Browsing Tag

anak derhaka

Hamba yang melahirkan tuannya
Gaya Hidup,

Ibarat hamba yang melahirkan tuannya, ibu bapa jangan terlalu manjakan anak

DALAM riwayat masyhur, seorang hamba wanita yang melahirkan tuannya merupakan antara tanda-tanda kiamat.

Hadis yang dimaksudkan itu diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab RA yang mana Malaikat Jibril datang kepada Nabi Muhammad SAW dan para sahabat untuk mengajarkan tentang Islam, iman dan ihsan.

Jibril bertanya: “Khabarkan kepadaku tentang hari kiamat.”

Nabi Muhammad SAW menjawab: “Tidaklah yang ditanya itu lebih mengetahui daripada yang bertanya.”

Maka Jibril bertanya lagi: “Khabarkan kepadaku tentang tanda-tanda kiamat.”

Lantas Rasulullah SAW bersabda: “(Antara tandanya adalah) apaabila seorang hamba wanita melahirkan tuannya…” (Sahih Muslim)

Baca juga ALLAH perihalkan tentang hari kiamat dalam Surah al-Zalzalah. Ini antara inti sari penting perlu kita ketahui

Sebenarnya ada sebab mengapa Sinar Islam Plus membangkitkan perihal seorang hamba yang melahirkan tuannya.

Hamba yang melahirkan tuannya

JANGAN biarkan diri kita menjadi ibu bapa yang melahirkan ‘tuannya’ kerana terlalu memanjakan mereka dan membiarkan cahaya mata masing-masing menerima ‘didikan’ daripada gajet mereka tanpa kawalan sehingga boleh membinasakan masa depan. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Semuanya gara-gara kisah yang dikongsikan oleh individu dikenali sebagai Faisal Rahim menerusi bebenang di platform X miliknya.

Menurut pengguna akaun @acaijawe itu, ketika dirinya berada di sebuah kedai makan, beliau melihat seorang ibu berulang-alik mengambil makanan untuk dua orang anaknya.

Paling menyedihkan, anak-anaknya bukannya kecil lagi, tetapi sudah berumur lingkungan 18 tahun.

“Ulang-alik (ibu) order dan ambilkan air. Kemudian, ambilkan tisu lagi. Anaknya? Main game di telefon.

“Ketika makan, mak cuba berborak. Anaknya jawab sambil mata pandang telefon,” coretnya.

Situasi itu membuatkan Faisal yang juga seorang amil teringat tentang tanda-tanda kiamat tersebut iaitu ‘hamba wanita melahirkan tuannya’.

Masakan tidak, jelas beliau, ibu bapa yang sepatutnya menjadi penguasa, dikuasai oleh anak-anak mereka sendiri.

Baca juga Dunia sekarang, anak tidak takut kecilkan hati ibu bapa, tetapi ibu bapa pula yang takut kecilkan hati anak

“Bahkan, anak-anak jadi tuan kepada ibu mereka.

“Semoga kita semua dapat layan ibu bapa kita dengan penuh kasih sayang,” ungkapnya.

Hamba yang melahirkan tuannya

SEBAGAI ibu bapa, kawallah anak-anak agar tidak terlalu leka dengan gajet sehingga membinasakan nilai-nilai kemanusiaan dalam diri permata hati masing-masing. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Perkongsian beliau dilihat lebih 639,000 tontonan dan diulang kicau 2,074 kali.

Seorang netizen dikenali sebagai @GizlySafiyyah menyifatkan, semua itu ada perkaitannya dengan ibu bapa.

“Salah ibu bapa juga sebab diajar begitu. Apa-apa yang kita biasakan ajar pada anak-anak, sampai ke besar itulah yang dibuatnya. Lebih-lebih lagi anak lelaki yang jenis lambat sedar diri,” tulisnya.

Pengguna platform X, @FaridAuzyddin pula berkata, sebagai pengusaha kedai makan, situasi seperti itu sudah tidak asing lagi.

“Kadang-kadang saya dah menunggu lama untuk dapatkan pesanan, masing-masing sibuk melayan telefon.

