Browsing Tag

Arab Saudi

ENBbCy7XsAIsMJg
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Arab Saudi Sasar 100 Juta Pelancong Setiap Tahun

no comment

SELAIN menjadi tumpuan umat Islam dunia datang berkunjung untuk melakukan ibadah Haji dan Umrah, Arab Saudi kini giat memperluaskan sektor pelancongannya dengan mengumumkan beberapa program dan inisiatif kerajaan.

Ia bagi tujuan menetapkan indikator prestasi untuk merealisasikan Wawasan 2030 yang akan menarik 100 juta pelancong menjelang tahun 2030.

Arab Saudi nantikan kunjungan 100 juta pelancong menjelang 2030. Gambar: Travel Daily

Sasaran 55 juta pelancong antarabangsa masuk dan 45 juta pelancong domestik akan memberikan peluang kepada satu juta pekerjaan dan menyumbang 10 peratus Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) kepada negara.

Sebelum berlakunya pandemik Covid-19, sebanyak 450,000 visa pelancong dikeluarkan oleh Lembaga Pelancongan Kerajaan yang telah melancarkan program visa pelancong pada tahun 2019.

Visa pelancong diberikan kepada 49 negara pada peringkat awal dan mempermudahkan kemasukan pelancong dengan permohonan visa secara elektronik atau melalui pintu masuk negara dengan kawalan peraturan tertentu.

Tarikan geografi muka bumi Saudi yang unik menarik pencinta alam semulajadi untuk datang. Gambar: Visit Saudi

Pelancong ke Arab Saudi ditawarkan dengan kepelbagaian geografi dan sejarah dari sumber alam semula jadi, khazanah arkeologi dan tempat bersejarah yang memenuhi aspirasi pelancong.

Pihak Lembaga Pelancongan telah menyiapkan program untuk menarik pelancong dan telah bekerjasama dengan pelabur dari sektor swasta.

Pihak berkuasa juga telah turut serta dalam pameran pelancongan tempatan dan antarabangsa serta menguruskan destinasi pemasaran, lokasi, jadual perjalanan, produk dan pakej pelancongan secara dalaman dan luaran.

Masjidil Haram menerima kunjungan jemaah jutaan orang setiap musim haji dan umrah. Gambar: News24

Pelbagai kempen pemasaran dan promosi telah dilancarkan kerajaan antaranya “Summer of Saudi Arabia” yang dilancarkan menerusi platform “Spirit of Saudi Arabia” dengan slogan “Our Summer, Your Mood“.

Ia bertujuan untuk mempromosikan 11 destinasi pelancongan hingga akhir September depan dengan lebih dari 500 destinasi pelancongan yang disediakan oleh 250 rakan sektor swasta.

Pelancongan adalah salah satu tonggak Wawasan 2030 yang bergabung dalam mempelbagaikan dasar ekonomi nasional, menarik pelabur, meningkatkan sumber pendapatan dan memberikan peluang pekerjaan bagi warganegaranya.

Banyak tempat penginapan menarik dibangunkan untuk keselesaan pelancong. Gambar: Gulf News.

Ini kerana sektor ini menyaksikan pertumbuhan pesat sebagai hasil daripada rencana untuk mempromosikan sektor pelancongan.

Dalam usaha untuk mencapai impian baharu bagi sektor pelancongan tempatan, lawatan pelayaran telah bermula dari pelabuhan Jeddah untuk mencari harta karun Laut Merah dan termasuk banyak pakej pelancongan sepanjang percutian musim panas.

Sumber: Arab News

1830210
Berita Semasa, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Hima Tapak Warisan Dunia Keenam Arab Saudi Diiktiraf UNESCO

no comment

MENEMPATKAN kompleks seni batuan terbesar di dunia, Hima yang terletak di Najran diiktiraf dalam senarai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), baru-baru ini.

Telaga yang terdapat di Hima masih boleh digunakan hingga hari ini. Gambar: Arab News

Tapak berkenaan meliputi 557 kilometer persegi, menempatkan lebih 34 tapak berasingan, termasuk batu bersurat dan telaga di sepanjang laluan penggembaran masyarakat Arab pada zaman purba.

Hima adalah laluan utama bagi kafilah datang berdagang dan laluan haji bagi masyarakat yang datang dari bahagian selatan Arab, Mesopotamia, Levant, dan Mesir.

Lukisan pra sejarah menggambarkan kehidupan di zaman purba Arab. Gambar: Maldives News Network.

Mereka yang melewati daerah Hima ketika pra dan pasca-sejarah telah meninggalkan kesan besar pada batu yang menggambarkan perburuan, hidupan liar, tumbuhan, simbol, dan alat yang digunakan pada masa itu, serta ribuan tulisan dalam bentuk skrip kuno, termasuk Musnad, Thamudic, Nabataean, dan Arab awal.

Terdapat juga telaga yang wujud lebih dari 3,000 tahun dan dianggap sebagai sumber air tawar yang penting di padang pasir Najran yang luas itu. Telaga itu masih mengeluakan air hingga ke hari ini.

“Hima baharu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, kawasan kebudayaan Hima, Arab Saudi. Mabrouk (tahniah)!” menurut kenyataan UNESCO, kelmarin.

Menurut Saudi Press Agency (SPA) melaporkan Menteri Budaya Arab Saudi, Putera Badr bin Abdullah bin Farhan Al Saud, mengalu-alukan penyenaraian Hima sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Putera Badr mengucapkan terima kasih kepada Bahrain, Oman dan Kuwait atas sokongan mereka, sambil menambah bahawa, Arab Saudi negara yang kaya dengan warisan tamadun manusia. Usaha untuk menjadikan ianya terkenal di dunia sudah pun membuahkan hasil.

“Di sebalik setiap pencapaian budaya adalah panduan dan visi pemimpin yang hebat. Terima kasih atas inspirasi kami. Terima kasih kepada Putera Mahkota, Mohammed Salman Abdul Abdulaziz Al-Saud atas sokongan berterusannya dan terima kasih kepada @MOCHeritage Dalam Jawatankuasa Nasional Pendidikan, Kebudayaan dan Sains dan di @MOCSaudi serta @KSAForUNESCO atas usaha dan kecemerlangan mereka.

Antara ribuan tulisan kuno yang masih jelas kelihatan. Gambar: Med-O-Med.

“Hima telah menjadi laluan karavan perdagangan dan jemaah haji untuk pergi dan balik dari bahagian selatan Arab Saudi. Mereka yang melalui kawasan itu antara waktu pra dengan pascasejarah, telah meninggalkan pelbagai koleksi seni batuan. Ia antara lain menggambarkan simbol, tumbuhan, haiwan liar, memburu dan peralatan digunakan ketika itu, selain ribuan tulisan kuno,” katanya.

Hima mampu tarik pakar ilmuan dunia

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Warisan, Dr Jasir Alherbish, berkata pihaknya sangat gembira kerana tapak Hima yang luar biasa itu diakui oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia.

“Pemeliharaan dan perlindungan warisan budaya dan semula jadi adalah bahagian penting dalam mencapai Wawasan 2030. Tapak ini diawasi oleh Suruhanjaya Warisan, sejumlah penemuan baharu telah memperkukuhkan reputasi negara ini sebagai destinasi yang akan dituju ahli arkeologi, sejarawan dan saintis yang ingin memahami sejarah manusia di seluruh rantau ini.

