut sememangnya dijadikan oleh ALLAH sebagai penolong bagi orang-orang kafir yang tidak menuruti perintah-NYA.

Lantas, bagaimana untuk mengelakkan pandangan syaitan dan jin ke atas kita?

Baca juga Ustazah Asma’ Kongsi Doa Elak Daripada Gangguan Syaitan

Cara halang aurat dilihat jin dan syaitan

Bagi menghalang aurat daripada dilihat oleh jin dan syaitan, Nabi SAW telah mengajarkan kepada kita beberapa perkara. Antaranya ialah sentiasa mengiringi setiap tindakan dan perbuatan kita dengan doa dan basmalah (bismillah)

Disebutkan oleh Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Penghalang (hijab) antara pandangan mata jin dan aurat bani Adam ketika membuka pakaian ialah membaca bismillah (dengan nama ALLAH).” (Hadis Riwayat al-Tabrani di dalam al-Mu’jam al-Ausat)

Maka, ulama Islam, Syeikh Sa’id bin Ali Wahf al-Qahtani menganjurkan kita membaca bismillah untuk memohon pertolongan Allah SWT supaya syaitan dan jin tidak melihat aurat diri ketika menunaikan hajat, menanggalkan pakaian dan lain-lain. (Lihat Ithaf al-Muslim bi Syarhi Husni al-Muslim, hlm. 103)

syaitan aurat

SEBAIK-baiknya elakkan mendedahkan aurat walaupun sedang bersendirian jika tiada keperluan khusus. Foto: Unsplash

Dalam masa sama, tegas pihak Mufti Wilayah Persekutuan, elakkan daripada mendedahkan aurat sekalipun kita bersendirian jika tidak ada keperluan tertentu.

Sebenarnya ada juga bacaan doa atau zikir lain yang boleh diamalkan ketika ingin menanggalkan pakaian atau masuk ke tandas sebagai pendinding daripada pandangan jin dan syaitan terhadap aurat kita.

Antaranya adalah doa berikut yang biasa dibaca ketika hendak memakai serta menanggalkan pakaian.

Baca juga 9 doa para nabi yang boleh dijadikan amalan harian kita

Turut disyorkan Penyihir Rusia akui sukar menyihir Muslim yang menjaga solat

Doa memakai dan menanggalkan pakaian

1) Doa memakai pakaian

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهِ وَخَيْرِ مَا هُوَ لَهُ ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ وَشَرِّ مَا هُوَ لَهُ

Allaahumma innii as’aluka min khairhi wa khaira maa huwa lahu, wa a’uudzubika min syarrihi wa syarri maa huwa lahu

Ertinya: “Ya ALLAH, sungguh aku memohon kepada-MU kebaikan pakaian ini dan kebaikan sesuatu yang di dalamnya, dan aku berlindung kepada-MU dari keburukan pakaian ini dan keburukan sesuatu yang ada di dalamnya.”

2) Doa menanggalkan pakaian

بِسْمِ اللهِ الَّذِيْ لاَ إِلَهَ إِلأَ هُوَ

Bismillahi ladzi laa ilaaha Illa hu

Ertinya : “Dengan nama ALLAH yang tiada TUHAN selain DIA”

syaitan aurat

MOHONLAH pertolongan ALLAH SWT dengan memanjatkan doa kepada-NYA kerana DIA adalah sebaik-baik PELINDUNG. Foto: Google

Anda juga boleh merujuk kitab himpunan doa seperti Hisnul Muslim (Perisai Muslim) karya Syeikh al-Qahtani, seperti yang disarankan pihak Mufti Wilayah Persekutuan.

Pun begitu, jangan lupa untuk memulakan apa-apa sahaja aktiviti atau perkara dengan basmalah kerana sabda Nabi SAW :

Setiap ucapan atau perkara yang tidak dimulai dengan menyebut nama ALLAH (zikrullah), maka amalan tersebut akan terputus.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Pexels, Google & Unsplash

Haji
Hukum,

Jika tinggalkan suruhan ALLAH, tetap berdosa walaupun 10 kali ke Makkah

BARU-BARU ini, cerita tentang haji dan tidak berhijab mengungguli carta perbualan hangat netizen. Apatah lagi kemunculannya pada saat para jemaah haji sedang membuat persiapan untuk menunaikan Rukun Islam kelima tidak lama lagi.

