Browsing Tag

asyura

Asyura
Ibadah,

Sunat berbelanja besar untuk keluarga pada hari Asyura

ESOK merupakan hari Asyura yang jatuh pada 10 Muharam. Selain galakan berpuasa, ada lagi satu perkara yang boleh dilakukan pada hari berkenaan.

Ketahuilah bahawa umat Islam disunatkan berbelanja besar untuk keluarga pada hari Asyura.

Ia dinyatakan dengan jelas dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang meluaskan berbelanja pada anak isterinya pada hari Asyura, ALLAH meluaskan rezekinya sepanjang tahun.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi dan at-Tabarani)

Demikian yang ditulis pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

PU SALMAN

Meskipun hadis itu daif dan ulama berselisih pandangan tentang sanadnya, jelas beliau, ulama empat mazhab utama utama dalam Islam sepakat mengatakan, sunat melakukan demikian.

Baca juga Begitu istimewa Hari Asyura, Rasulullah SAW pun turut mengejar kebaikannya

“Sekalipun ada sanad yang daif, tetapi jika dihimpunkan, ia menjadi kuat.

“Bahkan, salafus soleh telah mengujinya dan ternyata hasilnya rezeki luas sepanjang tahun,” ungkapnya.

Bukan setakat membelanja keluarga, tetapi juga penceramah itu menjelaskan, ia termasuklah membuat bubur Asyura untuk diagihkan kepada rakan mahupun handai taulan.

Menguatkan lagi hujahnya, PU Salman turut menghimpunkan pandangan empat mazhab yang menyatakan sunat berbelanja besar untuk ahli keluarga dan kaum kerabat seperti berikut:

1. Imam Sowi (Mazhab Maliki).

– Sunat berbelanja besar pada hari 10 Muharam untuk keluarga dan kaum kerabat.

Baca juga Puasa sunat hari Asyura hari ini. Boleh ke hanya puasa 10 Muharram saja. Ini penjelasannya… 

2. Syeikh al-Jamal (Mazhab Syafie).

Asyura

JANGAN lepaskan peluang belanja keluarga pada hari 10 Muharam kerana ia merupakan antara perkara yang disunatkan. -Foto: 123rf

– Dalam Hasyiah alal Fathil Wahhab, Syeikh al-Jamal mengatakan: “Sunat berbelanja besar pada hari Asyura untuk keluarga dan kaum kerabat, sedekah pada fakir miskin tanpa memaksa-maksa. Jika tiada wang, maka elokkanlah akhlak dan jauhi daripada kezaliman.”

3. Imam Buhuti (Mazhab Hanbali).

– Sunat berbelanja besar pada hari Asyura untuk keluarga.

4. Ibnu Abidin (Mazhab Hanafi).

– Beliau berkata dan Hasyiahnya: “Ya, hadis meluaskan belanja diterima dan sahih menurut Imam Suyuti dalam kitab Durur. Oleh itu, harus meluaskan belanja hari Asyura seperti yang disebut dalam hadis.”

Justeru, marilah kita sama-sama melakukan sunnah berkenaan jika mempunyai wang lebih. Alangkah bahagianya hati apabila melihat insan kesayangan kita mengukir senyuman indah.

Puasa 10 Muharam
Ibadah,

Jangan terlepas peluang puasa sunat Tasu’a dan Asyura 27 dan 28 Julai / 9 dan 10 Muharam ini

PUASA pada bulan Muharam adalah puasa yang paling afdal (terbaik) selepas berpuasa pada bulan Ramadan. Ini kerana Muharam merupakan awal tahun Hijrah, maka sangat digalakkan dibuka dengan amalan puasa yang merupakan amalan paling utama.

Tarikh puasa Tasu’a dan Asyura 1445H

27 Julai 2023 (Khamis) dan 28 Julai 2023 (Jumaat) = 9 dan 10 Muharam 1445H

Memetik perkongsian Pusat Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), antara amalan sunat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam bulan Muharam adalah berpuasa pada 10 Muharam atau lebih dikenali dengan puasa Asyura’.

Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Abbas RA: Maksudnya: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura’ dan Baginda menyuruh puasa pada hari tersebut.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara kelebihan berpuasa di hari aAyura’ ialah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya sepertimana yang disebut Abu Qatadah RA: Maksudnya: “Ia menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)

SUNAT puasa hari ke 9 dan 1o Muharam. -Foto: Dr Ahmad Sanusi Azmi 

Akan tetapi pada hari tersebut, orang-orang Yahudi juga berpuasa kerana ALLAH SWT telah menyelamatkan Nabi Musa AS dan Bani Israil daripada musuh mereka. Mereka menggelarkan hari tersebut dengan Yom Kippur, atau diterjemahkan ke bahasa Arab dengan Yaumul Ghufran (Hari Keampunan).

Justeru, Nabi SAW memerintahkan umat Islam agar melaksanakan puasa Tasu’a’ yang bermaksud hari yang ke 9 Muharram.

Hal ini dirakamkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA, sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Jika aku masih hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari yang kesembilan Muharam.” (Hadis Riwayat Muslim)

ARTIKEL BERKAITAN 

Daripada hadis di atas, ulama menyimpulkan bahawa sunat berpuasa pada hari yang ke 9 dan 11 Muharam bertujuan mengelakkan persamaan ibadah dengan agama lain.

Pun begitu terdapat 3 lagi puasa sunat yang boleh diamalkan setiap bulan termasuklah bulan Muharam ini iaitu puasa Hari Putih.

Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Dzar RA: Maksudnya: “Sekiranya engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, puasalah pada 13, 14, dan 15 haribulan.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Tuntasnya, terdapat 6 hari puasa bulan Muharram yang boleh kita amalkan di bulan yang mulia ini. Semoga segala amalan kita diterima ALLAH SWT dan mendapat keberkatan dari-NYA.

ULAMA menyimpulkan bahawa sunat berpuasa pada hari yang ke 9 dan 11 Muharam bertujuan mengelakkan persamaan ibadah dengan agama lain. Foto: JAKIM

Niat puasa

1.Niat Puasa Hari Tasu’a (9 Muharram : Khamis)

نَوَيْتُ صَوْم تَاسُوعَاء سُنَّة لله تَعَالى

Nawaitu Sauma Tasu’a Sunnata Lillahita’ala

Maksudnya :“Sahaja Aku Puasa Sunat Hari Tasu’a Esok Hari Kerana ALLAH Ta’ala.”

2.Niat Puasa Hari ‘Asyura (10 Muharram : Jumaat)

نَوَيْتُ صَوْم عَاشُورَاء سُنَّة لله تَعَالى

Nawaitu Sauma ‘Asyura Sunnata Lillahita’ala

Maksudnya : “Sahaja Aku Puasa Sunat Hari Asyura Esok Hari Kerana ALLAH Ta’ala”

hari asyura
Berita Semasa,

Begitu istimewa Hari Asyura, Rasulullah SAW pun turut mengejar kebaikannya

BEGITU istimewa Hari Asyura, Rasulullah SAW pun turut mengejar kebaikannya.

Hari Asyura merupakan salah satu hari penting yang diraikan oleh umat Islam seluruh dunia.

‘Asyura’ berasal daripada perkataan Arab ‘asyara’ yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam bulan Muharam.

Begitu istimewanya Hari Asyura sehingga Rasulullah SAW sendiri mengejar kebaikan yang ada pada hari berkenaan.

Kata Ibnu Abbas RA apabila ditanyakan mengenai puasa Asyura, beliau berkata: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadilatnya lebih berbanding hari hari yang lain melainkan hari ini; iaitu hari Asyura.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Di Malaysia, sambutan Hari Asyura tidaklah sebesar keraian Islam yang lain seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Baca juga Benarkah buku amalan diangkat pada awal Muharam? Berikut perinciannya

Persoalannya, apa yang menjadikan Hari Asyura begitu istimewa? Dan mengapa puasa sunat hari Asyura antara puasa yang diutamakan oleh Baginda SAW?

1. Berlaku pada bulan yang mulia.

Hari Asyura mempunyai banyak fadilat kerana ia terjadi pada salah satu bulan yang mulia dalam Islam.

Seperti yang disebutkan dalam al-Quran, ALLAH SWT memuliakan empat bulan yang dikenali sebagai ‘bulan haram’ daripada 12 bulan yang ada dalam satu tahun hijriyah.