“Kawasan ini memiliki nilai universal yang luar biasa, memberi kita banyak pelajaran tentang evolusi budaya dan kehidupan manusia pada zaman kuno.

“Kami berusaha untuk melestarikan kawasan itu dan melakukan penyelidikan untuk lebih memahami prasasti batu dan berharap dapat menyambut lebih banyak pengunjung tempatan dan antarabangsa untuk datang dan melihat sendiri tapak budaya bersejarah ini,” katanya.

Tambah SPA lagi, telaga di tapak terbabit berusia lebih 3,000 tahun dan dianggap sebagai sumber bekalan air yang penting di kawasan gurun wilayah Najran.

Al-Ula antara Tapak Warisan Dunia yang pernah diiktiraf UNESCO. Gambar: Arab News

Tapak lain di Arab Saudi yang sudah diiktiraf UNESCO termasuklah seni batuan di wilayah Hail dan Jeddah yang bersejarah.

Tahun lalu, Suruhanjaya Warisan telah  mengumumkan salah satu penemuan paling penting negara iaitu jejak manusia dan binatang kuno yang pernah wujud sejak lebih dari 120,000 tahun, di Tabuk, menandakan bukti pertama kehidupan manusia di Semenanjung Arab.

Kerajaan juga telah mengambil langkah-langkah serius untuk melindungi warisan nasional dan antarabangsa. Pada tahun 2019, Kementerian Kebudayaan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan UNESCO untuk menyumbang USD 25 juta bagi strategi organisasi untuk pemeliharaan warisan di seluruh dunia.

 

Sumber: AFP/Arab News

 

 

The Asia Age
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Arab Saudi Beri Kebenaran Pegawai Tentera Wanita Jaga Dua Kota Suci Buat Kali Pertama

no comment

SEJAK April lalu, sekumpulan Pegawai Tentera Wanita telah dibenarkan untuk berkhidmat bersama anggota keselamatan bagi memantau jemaah haji di Makkah dan Madinah.

Segak berpakaian seragam tentera, bersama jaket panjang melepasi pinggul, berseluar longgar dan mengenakan beret hitam di atas tudung menyerlahkan lagi penampilan Mona yang menjadi salah seorang Pegawai Tentera Wanita menjaga keselamatan Jemaah di Masjidil Haram.

Melayani para jemaah adalah tugas yang sangat mulia dan terhormat. Gambar: The Jerusalem Post

Menurut Mona, kerjaya sebagai pegawai tentera diwarisi daripada arwah ayahnya yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan dan memberi keselesaan kepada jemaah di dua kota suci itu sejak puluhan tahun semasa hanyatnya.

“Saya telah memutuskan untuk berkhidmat bersama tentera dan kumpulan pertama tentera wanita Saudi untuk membantu para jemaah yang datang setiap kali musim haji dan jemaah umrah sepanjang tahun.

“Saya mahu mengikuti langkah arwah ayah untuk mempermudahkan urusan perjalanan jemaah ketika mereka berada di masjid paling suci bagi umat Islam ini. Melayani para jemaah adalah tugas yang sangat mulia dan terhormat,” kata Mona yang enggan mendedahkan latar belakang keluarganya kepada umum.

Mereka dilatih secara profesional sebagai Pegawai Tentera Wanita.

Bagi Samar, seorang lagi tentera wanita yang diberi kepercayaan untuk menjaga keselamatan di hadapan Kaabah mengatakan keyakinannya untuk berkhidmat bersama pasukan Pegawai Tentera Wanita telah didorong oleh keluarganya sendiri.

“Ini merupakan pencapaian besar bagi saya dan keluarga serta sangat berbangga apabila dapat bersama berkhidmat untuk agama, negara dan tetamu Allah, saya sangat sayangkan kerjaya ini,” katanya ringkas.

Pegawai Keselamatan Wanita dibahagikan kepada pasukan untuk mengawal di Masjid Nabawi dalam satu masa. Gambar: Arab News.

Kesemua Pegawai Tentera Wanita ini dilatih sebagai pasukan profesional oleh tentera Arab Saudi sebagai persediaan kerjaya mereka. Antaranya ilmu mempertahankan diri, pertolongan cemas dan cara menggunakan senjata api. Mereka juga harus mendaftar untuk mengikuti kursus dalam bahasa Arab dan Inggeris bagi  meningkatkan kemahiran komunikasi, pendidikan komputer dan kecergasan.

Hanan Al-Rashidi, 27, telah menjadi tentera selama lapan bulan, mengatakan bahawa dia menerima pekerjaan itu kerana menganggap tanggungjawab yang diberikan itu sebagai perkhidmatan kemanusiaan.

“Saya sangat gembira terpilih dalam kerjaya ini. Ia adalah suatu penghormatan untuk bekerja di masjid paling suci bagi umat Islam untuk melayani tetamu Allah.

“Saya juga berbangga apabila dapat bersama menjadi sebahagian daripada rakyat Arab Saudi untuk merealisasikan Wawasan 2030 dan menganggap era perubahan untuk pemerkasaan Wanita,” katanya yang ditempatkan untuk menjaga keselamatan di Masjid Nabawi, Madinah.

Mengawal keselamatan demi memberi keselesaan kepada jemaah di dalam Masjid Nabawi. Gambar: Reddit

Hanan antara 113 orang daripada kumpulan pegawai wanita yang baharu ditempatkan di Masjid Nabawi sejak enam bulan lalu. Kesemua mereka bekerja sepanjang masa dalam empat pasukan yang yang dibahagikan kepada 18 anggota.

Putera Mahkota Saudi, Mohammed Salman. Gambar: Asharq AL-awsat

Pembaharuan sosial dan ekonomi

Putera Mahkota Saudi, Mohammed Salman telah mengilhamkan reformasi sosial dan ekonomi sebagai sebahagian dari rancangan untuk memodenkan kerajaan Islam yang konservatif dan menarik pelaburan asing melabur untuk pelbagai sektor di Arab Saudi.

Di bawah rancangan pembaharuannya yang dikenal sebagai Wawasan 2030, Putera Mahkota menghapuskan larangan pemandu wanita, mengizinkan wanita dewasa untuk melakukan perjalanan tanpa sekatan dan memberi mereka serta keluarga perlindungan ketika berada di luar.

Tahun ini, Arab Saudi hanya menghadkan 60,000 jemaah sahaja untuk menunaikan ibadah haji yang terdiri daripada warganegaranya untuk tahun kedua berturut-turut. Ia bagi mengekang wabak Coronavirus yang telah meragut jutaan manusia di dunia ini sejak tahun lalu.

 

Sumber: Reuters

 

 

 

EeKB_wlWoAMn3iZ
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Ganti Kiswah Baharu Tanda Permulaannya Haji

no comment

PROSES menukar kiswah baharu dengan kain sutera hitam bersulam benang emas asli untuk menutupi kaabah melambangkan bermulanya musim haji pada tahun ini.

Projek membina kiswah baharu setiap tahun adalah kerja yang rumit kerana ia akan mengambil masa hampir setahun dengan melibatkan lebih 200 pekerja khas dan menggunakan ratusan kilogram sutera hitam.

