Browsing Tag

amalan sunah

Makan awal malam
Isu,

Bangun Sahur Sunah Yang Besar Ketika Ramadan, Jangan Tinggalkan Amalan Ini

no comment

BERSAHUR merupakan amalan sunah yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW sepanjang berpuasa. Sudah tentulah sesiapa yang mengamalkan sunah baginda akan diberikan ganjaran, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh barakah ini.

Begitupun, masih ada sebilangan individu yang mengabaikan sunah tersebut dan menganggapnya seperti tidak penting.

Kata mereka, sahur tidak lebih sekadar makan dan minum sahaja. Dengan angkuh juga mereka berkata, diri masing-masing masih kekal bertenaga walaupun tidak menjamah apa-apa.

Pandangan itu sebenarnya hanya merugikan diri sendiri. Ketahuilah, banyak terkandung kelebihan dan keberkatan dalam bersahur. Justeru, apakah keistimewaan bersahur sehinggakan banyak disebut-sebut dalam nas? Jika terlewat bangun pada waktu imsak, bolehkah kita makan dan minum lagi?

Waktu sahur

Bagi mendasari topik berkenaan, Sinar Islam Plus mewawancara pendakwah Nourul Iman Nia‘mat. Beliau terlebih dahulu mengajak umat menyelami maksud sahur yang merupakan perbuatan makan dan minum pada awal pagi sebelum waktu fajar dengan niat untuk berpuasa.

NOURUL IMAN

Ujar beliau, waktu sahur bermula pada akhir malam sebelum waktu Subuh dan disunatkan untuk kita melewat-lewatkannya.

Daripada Zaid bin Thabit RA, beliau berkata: “Kami telah bersahur bersama Rasulullah SAW, kemudian kami bangun untuk mendirikan solat, maka aku telah bertanya berapa jarak antara keduanya? Baginda SAW bersabda: “50 ayat.“ (Riwayat Muslim, an-Nasai dan Ibn Majah)

“50 ayat dalam hadis itu bermaksud tempoh bacaan ayat al-Quran tersebut lebih kurang bersamaan dengan kadar waktu antara imsak (waktu berhati-hati) dengan waktu Subuh,“ katanya.

Sesungguhnya, ujar Noorul Iman, bersahur merupakan antara sunah yang sangat besar ketika Ramadan. Kelebihan itu dapat dilihat menerusi beberapa hadis masyhur.

Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: “Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.“ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bukan itu sahaja, sesiapa yang membiasakan diri bersahur, ujarnya, ia merupakan antara indikator jelas yang memisahkan antara puasa orang Islam dengan penganut agama lain dan ahli kitab.

Walaupun tidak berdosa seandainya kita tidak sempat bersahur atau sengaja enggan berbuat demikian atau sebaliknya, pendakwah itu menegaskan, perbuatan berkenaan sangat dituntut oleh Rasulullah SAW kerana banyak keberkatan yang boleh diperoleh umat Islam.

“Bahkan, dalam hadis, Rasulullah SAW bersabda supaya Muslimin dan Muslimat bersahur walaupun dengan seteguk air. Tidak seharusnya kita mengabaikan saranan baginda begitu sahaja.

Bersahur

BANGUNLAH sahur walaupun dengan hanya seteguk air ataupun sebiji kurma demi meraih keberkatan daripada-NYA.

“Ingatlah bahawa bersahur tidak semestinya kita perlu masak nasi dan sebagainya. Cukuplah sekadar segelas air, letak tepi tempat tidur kita dan bangun bersahur dengan minum air berkenaan ataupun sebiji tamar. Itulah sebaik-baik sahur.

“Tiada masalah untuk kita makan makanan berat yang lain. Semua itu bergantung kepada keperluan seseorang.

“Andai keperluannya bersahur dengan makanan tersebut supaya dirinya lebih bertenaga pada siang hari untuk bekerja, dipersilakan untuk bersahur dengan makanan berat,“ ujarnya.

Keberkatan

Meneruskan perkongsian ilmunya, Nourul Iman kemudian memperincikan tentang keberkatan yang dimaksudkan pada waktu sahur.

Jelas beliau, dalam Kitab al-Fathul Bari, Ibnu Hajar al-Asqalani menjelaskan bahawa berkat amalan bersahur itu terhasil dari pelbagai sudut.

Antara lain, katanya, kita mengikut sunah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan sudah tentulah mendapat pahala apabila berbuat demikian.

“Bahkan, bersahur juga membezakan antara puasa umat Islam dan ahli kitab. Pada masa sama, bersahur juga akan membekalkan tenaga sepanjang hari kepada tubuh badan. Ia juga akan menambahkan semangat kita berpuasa. Tidaklah kita kelihatan lesu dan tidak bermaya untuk bekerja.

