Browsing Tag

auckland

3 wanita
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti,

Hidayah Ramadan Saudara Baharu

no comment

Sudah masuk minggu kedua umat Islam seluruh dunia menjalani ibadah puasa dengan kelaparan dan dahaga sudah mula menjadi kebiasaan.

Jelas kebahagian, kecerian dan kepuasannya mula terpancar di wajah umat Islam yang semakin berlumba-lumba mengejar keistimewaan Ramadan apatah lagi bulan al-Quran itu juga dianggap ‘pesta ibadah’ umat Islam.

Lebih bermakna Ramadan disambut saudara baharu dari beberapa negara yang seronok dikurniakan hidayah untuk berkongsi kebahagian dan kemanisan menjadi salah seorang umat Muhammad di bulan yang berkat ini.

Veronika Edali bahagia disamping suami dan anak tunggalnya sambut Ramadan di Auckland.

Veronika Edali, 25 dilahirkan di Rusia mula memeluk Islam pada usia 18 tahun selepas menetap di Auckland, New Zealand. Pada tahun 2010, ketika itu dia baru berusia 15 tahun telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke New Zealand bagi mengejar kehidupan yang lebih baik.

“Saya memeluk Islam pada tahun 2013 ketika berusia 18 setelah tiga tahun menetap di Auckland. Alhamdulillah, Ramadan tahun ini adalah yang ke-9 bagi saya menyambutnya di New Zealand yang dihuni minoriti mereka yang beragama Islam. Namun di Auckland, kami mempunyai komuniti Islam yang besar dan mempunyai banyak masjid di pinggir-pinggir bandar.

“Ketika saya mula tiba di Auckland, saya melihat masjid-masjid dipenuhi dengan orang yang menghadiri solat tarawih. Saya melihat suasana umat Islam yang terdiri daripada pelbagai negara mengunjungi rakan-rakan dan keluarga terdekat. Mereka solat bersama, iftar dan menyambut Aidilfitri bersama-sama di Eden Park. Persekitaran yang meriah dan ada pasar yang banyak dengan makanan dan gula-gula yang lazat.

“Saya melihat komuniti Islam di sini sangat ramah, berkasih sayang, bantu-membantu dan semua di antara mereka seperti saudara-mara terdekat membuatkan saya jatuh hati untuk bersama mereka. Itulah yang dirasai setiap kali menjelang Ramadan saya cukup teruja kerana menjadikan saya seperti hari ini. Ramadan bagi saya adalah tanda kesyukuran buat saya yang diberikan hidayah dan bersyukur di atas keputusan terbaik dalam hidup saya,” katanya.

Kata Veronika, sepanjang hidupnya sebagai muslim, dia merasai berpuasa pada musim bunga, musim sejuk dan musim luruh dan puasa terpanjang baginya hanyalah 12 jam saja berbanding dengan negara lain seperti Iceland yang terpaksa berpuasa sehingga 22 jam.

“Kami biasanya bangun pada pukul 5 pagi untuk sahur dan mula berpuasa pada jam 5.30 pagi serta berbuka puasa pada jam 5.30 petang. Cuaca sekarang sangat sejuk kerana kita menghampiri musim sejuk, oleh itu kita tidak terlalu panas atau haus sepanjang berpuasa. Ini akan berubah seiring Ramadan menjelang musim panas bagi kita dalam beberapa tahun.

Gadis Jepun, Nur Arisa Maryam bahagia sambut Ramadan di Kota London.

Bagi Nur Arisa Maryam seorang muslimah yang dilahirkan di Tokyo, Jepun dan kini menetap di London sering menafikan sebilangan orang berpendapat bahawa umat Islam di United Kingdom tidak menikmati Ramadan kerana ia bukan negara majoriti Islam adalah tidak benar.

“Alhamdulillah, London mempunyai jumlah penduduk Muslim yang ramai, di sini biasanya kita akan menjumpai ramai orang Islam, masjid dan restoran halal. Sebelum Ramadan, pasar raya di sini membuat penjualan Ramadan dan menghantarnya ke rumah-rumah supaya banyak orang dapat simpanan makanan Halal sebelum Ramadan bermula. Jadi di pasar raya mereka mempunyai bahagian untuk ‘Ramadan’ yang menjual makanan Halal, kurma dan lain-lain. Terdapat juga banyak masjid di mana kita boleh berbuka puasa dan solat tarawih.