Kerja-kerja menenun yang mengambil masa selama enam hingga lapan bulan melibatkan 114 penenun. Gambar: Arab News.

Kiswah di dalam bahasa Arab bermaksud pakaian yang dibuat untuk menutupi tubuh. Ia juga digunakan sebagai istilah untuk menutup kaabah dengan sutera. Kiswah akan dilekatkan pada dinding batu kaabah dan cincin tembaga di bahagian bawah pangkalan marmar sebagai pemberat.

Penghasilan kiswah diperbuat daripada 47 helai sutera semula jadi yang setiap satu berukuran 98 sentimeter (cm) kali 14 meter . Lapisan luar kiswah pula menggunakan sutera asli dengan sebarat 670 kilogram (kg). Di bahagian dalam lapisan kiswah dijahit dengan kapas yang kuat untuk membantu mengekalkan permukaan sutera di atasnya.

Kalimah ayat suci al-Quran yang disulam dengan benang emas asli menghiasi kiswah. Gambar: IslamicLandmark.Com

Benang emas menghiasi sutera hitam dengan ayat al-Quran yang membawa maksud “Tidak ada tuhan melainkan Allah”, dan “Kemuliaan bagi Allah”.

Kiswah juga mempunyai bahagian tali yang akan melilit keseluruhan kiswah bagi menahan berat. Panjangnya antara 46 meter dan lebar 95cm yang dibuat daripada 16 utas tali serta disulam dengan ayat-ayat al-Quran.

Salah satu daripada tali itu akan tertera tarikh pembuatan kiswah yang akan diletakkan pada setiap tahun.

Pintu kaabah turut dipasang dengan tirai yang mula dilakukan pada tahun 819 hijrah. Gambar: Islaahi Advinces.

Kiswa mempunyai tirai pada pintu kaabah. Tirai yang bersulam dengan ayat-ayat al-Quran yang disulam dengan benang perak dan emas mula kali pertama dipasang pada pintu kaabah pada tahun 1300 hingga 1396 bersamaan 819 mengikut kalendar Hijriah.

Kerja-kerja membuat kain kiswah di kilang yang dimiliki kerajaan Arab Saudi terletak di dalam kawasan Muzium Makkah. Gambar: Arab News.

Di mana Kiswah dibuat?
Kilang kiswah Al Kaaba di Makkah telah membuat kiswah sejak hampir 45 tahun. Ia dimiliki kerajaan Arab Saudi dan beroperasi sepanjang masa untuk menghasilkan kiswah. Tempoh untuk kerja sulaman saja mengambil masa enam hingga lapan bulan.

Kilang kiswah mula dibuka secara rasmi pada tahun 1977 dan mempunyai kira-kira 200 pekerja, 114 daripadanya bekerja hanya untuk menyulam.

Kerja-kerja menjahit bahagian sulaman untuk dicantumkan ke atas kiswah. Gambar: Shafaqna.

Empat langkah proses menghasilkan kiswah

Proses pertama, sutera mentah yang diimport dari Itali akan dicelup warna hitam selama 22 jam. Ia akan ditenun secara berhati-hati sehingga menjadi kepingan hitam polos. Kepingan yang siap akan dipisahkan beberapa bahagian untuk kerja sulaman menggunakan benang emas dan perak dan selebihnya akan dibiarkan berwarna hitam.

Selepas proses itu, bahan kain akan diuji ketahanan dan ketumpatannya, kemudian dicetak dengan corak untuk disulam oleh pekerja khas.

Mesin jahit kiswah antara yangterbesar di dunia mampu menjahit kain sebesar 224 meter persegi. Gambar: Inside The Haramain.

Secara keseluruhan, 54 helai kain diciptakan yang kemudiannya dijahit bersama agar sesuai dengan Kaabah. Proses ini dilakukan menggunakan mesin jahit terbesar di dunia dengan mampu menjahit kain sebesar 224 meter persegi.

Kilang ini juga menghasilkan lapisan kapas untuk kiswah dan penutup lain untuk digunakan semasa Haji.

Sepanjang 26 tahun, Ahmed Hussain Ba Anter bekerja di kilang itu, dia mengkhususkan diri dalam bidang sulaman, menjahit benang emas dan perak dalam tulisan jawi.

“Saya merasa sangat bersemangat dan dihargai ketika jari saya memegang jarum untuk menjahit kiswah,” katanya kepada The National.

Ahmad Hussain berharap dapat membantu memasang kiswah buat kali terakhir sebelum persaraannya tahun ini. Gambar: The National.

Kini Ahmad Hussain dilantik sebagai penyelia di kilang kiswah itu. Selama berkhidmat sebagai pembuat kiswah, Ahmad Hussain tidak terlepas peluang untuk turut serta dalam proses pemasangan kiswah pada kaabah ketika musim haji.

“Saya telah berpeluang memasang kiswah sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2020, 2015 dan 2013. Saya berharap dapat memasangnya buat kali terakhir pada tahun ini memandangkan tahun ini juga saya akan bersara berkhidmat di sini,” katanya.

Kiswah yang baharu di bawa masuk ke Masjidilharam terus ke dataran kaabah untuk digantikan dengan yang lama. Gambar: Twitter.

Cara Memasang Kiswah

Selepas subuh pada 9 Zulhijjah, kiswah baharu akan di bawa dari kilang ke masjidilharam. Empat bahagian kiswah baharu akan dinaikkan ke atas kaabah dan digantung satu persatu ke atas kiswah lama.

Semasa kiswah baharu dilampirkan, yang lama diturunkan dari bawah setelah melonggarkan tali sokongan.

Apabila kiswah yang baharu sudah siap, setiap potongan bahagian akan dijahit bersama untuk membentuk seperti kelambu yang lengkap.

Dari kulit hingga sutera
Kiswah tidak semuanya dibuat dari kain sutera sejak dulu. Pada era pra-Islam, Adnan bin Edd, iaitu moyang kepada Nabi Muhammad SAW, antara individu yang bertanggungjawab menghasilkan kiswah.

Pada tahun itu, penduduk Makkah membuat kiswah dengan bahan seperti kulit. Mereka mengumpulkan wang untuk membeli bahan dan membuat Kiswah.

Semasa zaman Nabi Muhammad SAW, tirai Yaman yang disebut burdah digunakan dan sutera diperkenalkan selepas itu. Warna hitam juga diganti hijau sebagai warna penutup.

Kiswah dulu dihasilkan di Mesir, pada tahun 1927 Raja Abdulaziz memerintahkan agar produksi kiswah itu harus dilakukan di Makkah. Ia kemudiannya diperbuat daripada kain baldu hitam berkualiti tinggi.

Pada tahun 1928 kilang pertama untuk pembuatan kiswah dibuka, di mana 12 alat tenun manual di bawa dari India termasuk 60 juruteknik pakar turut di bawa. Sejak itu hingga akhir 1950-an kiswah terus dibuat di Mesir atau Arab Saudi bergantung kepada keadaan politik. Dan akhirnya pada tahun 1958, kiswah terus kekal dihasilkan di Makkah hingga kini.