Baca juga Perkasakan peranan ibu bapa, usah biarkan gajet kuasai anak-anak

“Tapi tak semua macam itu, ada saja yang ibu bapa tegas. Masalahnya dah susah jumpa yang tegas itu,” coretnya.

Sementara itu, memetik artikel Irsyad Al-Hadith Siri ke-425: Maksud Hadis Hamba Wanita Melahirkan Tuannya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, majoriti ulama mengatakan bahawa ia merupakan antara tanda-tanda kiamat.

Ulama seperti Imam Ibn Hajar al-’Asqalani dan Syeikh Mustofa Dib al-Bugha memahaminya menerusi konteks yang lebih luas.

“Lalu sampai kepada kesimpulan bahawa ia merupakan kiasan akan berleluasanya perbuatan derhaka dan layanan kasar terhadap ibu bapa oleh anak-anak sepertimana layanan kasar tuan terhadap hambanya,” jelasnya.

Derhaka
Berita Semasa,

Adakah dikira derhaka jika tegur ibu bapa lakukan kesalahan?

ANAK derhaka. Ungkapan itu begitu dibimbangi dan ditakuti kebanyakan masyarakat. Ia umpama ‘sumpahan’ yang boleh membuatkan hidup kita porak-peranda.

Tidak hairanlah jika tiada siapa yang mahu dirinya digelar sebagai anak derhaka ataupun si Tanggang.

Justeru, penting untuk kita pastikan apa jua perkara yang dilakukan mestilah mendapat reda dan restu kedua-dua orang tua masing-masing. Merekalah insan yang paling banyak berjasa daripada ketika mengandung, melahirkan dan membesarkan kita.

Betapa perit dan jerih perlu dilalui oleh orang tua kita semata-mata demi melihat zuriat mereka menjadi insan berguna, bukan sebagai anak derhaka.

Baca juga Anak Derhaka Tak Layak Cium Bau Syurga! Ini Yang Perlu Diketahui

Tambahan pula, untuk menggapai keredaan ALLAH SWT, seorang anak perlu mendapatkan restu dan reda ibu bapa masing-masing.

Derhaka

UNTUK meraih keredaan ALLAH SWT, kita perlu mendapatkan reda dan restu ibu bapa.

Begitupun, andai ibu bapa ada melakukan kesilapan, bagaimanakah cara terbaik bagi seorang anak memperbetulkan kekhilafan ibu bapa masing-masing? Adakah mereka dikira derhaka apabila menegur orang tua?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Mohammad Wadi Annuar Ayyub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar menjelaskan, wajib menegur ibu bapa andai mereka ada melakukan kesilapan.

Jangan biadab

Pada masa sama, katanya, terdapat adab yang perlu dipenuhi sebagaimana yang diajar dalam agama Islam.

USTAZ WADI ANNUAR

“Teguran yang dibuat itu jangan sesekali menggunakan bahasa yang kesat dan tidak menegur mereka di khalayak ramai dengan membuka aib orang tua kita.

“Seperkara lagi, biarlah nasihat yang diberikan kepada ibu bapa tadi tidak mengguriskan hati mereka. Paling penting, tegur mereka apabila kita bersama emak atau ayah kita sahaja.

“Pendek kata, seorang anak perlu menggunakan perkataan dan ungkapan yang elok serta tidak menghiris hati mereka. Jagalah hati insan yang paling banyak berjasa dalam hidup kita. Itulah ketentuan ALLAH SWT dalam alam ini,” ungkapnya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Baca juga Anak boleh nasihat ibu bapa jika buat salah. Ini cara yang betul…

Menyambung hujahnya, agamawan itu kemudian mengingatkan seluruh umat Islam dengan kalam ALLAH yang memerintahkan supaya kita berbuat baik kepada ibu bapa.

Firman ALLAH SWT: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain-NYA dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara mereka atau kedua-duanya sudah sampai usia tua dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada mereka perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak merela, dan ucapkanlah perkataan yang baik-baik kepada mereka.” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Derhaka

KEPADA yang masih mempunyai ibu bapa, ziarahlah selalu serta penuhi segala keperluan dan menyantuni mereka.

