Browsing Tag

Atlantic slave trade

“Section of Embarkation Canoe.” [The Illustrated London News (April 14, 1849), vol. 14, p. 237]
Jendela Dunia,

Doa Hamba Paksa Muslim Afrika Sudah Dijawab

no comment

Oleh MUHAMMAD YUSUFF HASSAN

PADA Ramadan 1835, orang Afrika Muslim yang diculik dan dipaksa menjadi hamba, mencetuskan pemberontakan di Salvador of Bahía, Brazil.

Ia adalah salah satu pemberontakan yang dianggap paling rapi disusun di benua Amerika sejak tahun 1522 yang  mula menyaksikan penduduk pesisir pantai barat Afrika dipaksa menjadi hamba di dunia baharu yang terlalu asing bagi mereka. 

Sejarawan menggelar pemberontakan itu sebagai Malê Revolt, yang walaupun tidak berjaya, banyak menyumbang kepada penghapusan penghambaan di Brazil pada 1888.

Pemberontakan yang turut disertai oleh hamba paksa Afrika bukan Muslim berputik dari madrasah yang kebanyakannya didirikkan secara sembunyi.

Rosa Margarita dari Yaqeen Institute for Islamic Research menceritakan semula kisah perjuangan masyarakat ini, dan harga yang mereka terpaksa bayar untuk hidup bebas. (Sumber : Yaqeeninstitute org)

Di madrasah kecil seperti inilah hamba paksa sering mencuri keluar dari ladang pada malam hari untuk terus berpaut kepada ajaran agama mereka.

Kisah sejarah ini hampir dilupakan, namun hampir  satu setengah abad kemudian, kajian Margarita Rosa dari Yaqeen Institute for Islamic Research menceritakan semula kisah perjuangan masyarakat ini, dan harga yang mereka terpaksa bayar untuk hidup bebas. 

Walaupun kisah masyarakat itu hampir layu di mamah kemodenan, Rosa percaya bahawa komuniti Muslim Afrika-Amerika Syarikat dewasa ini adalah “Jawapan daripada Allah” terhadap doa yang dijumpai pada tubuh seorang pemuda yang terkorban semasa Pemberontakan Malê.

Terlilit pada leher pemuda terkorban itu seumpama tangkal dengan cebisan kertas berinskripsi doa dari surah al-Baqarah ayat 128 yang bermaksud:

“Ya Tuhan kami, jadikanlah kami orang yang berserah diri kepada-Mu, dan anak cucu kami (juga) umat yang berserah diri kepada-Mu”

 

Terlilit pada leher pemuda terkorban itu seumpama tangkal dengan cebisan kertas berinskripsi doa dari surah al-Baqarah ayat 128 yang bermaksud:

“Ya Tuhan kami, jadikanlah kami orang yang berserah diri kepada-Mu, dan anak cucu kami (juga) umat yang berserah diri kepada-Mu “

Fasih berbahasa Sepanyol, Portugis dan Arab, Rosa adalah calon PhD dalam jurusan Sastera Perbandingan di Universiti Princeton, New Jersey.

Lahir di Republik Dominica, Rosa tegas tidak janggal baginya membicarakan kisah gelap perdagangan hamba transatlantik.

Lukisan menggambarkan “African Slave Trafic,” oleh William O. Blake

Baginya, ia bukanlah sesuatu yang terpisah jauh daripada dirinya, malah ia adalah misi peribadi untuk menghidupkan semula kisah silam yang hilang dan cuba dilupakan.

“Ia harus dihidup semula kerana ia adalah warisan kebangkitan,” 

Pertama kali Christopher Columbus  menjejakkan kaki di “Dunia Baharu”, dia tiba di pantai Republik Dominica.

Ini menjadikan kawasan itu jajahan atau “penerokaan” pertama Columbus. 