Sumber: The National News

Stockholm-Sweden
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Sweden Benarkan Kemasukan 11 Negara Ketiga Termasuk Kanada dan Arab Saudi

no comment

BERMULA hari ini, (12 Julai), penduduk beberapa negara ketiga dibenarkan memasuki Sweden bagi apa saja tujuan setelah pihak berkuasa negara itu memutuskan untuk mengguna pakai cadangan Majlis Kesatuan Eropah (EU).

Sebelum ini EU melarang kemasukkan pelancong luar termasuk kedatangan dari negara ketiga sejak Mac 2020 akibat wabak Coronavirus yang mula merebak ke seluruh dunia. EU dan Suruhanjaya Eropah mencadangkan agar menutup pintu masuk negara itu berkuatkuasa sehingga Ogos 2021.

Sweden buka pintu masuk negara kepada 11 negara ketiga hari ini. Gambar: The Statesman

Begitupun keputusan yang dibuat pada 8 Julai lalu telah membenarkan pelancong dari negara ketiga memasuki Sweden sama ada untuk pelancongan atau mengunjungi rakan dan saudara.

Antara 11 negara itu termasuk Armenia, Azerbaijan, Bosnia Herzegovina, Kanada, Jordan, Kosovo, Montenegro, Qatar dan Moldova.
Negara Brunei Darussalam dan Arab Saudi antara negara yang turut dibenarkan masuk ke Sweden.

“Pindaan ini mulai berkuatkuasa pada 12 Julai 2021.

Pelancong perlu kemukakan sijil telah divaksin.

“Mereka yang mahu memasuki Sweeden perlulah mendapat sijil negatif jangkitan Covid-19 yang dilakukan dalam waktu 48 jam sebelum kedatangan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa Sweden.

Mereka yang menunjukkan sijil penerimaan vaksin Covid-19 atau baru pulih daripada jangkitan virus juga diminta untuk menunjukkan bukti hasil ujian negatif.

Ini bermaksud pelancong dari negara-negara itu sudah menerima vaksin sepenuhnya, atau memperoleh keputusan negatif ujian Covid-19.

Hasil ujian Covid-19 perlu negetif dalam tempoh 48 jam sebelum tiba di Sweden.

Sweden menutup kedatangan pelancong dari negara ketiga bermula sejak Mac 2020, ketika wabak Coronavirus mula merebak ke seluruh dunia atas nasihat Majlis Eropah dan Suruhanjaya Eropah.

Sebelum itu pada 23 Jun lalu, pihak berkuasa Sweden membenarkan kemasukan pelancong dari beberapa negara ketiga yang lain, seperti Albania, Hong Kong, Lebanon, Makau, Makedonia Utara, Serbia, Taiwan dan AS.

Buat masa ini, pelancong di negara yang layak memasuki Sweden adalah dari EU dan negara-negara Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) yang menunjukkan sijil Covid-19 Digital EU atau setaraf semasa tiba di Sweden melalui negara EEA, Switzerland atau dari mana-mana negara Eropah.

Sumber: Schengenvisainfo.com

medium_2021-06-28-6dcb095109
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Perjalanan Haji Merentasi Masa Diabadikan Dalam Mural

no comment

HANYA tinggal 14 hari saja lagi, umat Islam yang diizinkan Allah untuk menunaikan rukun haji tahun ini akan memulakan syarat wajib haji iaitu berwukuf di Arafah.

Selama lebih dari 1,400 tahun, jemaah haji dari seluruh dunia telah tiba ke kota suci Makkah. Dalam tempoh itu juga, pelbagai revolusi telah dilalui para jemaah untuk menunaikan rukun Islam kelima. Perjalanan umat Islam merentasi zaman mengerjakan haji telah diabadikan pada sebuah mural dan dipamerkan kini di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz (KAIA), Jeddah, Arab Saudi.

mural sepanjang 36 meter dipamerkan kepada umum.

Karya seni mural sepanjang 36 meter itu menggambarkan sejarah perjalanan jemaah sepanjang zaman bermula daripada ketibaan darat yang dilalui oleh AlUla, kapal berlabuh di sepanjang bandar pelabuhan Laut Merah, hingga zaman moden yang tiba dengan pesawat terus ke terminal Haji KAIA.

Mural yang dilukis oleh seniman Arab Saudi, Mohammed Al-Rabat itu juga menggambarkan kawasan bandar lama Jeddah berhampiran pelabuhan dan lapangan terbang, beberapa armada pesawat Saudi dan ciri-ciri masjid besar dari pelbagai era, bersama dengan gambar peradaban dan kemakmuran yang disimpan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Suasana di dalam KAIA yang baharu akan mula sibuk menjelang musim haji

Mural ini terletak di balai ketibaan lapangan terbang, di mana ia dapat dilihat oleh semua pelancong tempatan dan antarabangsa yang tiba ke pintu masuk negara itu.

“Sebenarnya idea untuk melukis mural ini sudah lama iaitu sejak diawal pembinaan lapangan terbang ini lagi. Namun terdapat beberapa idea dan akhirnya saya memutuskan untuk memilih sejarah perjalanan haji. Saya mengambil masa selama lapan bulan untuk membuat penyelidikan di dalam studio di mana saya memilih peringkat perjalanan haji yang paling penting iaitu dari pelabuhan Al-Bunt lama ke KAIA di Jeddah.

Pelbagai kisah di sebalik kanvas mural yang dipamerkan.

“Selain itu, saya menggambarkan perjalanan haji darat yang dilakukan oleh kafilah jemaah haji di belakang unta yang dilukis di atas kanvas besar dengan menggunakan warna akrilik bersama dengan teknik percetakan layar stensil dan sutera.

“Pada satu bahagian lain, saya juga memasukkan beberapa ciri lama kota Jeddah dan gaya seni binanya yang unik, yang seperti beberapa tingkap lama Rowshan dan pintu gerbang kota dengan beberapa ciri moden di bandar yang dapat dilihat hingga hari ini.

“Saya kemudian beralih ke pengangkutan jemaah haji ke tempat-tempat suci dengan menggunakan pengangkutan lama, kemudian ada bahagian lama Masjidil Haram dan gambar moden yang mewakili perubahan yang dihasilkan dari pengembangan terbaharu,” katanya.

Menurutnya Mohammed, peringkat terakhir projek mural itu memerlukan masa dan usaha untuk menyelesaikannya. Memindahkan kerja dari kanvas ke kaca berwarna dengan ketinggian tiga meter dan lebar 36 meter bukanlah suatu perkara yang mudah.

“Kepentingan karya tidak pada nilainya, melainkan nilai sejarah dan pencapaian yang mewakili apa yang dicapai oleh seniman setelah bertahun-tahun melakukan penyelidikan, eksperimen dan praktikal,” katanya.

Kisah perjalanan haji sejak 1,400 tahun lalu diabadikan pada mural.

Ini bukan kali pertama sebuah mural yang menggambarkan perhimpunan agama yang luar biasa dipamerkan. Sejak kedatangan Islam, ibadah haji telah dilihat sebagai suatu keajaiban bagi ramai seniman Barat yang kebanyakkannya mencari dan untuk memahami makna spiritual dan visualnya.