Keberkatan hidup

Berdasarkan ayat itu, ujar Ustaz Wadi Annuar, ALLAH SWT menentukan dan mematerikan perintah supaya kita menyantuni ibu bapa dan tidak boleh mengeluh, apatah lagi menarik muka.

Tidak kiralah siapa pun orang tua kita waima dia seorang kaki botol mahupun pelacur, sebagai anak, kita tidak boleh menjerkah mereka dengan kata-kata kesat, ungkapnya.

“Apalagi menghina mereka dengan ungkapan yang menjelikkan. Ketahuilah, berdosa besar jika kita mengangkat suara yang tinggi di hadapan ibu ayah kita walaupun kedua-dua orang kita merupakan pelaku maksiat.

“Ingatlah, ketetapan ALLAH SWT itu tidak akan berubah buat selama-lamanya. Perintah itu bukan sahaja kekal sampai kiamat, tetapi selagi mana wujudnya syurga ataupun neraka, wujudnya seluruh alam ini sampai bila-bila.

Baca juga [VIDEO] Anak kena gantikan puasa yang tidak sempat diqada oleh ibu bapa mereka yang sudah meninggal…

“Kita tiada pilihan kerana itulah yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT. Sesungguhnya, ia mempunyai rahsia yang sangat besar. Ini kerana keberkatan hidup yang sangat luar biasa menanti buat anak-anak yang mentaati ataupun menuruti apa yang diajarkan oleh ALLAH SWT dalam berbakti kepada ibu dan ayah,” jelas beliau.

Sementara itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menerusi video yang dikongsikan di Instagram jom_kuliah menjelaskan, seorang anak tidak dikira menderhaka sekiranya mereka hanya menunaikan peritah ALLAH SWT.

USTAZ AZHAR IDRUS

“Derhaka itu hanya berlaku apabila anak tersebut menasihati ibu bapanya dengan cara biadab ketika menegur mereka,” katanya.

Sebagai hamba ALLAH SWT, jalankanlah tanggungjawab kita dengan sebaiknya. Tiada masalah kita menegur dan memberi nasihat kepada orang tua masing-masing asalkan bertepatan dengan ajaran Islam.

Siapa tahu bimbingan kita tadi dapat menarik mereka kembali ke jalan yang diredai oleh ALLAH SWT.

Foto: 123rf & Freepik 

Untitled design (8)
Gaya Hidup,

Anak Derhaka Tak Layak Cium Bau Syurga! Ini Yang Perlu Diketahui

no comment

Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA

BEBERAPA tahun lalu, penulis ditugaskan untuk menemuramah penghuni sebuah rumah jagaan orang tua di Negeri Sembilan.

Sebaik melangkah ke sebuah dorm, hati kecil ini terusik. Masakan tidak, ruang itu dipenuhi dengan ibu bapa malang yang ditinggalkan.Ada yang nampak ceria, namun majoritinya bermuram durja.

Seperti yang dijanjikan, penulis dibenarkan mendekati seorang lelaki tua yang dikatakan memilih sendiri duduk di rumah jagaan berkenaan.

Beliau menangis sebaik mendengar soalan pertama yang diajukan penulis. Beritahu beliau, perbuatan lampaunya yang mengabaikan tiga anak yang sedang membesar gara-gara terlalu sibuk dengan kerjaya sebagai jurufoto sangat dikesali.

Mahu dipendekkan cerita, pada usia 50-an beliau jatuh sakit. Pun demikian, tiada seorang pun daripada anaknya mahu menjaganya. Lebih teruk lagi, beliau dihalau keluar dari rumah. Tiada pilihan lain, lelaki berkenaan mendaftarkan diri secara sukarela di rumah jagaan orang tua.

Melihat kepada situasi pilu berkenaan, penulis terfikir sejenak. Mengapa si anak tergamak berbuat demikian? Adakah disebabkan mahu membalas dendam terhadap perbuatan silam bapa mereka?