“Seluruh bangsa kita wujud atas dasar penjajahan,” jelas Rosa. “Seluruh keberadaan yang kita kecapi berada di bawah kerangka penjajahan. Jadi secara semula jadi kajian penjajahan adalah suatu yang  menarik bagi saya”.

Gambaran hukuman yang dilakukan di hadapan umum terhadap seorang seorang hamba, Rio de Janeiro, 1834-1839 (Image courtesy of Wikimedia Commons)

“Republik Dominica juga tempat tercetusnya pemberontakan hamba pertama  pada tahun 1521 oleh orang-orang Wolof dari wilayah Sene-Gambian.

“Mereka adalah umat Islam, yang diculik dari barat benua Afrika dan dipaksa hidup dalam penghambaan di ‘Dunia Baharu’, kata Rosa.

Menurut kajian David Eltis dan David Richardson dalam buku karangan mereka yang bertajuk “Atlas of the Transatlantic Slave Trade” kira-kira 12.5 juta orang Afrika diculik di antara tahun 1501 dan 1867,  yang melibatkan hampir setiap negara Afrika di perairan Atlantik. 

Menurut penyelidikan Rosa pula, di antara 10-30 peratus hamba yang diperdagangkan itu adalah beragama Islam (atau membabitkan jumlah antara 1.25 juta – 3.5 juta orang). 

Sebahagian besar daripada mereka ditempatkan di Brazil, negara yang paling banyak menerima hamba sepanjang tempoh tersebut.

Pelayaran menuju Dunia Baharu bukan sahaja berbahaya, malah ia membawa risiko kematian serta penularan penyakit akibat ketidakselesaan pengangkutan.

Rata-rata mereka yang diculik tidak mempunyai harapan untuk melihat semula tanah air atau keluarga mereka.

Menurut Rosa, hamba paksa Muslim yang terpisah jauh daripada komuniti asal mereka ini, cuba sedaya upaya membangunkan cara hiidup dan amalan mereka tetapi usaha itu berdepan dengan halangan yang amat sukar dibayangkan. 

Ekonomi perladangan di Amerika sebahagian besarnya didasarkan kepada pekerja hamba dari Afrika sepanjang abad ke-19. (Sumber : Marc Ferrez Moreira Salles Institute Archive)

“Nasib orang Islam yang diperhambakan ini sama seperti mereka yang diperdagangkan di Amerika utara. Hamba paksa ini berada dalam keadaan paling tertindas,” katanya.

“Mereka langsung tidak mempuyai hak atau pilihan. Tidak langsung mempunyai kuasa terhadap kehidupan mereka.

“Malah juga tidak mempunyai hak untuk mengamalkan dan mentaati perintah agama mereka” tambah Rosa.

Namun Rosa berkata, hamba paksa Muslim ini adalah golongan yang sangat berpegang teguh kepada agama walaupun teruk ditindas.

Menurut beberapa kisah dan kajian sejarah yang ditemukan Rosa,  dalam kalangan hamba  paksa Muslim ini ada yang masih mengamalkan solat dan berpuasa pada bulan Ramadan.

Buku doa milik hamba Afrika di temui masih ada di Catholic University of Bahia (arkib : Universidade Católica da Bahia

Malah ada yang masih memberikan zakat kepada hamba-hamba yang lebih miskin dan ada juga menawarkan bantuan untuk memerdekakan dalam kalangan mereka.

Banyak juga penulisan yang ditemui menceritakan umat Islam ini tidak mahu hidup mereka terpisah daripada agama meskipun mereka sudah menjadi hamba paksa.

Hamba Muslim di Bahia (lokasi Pemberotakan Malê) menggadai nyawa untuk curi keluar dari ladang pada malam hari untuk berjumpa di kelas-kelas keagamaan semata-mata untuk memelihara iman di dada.