Semua umat Islam begitu mengidam-idamkan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji dan umrah. Namun, apakan daya faktor kemampuan menjadi kekangan utama, selain kesihatan.

Bukan semua orang berpeluang menjadi tetamu ALLAH. Andai diberi nikmat itu, gunakanlah dengan sebaik-baiknya.

Begitupun, apabila ada individu yang mengaitkan dirinya tidak memakai hijab, tetapi sudah dijemput ke Makkah berkali-kali, isu itu begitu sensitif.

Terpanggil memperbetulkan keadaan, pendakwah Ustazah Asmak Husin menjelaskan, sebagai orang Islam, menutup aurat itu wajib hukumnya tidak kiralah sama ada kita dijemput ke Makkah ataupun tidak.

USTAZAH ASMAK

Ia sebagaimana disebutkan dalam firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukin, “Hendaklah mereka menutupkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.” Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan ALLAH MAHA PENGAMPUN, MAHA PENYAYANG.” (Surah al-Ahzab, ayat 59)

Baca juga Tutup aurat bukan pilihan, ini yang wajib kita tahu

Ketahuilah, andai kita meninggalkan suruhan ALLAH SWT, ia tetap dikira berdosa walaupun 10 kali telah ke Tanah Suci, terang pendakwah itu.

Dalam pada itu, Ustazah Asmak turut mengingatkan bahawa menjadi tetamu Makkah untuk mendapatkan haji atau umrah yang mabrur bukan untuk dibanggakan.

“Kayu ukur sama ada haji kita itu mabrur atau tidak hanya dilihat selepas kepulangan kita daripada Tanah Suci berkenaan waima terdapat peningkatan atau perubahan dalma diri terutama dari segi akhlak dan ibadah.

“Suka saya ingatkan agar semua berhati-hati dengan istidraj. Istidraj bermaksud apabila seorang yang tidak mengerjakan suruhan ALLAH, berterusan melakukan maksiat dan derhaka kepada-NYA, namun dia kelihatan kaya serta rezekinya juga mudah. Maka inilah yang dinamakan sebagai istidraj.

Baca juga Bila rezeki dan darjat bertambah, tapi ibadah ditinggalkan… Berhati-hatilah, itu tanda istidraj

“Kadang-kadang nikmat itu sedang menghancurkan pahala kebaikan kita,” pesan beliau lagi.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Ustazah Asmak sekali lagi menitipkan pesanan agar kita berusaha untuk mengikuti segala suruhan ALLAH SWT.

Tinggalkan suruhan ALLAH

DIDIKLAH anak menutup aurat sejak kecil lagi supaya mereka tahu suruhan ALLAH SWT yang wajib disempurnakan. 

“Ya, kita mungkin belum tentu dapat ke Makkah, namun yang pasti, kita semua akan ke liang lahad. Hijab bukan melambangkan tinggi iman seseorang, tetapi itu adalah simbol ketaatan hamba kepada Tuhannya.

“Bayangkan saudara kita di India, Myanmar dan lain-lain disekat pemakaian hijab, tetapi mereka tetap berjuang untuk menutup aurat. Sedangkan kita? Tepuk dada, tanya iman.

Baca juga Polemik larangan berhijab di Karnataka terus memuncak

“Justeru, marilah kita sama-sama berdoa semoga setiap muslimat diberi kefahaman jelas dalam beragama, istiqamah dan terasa ringan melaksanakan perintah ALLAH SWT,” ujar beliau.

Foto: Freepik 

Hukum, Soal Jawab Agama,

Baca al-Quran sebelum tidur tanpa menutup aurat, ini hukumnya yang wajib kita tahu

SEBELUM melelapkan mata untuk tidur, ramai yang akan melazimkan bacaan tiga Qul dan ayat Kursi, selain membaca doa tidur saban hari tanpa gagal. Malah, ada juga yang tidak melepaskan peluang untuk membaca surah-surah lain yang begitu banyak manfaatnya kepada diri seperti Surah al-Mulk dan as-Sajadah.

Maklum sahajalah, kita sudah terbiasa melakukan sedemikian sejak dari kecil lagi. Malah, amalan itu turut ‘diturunkan’ kepada anak-anak masing-masing.

Jika namanya pun hendak tidur, sudah tentulah pakaian yang dipakai sebelum itu tidak cukup sempurna. Pendek kata, ada aurat yang terdedah dan tidak ditutup dengan elok.