Bukankah seburuk-buruknya si ayah, perbuatan tersebut sangat ditegah di sisi agama? Bukankah kedudukan ibu bapa di sisi ALLAH amatlah tinggi sehinggakan ALLAH meletakkan perintah berbuat baik kepada mereka bersebelahan dengan perintah tidak menyembah selain daripada ALLAH dan mensyirikkan-NYA?

Si Tanggang moden
Bagi membincangkan topik tersebut, Sinar Islam Plus mendapatkan ulasan pendakwah Dr Mohd Faisol Ibrahim.

 

Dengan penuh kesungguhan, Dr Mohd Faisol berkata, anak-anak yang dipupuk dengan ilmu naqli (al-Quran) dan aqli (sunnah), di samping menekankan adab-adab Islam dalam jiwa, merupakan ganjaran terhebat kepada orang tuanya.

Namun, jika ibu bapa gagal mendidik anak dengan jiwa yang dipasak dengan dua sumber utama agama itu (naqli dan aqli), ia merupakan satu kerugian besar.

“Rugi kerana tidak menggunakan peluang yang ALLAH SWT berikan sepenuhnya bagi menyemai saham pada hari akhirat kelak,“ ujarnya.

Ujar pendakwah itu lagi, tidak mudah sebenarnya hidup pada era milenial yang dilingkari dengan pelbagai liku. Situasi sebegitu sememangnya menuntut ibu bapa lebih peka, prihatin, cakna, di samping memiliki kekuatan iman yang utuh.

“Cabaran-cabaran yang hadir itulah yang mewujudkan segelintir anak yang tidak patuh kepada ibu bapa. Mereka mempunyai pemikiran sendiri yang
adakalanya salah dan tersasar,“ katanya.

Pun demikian, apapun tantangan yang hadir, seorang anak perlu memahami tanggungjawab dan keterbatasan mereka terhadap ibu bapa tanpa mengambil pusing soal sejarah hidup orang tuanya, status hidup, warna kulit, agama, pangkat, kekayaan, waima agama mereka.

Dalam erti kata mudah, siapa pun ibu bapa kita, seorang anak sangat ditegah daripada memperlekehkan, apalagi melakukan perbuatan derhaka.

“Anak derhaka akan dimurkai ALLAH SWT dan tidak mencium bau syurga. Itu adalah jaminan ALLAH SWT dan memang selayaknya. Anak derhaka itu ialah anak yang tidak mengenang jasa. Mereka tidak berbakti kepada orang tua, walhal ia adalah jalan mudah menuju ke syurga.

“Hari ini, saya lihat anak derhaka boleh digelar sebagai ‘si tanggang moden‘. Bermacam berita yang dipaparkan di dada akhbar dan televisyen. Ada yang sanggup memukul dan mencerca ibu bapa gara-gara impian mereka tidak dipenuhi.

“Ada juga yang menghantar ke rumah jagaan orang tua tanpa rela, halau ibu bapa dari rumah dan sanggup tinggalkan ibu bapa di jalanan,“ katanya dengan nada kesal.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Celakalah dia, celakalah dia, celakalah dia,“. Lalu baginda ditanya: “Siapa Ya Rasulullah? Jawab baginda: “Sesiapa yang mendapati kedua-dua orang tuanya (dalam usia lanjut) atau salah seorang daripada kedua-duanya, tetapi tidak berusaha masuk syurga (dengan memelihara orang tuanya sebaik-baiknya).“ (Hadis Riwayat Muslim)

Berbakti selamanya
Dr Mohd Faisol yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia menambah, anak yang soleh dan solehah akan
selamanya berbakti kepada ibu bapa semasa hayat mereka.

“Ketahuilah, mak ayah kita adalah salah satu nikmat terbaik yang ALLAH YANG MAHA BERKUASA kurniakan dan memang tolok bandingnya,“ terangnya.

Dalam hal tersebut, ALLAH telah memberi peringatan jelas menerusi Surah al-An‘am, ayat 151: “Katakanlah, marilah, supaya AKU bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan ALLAH sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa.”

Justeru, dengan penuh rasa tawaduk, pendakwah itu mengajak masyarakat untuk terus menabur jasa kepada ibu bapa masing dengan apa cara sekali pun.

