Browsing Tag

anugerah

cf307db6-caa9-444a-b79a-7c6c6230acd5
Jendela Dunia,

Masjid Mesra Alam Pertama Tersenarai Anugerah Berprestij RIBA

no comment

MASJID mesra alam pertama di Eropah yang dibina oleh syarikat pembinaan dan rekaan terkemuka, Gilbert-Ash telah dicalonkan untuk Anugerah Hadiah Stirling 2021. Masjid Pusat Cambridge adalah salah satu daripada enam projek yang akan dipilih daripada 54 pemenang Anugerah Nasional RIBA 2021.

Hadiah Stirling RIBA telah dianjurkan sejak tahun 1996 kecuali tahun lalu akibat pandemik Covid-19. Pengiktirafan itu diberikan kepada bangunan yang dianggap sebagai paling penting tahun ini untuk evolusi seni bina dan persekitaran binaan. Pemenang tahun ini akan diumumkan pada 14 Oktober.

Masjid Pusat Cambridge adalah masjid mesra alam pertama di Eropah. Marks Barfield Architects, yang sedang mencalonkan anugerah, merancang bangunan itu mampu menampung sehingga 1,000 jemaah, malah bangunan itu diiktiraf oleh RIBA sebagai sebuah masjid baharu abad ke-21

Projek ini melibatkan pelbagai kaedah pembinaan yang sangat kompleks. Ciri yang menentukan ialah kerangka kayu yang rumit terdiri daripada 30 struktur pokok yang saling berkaitan. Setiap pokok dibentuk oleh 16 tukang kayu yang mahir dalam seni geometri bagi memberikan kekuatan pada bingkai.

Kerja-kerja di bangunan itu juga merangkumi kafe, pejabat, rumah kediaman untuk Imam, tempat tinggal pelajar dan bilik mayat yang terpisah. Ia termasuk tempat letak kereta bawah tanah yang mampu memuatkan 80 kenderaan.

Gilbert-Ash mempunyai tiga projek yang sebelum ini telah disenarai pendek untuk hadiah berprestij selain Cambridge Central Mosque. Projek yang disenarai pendek merangkumi Teater Lyric pada tahun 2012, Pusat Pelawat Giant’s Causeway pada tahun 2013 dan Teater Everyman yang seterusnya memenangi Hadiah Stirling 2014.

“Kami gembira melihat Cambridge Central Mosque tersenarai pendek untuk anugerah paling berprestij ini. Ini adalah bangunan yang unik dalam pelbagai aspek.

“Salah satu kelebihan Gilbert-Ash adalah kerjasama ramai pihak dan ini adalah penting dalam menjaga momentum setiap projek. Kami dapat bekerjasama rapat dengan pasukan pelanggan sejak awal untuk mengembangkan idea dalam penyelesaian teknikal dan kaedah inovatif bagi mengatasi cabaran sepanjang projek ini dibangunkan.

“Ini adalah projek yang sangat bermanfaat untuk disampaikan dan kami bangga melihatnya diiktiraf sebagai salah satu yang paling penting tahun ini,” kata Pengarah Urusan, Gilbert-Ash, Ray Hutchinson.

Gilbert-Ash mengaitkan kejayaan setiap projek yang dilaksanakan dengan pendekatan ‘As One’ dan budaya kerja serta persekitaran keluarga yang unik sebagai syarikat milik pekerja. Ia terus melengkapkan portfolio projek pembinaan yang berjaya di pelbagai sektor termasuk seni dan budaya, tempat kerja, hotel dan riadah, pendidikan, sains dan teknologi, runcit, kediaman dan penginapan pelajar.

Sumber: BDC Magazine