“Benar, tidak dinafikan apabila masuk sahaja bulan puasa, emosi kita berubah, kondisi tubuh badan dan pergerakan kerja kita juga sedikit berubah.

Bersahur

BANGUN sahur sarat dengan pelbagai kelebihan dan keberkatan antaranya memberikan bekalan tenaga sepanjang berpuasa, selain mengikuti sunah Rasulullah SAW.

“Ingatlah bahawa kita bekerja pada masa ini untuk kelangsungan hidup bersama keluarga, tetapi umat Islam terdahulu pula berperang walaupun dalam keadaan mereka sedang berpuasa. Ia bukan suatu yang mudah, tetapi mereka tetap melakukannya dengan penuh semangat walaupun saat berpuasa,“ ujarnya.

Keberkatan bersahur tidak sekadar terhenti di situ, kerana menurut Nourul Iman, asbab mengamalkan sunah mulia tersebut akan membuatkan kita mudah memberi sedekah kepada mereka yang meminta.

Bersandarkan kepada semua kelebihan itu, kata Nourul Iman, jelaslah bahawa bersahur merupakan satu rahmat dan berkat yang sangat luas ditujukan kepada umat Islam.

“Justeru, selamat beramal. Jangan menganggap sahur sebagai satu amalan yang remeh,“ nasihatnya.

ALLAH, malaikat berselawat

Fakta yang dilontarkan oleh Nourul Iman turut dipersetujui oleh pendakwah Ahmad Lutfi Abdul Wahab Al-Linggi.

AHMAD LUTFI

Ujar beliau, keberkatan yang diperoleh asbab bersahur akan membantu seseorang menjalani hari-hari puasanya dengan mudah pada saat melakukan ibadah dan amalan-amalan ketaatan.

Bukan itu sahaja, ujarnya, Nabi Muhammad SAW memerintahkan agar jangan meninggalkan sahur.

Oleh itu, boleh kita simpulkan bahawa bersahur adalah sunah yang paling besar dan tidak pernah ditinggalkan oleh baginda dan para sahabat.

“Andai seseorang tidak bersahur, ini bermakna dia telah meninggalkan sunah yang paling besar dan boleh menyebabkan seseorang itu tidak mendapatkan keberkatan yang ada padanya.

“Ya, memang puasanya sah, tetapi berpuasa bukan hanya melibatkan sah atau tidak sah. Apa yang kita mahukan adalah keberkatan dalam ibadah puasa yang kita lakukan.

“Seperkara, ambillah peluang pada waktu sahur untuk beristighfar dan memohon keampunan daripada ALLAH SWT. Inilah antara sifat orang mukmin sepertimana yang dikhabarkan oleh ALLAH SWT dalam al-Quran menerusi Surah al-Dzariyat, ayat 18,” jelasnya.

Begitu besarnya kasih sayang-NYA kepada orang yang bersahur apabila ALLAH SWT dan para malaikat akan berselawat ke atas mereka, jelas beliau. Perkara itu ada dijelaskan dalam sebuah hadis yang berstatus sahih.

Daripada Abi Said al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda: “Makan sahur itu barakah, maka janganlah kalian tinggalkan meskipun salah seorang daripada kalian hanya minum seteguk air, kerana sesungguhnya ALLAH SWT dan para malaikat-NYA berselawat kepada orangorang yang makan sahur.“ (Riwayat Ahmad)

Baca juga Niat Selepas Azan Subuh, Ini Status Puasanya

Selain buah kurma yang menjadi kelaziman Rasulullah SAW ketika bersahur, Ahmad Lutfi menjelaskan, umat Islam juga boleh mengamalkan makanan sunah lain seperti madu, susu kambing dan buah zaitun.

Kepada satu soalan, Ahmad Lutfi menjelaskan: “Waktu imsak (10 minit sebelum masuknya waktu Subuh) bukanlah waktu bermulanya puasa. Maka, pada tempoh tersebut dibolehkan lagi kepada mereka yang terlewat bangun untuk makan dan minum.

“Namun begitu, sekiranya kita telah kedengaran azan subuh, maka hendaklah berhenti serta-merta dan kemudian sempurnakan puasa tersebut sehingga masuk waktu berbuka,“ katanya.

Begitupun, beliau berpesan agar kita segera menyelesaikan sahur sebelum masuknya waktu Subuh agar tidak timbul keraguan.

“Antara hikmah disunatkan untuk melewatkan sahur adalah supaya kita dapat terus mempersiapkan diri untuk menunaikan solat Subuh,“ katanya.

