Browsing Tag

Anak syurga

anak meninggal syurga
Berita Semasa,

Anak meninggal ketika masih kecil, ibu ayah reda dan bersabarlah. Anak syurga akan beri syafaat masuk ke jannah

Anak meninggal ketika masih kecil, ibu ayah reda dan bersabarlah. Anak syurga akan beri syafaat masuk ke jannah.

SAAT menerima perkhabaran diri ini hamil empat tahun lalu, perasaan gembira mengulit sanubari ini tatkala hal itu disahkan oleh doktor. Ia sebagaimana yang dirasai oleh orang lain.

Begitupun, kegembiran itu tidak lama. Ia menemui titik noktah. Memasuki usia kandungan dua bulan, penulis mengalami keguguran. Barangkali sudah tertulis belum waktunya lagi untuk menimang cahaya mata sekali lagi.

Kesedihan yang dialami penulis juga rupanya bersifat seketika. ALLAH YANG MAHA PENYAYANG LAGI MAHA MENGASIHANI telah menggantikan ‘bayi yang hilang’ itu dengan tiupan roh ‘malaikat kecil’ yang baharu. Namun, sudah tertulis sejak di luh mahfuz, bayi itu pergi meninggalkan penulis di dunia yang fana ini.

Tiada perkataan yang dapat menggambarkan kepiluan hati ini. Jujur penulis katakan, tiada sesiapa lagi yang mampu merawat hati ini, hanya kepada ALLAH sahajalah tempat mengadu.

Baca juga [VIDEO] Bersabarlah bila ditimpa ujian. Begitu besar rupanya hadiah orang yang bersabar…

Tatkala berdepan dengan kemelut ini, barulah penulis memahami emosi sebenar seorang ibu yang kehilangan anak. Memang pedih kerana ikatan antara ibu dan bayinya sudah terjalin.

Pada saat genting itu, ahli keluarga termasuk rakan-rakan meniupkan kata-kata semangat tidak putus-putus. Daripada banyak ucapan yang lahir daripada mulut mereka, perkataan ‘anak syurga’ benar-benar menenangkan hati penulis yang lara.

Untuk mendasari lebih lanjut dan berkongsi dengan para ibu yang hilang permata hati sejak kecil, Sinar Islam mendasari pengertian anak syurga berdasarkan perspektif Islam. Benarkah anak syurga mampu menjamin tempat ibu bapanya di syurga?

Anak syurga dijaga Nabi Ibrahim

Ketika melontarkan persoalan itu kepada pendakwah Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa, beliau lantas menerangkan, anak syurga dinisbahkan kepada anak-anak orang Islam yang meninggal dunia sebelum baligh.

USTAZ MOHD FAUZI

Ia merujuk sama ada meninggal ketika dalam kandungan ibu, akibat keguguran ataupun meninggal dunia setelah keluar daripada rahim ibu (selepas melihat dunia).

“Merekalah dipanggil anak syurga. Dalam bahasa Arab, mereka digelarkan sebagai wildan. Namun, dalam kebanyakan hadis, ia menggunakan kalimah da’amis iaitu penghuni syurga terkecil atau termuda.

“Jadi betullah kalau dalam istilah masyarakat kita, mereka menggelarkan anak-anak yang meninggal dunia sebelum baligh sebagai anak syurga,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Meneruskan hujahnya, agamawan itu menjelaskan, memang terdapat hadis yang jelas menyatakan bahawa kanak-kanak tadi dimasukkan ke dalam syurga apabila mereka meninggal dunia.

Rasulullah SAW bersabda: “Diangkat kalam (catatan amal) daripada tiga golongan ini iaitu orang yang tidur sehinggalah dia terjaga daripada tidurnya, daripada kanak-kanak sehinggalah dia baligh dan orang gila sehinggalah dia sedar.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah)

“Hadis berkenaan jelas menyatakan bahawa tidak tercatat apa-apa salah ke atas anak belum baligh. Para ulama menyatakan, jika anak-anak belum baligh sudah meninggal dunia, mereka sudah pun memasuki syurga.

“Tidak dikenakan seksaan kubur atau soal jawab bersama Malaikat Munkar dan Nakir. Ini kerana mereka belum taklif dan mukallaf lagi serta tiada dosa,” katanya.

Baca juga Anak yang telah meninggal dunia, perlukah diberikan nama?