Malah, ada yang sudah siap sedia baring di atas katil lagi, tetapi tidak lupa untuk menadah tangan membaca doa dan bait-bait kalamullah tadi.

Dari segi hukumnya pula bagaimana? Ini kerana ayat yang kita bacakan sebelum tidur kebanyakannya datang daripada al-Quran.

Menjawab persoalan tersebut, pendakwah Muhammad Fahmi Rusli menjelaskan, membaca ayat-ayat al-Quran paling afdal sudah tentulah dalam keadaan yang menutup aurat.

MUHAMMAD FAHMI

“Meskipun begitu, sekiranya seseorang membaca al-Quran dalam keadaan auratnya terdedah, maka tiada masalah padanya.

“Ini kerana menutup aurat tidak termasuk dalam syarat semasa membaca al-Quran. Sebaliknya, ia termasuk dalam bahagian akhlak, adab dan memuliakan syiar ALLAH SWT,” katanya menjawab soalan warganet menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

Baca juga Baca ayat al-Quran atas katil atau sambil berbaring, adakah dikira tidak beradab?

Dalam perihal membaca al-Quran dalam keadaan berbaring atau di atas katil, ia dihukumkan harus sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #1708: Hukum Membaca Al-Quran Dalam Keadaan Berbaring yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Baca al-Quran sebelum tidur

SEBELUM tidur, jangan lupa membaca doa dan melazimkan diri membaca tiga qul serta ayat Kursi bagi memohon perlindungan ALLAH SWT daripada sebarang kejahatan.

ALLAH SWT berfirman: “(Golongan ulul albab) adalah mereka yang sentiasa mengingati ALLAH dalam keadaan berdiri, duduk, di atas lambung mereka (pembaringan), serta mereka berfikir tentang penciptaan langit-langit dan juga bumi, (lalu mereka berkata) wahai Tuhan kamu, tidakkah KAU menciptakan (kesemua) ini secara batil (sia-sia), maha suci kamu (dari perkara tersebut), maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 191)

Imam al-Nawawi berhujah menggunakan ayat tersebut sebagai dalil menyatakan pandangan yang mengharuskan pembacaan al-Quran dalam keadaan berdiri, berbaring ataupun di atas katil.

Jelas ulama berkenaan: “Sekiranya seseorang itu membaca al-Quran dalam keadaan berdiri, berbaring, di atas katilnya atau keadaan-keadaan selainnya, makai a diharuskan (dibolehkah) dan dia mendapat pahala.” (al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran, al-Nawawi (Hlm. 80))

Baca juga Ini sebenarnya 10 cara Rasulullah amalkan sebelum, ketika dan selepas tidur

Pun begitu, keadaan paling sempurna ketika membaca al-Quran adalah apabila seseorang itu berada dalam keadaan duduk dengan penuh khusyuk dan tenang, selain menundukkan kepalanya menghadap ke arah mushaf dan duduk penuh adab sebagaimana kita duduk di hadapan para guru.

Foto: 123rf & Freepik

Sebelum berbuka waktu mustajab doa
Jendela Dunia,

Wanita Menuntut Hak Yang Sama Di Masjid

ZEYNEP Dogusan menceritakan bagaimana seorang sahabatnya suatu hari bersandar pada tiang di sebuah masjid di belakang bahagian lelaki, begitu mengagumi keindahan seni bina bangunan itu. Lalu datang seorang pekerja masjid menghampirinya dan mengatakan bahawa dia tidak dibenarkan berada di sana.

“Sahabat saya benar-benar terasa apabila diusir keluar dari masjid itu hanya kerana dia seorang wanita. Saya merasa perkara ini tidak adil dan kami tidak boleh berdiam diri,” katanya.

Lantaran daripada itu, Dogusan telah menubuhkan sebuah organisasi ‘Women in Mosques Platform’ pada Oktober 2017 di Istanbul bagi memerangi diskriminasi wanita di tempat-tempat ibadah.

Warga emas golongan wanita mahukan keselesaan untuk beribadah di masjid. Scroll.in

Sejak itu, organisasi ini berkembang dalam menangani isu-isu khususnya kebenaran masuk warga emas ke masjid hingga keadaan kebersihan tandas wanita di bangunan masjid. Sebilangan besar perjuangan mereka dihabiskan untuk menentang adat-adat kuno seperti menyembunyikan jemaah wanita di belakang layar atau terasing di bilik khas yang membuat wanita merasa mereka tidak mempunyai hak untuk berada di dalam masjid.

