Browsing Tag

anak yatim

Hak anak yatim
Faraid,

Jangan abaikan hak anak yatim, begitu berat hukumannya

SERUAN untuk melindungi anak yatim dan hak mereka dalam Islam bukanlah suatu yang asing lagi. Peringatan untuk mengiktiraf habuan faraid kepada anak yatim sangat diambil berat oleh Islam sehingga diingatkan dalam dua ayat penting sebelum perincian ayat pusaka dalam surah an-Nisa’.

Kedua-dua ayat tersebut sangat signifikan kerana menegaskan kepentingan pemberian bahagian atau hak anak yatim dan hukuman yang bakal dikenakan sekiranya berlaku penyelewengan terhadap harta mereka.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka), dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.” (Surah an-Nisa’, ayat 8)

Baca juga Nafkah anak yatim bukan tanggungjawab utama ibu, tapi…

Ayat ini mengingatkan supaya meraikan golongan anak kematian bapa dan kerabat yang miskin ketika agihan harta pusaka. Kelompok itu disebut secara khusus kerana masih kanak-kanak menyebabkan sukar untuk mencampuri urusan orang dewasa, bahkan mereka sendiri kadangkala tidak terfikirkan musibah kematian keluarga.

Dalam ayat 10 surah sama pula, ALLAH berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.”

Hak anak yatim

PENTADBIR yang amanah sangat penting agar harta pusaka diurus dengan baik di samping kebajikan anak yatim tidak terabai. -FOTO: 123RF

Ayat ini dengan jelas mengingatkan semua orang agar tidak menzalimi anak yang kematian bapa atau ibu bapa dengan memakan harta mereka berdasarkan ancaman hukuman yang berat di akhirat kelak. Ironinya, jika amanah yang dipertanggungjawab kepada pihak yang menjaga anak yatim dicabuli maka berlakulah pecah amanah.

Bapa saudara tiada hak

Misalan yang paling mudah adalah jika seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan seorang anak lelaki yang masih kecil dan seorang saudara lelaki kandung. Harta peninggalan lelaki tersebut akan diwarisi sepenuhnya oleh anak lelakinya sebagai waris ‘asabah dan tiada langsung hak saudara lelaki walaupun berpangkat bapa saudara (pak cik) kepada anak lelaki tersebut.

Baca juga Bahagiakan anak yatim, ALLAH janjikan imbalan bukan calang-calang kepada penjaganya

Sebagai bapa saudara yang amanah seharusnya bertanggungjawab menjaga anak buahnya yang menjadi yatim atas kematian bapa (saudaranya). Namun berapa ramai yang amanah dengan melindungi dan menjaga anak yatim tersebut?

Hak anak yatim

MENJADI tanggungjawab untuk setiap Muslim mengambil berat dan membela nasib anak-anak yatim terutama yang tinggal berhampiran dengan kejiranan mereka.

Perbezaan usia bukanlah syarat untuk menentukan seseorang itu sebagai penerima harta pusaka atau tidak. Syarat faraid hanya melibatkan tiga perkara iaitu kematian pewaris, hidupnya waris dan mengetahui sebab hubungan serta tiada halangan pewarisan.

Justeru itu, anak yatim akan diambil kira sebagai waris walaupun usia mereka masih kecil.

Golongan tersebut bukan dianggap suatu penghalang untuk bersama-bersama dengan waris lain yang layak dan berhak untuk mendapat harta pusaka. Namun keadaan anak yatim itu dilihat sebagai satu kekangan untuk mengurus harta dengan diri sendiri. Mereka memerlukan pihak lain sama ada daripada kalangan waris atau orang luar untuk menjadi pengurus harta pusaka yang diperolehnya.

Tabung amanah keluarga

Keperluan kepada pentadbir yang amanah sangat penting agar harta pusaka diurus dengan baik di samping kebajikan anak yatim tidak terabai. Pesanan kepada semua pentadbir untuk menjaga amanah ini disebut oleh ALLAH melalui firman-NYA dalam ayat kesembilan Surah an-Nisa’.

Ayat yang diturunkan sebelum perincian tentang agihan faraid kepada waris-waris yang berhak adalah sangat signifikan kerana menjadi panduan kepada pentadbir harta. Mereka sentiasa diingatkan supaya senantiasa bertakwa dan takut kepada ALLAH kerana penyelewengan dan pengabaian berkemungkinan boleh terjadi jika tidak diurus dengan baik.

Baca juga Jangan beza-bezakan anak yatim, berdosa sakiti mereka

Mereka turut diperingatkan untuk berkomunikasi dengan baik dan benar tentang harta yang dijaganya. Hal ini adalah demi memastikan generasi akan datang dapat meneruskan kelangsungan hidup di dunia.