Ustaz Mohd Fauzi turut mengemukakan sebuah Hadis Riwayat Muslim yang mana datang seorang lelaki yang telah kehilangan dua puteranya kepada Abu Hurairah. Lantas, lelaki berkenaan bertanyakan hadis daripada Rasulullah SAW tentang perkhabaran yang boleh membuatkan hatinya menjadi tenang.

Lalu, Abu Hurairah berkata bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Aku lihat dalam syurga ada seorang lelaki yang agak tinggi dan di sekelilingnya ada kanak-kanak sedang bermain. Nabi menyebut bahawa lelaki tinggi itu ialah Nabi Ibrahim dan di sekelilingnya ialah wildan (anak-anak yang mati sewaktu kecil sebelum baligh). Lalu, mereka akan menyambut ibu bapanya atau kedua orang tuanya. Kemudian, mereka akan memegang pakaiannya atau tangannya sepertinya hal aku memegang hujung pakaianmu ini dan dia tidak akan meninggalkan orang tuanya sampailah ALLAH SWT memasukkan orang tuanya ke dalam syurga.”

“Memang tsabit dalam hadis ini bahawa kanak-kanak yang mati sebelum baligh, ia dipanggil anak syurga sebab memang sudah tentu mereka dalam syurga dan berada dalam jagaan Nabi Ibrahim AS,” katanya.

Syurga Baitul Hamdi

Benarkah anak syurga itu akan memberikan syafaat kepada kedua ibu bapanya? Bagi menjawab persoalan itu, Sinar Islam mewawancara pendakwah Ustazah Nourul Iman Nia’mat.

USTAZAH NOURUL IMAN

Sebelum membutirkan lebih lanjut, beliau menerangkan tentang definisi syafaat yang bermaksud menjadi perantaraan dengan orang lain dengan memberikan manfaat dan menolak mudarat kepadanya.

“Ia terbahagi kepada dua jenis. Pertama, syafaat umum dan kedua adalah syafaat khusus. Syafaat umum adalah syafaat anak-anak syurga tadi kepada orang tuanya dan orang-orang yang soleh kepada orang tuanya.

“Sementara itu, syafaat khusus pula disebut sebagai syafaat Rasulullah SAW kepada umatnya,” katanya.

Justeru, kata pendakwah itu lagi, bagi ibu yang mengalami keguguran ataupun kematian anak waktu usianya masih kecil, mereka sebenarnya dijanjikan pahala atas sebab kesedihan yang dialami mereka yang sentiasa dalam keadaan reda dan sabar.

“Ketahuilah, orang yang menerima takdir dan reda apabila insan kesayangannya diambil oleh ALLAH SWT, bahkan mereka mengharapkan pahala atas musibah tersebut, maka salah satu pahala yang dijanjikan kepada ibu bapa berkenaan adalah ALLAH SWT membina rumah untuk mereka di syurga bernama Baitul Hamdi. Itu janji ALLAH,” ujar beliau.

Ustazah Nourul Iman menambah, anak syurga tadi juga merupakan syafaat kepada orang tua mereka.

Ujarnya, ada beberapa hadis yang menukilkan tentang dalil syafaat anak kepada orang tuanya yang sabar dan reda disebabkan musibah keguguran.

Antaranya sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya bayi yang meninggal dalam kandungan ibunya akan marah kepada Rabb-NYA jika ia tidak memasukkan kedua orang tuanya ke dalam neraka. Lalu dikatakan kepadanya; ‘Wahai anak yang marah kepada Rabb-NYA, masukkanlah kedua orang tuamu ke dalam syurga’. Maka ia pun menarik kedua orang tuanya dengan tali pusatnya hingga masuk ke dalam syurga.” (Riwayat Ibnu Majah)

Ia membawa maksud, kelebihan anak tadi itu bukan sekadar memberi syafaat, malah dia merupakan penghalang ibu bapanya daripada api neraka, kata agamawan itu.

“Seorang anak yang meninggal akan menjadi penghalang kepada kedua ibu bapanya daripada api neraka sebagaimana disebutkan dalam Hadis Riwayat Ibnu Majah. Ia tidak kiralah sama ada seseorang itu kematian seorang, dua atau tiga orang anak kecil dalam keluarga tersebut. Begitu juga dengan janin yang keguguran.

“Seterusnya, anak tadi akan menjadi benteng (ibu bapa) daripada (masuk ke) neraka. Anak tersebut akan menarik kedua ibu bapanya masuk ke dalam syurga,” katanya.