Menurut Dogusan yang juga pengasas dan seorang Ahli Sosiologi, berkata ini semua adalah fenomena biasa berlaku di masjid di seluruh negaranya, Turki.

“Matlamat kami dalam menubuhkan organisasi ini adalah bertujuan untuk menjadikan isu-isu ini dapat dilihat oleh semua masyarakat. Kami mahu meningkatkan kesadaran dengan harapan sampai ke pengetahuan pentadbiran masjid dan mahukan perubahan dilakukan. Media sosial telah membantu meningkatkan kewujudan kumpulan kami dan dapat menyebarkan mesejnya perjuangan kami,” katanya Dogusan.

Wanita hanya berpeluang solat di bahagian tertentu di dalam masjid. Gambar: Scroll.in

Menurutnya lagi, di Turki, tradisi Islam lebih cenderung menggalakkan golongan wanita untuk beribadah di rumah. Tetapi mereka yang bekerja atau belajar dan menghabiskan hari mereka di luar rumah perlu menggunakan masjid untuk memenuhi syarat bersolat lima kali sehari.

“Apabila wanita mahu pergi ke masjid, kami sering mendapati akses kami adalah terhad, ruang wanita biasanya terpisah daripada kubah utama masjid, berupa kawasan kecil yang ditutup dengan pintu berhampiran pintu masuk.

“Siapa yang sebenarnya menentukan bahagian mana daripada masjid yang wanita tidak dapat masuk? Tidakkah wanita juga berhak mendapatkan keselesaan dan kenikmatan daripada keindahan estetika dan kerohanian masjid,” katanya tegas.

Juru kempen Hak Asasi Manusia, Zero Discrimination Association, Kezban Karagoz, berkata penglibatan wanita di masjid semakin meningkat. Tetapi Karagoz sendiri mengelak untuk menghadiri tempat-tempat ibadat kerana serik dengan pengalaman negative yang pernah dilalui dulu.

“Saya merasakan lelaki memandang saya, mempersoalkan kehadiran saya ketika saya pergi ke masjid. Saya rasa mereka mahu saya segera pergi sebaik sahaja saya mahu menanggalkan kasut untuk masuk. Saya pergi ke masjid untuk mencari kedamaian, tetapi saya selalu takut berlaku pertengkaran, jadi saya mula memilih ruang kecil yang biasanya terdapat di bangunan awam di Turki untuk bersolat,” kata Karagoz.

Hanya ruang yang kecil kebiasaannya di sediakan untuk wanita bersolat. Gambar: Suara Insan

Karagoz juga tidak lagi ke masjid kerana kekurangan tandas untuk wanita di kebanyakan masjid. Walaupun lelaki boleh menggunakan tandas awam untuk mandi yang dikenali sebagai shadirvans secara percuma, berbeza bagi wanita yang harus membayar untuk menggunakan bilik mandi kerana mereka terpaksa menanggalkan tudung mereka di bilik mandi khas yang tertutup.

“Mengapa kita membayar cukai?” Karagoz bertanya, menunjukkan bahawa Direktorat Urusan Agama yang mengawasi masjid-masjid Turki harus menggunakan anggarannya untuk menyediakan kemudahan bagi wanita.

Di bawah Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang memerintah, anggaran Direktorat dinaikkan secara konsisten sejak tahun 2006 sehingga mencapai jumlah 12.9 bilion lira (US1.5 bilion dolar ) untuk tahun 2021.

“Mengapa wanita perlu membayar untuk berwuduk sementara lelaki dapat melakukan percuma?” soalnya tegas.

Women in Mosques Platform bukan satu-satunya kumpulan yang berkempen di wilayah itu. Havle Women’s Association yang turut memperjuangkan pelbagai isu, juga sering menganjurkan kempen bagi pihak wanita Muslim.

“Kami ingin menjadi sebahagian daripada gerakan feminis arus perdana sebagai wanita Muslim. Ada keperluan untuk menyuarakan penindasan yang dihadapi wanita Muslim dalam kehidupan seharian,” kata salah seorang pengasasnya, Rumeysa Çamdereli.