ALLAH berfirman, “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) ALLAH ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab ALLAH semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati…” (Surah at-Taubah, ayat 36)

hari asyura

KITA seharusnya perbanyakkan amal ibadah serta menjauhi maksiat sepanjang empat bulan haram tersebut.

Empat bulan haram tersebut terdiri dari bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Ini sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW, iaitu

Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika ALLAH SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Mengapa bulan-bulan tersebut digelar ‘bulan haram’ adalah kerana sepanjang tempoh itu, umat Islam diharamkan berperang dan melakukan sebarang maksiat. Bahkan, dosa yang diperoleh dalam bulan haram adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain.

Baca juga Dosa Digandakan Apabila Melakukan Maksiat Dalam Bulan Haram?

2. Nabi Musa AS diselamatkan oleh ALLAH dari Firaun.

Kisah Nabi Musa AS yang terkenal termaktub dalam kalamullah menerusi surah Yunus ayat 90. Dengan pertolongan ALLAH, Laut Merah terbelah untuk menyelamatkan Nabi Musa AS dan umatnya dengan menenggelamkan tentera Firaun pada 10 Muharram.

Ibnu Abbas RA berkata: “Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, Baginda SAW melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura, lalu baginda bertanya: Apakah ini? Mereka menjawab: Hari ini adalah hari yang baik di mana ALLAH telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa. Lalu baginda SAW bersabda: Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu, maka baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Baca juga Puasa Hari Asyura singkirkan dosa-dosa silam? Berikut perinciannya

3. Puasa Hari Asyura dahulu diwajibkan. 
Puasa pada hari Asyura adalah suatu perkara yang wajib sebelum difardukan puasa Ramadan pada tahun ke-2 Hijrah. Namun ia tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut.

Menurut Saidatina Aisyah RA, “Hari Asyura adalah suatu hari yang mana orang-orang Quraish berpuasa padanya ketika Jahiliyyah. Dan Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari tersebut. Ketika sampai di Madinah, Nabi SAW berpuasa pada hari Asyura dan baginda menyuruh umat Islam berpuasa pada hari tersebut.

Namun apabila difardukan puasa Ramadan, baginda bersabda, “Sesiapa yang hendak, maka berpuasalah ia (pada hari Asyura), dan sesiapa yang tidak mahu tinggallah ia (puasa Asyura).”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

hari asyura

ADA beberapa tingkat puasa pada waktu ini. Puasa yang paling terbaik adalah apabila ia dilakukan pada 9, 10 dan 11 Muharam.

4. Puasa terbaik selepas Ramadan
Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sebaik-baik puasa setelah bulan Ramadan adalah berpuasa pada bulan ALLAH al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdal setelah solat fardu adalah solat malam (qiamullail).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Baca juga Puasa sunat hari Asyura hari ini. Boleh ke hanya puasa 10 Muharram saja. Ini penjelasannya… 

5. Diampunkan dosa lalu
Selain itu, puasa sunat yang dilakukan pada Hari Asyura dapat menghapuskan dosa-dosa lama.

Daripada Abu Qatadah al-Ansari bahawa: “Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa pada hari Asyura. Maka, baginda menjawab: “Puasa itu menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Peristiwa penting para nabi dan rasul yang perlu kita tahu

Mengikut sejarah Islam, hari Asyura juga telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Selain kisah Nabi Musa AS, berikut antara peristiwa melibatkan para nabi lain yang juga berlaku pada Hari Asyura.

1. Taubat Nabi Adam AS diterima ALLAH
2. Kapal Nabi Nuh AS berlabuh di Bukit Judi
3. Nabi Ibrahim AS terselamat daripada seksa Namrud
4. Nabi Yusuf bebas dari penjara
5. Nabi Yunus AS selamat dari perut ikan besar.
6. Penyakit Nabi Ayub AS disembuh oleh ALLAH

Oleh itu, selain menghormati Hari Asyura, umat Islam juga digalakkan memperbanyakkan amal ibadah pada hari tersebut.

Begitu istimewa Hari Asyura, Rasulullah SAW pun turut mengejar kebaikannya

Foto: Unsplash & Pexels