Browsing Tag

Amalan pendinding sihir

Amalan pendinding sihir
Gaya Hidup,

4 Amalan Pendinding Sihir Yang Ampuh Boleh Kita Lazimkan

KITA sudah melangkah masuk ke tahun baharu 2022. Alhamdulillah, ALLAH SWT memanjangkan usia kita sehingga ke detik ini untuk menikmati kurniaan-NYA.

Meskipun berlaku perubahan zaman seiring dengan teknologi terkini, namun ia tidak menjamin bahawa amalan syirik dan khurafat seperti sihir sudah dinyahkan jauh-jauh daripada kamus hidup manusia.

Buktinya, sebuah portal berita tempatan mendedahkan, kira-kira 44,000 pesakit berkaitan kerohanian termasuk akibat disihir mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Darussyifa’.

Angka itu, kata Ketua Lajnah Penyelidikan dan Pembangunan Darussyifa’ Malaysia, Datuk Abdul Rashid Mat Amin adalah berdasarkan tinjauan di 45 daripada 90 pusat rawatan dikendalikan mereka di seluruh negara pada tahun 2019.

Bayangkan rekod itu hanya melibatkan pusat rawatan tersebut sahaja, bukan statistik rasmi secara menyeluruh tentang amalan sihir.

Jelaslah perbuatan yang sepatutnya dilarang keras dalam agama Islam itu masih ada lagi diamalkan oleh segelintir masyarakat.

Amalan pendinding sihir

UMAT Islam diwajibkan menjauhi diri daripada amalan khurafat dan syirik.

Sedangkan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 1993 telah memutuskan bahawa perbuatan sihir adalah dosa besar dan boleh membawa kepada syirik dan hukum mempelajarinya adalah haram.

Baca juga Elakkan Amalan Khurafat Ketika Wabak

Bagi mengelakkan diri daripada diserang perbuatan yang menyanggahi agama itu, pendakwah Mohamad Wadi Annuar Ayub berkongsikan empat pendinding sihir menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

WADI ANNUAR

Berikut amalan yang boleh diaplikasikan sebagai langkah berjaga-jaga daripada gangguan sihir:

1. Mentauhidkan ALLAH SWT dan mengikhlaskan ibadah yang dilakukan semata-mata kerana-NYA serta menjauhi perkara-perkara syirik.

2. Melaksanakan semua suruhan yang dipertanggungjawabkan oleh ALLAH SWT kepada manusia.

Di samping itu, seseorang itu juga wajib meninggalkan segala larangan dan tegahannya. Andai terlanjur melakukan dosa, hendaklah segera bertaubat dan tidak mengulanginya lagi.

3. Memperbanyakkan bacaan al-Quran dengan menjadikannya sebagai zikir dan wirid yang dibaca setiap hari.

Dianjurkan membaca surah al-Baqarah setiap hari di rumah.

Ketahuilah, al-Quran juga boleh berfungsi sebagai pendinding serangan sihir sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW.

Amalan pendinding sihir

LAZIMKAN diri membaca kalamullah dan berdoa untuk memohon perlindungan daripada ALLAH SWT daripada segala kejahatan manusia, jin dan syaitan.

Baca juga Hantu Dan Jin Tak Boleh Bunuh Manusia Kecuali…

Baginda bersabda: “Bacalah al-Quran kerana ia pasti datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pada pembacanya. Bacalah zahraawain, Surah al-Baqarah dan Ali Imran, kerana kedua-duanya pasti datang pada hari kiamat seolah-olah dua kelompok awan atau naungan atau dua kelompok burung yang melebarkan sayap sayap mereka bagi melindungi pembaca-pembacanya. Bacalah surah al-Baqarah, kerana mengambilnya pasti mendapat keberkatan dan meninggalkannya hanya membawa kerugian, dan tukang-tukang sihir tidak akan dapat mengalahkannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

4. Melindungi dan memagari diri dengan memperbanyakkan membaca doa, ta’awwuz dan dan zikir-zikir yang ma’thur (daripada al-Quran dan hadis).

Antaranya membaca La ilaha illallahu wahdahu la syarikalah, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘ala kulli syaiin qadir yang bermaksud Tiada Tuhan melainkan ALLAH sahaja, tiada sekutu baginya, baginya kerajaan dan baginya juga segala pujian dan DIA MAHA BERKUASA di atas segalanya. (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Marilah sama-sama kita melazimkannya dalam kehidupan seharian. Mudah-mudahan kita semua dilindungi oleh-NYA.

Foto: Freepik, Pexels & Unsplash