Salvador, ibu kota wilayah Bahia.1870 (Sumber : Wiki Commons)

“Sangat sukar untuk membayangkan keadaan ini – di mana untuk mengikuti kelas, untuk belajar Al-Quran, selepas penat kerja sepanjang hari mereka menyusup keluar dalam kegelapan untuk menghadiri kelas agama,” kata Rosa yang menjelaskan perkara ini dicatatkan dalam manuskrip 1865 yang ditemuinya.

“Bayangkan mereka harus menyelesaikan semua pekerjaan sepanjang hari, melarikan diri dari ladang, mencari guru yang mungkin juga adalah seorang hamba paksa juga, pulang semula ke ladang selepas selesai kelas dan hanya mempunyai berapa jam untuk tidur sebelum memulakan semula  tugas harian di ladang,” kata Rosa lagi.

Dalam semua hal ini, kerahsiaan adalah sangat penting kerana tidak mahu menimbulkan kecurigaan dan kemarahan pemilik ladang dan pihak berkuasa.

Dari segi pakaian pun mereka terbatas kerana jubah putih tradisi yang biasa disarung oleh masyarakat Muslim Afriika dianggap sebagai simbol pemberontakan oleh pihak berkuasa.

Semasa mengadakan perjumpaan rahsia umat Islam Afrika ini yang mempunyai kesamaan dari segi etno-linguistik mengatur gerakan penentangan mereka. 

“Pemberontakan hamba paksa Muslim bertapak pada landasan yang berbeza daripada yang lain kerana mereka dibesarkan dengan pendidikan Islam,” kata Rosa.

Manuskrip yang ditulis oleh hamba abdi dalam bahasa arab di temui di Brazil (Sumber : Arquivo Publicodo Estadoda Bahia)

Agama kekal penting dalam hidup mereka walaupun di Dunia Baharu dan ia menjadi pembakar semangat untuk hidup bebas.

Walaupun Amerika Syarikat telah lama tahu mengenai hak-hak minoriti, terutama orang keturunan Afrika Amerika, ramai berpendapat perjuangan Black Live Matters harus dimanfaatkan untuk memperoleh hak yang selama ini mereka “tidak menikmati.”

Sejarah hamba paksa Afrika Muslim, yang dibawa ke benua Amerika, adalah peringatan tentang perjuangan untuk pembebasan, sebuah perjalanan yang memberikan pelajaran yang besar pada dunia.

Kesan perjuangan hamba paksa inilah, antara yang mencetus penggubalan Akta McCarran-Walter pada 1952 yang melonggarkan sistem kuota yang dikuatkuasakan sejak 1924, sehingga memungkinkan penghijrahan orang Muslim dalam jumlah yang lebih besar ke Amerika Syarikat.

Kuota itu dibuka dengan lebih luas lagi setelah 1965 di bawah undang-undang imigrasi Amerika Syarikat. 

Koleksi helaian dan cebisan tinggalan hamba abdi di Brazil (Sumber : Yaqeen institute/Brazil House Brochure)

Sejak itu, ramai pendatang Muslim telah membangunkan penempatan baharu di negara itu.

Pendatang baharu itu adalah dari Mesir, Iraq, dan Syria, dan begitu juga Muslim dari Asia Selatan, seperti dari Pakistan, menjadikan populasi umat Islam lebih pesat berkembang. 

Pada tahun 1990-an sahaja, umat Islam telah mendirikan lebih daripada 600 masjid dan pusat kebudayaan di seluruh Amerika Syarikat, semua hasil usaha yang dimulakan oleh mereka yang pernah diperhambakan satu ketika dahulu.

Legasi perjuangan ini masih diteruskan sehingga kini… di mana umat Islam dan kisah hamba paksa Afrika menjadi kekuatan untuk orang-orang Asia yang turut tertindas memperjuangkan hak-hak mereka di negara Uncle Sam itu 

_____________________

Yaqeeninstitute.org//National Humanities Center/TRT World

 

Salinan resit penjualan hamba di Rio de Janeiro, 1851 (Gambar : Wikimedia Commons)