Baca juga Islam Anjurkan Kita Lakukan Pendekatan Ini Jika Tertekan Dengan Kerja Atau Keluarga

Kepada satu soalan, Ustazah Nourul Iman menjawab: “Syafaat anak menarik ibu bapa ke dalam syurga dengan syarat kedua orang tuanya reda (atas kematian anaknya), selain beramal dengan amalan yang soleh.

“Kalau kita hanya mengharapkan syafaat semata-mata, tetapi ibu bapa tadi pula merupakan orang tua yang fasik, mungkin ada perkiraan yang lain.

“Namun begitu, syafaat anak ini adalah penolong bagi kedua orang tuanya. Ya, manusia tidak sunyi daripada melakukan dosa kecil. Maka dengan syafaat tersebut, moga-moga dosa antara kita dengan ALLAH akan diselamatkan oleh syafaat anak tadi, insya-ALLAH,” ujar beliau.

Anak syurga

DIKURNIAKAN zuriat merupakan nikmat yang tidak terhingga. Jagalah amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sebaiknya.

Doa untuk anak kecil

Ustazah Nourul Iman meneruskan perkongsian ilmunya. Perbincangan kami memasuki fasa lebih serius apabila penulis mengajukan persoalan tentang tanggapan segelintir masyarakat bahawa tidak perlu berdoa untuk kematian anak syurga. Sejauhmana persepsi itu benar?

Pendakwah itu menjelaskan, melihat dari segi hukum solat jenazah, ia diwajibkan ke atas semua jenazah termasuk anak kecil yang baru lahir, menurut pendapat jumhur ulama.

“Anak yang kecil meninggal sebelum usia baligh tidak memiliki dosa. Persoalannya, bolehkah kita mendoakan kepadanya untuk mencapai pahala-pahala kepadanya?

“Walaupun tidak memiliki dosa, ia bukanlah bererti kita tidak boleh meninggalkan doa kepada mereka. Mereka tetap didoakan hanya doa kita itu diubah sedikit,” katanya.

Bagi janin yang keguguran, ujar pendakwah itu lagi, ketika solat jenazah, didoakan untuk kedua orang tuanya agar mendapat ampunan rahmat.

Anak syurga

ANDAI anak dilahirkan meninggal dunia sama ada dalam perut ibunya atau selepas melihat dunia, ganjaran pahala menanti buat ibu bapa yang reda dan bersabar atau musibah yang menimpa mereka.

“Ia sebagaimana dilakukan oleh Abu Hurairah yang mendoakan jenazah anak kecil dengan bacaan ‘Ya ALLAH, jadikanlah ia sebagai pahala yang disegerakan dan simpanan abadi serta sumber pahala bagi orang tuanya’,” kongsi pendakwah itu.

Menjawab satu soalan, Ustazah Nourul Iman menjelaskan: “Bagi janin yang telah meninggal dalam perut ibunya, jika janin yang keluar belum berusia empat bulan, maka para ulama sepakat untuk tidak disolatkan.

“Bahkan, janin keguguran sebelum usia empat bulan tidak akan dibangkitkan di padang mahsyar kerana roh belum ditiupkan,” katanya mengakhiri perkongsian ilmunya.

‘Anak OKU juga anak syurga, bawalah mereka untuk mengenal ALLAH’

Anak yang dilahirkan cacat atau kurang upaya (OKU) dan tidak waras juga tergolong sebagai anak syurga.

Justeru, bagi ibu bapa yang dikurniakan anak OKU, didikan agama tetap perlu diberikan agar mereka menjadi insan yang berguna mengikut kemampuan pada dirinya.

Menurut pendakwah Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad, OKU mempunyai pelbagai jenis.

DA’I FUAD

Katanya, jika anak OKU itu ada kekurangan dari segi kefahaman, akal dan pemikiran, maka anak tadi tidak dikira sebagai mukallaf yang diwajibkan ke atasnya untuk melaksanakan kesemua Rukun Islam.

“Namun begitu, sebagai seorang ibu dan ayah, bawalah anak tersebut untuk mengenal ALLAH SWT.

“Seandainya anak OKU tadi sihat dan hanya cacat bahagian tertentu, dia tetap kena laksanakan perintah ALLAH SWT. Bahkan, mereka wajib untuk melaksanakan solat,” katanya kepada Sinar Islam menerusi aplikasi Whatsapp baru-baru ini.