“Ketika ini waktu untuk bersahur pada jam 3.45 pagi dan iftar pada jam 8.30 malam. Ramadan musim panas agak sukar di sini kerana kita tidak mempunyai banyak waktu antara Maghrib dan Subuh, adakalanya hanya 5 jam saja. Kebanyakkan muslim di sini akan berjaga sepanjang malam melakukan ibadah dan berdoa kerana kita hanya ada sedikit saja waktu untuk tidur. Namun Ramadan pada musim sejuk sangat mudah kerana waktu Maghrib sebelum jam 4 petang.

“Sepanjang Ramadan ini saya menghadiri kelas khas Ramadan di tempat saya belajar, mendengar kuliah agama, berdoa, membaca al-Quran, membaca buku-buku Islam, berehat dan menikmati juadah berbuka puasa.

“Manakala cabaran terbesar saya sepanjang bulan Ramadan adalah untuk menghabiskan bacaan al-Quran. Saya berusaha untuk memberi perhatian untuk khatam bacaan al-Quran dan mencari apa saja peluang masa yang ada untuk menghabiskannya. Selain itu, penting juga bagi saya untuk merancang puasa yang panjang agar dapat makan dengan sihat dan mengambil air secukupnya bagi menahan diri sepanjang waktu puasa.

Berbeza cabaran buat Candace yang menetap Selatan California, selepas tahun kedua berpuasa baginya semakin selesa berbanding apa yang dilaluinya sebelum ini selepas dua tahun bergelar muslimah.

Candace nekad belajar bahasa Arab sehingga dapat membaca dan menulis al-Quran.

“Ramadan pertama saya adalah tahun lalu dan ini adalah kali pertama saya pergi ke masjid dan bersolat secara berjemaah. Saya sangat gementar dan merasa malu untuk pergi buat pertama kalinya kerana bimbang saya akan melakukan sesuatu yang salah, agak menakutkan menjadi orang baru. Saya mahu bersolat Tarawih sepanjang bulan Ramadan ini dan saya merasa sangat gembira untuk menghabiskannya

“Tahun ini jauh berbeza kerana kita harus melakukan penjarakkan sosial dan karantina di rumah. Kini saya menjalani kehidupan sebagai muslim seperti biasa saja kerana tidak ada rakan atau keluarga saya yang beragama Islam dan tahu apa yang saya lakukan. Saya berpuasa secara rahsia kerana rakan sebilik saya tidak tahu bahawa saya beragama Islam, jadi saya menghabiskan sebahagian besar masa, berdiam diri di dalam bilik atau terus sibuk dengan tugasan belajar. Saya juga kini fokus untuk menghafal surah-surah baru dan 99 nama Allah SWT, membaca al-Quran dan mendengar kuliah Islam secara dalam talian. Saya sangat berterima kasih kepada Islam dan peluang kedua saya berpuasa Ramadan. Alhamdulillah.

“Ramadan pada musim sejuk hari-hari yang dilalui terasa agak pendek. Kami biasanya solat subuh sekitar jam 7 pagi dan solat Maghrib pada jam 5 petang. Kami kini menghampiri hari-hari yang lebih lama sepanjang Ramadan, jadi waktu suhur saya biasanya bermula sekitar 4 pagi dan berbuka puasa pada jam 8.10 malam. Amerika Syarikat ini negara yang besar, jadi waktunya juga berbeza dengan tempat-tempat lain.

“Kawasan yang saya tinggal adalah beriklim sub-Mediterranean, jadi kami selalu mengalami cuaca yang sangat sederhana, Alhamdulillah. Suhu biasanya berada di antara 50 hingga 80 Fahrenheit sepanjang tahun. Saya menyukainya kerana tidak ada cuaca yang melampau, menjadikan pemandangan sekitar cukup indah. Ini menyebabkan kita lebih mudah untuk berpuasa pada musim sejuk kerana harinya jauh lebih pendek, tetapi cuaca tidak banyak berubah menjadikan setiap hari hampir seperti musim panas.

“Saya suka solat bersendirian pada satu per tiga malam terakhir, selain membaca al-Quran selama kira-kira satu jam dan kemudian berdoa. Saya memberi tumpuan kepada pengajian Islam sepanjang hari, dan proses untuk belajar bahasa Arab sehingga saya dapat membaca dan menulis al-Quran suatu hari nanti.