Browsing Tag

amalan tidak diterima

Aqidah,

Korupsi antara penyebab amalan tidak diterima selama 40 hari

KORUPSI berkait rapat dengan apa jua sogokan atau suapan untuk mendapatkan sesuatu dan demi kepentingan tertentu.

Demikian definisi rasuah dalam konteks Islam, kata pendakwah Ustaz Mohamad Hadi Talhah kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

“Pendek kata, korupsi bukan sekadar melibatkan wang ringgit, tetapi mungkin juga pemberian kenderaan mewah, rumah banglo, percutian, pakej tertentu dan sebagainya yang melibatkan hadiah dua pihak,” ungkapnya.

Dalam hal itu, ALLAH SWT berfirman: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Baca juga Rasuah bukan sekadar duit kopi, ini realitinya

Malah, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “ALLAH melaknat orang yang menyogok dan orang yang minta disogok dalam huraian masalah hukum.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

USTAZ MOHAMAD HADI

Melihat nas berkenaan, ujar agamawan itu, jelaslah bahawa memakan harta haram termasuk rasuah bukan sahaja berdosa besar, tetapi juga dilaknat oleh ALLAH SWT.

Ketahuilah, mereka yang terlibat dalam perbuatan tidak bermoral itu akan menerima kutukan, kemurkaan, hilang keberkatan dan rahmat ALLAH SWT di dunia ini, selain mendapat seksaan neraka yang amat dahsyat, terangnya.

“Sebenarnya, rasuah ini melibatkan orang ramai. Ingatlah, jika berdosa dengan ALLAH, kita boleh memohon keampunan terus kepada-NYA. Mudah kata, senang untuk kita bertaubat dan ALLAH MAHA PENERIMA TAUBAT.

“Namun, andai melibatkan dosa kita dengan manusia lain, ia satu kezaliman kepada mereka. Ini kerana boleh jadi ia melibatkan harta syarikat, organisasi dan negara. Dari sudut untuk kita mendapatkan kemaafan daripada orang ramai agak sukar, sudah tentulah ancaman di akhirat tidak dapat dielakkan di akhirat.

Baca juga Tak boleh guna duit haram untuk bayar sewa rumah, beli pakaian dan seumpamanya. Ini penjelasannya

“ALLAH SWT tidak boleh menghindarkan azab seksaan tersebut pada hari kiamat kelak kerana tidak mendapat kemaafan orang ramai di dunia. Sebab itulah, kesan salah laku korupsi lebih besar daripada perbuatan maksiat lain seperti berzina,” katanya sambil mengingatkan agar umat Islam tidak memandang remeh perilaku keji berkenaan.

Menyambung hujahnya, Ustaz Mohamad Hadi kemudian memberi peringatan bahawa mereka yang memakan harta haram akan menyebabkan amalan dilakukan ditolak selama 40 hari.

“Maknanya, sesiapa yang berbuat demikian waima memberi atau menerima suapan, segala amalan yang dilakukan tidak diganjari dengan pahala, tetapi mereka tetap kena tunaikan kewajiban yang difardukan ke atas umat Islam.

“Bukan itu sahaja, doanya juga tidak akan dimakbulkan oleh ALLAH SWT,” katanya.

Baca juga Enam punca harta jadi haram yang orang tidak sedar

Justeru, penceramah itu mengingatkan agar umat Islam menghindari diri daripada rasuah dan memerangi amalan tersebut dalam masyarakat.

Korupsi

AMALAN rasuah memberikan implikasi yang buruk bukan sahaja kepada diri, tetapi juga dalam sesebuah organisasi dan negara.

“Ingatlah, rezeki ALLAH SWT itu sangat luas. Barangkali kita hanya peroleh sedikit, tetapi berkat daripada dapat banyak, tetapi langsung tiada keberkatan di situ atau tidak halal. Mengapa kita mencari yang haram?

“Suka saya ingatkan bahawa benda haram itu boleh melorongkan kita ke arah perbuatan maksiat yang lain. Masakan tidak, apabila dapat duit haram bukan hasil titik peluh sendiri, terlalu mudah kita tidak kisah berbelanja termasuk berjudi mahupun menggunakannya ke arah maksiat yang lain.

“Disebabkan itu, kita lihat kebanyakan orang yang makan rasuah itu hidupnya tidak berkat, mungkin keluarganya lintang-pukang, wangnya dicuri ataupun ditimpa malapetaka dan musibah,” katanya menutup bicara.

Foto: 123rf & Freepik