Browsing Tag

amalan pendiding

Sihir pakatan keji
Aqidah,

Sihir pakatan keji, lindungi diri dengan 6 cara dianjurkan dalam al-Quran dan hadis

SIHIR yang merupakan pakatan keji antara manusia dan syaitan masih lagi wujud meskipun kita kini hidup pada era milenial. Ia masih diamalkan oleh sebilangan orang walaupun tahu ia diharamkan dan merupakan antara salah satu dosa-dosa besar.

Namun, sebagai insan yang lemah dan tidak berdaya, sudah tentulah kita mengharapkan perlindungan serta pertolongan daripada YANG MAHA BERKUASA.

Ya, memang itulah yang sepatutnya dilakukan oleh seorang hamba. Sesungguhnya, ALLAH SWT sebaik-baik pelindung dan DIA MAHA MENDENGAR segala rintihan dan keluh-kesah setiap makhluk ciptaan-NYA.

Memetik artikel Researchgate.net, para sejarawan berpendapat ilmu sihir sudah mula wujud sekitar 5,000 tahun sebelum Masihi dan ia diamalkan secara meluas dalam tamadun Mesopotamia, Mesir Kuno, Rom, Parsi, Islam dan Barat hingga ke hari ini.

Bagi kebanyakan ulama Islam, artikel berkenaan menyebut, mereka berpendapat bahawa ilmu sihir telah mula bertapak sejak zaman Nabi Idris AS iaitu ketika turunnya malaikat bernama Harut dan Marut di negeri Babylon.

Baca juga Apa itu sihir pengasih dan tanda-tandanya?

Bercerita perihal sihir, baru-baru ini tular video pendedahan seorang ahli sihir dari Rusia, Zhanna Kushnir yang mengakui sukar untuk melakukan sihir terhadap orang Islam.

“Sangat sulit untuk mempengaruhi orang Islam kerana mereka selalu berhubung dengan entiti tidak berbentuk. Mereka diwajibkan untuk beribadah setiap hari. Maka, mereka senantiasa berada dalam semacam ‘kubah pelindung’, sukar untuk menyusupi mereka.

“Ketika memulakan sihir dan orang Muslim menghadap Pengawas mereka dalam doa. Doa mereka bukan selingan seperti yang dilakukan oleh orang Kristian yang hanya datang ke gereja ketika hidup sedang dihimpit kesempitan, kemudian selama lima tahun dia hilang kontak dengan Tuhan dan ajaran gereja.

Sihir pakatan keji

JANGAN sesekali mendekati sihir kerana ia merupakan salah satu daripada tujuh dosa besar yang membinasakan. -Gambar hiasan

“Sementera itu, Muslim pula memiliki iman dan hubungan yang kuat dengan Pengawas mereka. Dan Pengawas ini sangat protektif. Jadi menyerang Muslim yang taat pada agamanya sangat sulit (dilakukan),” katanya sebagaimana dipetik menerusi video berkenaan.

Melihat bait-bait ayat tersebut, sudah terang lagi bersuluh, umat Islam yang sentiasa mengingati ALLAH SWT akan berada dalam peliharaan dan perlindungan-NYA.

6 cara lindungi diri dan keluarga daripada sihir

Baca juga 4 Amalan Pendinding Sihir Yang Ampuh Boleh Kita Lazimkan

Menurut pendakwah Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki, sihir merupakan natijah kerjasama di antara manusia dengan syaitan.

USTAZAH ISFADIAH

“Hanya ALLAH SWT sebaik-baik pelindung,” ujarnya menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

Beliau turut berkongsi enam cara untuk melindungi diri dan keluarga daripada pakatan keji tersebut.

Berikut perinciannya:

1. Menjaga solat Subuh.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang mendirikan solat Subuh, maka ia berada di dalam jaminan perlindungan ALLAH.” (Hadis Riwayat Muslim)

2. Membaca Surah al-Baqarah.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bacalah Surah al-Baqarah! Kerana membacanya adalah barakah, meninggalkannya berupa penyesalan atau keruguian, dan sihir tidak akan mampu menghadapinya.” (Hadis Riwayat Muslim)

3. Baca muaqqidzataini (Surah al-Falaq dan an-Nas) setiap pagi serta petang.

Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang membacanya tiga kali pada waktu Subuh dan pada waktu petang, maka tidak ada yang boleh membahayakannya sesuatu apa pun.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Baca juga Rasulullah SAW pernah disihir? Ini sebab surah al-Falaq diturunkan.

4. Amalkan memakan tujuh biji kurma Ajwa setiap pagi.

Sihir pakatan keji

MAKAN tujuh biji kurma Ajwa pada setiap pagi dapat menjadi pendinding diri daripada sihir. -Gambar hiasan

Baginda SAW bersabda: “Barang siapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwa di pagi hari, maka tidak ada yang dapat memudaratkannya pada hari itu, baik racun atau sihir.” (Muttafaqun ‘alaih)

5. Baca dua ayat terakhir Surah al-Baqarah.

Rasulullah SAW ada menyatakan dalam sebuah hadis bermaksud: “Barang siapa yang membaca dua ayat terakhir dari Surah al-Baqarah di malam hari, maka keduanya telah mencukupinya.” (Muttafaqun ‘alaih)

6. Baca ayat Kursi sebelum tidur.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila engkau ke tempat tidur (di malam hari), bacalah ayat Kursi, nescaya ALLAH akan sentiasa menjagamu dan syaitan tidak akan menghampirimu hingga waktu pagi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Amalan-amalan yang boleh dilakukan untuk membatalkan sihir yang dituju pada kita

Marilah sama-sama kita amalkan pendiding diri yang disarankan. Semoga kita sentiasa dalam perlindungan dan peliharaan-NYA serta dijauhi daripada pakatan sihir yang keji.

Foto: Freepik