Karya-karya penting termasuk ‘Abu Zayd on Hajj and the Caravan of Ziarah’ yang dilukis pada tahun 1237. Lukisan gambaran umum dihasilkan Louis-Nicolas de Lespinasse di Makkah pada tahun 1787, serta cetakan yang menunjukkan perarakan jemaah yang membawa kiswa Ka’bah dalam perjalanan dari Kaherah ke Makkah yang ditarik oleh Sheikh Yunus pada abad ke-13.

“Lapangan terbang adalah antara kemudahan penting di semua negara di dunia. Peranannya bukan semata sebagai pintu keluar dan masuk ke sesebuah negara bagi pelancong yang tiba sahaja, malah berperanan untuk menyampaikan imej yang mencerminkan budaya sesebuah negara,” kata Mohammed.

Diinspirasikan oleh karya seni yang pernah dipamerkan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh 36 tahun yang lalu, artis itu mengatakan bahawa dia mendapat idea untuk menghasilkan konsep yang sesuai dengan lapangan terbang di kota asalnya.

Musim haji kota Makkah akan menjadi tumpuan jemaah dari seluruh dunia.

“Karya seni ini dilukis daripada pelbagai bahan dan mempamerkan semua bentuk sejarah yang disimpan oleh Kerajaan Arab Saudi. Karya mural termasuk juga perjalanan sejarah lapangan terbang itu sendiri. Ini juga adalah sebahagian dari bangunan terpenting yang merangkumi peradaban dan menyampaikan gambaran negara itu semasa kedatangan pengunjung, sama ada melalui gaya seni bina lapangan terbang ini atau melalui kemudahan dalaman dan pelbagai karya seni yang terdapat di dalamnya,” tambahnya lagi.

Perjalanan yang paling dekat di hati semua umat Islam, seringkali menjadi topik menarik untuk digambarkan dan didokumentasikan oleh seniman. Dari lukisan, sketsa dan ilustrasi, hingga puisi, sastera dan fotografi, karya deskriptif yang menggambarkan perjalanan spiritual emosi dan cabaran fizikal dapat digambarkan melalui beberapa medium, sebuah jendela di mana orang luar dapat mendalami apa itu haji.

Sumber: Arab News

srab
Gaya Hidup, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Mukbang Menular ke Arab Saudi, Amaran Kementerian Kesihatan

no comment

MUKBANG kini menjadi fenomena di seluruh dunia dan semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Mukbang atau “eating show” yang bermula di Korea Selatan adalah rakaman video siaran langsung aktiviti makan yang disebarkan menerusi media sosial.

Kini mukbang telah menular ke negara Timur Tengah khususnya di Arab Saudi dengan pengaruhnya semakin meningkat.

Situasi itu membimbangkan kerajaan Arab Saudi apabila rata-rata pakar kesihatan menganggap ia sesuatu yang boleh merosakkan diri sendiri akibat aktiviti permakanan yang tidak sihat.

Mukbang gaya permakanan yang tidak sihat. Gambar: Al Arabiya.

Antara youtuber Arab Saudi yang popular dan kerap memuat naik video mukbang adalah Moe ASMR dengan jumlah pengikut di laman sesawangnya seramai 188,000; S7S (6.85 juta pengikut) dan Ameer Bros (7.08 juta pengikut). Kandungan video mereka hanya menceritakan pencarian tempat makanan baharu di negara mereka dengan penyediaan masakan istimewa.

S7S misalnya terkenal kerana mencuba pelbagai restoran di Jeddah dengan makanan yang mewah. Konsep mukbang bertujuan untuk menarik orang ramai dengan aktiviti makan sepanjang hari, kerana makanan dilihat sebagai salah satu aktiviti sosial dan melakukannya bersendirian dianggap menyedihkan.

Perkataan itu adalah gabungan daripada ‘muknun’ yang bermaksud makan dalam bahasa Korea dan ‘bangsung’ bermaksud penyiaran atau broadcast. Dua perkataan ini digabung membentuk perkataan ‘acara makan’ atau Mukbang.

Mukbang mula diperkenalkan di Korea Selatan bermula pada tahun 2010. Gambar Youtube.

Trend itu bermula pada tahun 2010 di platform streaming AfreecaTV dan bertujuan untuk menjadi sebahagian daripada kandungan popular yang dikenali sebagai ASMR. Akronim bermaksud ‘respons meridian deria autonomi’, dan video yang memaparkan ASMR bertujuan untuk menimbulkan sensasi yang menyelerakan. Ketika video mukbang disiarkan secara santai, suara makan akan diperdengarkan kuat bagi membangkitkan selera mereka yang menontonnya.

Video ini walaupun dianggap menyediakan topik yang ringan dan mudah, tetapi mempunyai tarikan penonton yang ramai. Pengacara yang mengendalikan rakaman itu biasanya akan berbual dengan penontonnya. Kadang kala ia hanya melibatkan hanya satu menu sahaja seperti ramen atau ayam goreng namun membuatkan penonton terpesona. Cabaran lain melibatkan pengambilan pelbagai makanan ringan dengan jumlah tinggi kalori seperti kerepek atau donat yang boleh membawa kepada risiko kesihatan.

Bagaimanapun, kecenderungan aksi itu mengundang kritikan pakar kesihatan yang memandangkan aktiviti itu sebagai tidak sihat dan seharusnya orang ramai mengambil berat soal penjagaan kesihatan dan berat badan yang optimum dalam kehidupan seharian.
Pakar Pemakanan di Jeddah, Dr. Ruwaida Idrees, berkata diet seperti itu boleh membawa akibat yang sangat teruk.

“Menikmati makanan dalam jumlah besar boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan dan kajian menunjukkan bahawa trend ini mendorong makan yang tidak terurus. Ramai mereka akan makan sebahagian besar makanan hanya untuk mengehadkan pengambilannya ketika berada di luar kamera.

“Tubuh tegap dan berotot biasanya menunjukkan bahawa seseorang itu sihat secara fizikal. Namun, jika orang ini makan terlalu banyak makanan yang tidak sihat dan membakar kalori dengan kaedah senaman yang teruk untuk mengekalkan berat badannya, itu mungkin bukan petunjuk kesihatan yang baik.

“Mentaliti pembakaran lemak adalah berbahaya. Sekiranya anda membakar 600 hingga 800 kalori dalam sesi senaman atau semasa berlari dan dibalas dengan makan burger cheese yang banyak, maka kehilangan lemak anda akan kembali ‘berjuang’ “katanya yang mengharapkan pihak Kementerian Kesihatan mengeluarkan amaran kepada mereka.

Dr. Ruwaida menjelaskan bahawa makan harus dirancang mengikut keperluan tubuh seseorang bergantung kepada usia, jantina dan aktiviti fizikal dan jumlah kalori harus dipertimbangkan, sama pentingnya untuk mempertimbangkan sumber kalori.

“Apa yang anda makan memberi isyarat kepada hormon anda untuk menyimpan atau membakar lemak, meningkatkan atau merosakkan metabolisme dan membina atau memecahkan otot. Tidak semua kalori dibuat sama.

“Anda tidak akan pernah mengatakan bahawa kalori dalam bayam adalah sama dengan kalori dalam segelas ais krim, bukan? Kalori dalam bayam mencetuskan tindak balas berbeza dalam badan anda,” katanya.

