Browsing Tag

anak yang telah meninggal

Untitled design (28)
Isu,

Anak yang telah meninggal dunia, perlukah diberikan nama?

ANAK yang telah meninggal dunia, perlukah diberikan nama? Itulah persolan yang sering berlegar dalam kalangan masyarakat. Setiap anak adam yang dilahirkan di muka bumi ini dengan izin ALLAH, pasti rezekinya sudah ditetapkan oleh ALLAH sejak di Luh Mahfuz. Sama ada rezeki kerjaya, jodoh, ajal, dan segalanya sudah ditetapkan oleh ALLAH SWT.

Anak merupakan rezeki dan amanah yang dititipkan buat insan yang bergelar ibu bapa. Saidina Umar RA pernah menyebutkan tentang hak seorang ibu bapa kepada anaknya adalah dengan memberi nama yang baik.

Nama mempunyai nilai yang tinggi di sisi agama dan kehidupan seorang insan. Dengan nama itulah dia akan dikenali. Dengan nama itu jugalah dia akan dipanggil pada hari akhirat.

Nama juga merupakan simbol khusus yang dapat membezakan diri seseorang itu daripada orang lain. Bahkan dengan nama juga seseorang itu boleh dikenali agamanya, sama ada Islam ataupun bukan.

SEBELUM dilahirkan lagi, ibu bapa sudah memikirkan nama yang sesuai untuk anak-anaknya.

Oleh sebab itu, nama merupakan antara perkara yang terawal sekali diberi perhatian untuk anak yang baru lahir. Sejak anak masih dalam kandungan lagi para ibu bapa sudah mencari dan merancang dengan teliti nama yang akan diberikan kepada anak mereka yang akan lahir.

Namun timbul persoalan di kalangan masyarakat, jika anak yang dikandungkan meninggal dunia sebelum sempat melahirkan atau selepas dilahirkan, adakah perlu memberikanya nama.

Hukumnya adalah sunat memberikan nama kepada anak yang sudah meninggal walaupun janin belum terbentuk sempurna.

Sunat menamakan anak dengan nama yang baik. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam Ahmad RA daripada Abu ad-Darda‘ RA, Rasulullah SAW telah bersabda:

إنَّكم تُدْعَوْنَ يَوْمَ القِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَحَسِّنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya “Sesungguhnya kamu akan dipanggil pada hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu,maka perelokkanlah nama-nama kamu”.(Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Menurut pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, anak yang sudah mencapai usia 4 bulan yang meninggal dalam kandungan mahupun selepas dilahirkan sunat diberikan nama kepadanya.

Mengapa ianya dituntut di dalam islam adalah kerana, ketika anak sudah mencapai usia 4 bulan dan ke atas, janin sudah ditiupkan roh dan akan dibangkitkan di padang mahsyar kelak.

SUNAT memberikan nama untuk anak walaupun belum mengetahui status jantinanya.

Bagaimana pula jika bayi masih belum dapat dikenal pasti jantina? Mengikuti perkongsian daripada Ustaz Yaakub Yusra iaitu iktibar sahaja atas nama yang baik maknanya. Kelak mudah-mudahan jadi syafaat yang boleh pimpin tangan untuk masuk ke dalam syurga bersama.

Tidaklah seorang muslim yang ditinggal mati oleh tiga anaknya, yang belum baligh, kecuali ALLAH akan memasukkanya ke dalam syurga dengan rahmat yang ALLAH berikan kepadanya”. (HR Bukhari).

Mengambil kembali pandangan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, contoh nama yang boleh diberikan jika masih tidak mengetahui status jantina adalah dengan menamakanya dengan nama yang boleh diguna kepada kedua jantina.

Baca Juga : 8 cara pilih nama anak menurut Islam yang anda perlu tahu

Sebagai contoh, antara nama-nama yang boleh diguna adalah Talhah, Maimun, Iman dan sebagainya. Nama yang pada dasarnya mempunyai maksud kepada makna asalnya dan boleh digunakan kepada lelaki mahupun perempuan.

Walaupun anak yang telah meninggal dunia tidak sempat meilhat dunia, namun kewajipan ibu bapa untuk memberinya nama.