Doa waktu sahur, sebelum berbuka tidak akan tertolak

Tiada manusia yang mampu lari daripada melakukan kesilapan dan dosa. Hanya dengan bertaubat, berdoa dan memohon ampun antara cara untuk kita bebas daripada belenggu dosa berkenaan.

Sempena Ramadan yang begitu sinonim sebagai bulan keampunan, pendakwah Nik Nur Adneen Ismail atau lebih dikenali sebagai Da‘i Adneen mengajak umat untuk sama-sama berdoa.

DA’I ADNEEN

Lebih-lebih lagi ungkapan doa penuh tulus dipohon ketika bulan mulia itu kerana jelas Da‘i Adneen, terdapat dua waktu mustajab doa yang tidak akan ditolak pada waktu tersebut iaitu sebelum berbuka dan ketika waktu sahur.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka, ada doa yang tidak ditolak.“ (Riwayat Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada waktu sahur itu terdapat keberkatan.“ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Maka, rebutlah peluang itu dengan mempelbanyakkan zikir, istighfar dan berdoa kepada ALLAH SWT pada waktu-waktu tersebut,“ katanya kepada Sinar Islam Plus.

Dalam pada itu, Da‘i Adneen turut menasihatkan agar kita tidak mensia-siakan peluang keemasan itu berlalu begitu sahaja disebabkan terlalu sibuk menyediakan juadah berbuka dan bersahur.

“Antara pendekatan yang boleh diamalkan agar tidak terlepas peluang berdoa pada waktu tersebut adalah dengan menyediakan juadah berbuka dan bersahur dengan lebih awal. Ia supaya kita dapat mengecapi doa bersama-sama keluarga.

Bersahur

BERDOA dan pelbanyakkan istighfar sepanjang berpuasa terutama ketika saat berbuka dan waktu sahur yang merupakan waktu mustajab.

“Berdoalah walau dalam apa jua keadaan sekalipun kerana ALLAH itu MAHA MENDENGAR dan MAHA MENGETAHUI. Luangkanlah masa sekurang-kurangnya tiga hingga lima minit berdoa sebelum berbuka dan bersahur. Semoga ALLAH SWT akan memperkenankan segala doa kita,“ ujarnya.

Jelas beliau, tiada doa yang dikhususkan untuk dibaca ketika waktu berkenaan. Namun, beliau menyarankan agar kita mengamalkan doa penghulu istighfar.

Doa itu berbunyi: “Ya ALLAH, ENGKAULAH Tuhanku, tidak ada Tuhan kecuali ENGKAU, ENGKAU telah menciptakan aku dan aku adalah hamba-MU, dan hamba pasti menuruti ketentuan-ketentuan-MU, janji-janji-MU sesuai kemampuanku. Aku meminta penjagaan-MU daripada buruknya segala perbuatanku, aku mengakui segala nikmat yang ENGKAU berikan dan mengakui adanya dosa-dosa yang aku lakukan, maka ampunkanlah aku. Sesungguhnya, tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali ENGKAU.“

“Selain itu, kita juga boleh berdoa dengan meminta ketenangan, kebahagiaan dan segala keinginan dunia serta akhirat yang diimpikan,“ saran beliau.

ANEKDOT

KELEBIHAN bersahur

1. Membezakan antara puasa orang Islam dengan Yahudi.

Rasulullah SAW bersabda: “Perbezaan antara puasa kita (umat Islam) puasa ahli kitab terletak pada makan sahur.“ (Riwayat Muslim)

Walaupun ahli kitab berpuasa, tetapi mereka tidak makan sahur sebagaimana umat Islam yang disunatkan berbuat demikian.

2. Keberkatan ketika bersahur.

Ketahuilah, bangun sahur itu ada keberkatannya iaitu keberkatan syar‘iyyah (mengikut sunah baginda) dan badaniyyah (menguatkan tubuh badan).

Rasulullah SAW bersabda: “Bersahurlah kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.“ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3. Untuk kesihatan diri.

Menurut Imam Ibnu Adli Bar, kajian mengenai hadis bersahur dan kepentingannya adalah bertaraf sahih. Ia mampu memberi kesihatan kepada diri sendiri.

Kajian saintifik tentang saranan Nabi Muhammad SAW agar melewatkan sahur mempunyai sebab tersendiri dan ia sebenarnya menepati waktu sarapan pagi.

4. ALLAH dan para malaikat berselawat.

Perkara itu ada dinyatakan jelas dalam hadis kerana dalam sahur ada keberkatannya. Justeru, bangunlah sahur untuk mendapatkan semua kelebihan tersebut.

Sumber: Pendakwah Nourul Iman Nia‘mat & tzkrh.com

Foto: Freepik