Browsing Tag

Albategnius

Al-Battani
Personaliti,

Kenali Al-Battani, Individu Penting Dan Cendekiawan Islam Yang Menemui Fakta 365 Hari Setahun

no comment

NAMA Al-Battani atau Albategnius memang tidak asing lagi dalam dunia astronomi. Ilmuwan Islam itu juga menguasai ilmu matematik pada abad pertengahan.

Al-Batani atau nama lengkapnya Abu Abdullah Muhammad Ibn Jabir Ibn Sinan al-Raqqi al-Harrani al-Sabi al-Battani berasal dari Harran, berhampiran Urfa atau Turki pada hari ini. Beliau dilahirkan pada tahun 858 Masihi.

Menyoroti susur galur keluarganya, beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat mencintai ilmu perbintangan. Bapanya,Jabir Ibn San’an al-Battani juga mahir dalam bidang berkenaan.

Sesuai dengan pepatah ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi, figura itu mengikut jejak langkah ayahnya. Tatkala keluarga beliau berpindah ke Kota al-Raqqah (sebuah bandar di Syria), beliau mula mendalami bidang astronomi.

Di bandar itulah Al-Battani menggali ilmu astronomi hingga dirinya bergelar seorang sarjana ketika zaman pemerintahan Harun al-Rashid.

Sekitar awal abad ke-9, sekali lagi cendekiawan tersebut berhijrah. Kali ini, beliau ke Samarra dan mencurahkan bakti sehingga ke akhir hayatnya. Menurut riwayat yang masyhur, lebih 40 tahun lamanya Al-Battani bekerja keras dalam bidang astronomi bermula tahun 877 hingga 918 Masihi tanpa jemu.

Al-Battani

ILUSTRASI Al-Battani.

Baca juga Omar Ibn Said: Kisah Hamba-Cendekiawan Islam Yang “Dimurtadkan”

Sepanjang tempoh itu, beberapa penemuan berjaya diterokai. Antaranya, beliau menjadi individu yang berjaya menerangkan bahawa matahari mempunyai kedudukan jauh dari Bumi, tetapi paling hampir dengan planet yang kita diami sekarang.

Disebabkan itulah gerhana Anulus (cincin) boleh terjadi. Bukan itu sahaja, Al-Battani juga berjaya menemui titik Aphelium yang menjadi penemuan berharga dalam dunia astronomi ketika ini. Dapatan kajiannya itu diperoleh ketika beliau mengembangkan karya Ptolemy berjudul The Almagest.

Secara asasnya, Aphelium merupakan titik terjauh dari Bumi ketika orbitnya mengelilingi matahari. Menerusi penemuan agungnya, Al-Battani mendapati, kedudukan diameter cahaya matahari tidak lagi berada di kedudukannya sebagaimana yang dicadangkan oleh Ptolemy.

Bahkan, hasil penemuan Al-Battani juga, dunia mengetahui satu fakta penting iaitu dalam setahun, terdapat 365 hari 5 jam 46 minit 24 saat!

Demikianlah penyelidikan seorang ilmuwan Islam hebat yang dianggap paling tepat dalam sejarah. Hal itu kemudian mendorong ahli matematik Jerman, Christopher Clavius menggunakan hitungan Al-Battani untuk memperbaiki kalendar Julian.

Bagi ahli astronomi dari Perancis, La Lande, beliau berpandangan, Al-Battani termasuk salah seorang daripada 20 ahli astronomi yang terunggul dalam sejarah manusia seperti yang ditulis dalam karyanya berjudul Sejarah Alam Semesta.

Al-Battani telah mengabadikan semua pengetahuannya menerusi karya, al-Zij. Monumental berkenaan mengandungi 57 bab antara lain menghuraikan dapatannya dalam bidang astronomi dan komen beliau terhadap apa yang dilakukan Ptolemy.

Al-Battani

ILMU dan penemuan Al-Battani yang berharga serta tepat telah memberi pengaruh besar terhadap penyelidikan yang dilakukan oleh beberapa saintis terkemuka Barat.

Dalam bidang matematik pula, sumbangannya ilmuwan itu tidak boleh dipertikaikan juga. Cendekiawan masyhur itu berjaya membuat sejumlah fungsi trigonometri penting. Beliau menggunakan sinus yang diinovasi menerusi kosinus, tangen dan kotangen. Kaedah itu tidak sama sebagaimana dilakukan oleh saintis lain yang rata-ratanya menggunakan sistem geometri.

Benarlah, keintelektualan yang ditonjolkan oleh Al-Battani dalam pengembangan ilmu pengetahuan umpama butiran permata yang tiada tandingannya. Kajian demi kajian yang dilakukan memberi pengaruh besar terhadap saintis-saintis lain seperti Tycho Brahe, Kepler, Galileo dan Copernicus.

PROFIL

Nama penuh: Abu Abdullah Muhammad Ibn Jabir Ibn Sinan al-Raqqi al-Harrani al-Sabi al-Battani

Gelaran: Al-Battani dan Albategnius

Asal: Harran berhampiran Urfa, Turki

Tahun kelahiran: 858 Masihi

Tahun kematian: 929 Masihi

Sumbangan: Mengkatalogkan 489 bintang, penemuan fakta bahawa setahun ada 365 hari 5 jam 46 minit 24 saat, menggunakan kaedah trigonometri yang diinovasi, menemukan jarak matahari yang paling jauh dari Bumi yang menyebabkan gerhana Anulus

Karya agung: Kitab al-Zij, al-Zij as-Sabi, Arba’u Maqalat dan Miqdar al-Ittisalat

Sumber & Foto Republika.co.id, www.famousscientists.org, astronomi.my, researchgate.net, scientistbooks.blogspot.com, http://magtheweekly.com/detail/710-Trigometry & 123rf