“Sesungguhnya, pengorbanan mereka tidak boleh dibalas  wang ringgit atau harta benda. Berbakti dan gembirakanlah mereka sedaya mungkin semasa ibu dan ayah masih hidup agar kita tidak terkilan pada kemudian hari,“ ungkapnya.

Semua pandangan yang diperkatakan oleh Dr Mohd Faisol dipersetujui oleh pendakwah Asmak Husin. Kata Asmak, memang sudah menjadi lumrah dalam kehidupan manusia yang kadangkala berselisih pandangan dan tidak sependapat.

 

Pun demikian, dengan ibu bapa, seorang anak perlulah sentiasa beralah dengan orang tuanya, sekalipun pendapat mereka dilihat kurang tepat dan sedikit tergelincir.

“Tiada gunanya bertegang leher, membeliakkan biji mata atau meninggikan suara semata-mata mahu menegakkan pendapat. Ingat, pangkat kita hanya
sebagai seorang anak. Biarkan mereka. Sebagai anak kita perlu faham bahawa ibu ayah juga ada ego mereka tersendiri,“ katanya.

Bagaimana pula jika kedua-dua ibu bapa kita telah pergi menghadap ILAHI?

Jawab pendakwah terkenal itu, antara perkara yang perlu anak-anak lakukan adalah meraikan dan menyambung kembali silaturahim dengan sahabat-sahabat orang tuanya.

“Agama Islam amat menganjurkan setiap umatnya untuk menyambung pertalian (silaturahim) dengan sesiapa sahaja, bukan hanya sesama ahli keluarga, tetapi dalam kalangan sahabat-handai ibu bapa mereka,“ jelasnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturahim.“ (Hadis Riwayat Bukhari)

Tutur pendakwah itu lagi, ungkapan reda ALLAH SWT terletak kepada reda kedua-dua ibu bapa perlu direnung dan diperhalusi sedalam-dalamnya.

 

ANAK yang soleh dan solehah akan sentiasa mencurahkan kasih sayang dan bakti kepada ibu dan ayah mereka. Bersikap dingin atau berselisih pandangan dengan kedua-dua orang tua sangat merugikan kerana ia hanya mengundang kemurkaan ALLAH SWT.

“Sekali lagi, saya ingin tegaskan, kita perlu menyantuni dan menghormati ibu bapa, sungguhpun mereka bukan beragama Islam. Kita wajib taat kepada
mereka kerana ALLAH SWT dan bukan batang tubuhnya,“ ujarnya.

ANEKDOT

CARA terbaik menjadi anak yang soleh dan solehah
1 Berdoa kepada ALLAH SWT supaya diberi petunjuk dan bimbingan untuk menjadi anak yang soleh. Hal ini perlu diamalkan agar hidup kita sentiasa dipandu untuk berbakti kepada kedua ibu bapa dan mengutamakan mereka berbanding individu lain.

2 Sentiasa membaca ayat suci al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW yang menghuraikan tentang kewajipan dan kelebihan anak soleh serta ancaman azab yang pedih untuk anak yang menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa.

3 Melihat sejarah perjalanan hidup para nabi, sahabat dan orang soleh. Contoh terbaik adalah meneladani kelembutan Nabi Ibrahim AS ketika berbicara dan berdakwah dengan lemah lembut dengan ayahnya yang merupakan pembuat patung sembahan kaumnya. Demikian juga kelembutan Rasulullah SAW sewaktu berdakwah dengan bapa saudaranya, Abu Talib.

4Berbicara dengan tutur kata yang sopan dan lemah lembut dengan ibu bapa, sama ada melalui perbualan telefon atau ketika menziarahi mereka. Selain itu, anak perlu membiarkan ibu bapa menghabiskan kata-kata mereka dan tidak memotong percakapan mereka.

5 Meminta pandangan dan nasihat orang-orang yang soleh di sekeliling dalam mendepani kerenah ibu bapa yang berbagai ragam. Antaranya ibu atau bapa yang enggan dibawa ke hospital. Nasihat individu yang soleh, lagi berpengalaman amat diperlukan dalam situasi seperti itu.

Sumber Pendakwah Dr Amiruddin Mohd Sobali