Pentadbiran masjid yang dikuasai oleh lelaki adalah antara sebab mengapa keperluan wanita dibiarkan tidak dipenuhi.

Begum Yarar, seorang pelajar kimia berusia 21 tahun di Universiti Necmettin Erbakan di Konya, mengatakan bahawa salah satu masalah terbesar yang dihadapi wanita di masjid adalah pengasingan bahagian mereka daripada tempat ibadat yang lain.

“Kawasan wanita sering terletak jauh di belakang struktur masjid utama dan dewan solat. Saya seorang peminat seni, saya ingin berdoa di bawah seni bina indah yang dihiasi dengan kaligrafi dan hiasan, untuk melihat-lihat dan merasa bersyukur, jadi saya sedih kerana hak istimewa ini disediakan untuk lelaki sahaja. Wanita juga manusia, saya fikir wanita harus dibenarkan hak yang sama dengan lelaki,” katantya.

Yarar juga mengeluh bahawa bahagian wanita itu sering terletak di sebelah tempat para jemaah menanggalkan kasut sebelum memasuki masjid, yang bermaksud wanita harus bersolat dengan bauan kaki.

Berbeza bagi pandangan seorang imam berusia 30 tahun yang berpusat di Antalya yang tidak bersetuju dengan Yarar.

“Penting untuk menjaga sensitiviti agama di dalam masjid. Penting untuk menyediakan pemisahan tempat lelaki dan wanita di masjid-masjid kejiranan bagi mengelak fitnah. Sekiranya tempat wanita dapat dilihat, bagaimana mereka mahu menjaga aurat mereka ketika mahu menanggalkan tudung dan ia akan mengundang fitnah,” katanya.

 

Sumber: Inside Turkey

Arab news
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Finland edar Tudung Sukan Percuma bagi wujud Kepelbagaian dalam Bola Sepak Wanita

no comment

KETIKA peminat bola sepak di seluruh dunia memberi tumpuan kepada perlawanan bola
sepak Euro 2020, Persatuan Bola Sepak Finland (Finland FA) mengedarkan “hijab sukan” percuma untuk menggalakkan kepelbagaian dalam sukan itu.

Hijab atau tudung diperbuat dari kain elastik itu ditawarkan kepada sesiapa sahaja yang ingin memakainya untuk bersukan.

Heidi Pihlaja bersikap terbuka untuk tidak menghalang pemainnya mengenakan tudung ketika bersukan.

Ketua Pembangunan Bola Sepak Wanita Finland FA, Heidi Pihlaja, berkata sehingga kini persatuan itu telah mengedarkan puluhan tudung yang dibuat daripada fabrik khas.

“Di Finland sangat sukar untuk menarik gadis-gadis dari latar belakang imigran menyertai kelab bola sepak.

“Oleh itu kami ingin memulakan inisiatif ini untuk mengalu-alukan semua orang tanpa mengira agama dan bangsa sama ada anda mahu menggunakan tudung atau tidak untuk sertai kami,” kata Heidi.

“Tudung sukan ini tidak berkibaran seperti tudung biasa dan saya tidak perlu perlu menyematkannya ke dalam baju,”kata Nasro Bahnaan Hulbade, 13, mengenai tudung sukannya semasa sesi latihan di kelabnya VJS di Vantaa, di ibu negara Finland, Helsinki.

“Lebih mudah berlari apabila memakain tudung ini,” kata rakan sepasukannya

Kamila Nuh (kiri) dan Nasro Bahnaan Hulbade gembira apabila dibenarkan bertudung ketika menyertai kelab bola sepak Finland FA. Gambar: AFP

.

Menurut Heidi, kebanyakkan gadis dari golongan imigran tidak berminat menceburi sukan bukan disebabkan kos atau budaya tetapi halangan memakai tudung ketika bersukan sebelum ini menyebabkan mereka terpaksa melupakan hobi dan minat itu.

“Apabila ditawarkan tudung sukan ini ia memudahkan kami untuk bersukan,” katanya.

Walaupun mendapat banyak maklum balas positif, tindakan itu juga tidak lari daripada kritikan negatif apabila sesetengah pihak berpendapat wanita Islam dieksploitasi untuk sukan.

Bertudung di dalam sukan tidak menjejaskan prestasi pemain. Gambar: CTV News

Kajian oleh Pusat Penyelidikan Pew pada 2018 mendapati, Finland memiliki sifat anti-Muslim terkuat berbanding 15 negara lain.

