Browsing Tag

Anak tak sah taraf

Anak tak sah taraf
Berita Semasa,

Bayi Jadi Mangsa Anak Tak Sah Taraf Gara-Gara Sikap Ibu Bapa Kahwin Terburu-buru

no comment

TIDAK lama selepas perkahwinan pertamanya gagal, Roslina Salahuddin (bukan nama sebenar) menemui cinta baharu. Kali ini, hati wanita berusia 28 tahun itu terbuka kembali untuk menyambut cinta seorang jejaka bujang.

Walaupun baru sahaja berkenalan selama tiga bulan, hatinya tidak mampu menidakkan rasa sayang kepada pemuda bernama Hisyam Hamid (bukan nama sebenar) yang berjaya membuatkan dirinya ingin kembali berumah tangga.

Begitupun, status Roslina ketika itu sebenarnya masih dalam tempoh idah. Mahkamah memerintahkan tempoh idahnya dengan suami pertama bermula 1 Januari 2010 selama tempoh tiga kali suci mulai tarikh berkenaan. Namun, akibat desakan hati, Roslina dan Hisyam memilih untuk bernikah di negara jiran pada 16 Januari 2010.

Rupanya bukan mudah berkahwin tanpa restu keluarga. Keluarga Roslina dan Hisyam masing-masing membantah keras tindakan ‘berani mati’ mereka. Apatah lagi apabila mendapat tahu bahawa pernikahan mereka dilangsungkan ketika Roslina masih dalam idah talak raji.

Mereka kemudian dipaksa untuk berpisah kerana pernikahan itu jelas tidak sah di sisi agama. Malangnya, Roslina telah mengandung ketika itu. Maka, keluarga Roslina dan Hisyam akhirnya akur dan menikahkan semula kedua-dua pasangan ini di dalam negara pada 20 Ogos 2010. Kali ini, pernikahan mereka berwalikan adik kandung Roslina.

Anak tak sah taraf


PERKAHWINAN tidak mengikut syariat Islam akan memberikan implikasi kepada penentuan nasab seorang anak.

Pada masa itu, Roslina sedang sarat hamil enam bulan. Tiga bulan selepas pernikahan kali kedua, wanita itu selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang comel. Ini bermakna, anak itu lahir kurang daripada tempoh enam bulan qamariah berdasarkan pernikahan kedua antara Roslina dan Hisyam.

Disebabkan itu, bayi berkenaan tidak boleh dibintikan dengan Hisyam. Lelaki itu tidak berpuas hati, lantas membawa kes ke mahkamah syariah untuk penentuan sah taraf anak. Bagi dirinya, bayi itu merupakan hasil benihnya yang sah selepas mereka bernikah di negara jiran.

Berdasarkan keterangan dan bukti yang dikemukakan, mahkamah berpendirian bahawa bayi perempuan berkenaan tidak boleh dinasabkan kepada Hisyam sebagai bapa. Pihak mahkamah juga tidak boleh mensabitkan nasab anak tersebut sebagai anak sah taraf. Ini kerana ia tidak menepati dengan kehendak hukum syarak.

Baca juga Sedekah Benteng Diri Daripada Api Neraka

Hisyam sekali lagi membuat rayuan kes untuk semakan semula. Namun, sekali lagi hakim menolak rayuan tersebut dan mengekalkan keputusan sebelumnya.

Ketegasan mahkamah itu membuatkan Hisyam dan Roslina terduduk. Mereka sangat menyesal dengan tindakan terburu-buru bernikah yang membelakangi hukum-hakam Islam. Akibatnya, anak kesayangan mereka yang menjadi mangsa.

Empat syarat tentukan sah taraf seorang anak

Dalam perihal pensabitan nasab, Peguam Syarie, Abdullah Anuar Sahri menjelaskan, terdapat empat syarat utama untuk menentukan sah taraf seorang anak.

ABDULLAH ANUAR

Ia melibatkan kehamilan yang nyata menurut uruf; wanita melahirkan anak sekurangkurangnya enam bulan qamariah dan dua lahzoh sembilan dari tarikh akad nikah yang sah; melahirkan anak dalam jangka masa maksimum tidak lebih dua tahun dari tarikh perpisahan dengan suami dan suami wanita tersebut tidak pernah membuat penafian nasab ke atas bayi yang dilahirkan melalui penafian li’an.

“Terdapat juga peruntukan lain berkaitan dengan tempoh yang membolehkan sah taraf anak berkenaan adalah melalui perakuan tamat idah.

“Mengikut peruntukan tersebut, perakuan tamat idah boleh menjadi sebab untuk menghalang anak berkenaan disah tarafkan sebagai anak kepada lelaki tersebut walaupun ia dilahirkan dalam masa empat tahun perpisahan berlaku,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Abdullah Anuar dari Tetuan Anuar Taufeq Junid Associates menjelaskan, pengesahan sah taraf anak begitu penting kerana ia memberi implikasi kepada kehidupan peribadi anak berkenaan bukan sahaja urusan bin atau binti, tetapi juga melibatkan masalah pembahagian harta pusaka kelak.

“Oleh sebab anak tak sah taraf itu tidak ada apa-apa kaitan kekeluargaan dengan bapa biologinya, maka anak tersebut tidak boleh mewarisi harta daripada bapa biologi tersebut.

Anak tak sah taraf

ANAK tidak sah taraf juga tidak layak menerima hak pusaka bapa biologinya kerana dikira
tidak mempunyai hubung kait kekeluargaan dengannya.

“Menjaga nasab keturunan penting kerana nasab adalah satu pengiktirafan pertalian keturunan kepada bapa yang diberikan kepada setiap anak-anak orang Islam yang dilahirkan.

“Kelahiran anak tak sah taraf secara jelasnya merupakan anak hasil daripada perbuatan zina kerana kesalahan ibu bapanya melakukan hubungan terlarang di luar ikatan perkahwinan yang sah menurut syarak,” katanya.

Mudah kata, jelas pengamal undang-undang berkenaan, anak zina tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapa zina dan tiada hak waris dalam harta, selain bapa tadi tidak boleh menjadi wali kepada anak tersebut.

“Walaupun anak itu lahir selepas enam bulan qamariah pernikahan berlangsung, perlakuan zina lampau tetap tidak menyebabkan sabitnya nasab,” tegasnya.

Bagi ibu bapa yang pernah menghadapi situasi sepertimana kes Roslina Salahuddin dan Hisyam Hamid (kedua-duanya bukan nama sebenar), Abdullah Anuar menasihatkan agar pasangan bersikap jujur untuk menerangkan hal sebenar kepada anak masing-masing.

“Hal ini sangat penting kerana ia bukan sekadar melibatkan aib dan perasaan, tetapi yang paling utama, ia melibatkan hukum-hakam dalam agama Islam.

Anak tak sah taraf

APABILA anak perempuan yang tidak sah taraf berkahwin, bapa biologi tidak boleh
menjadi wali kepada mereka.

“Jangan kerana takut aib terbuka, maka dirahsiakan kisah sebenar. Paling dirisaukan, akibat hal tersebut, perkahwinan anaknya pula tidak sah,” nasihat beliau.