Tambahnya, memakan makanan yang tidak sihat dan membakarnya dalam jangka pendek menyumbang kepada tekanan dan keletihan dan menghabiskan tenaga yang diperlukan untuk aktiviti biasa, seperti bekerja.

“Dalam jangka panjang, ia dapat menyumbang kepada peningkatan risiko terkena tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, penyakit jantung, gangguan makan dan kemurungan,” katanya.

Perunding Psikiatri Kanan, Pusat Gangguan Makan Stockholm, Mattias Strand, berkata pihaknya telah melakukan kajian pertama mengenai mukbang dan gangguan makan dan mengatakan bahawa video ini boleh menjadi factor yang merosakkan.

“Kesan fizikal pada pengacara video amat membimbangkan, apatah lagi rancangan mukbang juga boleh mengudang ikutan kepada penonton.

“Kami mendapati bahawa menonton mukbang boleh menimbulkan masalah bagi orang-orang yang sudah menderita isu makan yang tidak teratur.

“Sebilangan penonton akan terpengaruh untuk mencuba merasai pelbagai makanan dan akan kembali dengan gaya permakanan yang tidak sihat, tidak teratur dan seterusnya mendatangkan mudarat kepada tubuh badan,” kata pakar psikiatri itu.

Sumber: Arab News

2
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Jurutera wanita Saudi Mengubah Persekitaran Industri Dikuasai Lelaki

no comment

Walaupun terdapat kemajuan terkini, wanita tetap menjadi minoriti dalam profesion sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), terutama di negara Timur Tengah dan Afrika Utara.

Namun berbeza keadaannya di Arab Saudi apabila kini semakin ramai wanita memilih kerjaya dalam bidang STEM dan menyumbang kepada persekitaran kerja yang lebih seimbang gender dan sektor perindustrian kerajaan yang sangat inklusif.

Razan Alraddadi (kiri) adalah pakar pembangunan di Amaala dan Ruaa Mahmoud (kanan) adalah Perunding Siswazah di WSP Timur Tengah.

Pakar pembangunan di Amaala (Projek destinasi pelancongan mewah di Arab Saudi), Razan Alraddadi, dan Perunding Siswazah di WSP Timur Tengah, Ruaa Mahmoud, menjadi antara generasi baharu wanita Arab Saudi yang turut terbabit dalam sektor profesion dalam bidang STEM.

“Seperti kebanyakan pelajar kejuruteraan, saya mahir dalam matematik dan saya suka menyelesaikan masalah.

“Ketika saya membesar sebagai seorang kanak-kanak, saya suka membaiki barangan yang rosak di rumah. Ayah saya sering memperhatikannya dan meyakini suatu hari nanti saya boleh menjadi seorang jurutera wanita pertama dalam keluarga kami,” kata Alraddadi dalam forum bertajuk Model peranan kejuruteraan untuk masa depan yang lebih pelbagai baru-baru ini.

Program itu disiarkan sempena memperingati Hari Wanita Antarabangsa dalam Kejuruteraan yang dirai pada 23 Jun lalu. Objektifnya adalah untuk meningkatkan profil wanita dalam profesion kejuruteraan dan menumpukan perhatian kepada peluang kerjaya yang tersedia bagi calon teknologi.

Alraddadi yang juga penerima tahun pertama biasiswa di University of Washington pada tahun 2014, mendapati wanita kurang mendapat perhatian dalam kursus kejuruteraan.

Amaala yang terletak di Pantai Laut Merah, tempat Razan Alraddadi bekerja sebagai pakar pembangunan. Amaala akan menjadi destinasi antarabangsa yang sangat mewah, dan salah satu projek utama Wawasan 2030 Arab Saudi.

 

Jadikan individu berjaya sebagai inspirasi

Tetapi setelah mendengar seorang jurutera elektrik wanita dari NASA berkongsi pengalamannya semasa perbincangan panel yang diketuai oleh Persatuan Jurutera Wanita dia menjadikan idolanya itu sebagai inspirasi.

Walaupun sebelum ini dia merasa ragu menceburi bidang itu apabila pertama kali tiba di universiti, Alraddadi akhirnya menyakini apabila mendapat banyak sokongan yang memberinya dorongan sepanjang pengajiannya.

“Tidak ramai ketika itu saya melihat wanita lain dalam bidang kejuruteraan mendapat keputusan cemerlang. Pada saat itu, saya mempunyai keyakinan yang diperlukan untuk meneruskan karier dalam bidang kejuruteraan.

“Sejak hari itu ia menjadi pengalaman yang luar biasa apabila dapat menyertai Amaala sebagai jurutera dan saya berada di dalam persekitaran yang dikelilingi oleh pasukan jurutera yang luar biasa dan sangat inklusif.

“Ketika itulah saya tahu kejuruteraan adalah jalan utama dan kerjaya yang baik,” katanya.


WSP memberi peluang kepada anak muda Saudi yang bekerja di STEM, dan wanita Saudi berada di barisan hadapan dalam menyampaikan Visi 2030. Gambar: WSP

Bagi Ruaa, peluang itu bagaikan seperti menyaksikan filem Hollywood berjudul “The Astronaut Farmer,” di mana seorang ranger Texas membina roket di gudangnya untuk melancarkan dirinya ke angkasa.

Katanya, filem itu memberi inspirasi sehingga timbul minatnya terhadap astrofizik dan kejuruteraan aeronautik. Ia mengajarnya bahawa apa sahaja yang mungkin dilakukan dengan penuh semangat dan tekad akan tercapai impiannya.

“Sebagai seorang kanak-kanak, saya merasa filem itu seperti realistik dan ketika membesar saya merasakan bahawa saya akan sampai ke tahap itu.

“Itulah yang sebenarnya mendorong saya untuk memilih kejuruteraan elektrik dan komputer. Apa sahaja yang membuat saya bekerja di kapal angkasa, sistem autonomi atau robotik yang akan membantu angkasawan atau membantu saya sampai ke Stesen Angkasa Antarabangsa ia sebenarnya membantu visi untuk pergi ke angkasa lepas,” kata Ruaa.

 

Wanita kini mampu bersaing

Menurut Institut Statistik UNESCO 2018, hanya 28.8 peratus penyelidik dunia adalah golongan wanita.

Pendaftaran wanita dalam bidang kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan hanya lapan peratus di seluruh dunia, sementara dalam sains semulajadi, matematik dan statistik, jumlahnya lebih rendah iaitu lima peratus. Untuk teknologi maklumat dan komunikasi, angka itu menurun hingga tiga peratus.

Di Timur Tengah, wanita kini merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan populasi pelajar STEM.

Walaupun 38 peratus graduan Saudi di lapangan adalah wanita, hanya 17 peratus dari mereka yang bekerja di sektor STEM.

Wanita seperti Rauu dan Alraddadi menentang trend itu. Setelah belajar di luar negera, mereka berdua memilih untuk kembali menyumbang kepada negara untuk karier mereka.

Kata Alraddadi, dia memilih untuk kembali bersama keluarga di negara asal, melakasanakan projek yang sangat besar yang berpotensi menjadi revolusi dalam sejarah Arab Saudi.

“Projek itu membuka peluang terbaik untuk saya pulang ke rumah dan sudah semestinya peluang terbabit dalam projek besar ini mempengaruhi keputusan saya. Saya sangat teruja dan bangga dapat kembali ke Arab Saudi,” katanya.

