Browsing Tag

as-sajdah

malaysia #quranhour
Berita Semasa,

Ayuh bersujud, Malaysia #QuranHour hari ini angkat surah as-Sajdah

PROGRAM Malaysia #QuranHour yang bakal diadakan hari ini mengajak rakyat amalkan bersujud menerusi surah as-Sajdah.

Selaras dengan tema Hari Kebangsaan 2022, iaitu ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, surah itu juga boleh dijadikan teladan masyarakat melalui kerangka 5S sebagai panduan dan solusi dalam membina sebuah keluarga, organisasi dan negara berbudi dan penyayang yang diredai ALLAH SWT.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff memberitahu Sinar Harian bahawa surah as-Sajdah dipilih bertujuan untuk mengikut model Rasulullah SAW, selain mahu mengubah pemikiran manusia supaya tidak rasa sombong dalam diri sehingga mengakibatkan perpecahan dalam masyarakat dan negara.

Baca juga Mengapa Rasulullah membaca surah al-Sajadah hari Jumaat?

“Kita nak lahirkan ummah yang boleh ikut apa yang Rasulullah SAW buat. Baca surah al-Mulk dan as-Sajdah sebelum tidur. Paling penting kita nak membina kerangka fikir kita berubah dengan apa yang surah ini sampaikan.

“Jadi tema utama dalam surah as-Sajdah ini adalah dunia bersujud. Kita nak ajak semua sujud dan masing-masing merasakan penting untuk kita sujud kepada ALLAH SWT.

“Selain itu, membuang ego pada sesama manusia, sekali gus membuahkan hasil dunia berbudi dan penyayang,” katanya ketika as-Sajdah turut menjadi surah pilihan dalam program World #QuranHour pada 26 April tahun ini.

malaysia #quranhour

KERANGKA 5S berdasarkan surah as-Sajdah. Melalui tiga aspek iaitu sujud, sedekah dan sabar, negara diharapkan dapat mencapai tahap ‘Baldatun Toyyibatun was Rabbun Ghafur’ (Negeri yang Baik dan TUHAN YANG MAHA PENGAMPUN)

Kelebihan bersujud

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud: “Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia bersujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, “Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud tetapi aku menolak maka neraka untukku.”” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, sesiapa membaca surah As-Sajdah dan surah Fatir pada awal malam akan dilindungi ALLAH SWT sehingga keesokan harinya.

Jabir RA mengatakan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Nabi Muhammad SAW tidak akan tidur sehingga dia membaca surah As-Sajdah dan surah al-Mulk.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan KAMI hanyalah orang-orang yang diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji TUHAN mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.” (Surah al-Sajdah, ayat 15)

Baca juga Elak seksaan kubur, jom sama-sama amalkan Surah al-Mulk setiap hari

Ayat di atas menerangkan salah satu tanda bagi orang yang beriman dengan ayat-ayat ALLAH adalah mereka yang bersujud apabila diperingatkan dengan ayat-ayatNYA. Dalam ayat ini juga terdapat tanda sajdah dan kita disunatkan mengerjakan sujud Tilawah apabila membaca atau mendengarnya.

Sama-sama kita gemakan surah as-Sajdah serta hidupkan al-Quran dalam diri sendiri, keluarga dan masyarakat menerusi program Malaysia #QuranHour hari ini.

Tarikh: 30 Ogos 2022/2 Safar 1444H, Selasa
Masa: 12.00 – 1.00 tengah hari
Lokasi Perdana: Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya

Bagi yang boleh hadir di lokasi perdana, daftar di https://bit.ly/KEHADIRANMQH1444H2022

Penyertaan Malaysia #QuranHour di lokasi masing-masing, daftar di https://bit.ly/RegMQH1444H

Anda juga boleh muat turun panduan tadabbur dan bahan-bahan Malaysia #QuranHour di https://bit.ly/MQH2022

‘Malaysia Bersujud, Keluarga Malaysia Teguh Bersama.’

Foto & Sumber: Media sosial Yayasan Warisan Ummah Ikhlas