Hak anak yatim

SEBAGAI pemegang amanah, jaga dan pelihara harta anak yatim dengan sebaiknya.

Saranan mewujudkan yayasan keluarga atau tabung amanah keluarga sangatlah penting demi menjaga harta pusaka yang disimpan dan ditangguhkan agihannya sehingga anak yatim dapat menguruskan harta dengan sendirinya.

Perlu diingat sehingga tempoh menunggu itu tiba, semua anak yatim turut memerlukan perbelanjaan untuk kelangsungan hidup yang terjamin. Sekali lagi beruntunglah anak yatim yang dilindungi oleh pemegang amanah yang amanah.

***Artikel ditulis oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Zahari Mahad Musa

101f67c3-a565-40ce-8027-8b33d403c354
Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Pilihan Editor,

IMAM Nak RM2 Juta

no comment

Kompleks Islam Pondok Madrasah Moden (IMAM) memerlukan kos sebanyak RM2 juta bagi merealisasikan pembinaan infrastruktur serba lengkap dan selesa buat ilmuan cerdik agama yang bakal dilahirkan di negara ini.

IMAM dijangka memulakan operasinya mulai Julai depan berbekalkan kewangan terkumpul setakat ini berjumlah RM200,000 yang diamanahkan kepada Pertubuhan Sayang Al-Quran untuk melaksanakan pembinaannya yang dirancang selepas berakhir Ramadan ini.

Mejar (B) Mohamad Qayyum A Badaruddin

Pengerusinya, Mejar (B) Mohamad Qayyum A Badaruddin, berkata kompleks yang akan memuatkan madrasah pengajian harian, anak yatim, tahfiz, asnaf yang memberi manfaat secara percuma kepada seluruh masyarakat.

“Kompleks ini memberi peluang kepada golongan anak yatim dan asnaf seusia tujuh tahun untuk mendalami al-Quran. Semua perbelanjaan mereka adalah percuma termasuk pembiayaan tempat tinggal, yuran pembelajaran serta makanan dan minum mereka.

“Kompleks IMAM yang bakal dibina ini mampu menampung 500 pelajar apabila siap sepenuhnya dan pembelajaran diadakan secara harian. Buat permulaan pada tahun ini beroperasi, kami hanya menerima pelajar lelaki terlebih dahulu, Insya Allah apabila cukup tenaga pengajar dan kemudahan yang lengkap, kami akan ambil pelajar perempuan pula.

Selain itu, IMAM juga membuka peluang kepada orang ramai dan masyarakat setempat untuk mendalami al Quran,” katanya yang ditemui pada Majlis Perasmiannya dan Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Rakan Strategik, Embun Resort @ Putrajaya; Tulus; Inteam Record dan Al Ansar IBS, baru-baru ini.

Muhamad Khanafi Husin (tiga dari kiri) bersama tetamu jemputan pada majlis pelancaran Kompleks IMAM.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin yang juga Pengerusi DPIM Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Menurut Mohamad Qayyum, dari segi kemudahan pula, Kompleks IMAM akan dilengkapi dengan masjid, dewan kuliah terbuka dan tertutup serta bilik penginapan.

“Acara pecah tanah Kompleks IMAM di Teluk Intan itu sudah diadakan sebelum Ramadan lalu dan pembinaannya akan bermula selepas hari raya dan insya Allah akan mula beroperasi pada bulan Julai ini.

“Dengan dana sumbangan RM200,000 yang sudah ada inilah kita akan memulakan terus pembinaan, malah kita akan terus gigih mencari dana untuk dikumpulkan dari sumbangan orang ramai, melalui program yang dianjurkan dan hasil penjualan buku. Namun kami sangat positif, buat dulu apa yang ada untuk membolehkan pembinaan bermula.

“Selepas pelancaran ini kami harapkan dapat membina keyakinan orang ramai, badan korporat dan individu yang berminat untuk menjayakan projek ini agar pembinaan dapat disiapkan secepat mungkin.

“Lokasi yang dipilih juga cantik walaupun di pedalaman agak jauh daripada Lebuh raya tapi lokasinya mudah dikunjungi. Kawasan itu juga tidak mudah banjir. Kesemua lokasi ini adalah tanah yang telah diinfaqkan oleh hamba Allah,” katanya yang berharap pembinaan pusat belajar al-Quran itu mendapat sokongan ramai.

“Tujuan kami tidak lain iaitu untuk membina insan yang boleh memahami dan mengamalkan Al-Quran dalam hidup. Kekuatan kami adalah apa yang kami mahu itu jelas. Wawasan dan misi kami jelas.Selain harapan kepada pihak lain di luar sana, kami juga berterima kasih kepada senarai kumpulan dan jaringan yang positif dan sentiasa menyokong serta konsisten bersama kami,” katanya.