Di Timur Tengah, wanita sekarang merangkumi hampir separuh daripada jumlah keseluruhan pelajar STEM, yang mencerminkan pembaharuan masyarakat bagi wanita di Arab Saudi. Gambar: Shutterstock

Menyediakan program siswazah terbuka kepada lelaki dan wanita dilihat adalah langkah pertama yang penting untuk menarik lebih ramai pelajar menceburi bidang kejuruteraan.

Bedasarkan pemerhatiannya, Rauu berkata, bidang kejuteraan dan sektor kerajaan sangat sinonim dengan golongan lelaki dan ia adalah perkara biasa khususnya di negara Timur Tengah.

“Saya sering berjuang untuk menyebarkan mesej kita perlu memecahkan halangan itu dan menyampaikan kepada komuniti, orang awam, rakan dan keluarga bagaimana untuk membiasakan dengan normal baharu di mana wanita menceburi bidang kejuruteraan, mengikuti bidang ini untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

“Saya telah mengetahui perkara-perkara yang tidak akan saya ketahui, terutamanya dalam bidang pembinaan, seperti kejuruteraan elektrik. Secara kesimpulannya, walaupun wanita di bidang STEM cenderung mempunyai gaji yang lebih tinggi daripada yang ada di bidang bukan STEM, namun masih terdapat jurang gaji mengikut gender dalam profesion STEM,” katanya.

Rauu percaya bekerja di industri itu bukannya sekadar belajar teknik, namun memberikannya pandangan yang lebih luas mengenai jalan yang terbuka untuknya.

Suasana persekitaran kerja di Amaala yang serba moden dan berteknologi tinggi. Gambar: Amaala

Alraddadi yang telah menyertai Amaala selama sembilan bulan, berkata bidang kejuruteraan boleh menjadi pilihan lebih menarik sebagai jalan kerjaya bagi wanita jika pekerjaan, projek dan kehidupan jurutera dipromosikan dengan cara yang berkesan.

“Saya juga percaya pada program siswazah yang akan membawa anda dan melatih anda sebagai jurutera setelah anda lulus. Itu akan membuat anda merasa seperti kejuruteraan adalah profesion yang sangat baik dan dapat dimanfaatkan anda,” katanya.

Menurut wakil Jawatankuasa Pemandu Keseimbangan Gender dan ketua penyampaian projek dan seni bina bersepadu di WSP Timur Tengah, Shona Wood persekitaran perindustrian yang dikuasai secara tradisional oleh golongan lelaki sedang mengalami transformasi apabila semakin ramai wanita menemui peluang kerjaya dalam bidang kejuruteraan.

Sumber Teks dan gambar: Arab News/Amaala

Ibadah haji
Isu, Pilihan Editor,

Perlu Reda Terima Keputusan Penangguhan Haji Demi Keselamatan Bersama

no comment

Oleh DATUK DR ANHAR OPIR

BARU-BARU ini, kerajaan Arab Saudi mengumumkan berita penangguhan haji ekoran penularan virus Covid-19 yang masih berleluasa kini. Sesungguhnya, pendekatan itu dilakukan demi menjaga keselamatan dan kesihatan semua.

Hanya 60,000 rakyat dan pemastautin di Arab Saudi sahaja yang dibenarkan melaksanakan ibadah berkenaan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Keputusan itu turut memberi kesan kepada bakal jemaah haji dari Malaysia. Namun begitu, sebagai seorang Muslim, sememangnya kita yakin ada hikmah di sebalik penangguhan haji buat kali kedua selepas keputusan sama diputuskan pada tahun lalu.

Seperti yang kita sedia maklum, penularan wabak itu telah meragut jutaan nyawa di seluruh dunia. Ia telah memberi kesan bukan sahaja dalam sektor ekonomi dan sosial, malah pelaksanaan ibadah seperti solat berjemaah di masjid dan surau.

Seandainya difikirkan secara mendalam, penangguhan itu sebenarnya adalah satu keputusan yang wajar. Ini kerana wabak Covid-19 boleh mengancam nyawa jutaan jemaah haji dari seluruh dunia disebabkan kesesakan semasa menunaikan ibadah tersebut.

Ibadah haji


UMAT Islam perlu reda menerima keputusan penangguhan ibadah haji bagi mereka yang berada di luar Arab Saudi demi kemaslahatan bersama.

Hakikatnya, kewajipan dan pelaksanaaan ibadat haji sepertimana yang kita maklum bergantung pada syarat istito‘ah (kemampuan) yang meliputi aspek kesihatan, kewangan, keselamatan dan kebenaran atau kuota yang diperuntukkan kepada setiap negara.

Baca juga 11 Amalan Yang Pahalanya Setara Seperti Tunaikan Haji, Umrah

ALLAH SWT berfirman: “Dan ALLAH mewajibkan ke atas manusia untuk mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu untuk sampai kepadanya.“ (Surah Ali ‘Imran, ayat 97)

Begitupun, pada hari ini, masih ada pertembungan pendapat tentang apa yang perlu diutamakan iaitu antara kemestian melaksanakan Rukun Islam atau mencegah kemudaratan semasa melaksanakan ibadah.

Keutamaan

Jika dilihat kepada lima dhoruriyat Maqasid Syariah, menjaga agama (Hifzu ad-Din) adalah lebih tinggi atau utama daripada menjaga nyawa (Hifzu an-Nafs). Oleh itu, ada yang berpandangan menunaikan ibadah haji lebih utama daripada mencegah kemudaratan.

Pun demikian, kita perlu meneliti dengan lebih mendalam apakah menunaikan ibadah haji termasuk dalam pengertian Hifzu ad-Din yang terkandung dalam Maqasid Syariah tersebut?

Ibadah haji

KEPUTUSAN penangguhan haji yang diputuskan adalah demi kemaslahatan bersama. Berdoalah agar wabak Covid-19 yang masih menular ini akan berakhir secepat mungkin.

Ketahuilah, menjaga nyawa sangat penting. Ia selaras dengan firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dalam bahaya kebinasaan.“ (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Berdasarkan kalamullah itu, Islam secara jelas mengutamakan pencegahan keburukan terutama yang melibatkan nyawa manusia.

Pihak pemerintah tidak seharusnya mendedahkan jemaah haji kepada kemudaratan wabak Covid-19 yang akan memberi kesan kepada kesihatan dan keselamatan mereka, tetapi juga pada ahli keluarga, sekali gus berkemungkinan mewujudkan kluster baharu.

Justeru, umat Islam perlu reda dan terus bersabar dengan penangguhan ibadah haji pada tahun ini.

Bagi warga emas pula, jika ditakdirkan tidak berkesempatan untuk menyempurnakan ibadah yang begitu diidam-idamkan sejak sekian lama disebabkan sudah melepasi syarat umur yang ditetapkan, maka Islam menyediakan ruang untuk mereka melaksanakannya secara badal haji iaitu menerusi pihak lain sekiranya mereka berkemampuan dari segi kewangan.

Kepada mereka yang tidak dapat menunaikan haji pada tahun ini juga, janganlah khuatir kerana niat yang baik untuk mengerjakan ibadah haji tetap akan mendapat ganjaran di sisi ALLAH SWT.