Pendakwah itu turut mengambil contoh kisah sahabat Rasulullah SAW bernama Abdullah bin Ummi Maktum yang buta, tetapi memberikan inspirasi kepada kita.

Bayangkan walaupun dilahirkan cacat penglihatan, namun beliau menjadi antara bilal kesayangan baginda SAW, terangnya.

“Setiap kali peperangan, beliau akan meminta para sahabat lain membiarkan dirinya memegang panji-panji Islam. Dalam satu peperangan yang dinamakan sebagai Perang al-Qadisiyyah, beliau diberi peluang memegang panji-panji Islam.

“Lalu beliau dipakaikan baju besi yang hebat dan Abdullah meletakkan panji-panji Islam dengan duduk di tengah-tengah antara musuh dan tentera Islam. Akhirnya, Abdullah gugur syahid dalam medan perjuangan menegakkan agama ALLAH SWT,” ceritanya.

Mengambil iktibar daripada kisah berkenaan, Da’i Fuad menegaskan, kita tidak boleh membelakangkan anak-anak OKU dalam memberikan sumbangan untuk agama.

“Apabila kita memberikan pemahaman agama kepada anak OKU dan ditakdirkan kita meninggal dunia, ketahuilah, anak tadi barangkali boleh mendoakan kita pada saat kita terputus bekalan (amal) di dunia.

“Jadi, biar anak kita kurang upaya, namun bukan anak yang kurang doa,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan ibu bapa agar mengambil manfaat dikurniakan anak OKU.

“Di samping kelemahan mereka, tetaplah beramal kepada ALLAH. Ingatlah, ALLAH pasti akan memandang doa mereka. Bahkan, itulah yang menjadikan doa mereka mustajab dalam kehidupan dan amalan kita.

“Jadi, minta terus anak OKU kita untuk beramal kepada ALLAH SWT dan jadi orang yang memberikan sumbangan kepada agama ini sepertimana Abdullah bin Ummi Maktum yang menjadi bilal kesukaan Nabi walaupun beliau buta.

“Sungguhpun mereka ada kekurangan, tetapi tetap ada sumbangan untuk Islam. Oleh itu, syukurlah kepada ALLAH SWT.

“Setiap kekurangan, ayuh sempurnakan dengan kebajikan dan sumbangan yang boleh kita berikan kepada Islam,” jelas beliau.

Anak syurga

BERSABARLAH jika dikurniakan anak OKU dan berikanlah mereka pendidikan agama yang secukupnya.

ANEKDOT

Ganjaran kepada ibu bapa dikurniakan anak OKU

– Firman ALLAH SWT: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi ALLAH jualah pahala yang besar lagi memberikan manfaat dalam kehidupan.” (Surah al-Anfal, ayat 28)

– Orang yang mula reda atas setiap ujian yang menimpanya dalam kehidupan, ALLAH SWT akan memberikan satu kebahagiaan akibat daripada sifat syukurnya kepada-NYA.

– Oleh sebab itu, dalam kaedah usul fiqh menyatakan, dalam masalah mendidik anak-anak ini, ulama sebut bahawa lebih banyak kita mendapat ujian dalam mendidik anak-anak, maka lebih banyak ganjaran yang ALLAH SWT berikan kepada kita.

– Jadi, penat dalam mendidik anak-anak ini tidak terkira sama ada anak itu kurang upaya (OKU) atau sihat walafiat. Ini kerana masing-masing ada cabarannya tersendiri.

– Lebih banyak ujian dalam kita mendidik anak-anak, maka lebih banyak ganjaran yang ALLAH SWT berikan kepada kita.

– Walaupun tiada riwayat yang jelas menceritakan tentang ganjaran apabila ibu dan ayah dikurniakan anak OKU, namun ganjaran untuk susah payah ibu dan ayah mendidik anak-anak ini ada dijelaskan dalam hadis Sahih Bukhari bahawa ALLAH SWT  menyediakan syurga untuk mereka.

– Oleh sebab itu, berjuanglah sehabis baik dan jangan berputus asa daripada rahmat ALLAH SWT.

– Sesungguhnya membesarkan anak-anak adalah sesuatu perkara perjuangan yang diredai oleh ALLAH SWT.

Sumber: Pendakwah Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar (Da’i Fuad)