Browsing Tag

April Fool

April Fool
Isu, Pilihan Editor,

Natijah April Fool Yang Dilarang Agama, Niat Bergurau Jangan Sampai Mengundang Dosa

no comment

TARIKH 1 April begitu sinonim dengan Hari April Fool. Walaupun kebanyakan daripada kita tidak menyambutnya, namun masih ada segelintir yang kadangkala melakukan gurauan melampau kepada orang di sekelilingnya.

Adakalanya usikan seperti itu boleh mendatangkan kecederaan atau kesakitan. Paling tidak pun, tindakan tersebut memalukan individu berkenaan. Akhirnya, hanya dua patah perkataan April Fool yang keluar daripada bibir pelaku.

Sungguh, ia begitu menyakitkan hati sesiapa yang mendengarnya. Bayangkan setelah kita dimalukan dan diperlakukan sesuka hati, rupanya semua itu hanyalah gurauan yang tidak boleh mengembalikan maruah kita semula.

Itu antara perbuatan yang ditegah oleh agama Islam. Kita dilarang keras untuk mengaibkan orang, apatah lagi menjatuhkan maruah mereka sewenang-wenangnya.

Jika ditelusuri, Hari April Fool sebenarnya ada pelbagai versi sejarah tersendiri. Namun, rata-rata historiografinya berunsurkan penipuan.

Sebilangan sejarawan menyatakan, Hari April Fool bermula tahun 1582 ketika Perancis beralih takwim Julian kepada Gregorian sebagaimana yang diminta oleh Majlis Trent pada tahun 1563.

Dalam kalendar Julian, tahun baharu bermula dengan musim bunga ekuinoks sekitar 1 April.

April Fool

DALAM takwim Julian, tahun baharu bermula sekitar 1 April.

Justeru, orang yang lambat mendapat perkhabaran itu atau tidak menyedari bahawa permulaan tahun baharu telah berpindah ke 1 Januari dan mereka menyambut tahun baharu sekitar minggu akhir bulan Mac dan 1 April, golongan itu akan dijadikan bahan hiburan dan lawak mereka. Mereka itulah dipanggil April Fool.

April Fool

USAHLAH melakukan gurauan atau mempermainkan orang lain sehingga boleh mendatangkan aib kepada dirinya dan menjatuhkan maruahnya.

Lebih memalukan apabila pada belakang badan individu berkenaan dilekatkan pula dengan kertas yang tertulis poisson d’avril atau ikan April. Ia dikatakan melambangkan sifat orang muda yang mudah ditangkap dan ditipu.

Satu lagi historiografi yang seringkali berlegar-legar ceritanya dalam kalangan masyarakat, sejarawan mengaitkan Hari April Fool dengan festival seperti perayaan Hilaria (bersuka ria) yang dikatakan oleh golongan Rom kuno pada akhir bulan Mac oleh para pengikut Cybele.

Mereka akan berpakaian yang berunsur penyamaran dan mengejek sesama rakyat serta hakim. Ia dikatakan diinspirasikan daripada lagenda Mesir Isis, Osiris dan Seth.

Ternyata sejarah bukan tinggal sejarah. Malah, sambutan Hari April Fool dirai dengan begitu meluas mengikut budaya masing-masing.

Paling menyedihkan apabila institusi media juga terpalit sama dengan tradisi yang menjengkelkan itu. Bayangkan pada tahun 1992, National Public Radio pernah menyiarkan bahawa bekas Presiden Richard Nixon berkata, beliau akan mencalonkan dirinya sebagai presiden lagi. ‘Fakta’ itu rupanya hanyalah lakonan, bukannya datang daripada mulut Nixon. Ia disiarkan ketika segmen April Fool.

April Fool

UMAT Islam dilarang meraikan April Fool yang berunsurkan penipuan dan meniru budaya buruk.

Itu antara satu contoh gurauan Hari April Fool yang begitu masyhur. Ramai juga orang yang marah dengan berita berunsur penipuan berkenaan.

Baca juga Dakwah Kisah Seram

Ketahuilah bahawa umat Islam dilarang menyambut April Fool. Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi hantaran di Facebook pernah menjelaskan tentang pengharamannya.

Terdapat empat sebab mengapa kita ditegah meraikan, apatah lagi mengadakan gurauan yang melampau.

Antara lain, Hari April Fool mempunyai unsur menipu yang mana ia sudah termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah. Bahkan, kesedihan dan ketakutan yang tidak berasas disebabkan gurauan tadi mungkin boleh menimpa seseorang mahupun semua ahli keluarganya walaupun hanya untuk tempoh satu jam.

Seperkara lagi, April Fool sangat berkait rapat dengan pengkhianatan atas kepercayaan yang diberikan. Ingatlah bahawa meniru budaya buruk yang bukan milik kita merupakan satu penipuan.

Renungkanlah pesanan dan ingatan Rasulullah SAW yang melarang kita daripada menyerupai orang kafir.

Baginda SAW bersabda: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu.” (Riwayat Abu Daud)

Melihat ungkapan hadis itu, jelaslah bahawa kita dilarang meniru gaya, kelakuan atau pakaian yang khusus dikenali dengan unsur jahat atau adat perayaan yang boleh menimbulkan salah sangka kepada orang ramai.

Hindarilah diri kita daripada terjebak dalam kancah dosa yang amat merugikan kerana ia hanya akan mengurangkan timbangan amal di akhirat kelak.

Ujar Perunding Latihan dan Motivasi, Akademi Magnet Sukses, Abd Razak Muthalib, perbuatan usikan yang boleh menimbulkan rasa takut, gelisah, terkejut dan sebagainya dilarang oleh agama Islam.

April Fool

PELIHARALAH hubungan baik yang terjalin sesama manusia dan tidak berlebih-lebihan ketika bergurau senda.

Beliau kemudian mengajak kita menyelami hadis yang diriwayatkan oleh Abdul Rahman bin Abi Laila yang mana beliau mendapat berita daripada beberapa sahabat mengenai satu peristiwa.

Ketika dalam satu permusafiran bersama Rasulullah pada waktu malam, ada beberapa sahabat yang tidur.

Lalu, sebahagian mereka mengambil barang (tali) sahabat tersebut dan menyembunyikannya. Kemudian apabila dia terjaga, lalu dia terkejut dan tercari-cari di mana barangnya. Sahabat-sahabatnya yang lain pun mentertawakannya.

Melihat kejadian tersebut, lantas Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak halal bagi seorang Muslim menakut-nakutkan Muslim yang lain.” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad, disahihkan oleh Syu’aib al-Arnaut)

Sekalipun usikan yang dilakukan hanya sekadar ingin bergurau, Abd Razak mengingatkan, ia boleh memberikan kesan negatif atau risiko bahaya kepada mangsa.

“Barangkali ia boleh menjejaskan hubungan silaturahim, menimbulkan kemarahan, pergaduhan dan mungkin juga risiko kematian akibat terkejut dan sebagainya. Oleh sebab itu, baginda melarang perbuatan sebegini dilakukan.

“Kadangkala berlaku juga cara usiakan dengan menjadikan orang lain sebagai bahan ejekan atau gurauan sehingga si mangsa memberikan reaksi yang mengaibkannya.

“Kemudian, orang lain beramai-ramai mentertawakannya. Hati-hati bagi yang melakukan usikan itu kerana ia boleh termasuk dalam larangan ALLAH SWT,” tegasnya.

Foto: Freepik