“Kami menyokong hak semua wanita untuk memilih bertudung atau tidak. Bertudung atau berhijab bukanlah halangan dan di mana sahaja mereka boleh memilih untuk menutup rambut dan kami tetap mengalu-alukan,” kata Heidi sebagai membalas kritikan itu.

Walaupun pengumuman Finland FA itu dihujani reaksi negatif di media sosial, isu pengedaran hijab sukan itu tidak menjadi tajuk perbincangan utama di negara 5.5 juta penduduk itu.

Malah sentimen anti-imigran yang meluas di Finland, tidak begitu ditonjolkan dalam arena bola sepak, di mana meskipun terdapat sebilangan minoriti pemain imigran dalam pasukan kebangsaan lelaki namun sokongan penuh tetap diberi kepada semua.

Nasro Bahnaan Hulbade tidak merasa janggal berlatih dengan teman sepasukannya.

Dalam usaha lain untuk meningkatkan kesamarataan, Finland Amateur 2019 mengeluarkan perkataan ‘wanita’ daripada kategori pertandingan golongan hawa itu, menamakannya semula sebagai ‘Liga Nasional’.

Ia juga mengumumkan gaji dan bonus yang sama rata untuk pemain lelaki dan wanita dalam pasukan kebangsaan.

Memakai kit VJS berwarna merah seperti menyamai pasukan Liverpool, Kamila Nuh menyatakan minatnya terhadap sukan bola sepak dan tidak pernah merancang untuk berhenti bermain dalam masa terdekat.

Beliau mengakui Finland masih belum memiliki ramai pemain wanita namun beliau bercita-cita untuk menjadi salah seorang darinya.

Sumber: AFP

portal pic
Isu,

Rambut wanita yang dipotong tetap aurat. Tak boleh diperlihatkan pada orang lain sesuka hati

SAMA juga seperti kaum Hawa yang lain, wanita berhijab juga mempunyai keinginan untuk memotong rambut mereka.

Siapa yang tidak ingin kelihatan kemas meskipun bertudung litup apabila keluar rumah? Bagi setiap wanita, penjagaan rambut masih perlu dititik beratkan.

Masakan tidak, rambut umpama mahkota bagi seorang wanita. Jika di dalam rumah pula, pasti para wanita ingin kelihatan cantik dan rambut berdandan rapi terutama di hadapan suami masing-masing.

Namun begitu, adakah rambut yang telah dipotong tadi masih kekal sebagai aurat sekalipun ia telah terpisah dari kepala?

Kadangkala ada juga wanita yang mengalami masalah rambut gugur. Adakah rambut yang gugur itu masih dikira sebagai aurat juga?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU Salman) menjelaskan, haram hukumnya apabila melihat anggota yang terpisah dari badan orang bukan mahram kita.

“Anggota yang dimaksudkan itu adalah bahagian yang haram dilihat semasa ia belum berpisah dari tubuh lagi,” katanya sebagaimana dijelaskan menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Rambut wanita

Mengulas lanjut, PU Salman turut mengemukakan pandangan Imam al-Nawawi yang memperincikan bahagian anggota berkenaan.

Imam al-Nawawi dalam Kitab Raudathut Talibin menyebut: “Apa yang haram dilihat apabila masih bersambung pada tubuh manusia seperti zakar, lengan wanita, rambut wanita, bulu ari-ari dan seumpamanya adalah haram dilihat selepas ia berpisah dari badan mengikut pendapat yang lebih kuat.”

Pandangan itu juga, jelas PU Salman, ia turut disebutkan oleh ulama Mazhab Syafie yang lain. Antaranya, Khatib Syarbini dalam Kitab Mughnil Muhtaj menyatakan, apa yang haram dilihat semasa bersama badan, haram dilihat juga ketika ia berpisah daripada tubuh badan seseorang.

Baca juga: Tutup aurat bukan pilihan, ini yang wajib kita tahu

“Begitu juga dengan Ibnu Hajar Haitami yang mana beliau menyatakan, setiap yang haram dilihat semasa bersama badan daripada lelaki atau wanita, haram dilihat juga ketika ia berpisah seperti kuku yang sudah dipotong. Ia sebagaimana dipetik dalam Kitab Tuhfatul Muhtaj.