Berdasarkan Ibnu Abbas RA daripada Nabi Muhammad, ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya ALLAH SWT telah menetapkan (balasan) setiap kebaikan (pahala) dan setiap kejahatan (dosa). Kemudian beliau menjelaskannya: Maka sesiapa berniat melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya (kerana keuzuran), maka ALLAH SWT menulis kebaikan itu disisi-NYA sebagai satu kebaikan yang sempurna untuknya. Sekiranya dia berniat untuk melakukan kebaikan, lalu dia melakukannya, maka ALLAH SWT menulis kebaikan itu disisi-NYA sebanyak 10 kebaikan hingga 700 gandaan, sehingga gandaan kebaikan yang banyak untuknya. (Sebaliknya) Jika dia berniat melakukan kejahatan, tetapi dia tidak melakukannya (kerana takut kepada ALLAH SWT), maka ALLAH SWT menulis disisi-NYA satu kebaikan yang sempurna baginya. Sekiranya dia berniat melakukan kejahatan, lalu dia melakukannya, maka ALLAH SWT akan menulis kejahatan itu baginya hanya sebagai satu kejahatan.“ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ibadah haji


KEPADA para bakal jemaah haji tahun ini, bersabarlah tidak dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci dan percayalah pasti tersirat hikmat di sebaliknya.

Sesungguhnya, halangan yang menyebabkan jemaah haji luar dari Arab Saudi tidak boleh menunaikan haji pada tahun ini dan tahun lalu bukanlah sesuatu yang dapat dielakkan. Tiada sesiapa yang meminta perkara itu terjadi.

Gara-gara wabak Covid-19 yang mengancam nyawa menyebabkan ibadah mulia itu sekali lagi tidak dapat dikerjakan khususnya bagi mereka yang berada di luar negara Arab Saudi pada musim ini.

Ia bersesuaian dengan anjuran Rasulullah SAW sebagaimana sabda baginda: “Apabila kamu mendengar bahawa taun (wabak) menimpa sesuatu tempat, maka janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada dalam kawasan yang terdapat padanya taun (wabak) maka janganlah kamu keluar darinya.“ (Riwayat al-Bukhari)

***Datuk Dr Anhar Opir ialah Timbalan Mufti Selangor & Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji-Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Foto: Freepik, Arab News & Reuters

aaa
Berita Semasa, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Arab Saudi Fokus Bidang Sukan dalam Wawasan Saudi 2030

no comment

Arab Saudi menawarkan pelabur dari seluruh dunia untuk memiliki sepenuhnya kelab dan akademi di negara Timur Temgah itu bagi 27 sukan paling popular dunia.

Kementerian Sukan Arab Saudi hari ini melancarkan NAFES iaitu platform pelesenan dalam talian yang dirancang untuk menggalakkan pelaburan dan kerjasama asing di negaranya. Sektor sukan dilihat salah satu pasaran yang semakin berkembang di dunia.

Menteri Sukan Arab Saudi, Putera Abdulaziz. Gambar: Arab News.

“Kami mengajak dunia untuk bekerjasama dengan kami dalam menjalankan transformasi sukan kami. Keghairahan luar biasa negara kita untuk sukan semakin menjadi-jadi dan menceburi bidang sukan adalah satu peluang ekonomi yang sangat menarik, “kata Menteri Sukan, Putera Abdulaziz bin Turki Al Faisal.

Katanya, sukan adalah komponen yang menjadi salah satu pengisian penting terkandung di dalam Wawasan Transformasi Kerajaan 2030.

“Kita tidak akan mencapai langkah besar ini jika bukan kerana sokongan tanpa syarat oleh kepemimpinan Kerajaan kita yang dipimpin oleh Penjaga Masjid di dua kota suci, Raja Salman dan Putera Mahkota Putera Mohammed bin Salman.

“NAFES akan menarik pelaburan swasta untuk membantu meningkatkan bilangan kelab, akademi dan pusat sukan dan untuk meningkatkan persaingan antara atlet,” katanya.

Nilai ekonomi sukan Saudi telah melonjak 174 peratus dalam tiga tahun terakhir dan sumbangannya kepada Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 22 peratus.

“NAFES adalah wakil kami untuk menarik pelaburan dari luar negara dalam
bidang sukan.

“Ini adalah titik perubahan bagi sektor sukan Arab Saudi. Mesej kami kepada pelabur dan sektor swasta di Arab Saudi dan di seluruh dunia adalah jelas. Bangunkan kelab anda untuk bersaing sehingga mampu menarik pelaburan pada masa depan,” kata Putera Abdulaziz.

Pelancaran NAFES berada di bawah program sukan “Kualiti Hidup” Arab Saudi, yang merupakan sebahagian daripada rancangan Wawasan 2030 negara itu.

Pelaburan dalam sektor sukan mencatatkan pertumbuhan selari dengan peningkatan 37 peratus jumlah masyarakat setempat mengambil bahagian dalam aktiviti sukan setiap minggu menurut perangkaan bagi tempoh daripada tahun 2015 hingga 2019.

Peningkatan 149 peratus bagi golongan wanita aktif bersukan. Gambar: Abourt her.

Di samping itu, jumlah golongan wanita yang menyertai aktiviti sukan meningkat 149 peratus dalam tempoh sama.

Sejak wabak Covid-19 melanda dunia, lebih daripada empat juta rakyat Arab Saudi menikmati kelas kecergasan di rumah menerusi program yang digelar ‘Baytak Nadeek’, iaitu inisiatif Persekutuan Sukan Saudi Untuk Semua.

Arab Saudi telah menganjurkan antara 50 acara antarabangsa dalam tiga tahun terakhir. Ini termasuk acara bola sepak antarabangsa, golf PGA European Tour, WWE, tenis dan tinju. Kalendar sukan permotoran negara itu menampilkan Dakar Rally, Formula E, Extreme E dan mulai Disember, Grand Prix Formula 1 Arab Saudi yang sulung.

Stadium Al Jawhara Arab Saudi.

Dari segi sejarah, industri sukan Arab Saudi bergantung sepenuhnya pada dana kerajaan. Namun kerajaan berhasrat untuk mempercepat pertumbuhan industri sukan dengan meningkatkan peranan sektor swasta.

NAFES juga akan bertanggungjawab untuk meningkatkan peratusan sumbangan industri sukan terhadap KDNK negara, di samping meningkatkan dan mempelbagaikan peluang pelaburan tempatan dan asing dan akhirnya meningkatkan jumlah kelab berdaya saing dalam pelbagai jenis sukan.

“Ini adalah pengembangan organik yang sejajar dengan usaha kami untuk menempatkan Saudi di barisan depan dunia sukan antarabangsa dan itu merupakan bahagian penting dalam Wawasan Saudi 2030.

“Seiring dengan cita-cita sukan, kami berusaha untuk berkolaborasi dengan rakan kongsi dan mencapai keseimbangan yang sihat antara pelaburan sektor awam dan swasta,” kata Putera Abdulaziz.

Sukan yang ditawarkan untuk pemilikan melalui NAFES merangkumi bola sepak, bola keranjang, renang, sukan berkuda, tenis, sukan elektronik, gimnastik, sukan lumba basikal dan sukan tempur.

Sumber: Arab News