Browsing Tag

amerika syaarikat

webRNS-Eid-al-Fitr-New-Jersey-Mulsim1-092921
Jendela Dunia,

Wanita Islam Cenderung Diganggu Golongan Islamofobia Berbanding Lelaki

KAJIAN Program Keadilan Global oleh Institut Othering & Belonging, Amerika Syarikat (AS) mendapati bahawa wanita Islam lebih gemar menyembunyikan identiti agama mereka kerana takut diganggu golongan Islamofobia.

Laporan kajian yang bertajuk ‘Islamofobia melalui Mata Muslim’, dikeluarkan semalam (29 September 2021) dengan mengambil kaji selidik pada tahun lalu daripada 1,123 umat Islam yang tinggal AS.

Tujuan tinjauan itu adalah untuk meminta umat Islam AS menilai kesan yang lain dan diskriminasi dihadapi mereka kerana fahaman Islam yang menjadi pegangan hidup.

Laporan tersebut digambarkan sebagai inovatif kerana menjurus kepada orang-orang yang hidup terkesan akibat Islamofobia untuk didokumentasikan pengalaman kolektif mereka melalui rakaman suara menerusi pernyataan negatif tentang umat Islam.

Penyelidik Program Keadilan Global, Institut Othering & Belonging, Basima Sisemore, berkata tinjauan itu mengangkat suara orang Islam dan menyelami kepelbagaian populasi Muslim AS.

Graf latar belakang kaum dan etnik yang dilakukan kaji selidik.

Kaji selidik dilakukan keatas penduduk AS daripada latar belakang negara asal berbeza seperti Asia Selatan (35.6%); Arab (25.2%); Afrika (8.8%); Eropah (7%); Asia Tengah dan Timur (6.9%); berbilang kaum (1.2%); Latin (1.1%) dan lain-lain (14.2%).

Kajian mengikut kumpulan usia

Mereka juga terdiri daripada pelbagai usia seperti 18 hingga 29 (44.6%), 30 hingga 49 (34.3%); 50 hingga 64 (24%); 65 hingga 74 (25%), dan 75 keatas (10%). Sebilangan besar 90.7 peratus adalah lulusan kolej dan 92.4 peratus mampu berbahasa Inggeris dengan baik.

Menurut laporan itu juga, 83.5 peratus responden bercakap bahasa lain selain bahasa Inggeris di rumah. Sebilangan besar peserta 61.2 peratus dilahirkan di luar negara, sementara 38.8 peratus dilahirkan di AS.

“Peserta diajukan dengan pelbagai pertanyaan, termasuk siapa yang mereka yakin paling berisiko mengalami Islamofobia dan berapa kali mengalaminya. Adakah nilai-nilai Islam dipercayai sesuai dengan rakyat AS.

“Selain itu, berapa kerap individu itu bersosial dengan kumpulan bukan Islam dan bagaimana golongan anti-Islam telah mempengaruhi kesejahteraan mental sehingga pernah cuba untuk menyembunyikan identiti agama Islam.

Wanita adalah kumpulan yang paling berisiko mengalami gangguan Islamofobia.

“Hampir 75 peratus peserta percaya bahawa wanita lebih berisiko mengalami Islamofobia. Tinjauan mendapati 60.6 peratus responden percaya bahawa golongan itu adalah masalah yang sangat besar di AS,” katanya.

Bagi Sisemore, adalah penting untuk mengukur kesan itu, terutamanya kerana hampir semua peserta iaitu 97.8 peratus mengatakan bahawa mereka percaya bahawa Islamofobia wujud di AS.

Pengarah Program Keadilan Global, Elsadig Elsheikh, berkata lebih daripada dua pertiga atau 67.5 peratus secara peribadi mengalami gangguan pembenci agama dan wanita 76.7 peratus lebih cenderung daripada lelaki iaitu sebanyak 58.6 peratus mengalami pertemuan bersemuka dengan pemangsa. Hampir semua responden iaitu 93.7 peratus mengatakan bahawa kekacauan itu mempengaruhi kesejahteraan emosi dan mental mereka.

“Ini mungkin menunjukkan bahawa walaupun seorang Muslim tidak disasarkan secara langsung oleh tindakan Islamofobia, keberadaan golongan itu di media sosial setelah peristiwa 9/11 telah menciptakan perasaan umat Islam seperti diawasi, dinilai atau dipulau,” katanya.

Sumber: Religion News Service