“Sementara itu, Sulaiman al-Bujairimi dalam Kitab Bujairimi alal Khatib menukilkan bahawa: ‘Dan yang sama hukum dengan kuku yang dipotong adalah darah dari badan atau kepala, tetapi tidak bagi kencing’,” katanya.

Jelas PU Salman, mudah kata, benda yang kotor seperti darah, air liur dan air kencing, ia tidak mengapa untuk dilihat.

Adakah para wanita perlu menyembunyikan rambut yang telah dipotong daripada pandangan lelaki bukan mahram?

Rambut wanita

Memperincikan jawapannya, pendakwah itu menjelaskan, terdapat tiga pandangan dalam Mazhab Syafie mengenai hal itu.

Berikut penjelasannya:

Pendapat pertama: Wajib tutup seperti rambut ketika masih berada pada kepala. Demikian pendapat Ibnu Hajar al-Haitami, Imam Ramli dan lain-lain.

Pendapat kedua: Tidak wajib tutup . Ini pendapat Imam Azraie yang disokong oleh Syeikh Syarbini.

Antara sebabnya adalah ijmak perbuatan orang Islam membuang rambut wanita dan bulu ari-ari di dalam tandas.

Pendapat ketiga: Seeloknya sembunyikan, tetapi tidak wajib. Ini pendapat Imam al-Nawawi dan Rafie.

Imam al-Nawawi dalam Kitab Raudah at-Talibin menyebut: “Dan hendaklah bagi yang mencukur bulu ari-ari menutup bulu-bulu itu agar tidak dilihat oleh orang lain.”

Melihat kepada perbahasan ulama itu, PU Salman menasihatkan kita agar menyembunyikan rambut, bulu dan kuku yang dipotong daripada pandangan orang lain yang haram melihatnya.

“Seelok-eloknya, lakukanlah begitu. Lebih-lebih lagi daripada pandangan orang yang haram melihatnya sebelum bahagian tadi dipotong (orang bukan mahram),” katanya.

Kepada para Muslimah, peliharalah aurat rambut kita dengan sebaiknya walaupun ia sudah dipotong dan tidak bersambung lagi dengan tubuh kita.

Sumber: Facebook PU Salman

Foto: Freepik

wanita
Berita Semasa,

Ramai ingat suara wanita itu aurat, tapi sebenarnya…

RAMAI ingat suara wanita itu aurat, tapi sebenarnya…

“Awak tu perempuan, mana boleh cakap kuat-kuat. Suara wanitakan aurat.”

Demikian antara frasa yang sering kali kita dengar daripada orang di sekeling. Ramai yang beranggapan suara wanita adalah aurat. Apatah lagi, jika suara itu lunak dan nyaring diperdengarkan kepada golongan yang bukan mahramnya.

Jika apa yang disuarakan itu melibatkan perbuatan yang lagha, sudah pasti tiada sesiapa yang akan menyangkalnya.

Baca juga Wanita ‘solo travel’ apakah hukumnya di sisi Islam?

Namun, apabila membabitkan kerja-kerja dakwah dan seumpama dengannya pula, bagaimana penilaiannya?

Adakah benar suara wanita sememangnya aurat? Apakah pandangan Islam mengenainya?

Jom ikuti penjelasan pendakwah Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud atau lebih dikenali sebagai Ustaz MK Azman tentang perkara ini:

USTAZ MK AZMAN

Menurut pendapat jumhur ulama, suara wanita tidaklah dikira sebagai aurat. Ini kerana para sahabat mendengar suara isteri-isteri Nabi Muhammad SAW untuk mempelajari hukum-hukum agama.

Namun, mereka diharamkan mendengar suara yang berbentuk lagu dan irama sekalipun bacaan al-Quran kerana dikhuatiri boleh menimbulkan fitnah.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Wahai isteri-isteri nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertakwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (Surah al-Ahzab, ayat 32)

Ketika menafsirkan ayat berkenaan, Ibn Khatir berkata, firman ALLAH SWT tentang ayat ‘oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing)’, kata Al-Sauddi dan selainnya; “Yang dimaksudkan adalah melembutkan kata-kata jika mereka berbicara dengan lelaki.”

Untuk itu, ALLAH SWT berfirman ‘yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu)’, iaitu bermaksud niat buruk.

