Browsing Tag

Amalan urusan hidup berjalan lancar

Amalan urusan hidup berjalan lancar
Gaya Hidup,

7 Amalan Supaya Urusan Hidup Kita Berjalan Lancar

no comment

ADAKALANYA emosi kita ‘koyak’ dan jiwa pula terasa kosong. Apa sahaja yang dilakukan, hampir semuanya serba tidak kena.

Masakan tidak, kita hanyalah manusia biasa yang banyak kekurangannya. Bukan setiap masa hidup kita diulit kegembiraan. Sesekali rasa sedih, susah, senang dan seumpamanya akan datang bertandang.

Mengertilah, semua itu merupakan warna-warni kehidupan kita di atas muka bumi ini. Andai statik sahaja graf kehidupan kita, pasti manusia akan mudah bosan.

Meskipun begitu putaran hidup kita, namun kita sebenarnya tidak bersendirian menghadapi semua itu kerana ALLAH SWT sentiasa ada untuk mendengar rintihan dan keluhan kita.

Malah, Islam juga menyediakan garis panduan andai kita menghadapi sebarang ujian.

Pendakwah Asma’ Harun berkongsi doa yang boleh diamalkan seandainya kita merasakan urusan kehidupan menjadi kacau-bilau menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

ASMA’

Doa tersebut diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang berbunyi:

Ya ALLAH, perbaikilah bagiku agamaku yang menjadi benteng pelindung urusanku, perbaikilah bagiku duniaku yang menjadi tempat kehidupanku, perbaikilah bagiku akhiratku yang menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah baki kehidupan ini sebagai tambahan (peluang) bagiku dalam segala kebaikan dan jadikanlah kematian sebagai kebebasanku daripada segala kejahatan.” (Riwayat Muslim)

Melihat ungkapan doa berkenaan, Asma’ mengajak umat Islam untuk mengejar akhirat. Ini kerana sesiapa yang berbuat demikian, mereka akan dapat mengejar kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat.

“Namun, jika seharian kita lebih banyak mengejar dunia, maka dikhuatiri kita akan kehilangan kedua-duanya.

“Lumrah kehidupan, kita selalu terhimpit dengan waktu dan kudrat yang terbatas,” katanya.

Sesibuk manapun, Asma’ mengingatkan kita agar cuba istiqamah melakukan amal soleh supaya urusan kita berjalan dengan lancar.

Beliau turut berkongsi tujuh amalan yang boleh dilakukan iaitu:

Amalan urusan hidup berjalan lancar

1. Membaca al-Quran

 

Sekurang-kurangnya baca satu muka surat sehari setiap kali selepas solat. Ia adalah cahaya di dunia, alam barzakh dan di padang mahsyar.

Daripada Abu Umamah Al-Bahili bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bacalah al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya.” (Riwayat Muslim)

2. Melazimkan istighfar

Amalan urusan hidup berjalan lancar

Terlalu banyak fadilat istighfar yang dilakukan sama ada secara zahir atau dalam hati. Ketahuilah bahawa punca kacau-bilau hidup kerana maksiat sendiri, hati yang kotor dan sumber rezeki yang tidak barakah.

Istighfarlah selalu, mudah-mudahan maksiat akan jadi pahit dan amal soleh menjadi manis.

3. Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW

 

Perbanyakkanlah selawat kerana ia adalah zikir dan doa yang paling utama. Kita mohon kepada ALLAH semoga Nabi Muhammad SAW dirahmati, kita akan dibalas dengan 10 kali rahmat daripada-NYA. Pasti, kita akan selalu mendapat pertolongan ALLAH SWT.

Baca juga Tiada Unsur Syirik Dalam Selawat Tafrijiyyah, Ini Penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

4. Melafazkan Lailaha illallah

Ini adalah zikir paling afdal. Dengan zikir ini, kita akan dipelihara daripada syirik yang jelas dan tersembunyi. Bahkan, kita akan selalu bergantung kepada ALLAH, maka ALLAH sentiasa ada bersama kita.

Paling utama, kita sangat mengharapkan kematian sambil mengucap kalimah tersebut kerana ia adalah satu jaminan untuk masuk syurga ALLAH SWT.

5. Solat awal waktu

Amalan urusan hidup berjalan lancar

Jika benar kita mahu doa dan hajat kita cepat dimakbulkan oleh ALLAH SWT, maka segerakanlah menyahut panggilan-NYA. Sesungguhnya, jika kita mampu untuk setiap waktu, hidup kita akan mendapat ketenangan luar biasa.

6. Jaga aurat

Hasil daripada amal ibadah dan melazimkan zikir akan menghasilkan jiwa yang taat kepada ALLAH. Menutup aurat dengan sempurna adalah tanda ketaatan dan hidup dengan cara Islam. Semoga mati juga dengan cara Islam dan dibangkitkan semula dengan Islam.

Sebelum keluar daripada rumah, suami dan isteri tengoklah pasangan daripada atas sampai bawah. Begitu juga ibu dan ayah, tengoklah pakaian anak-anak.

Bimbang di luar rumah pelbagai keburukan boleh berlaku. Bukan apa, kita bimbang pergi dalam keadaan ingkar kepada ALLAH.

7. Bersangka baik dan berdoa

Amalan urusan hidup berjalan lancar

Sesungguhnya, ALLAH SWT adalah sepertimana sangkaan kita. Jika selalu sangka baik dengan ALLAH, kita akan dapat kebaikan demi kebaikan.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda bahawa ALLAH SWT berfirman di dalam sebuah hadis Qudsi: “Sesungguhnya AKU sesuai dengan sangkaan hamba-KU terhadap-KU, jika dia bersangka baik maka dia akan mendapat kebaikan, dan jika dia bersangka buruk maka dia akan mendapat keburukan.” (Riwayat Ahmad)

Dalam pada itu, pendakwah itu mengingatkan bahawa kita hanya mampu merancang, sebaliknya serahkan segala-galanya kepada ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI.

“Mudah-mudahan apabila kita istiqamah dengan amalan-amalan itu, banyak perubahan akan berlaku dalam hidup kita, insya-ALLAH.

“Namun, cabaran utama adalah berjuang untuk istiqamah, kerana ia perkara yang paling sukar dijaga, apatah lagi bila nafsu dan syaitan sentiasa menghasut,” ujarnya.

Foto: Freepik, Unsplash & Pexels