Baca juga Hati-hati pakai jubah, dress. Wanita ‘bertelanjang’ tak cium bau Syurga

Sementara itu, ayat ‘dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)’, jelas Ibn Zaid; “Kata-kata yang baik, bagus dan maaruf dalam kebaikan. Makna hal ini adalah bahawa wanita berbicara kepada kaum lelaki dengan kata-kata yang tidak mengandungi kelembutan. Ertinya, janganlah seorang wanita berbicara dengan kaum lelaki seperti berbicara dengan suaminya.”

Berdasarkan perbahasan di atas, ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa suara wanita bukanlah aurat. Di samping itu, ramai tokoh wanita yang menjadi guru dan mengajar kepada anak muridnya bukan sahaja pada hari ini tetapi sejak berzaman lagi.

Dalam hal ini, suka untuk saya kongsikan pandangan Al-Alusi yang menyatakan: “Yang tersebut di dalam kitab-kitab fiqah Syafie, di mana aku sendiri cenderung kepada pendapat ini (suara bukan aurat) kecuali kalau dikhuatiri timbulnya fitnah.”

Baca juga Ada sebab mengapa wanita begitu dimuliakan dalam Islam, berikut perinciannya

Menurut ulama Mazhab Hanafi, pendapat yang rajih (sesuatu nas dan dalil daripada al-Quran) adalah suara wanita bukan aurat.

Patuhi syarat tertentu

Meskipun suara kaum Hawa bukan aurat, namun ia tidaklah boleh dipandang remeh. Masih ada syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi seandainya mereka mahu menyanyi umpamanya.

Tidak boleh sewenangnya-wenangnya mereka mengalunkan nyanyian tanpa menepati perkara ini. Antaranya menjaga adab-adab iaitu menutup aurat, tidak menggerakkan badan yang boleh mendatangkan fitnah, tidak bersolek dan wajib berpakaian sempurna seperti yang dituntut ke atas wanita Muslimah.

Suara wanita aurat

GURU wanita dibolehkan untuk menggunakan untuk mengajar para pelajar dan masyarakat awam.

Kedua, perlu dipastikan juga suasana majlis sebelum menyanyikan lagu iaitu tiada percampuran antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.

Paling signifikan, persembahan yang ingin dilakukan itu mestilah atas tujuan untuk berdakwah dan menanam kesedaran Islam seperti diadakan tazkirah atau zikir kepada ALLAH, bukan untuk berhibur semata-mata.

Baca juga Apakah sebenar hukum wanita mewarnakan kuku menurut Islam?

Seandainya tempat, suasana dan tujuan persembahan itu menepati syarat yang digariskan oleh syarak, gunakan peluang itu sebaiknya. Jadikan platform berkenaan untuk memberi kefahaman kepada mereka tentang agama Islam yang syumul.

Bagaimana pula suara wanita yang menyertai pertandingan tilawah al-Quran? Menjawab kepada persoalan itu, hukumnya adalah haram berdasarkan hujah-hujah yang telah diberikan. Namun begitu, di sisi Imam Syafie, ia diharuskan jika tidak menimbulkan fitnah.

Bagi wanita yang menggunakan suaranya dalam majlis ilmu, usahlah risau kerana hukumnya adalah harus. Tiada halangan untuk mereka bertanyakan soalan sekalipun kepada guru lelaki.

Bukan itu sahaja, guru wanita juga boleh menggunakan suaranya untuk mengajar masyarakat awam. Lazimnya, guru-guru dan pelajar-pelajar wanita tidak menggunakan suara yang merdu atau lemah lembut sehingga menimbulkan kegusaran pada hati orang lelaki ketika itu.

Baca juga [VIDEO] Wanita berhadas besar tak boleh masuk ke masjid walaupun untuk menimba ilmu dalam majlis agama

Kepada mereka yang selama ini keliru, sekali lagi ditegaskan bahawa suara wanita bukanlah aurat kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu. Misalnya, jika wanita berkenaan melunakkan suaranya dengan lelaki ajnabi yang bukan suaminya sehingga mendatangkan rasa ghairah dan seronok pada jiwa mereka, ia tidak dibenarkan sama sekali.

Diharapkan penjelasan daripada Ustaz Mohd Khairul Azman itu dapat meleraikan segala kekeliruan masyarakat sebelum ini.

Penulis: Pendakwah Ustaz Mohd Khairul Azman Md Daud 

Foto: 123rf & Unsplash