Browsing Tag

alat ukur ramalan banjir

Al-Farghani
Personaliti,

Hasilkan Alat Ukur Ramalan Banjir, Tentukan Waktu Solat dan Arah Makkah. Kebijaksanaan Al-Farghani Dikagumi

no comment

SEAWAL abad ke-9 lagi, masyarakat sudah mengetahui ukuran diameter bumi yang tepat. Lebih membanggakan apabila ilmuwan Islam sendiri yang menemui fakta berkenaan.

Tokoh yang dimaksudkan itu ialah Al-Farghani, ahli astronomi paling masyhur pada zaman berkenaan. Bayangkan walaupun teknologi ketika itu mungkin tidak secanggih pada zaman milenial ini, namun figura hebat itu berjaya merungkai bahawa diameter bumi adalah 6,500 batu, selain penemuan jarak antara bumi dengan planet lain.

Pemilik nama penuh Abu Al-Abbas bin Muhammad bin Khatir Al-Farghani itu dilahirkan di Farghana, Transoxiana iaitu sebuah kota di tepi sungai Sardaria, Uzbekistan sekitar tahun 798 Masihi.

Hasil pembacaan Sinar Islam Plus, tidak banyak cerita tentang riwayat kehidupannya pada masa kecil. Namun, popularitinya melonjak ketika Al-Farghani berkhidmat pada zaman pemerintahan al-Ma’mun (813-833 Masihi) yang merupakan seorang khalifah Kerajaan Bani Abbasiyyah di Baghdad hingga zaman al-Mutawakkil (847-881 Masihi).

Memetik portal Republika, Al-Farghani yang dikenali di dunia Barat sebagai Alfraganus cukup bertuah kerana hidup pada era ilmu pengetahuan Islam sedang mencapai kemuncak. Bahkan, khalifah pada zamannya juga merupakan pencinta ilmu pengetahuan.

Pembinaan Akademi al-Ma’mun merupakan antara salah satu bukti kecintaan khalifah terhadap ilmu. Di akademi itu jugalah Al-Farghani mula mengkaji tentang hal berkaitan astronomi.

Berkat kesungguhannya, di samping sokongan pemerintah memberikan peralatan melihat bintang yang canggih untuk menentukan ukuran bumi, cendekiawan Islam itu dapat manghasilkan laporan ilmiah berdasarkan penemuan yang mengagumkan.

Al-Farghani

PENEMUAN ukuran planet ilmuan Islam ini antara salah satu penemuan luar biasa pada zamannya.

Ilmuwan hebat tersebut kemudian berjaya menyelesaikan penyelidikan untuk menentukan diameter bumi dan jarak antara bumi dengan planet lain.

Bukan itu sahaja, beliau juga membantu Darul Hikmah al-Ma’mun mengambil bahagian dalam projek mengukur garis lintang bumi, menerangkan jarak dan diameter beberapa planet. Ia merupakan satu pencapaian yang luar biasa pada masa itu.

Penemuan ulung

Semasa pemerintahan al-Makmun juga, lapor nomad4now.com, Al-Farghani menukilkan karya hebatnya, The Elements of Astronomy (Kitab fi Jawami Ilm Nujum) yang merupakan risalah terkenal tentang prinsip matematik astrolab.

Baca juga Wanita Hebat Pelopor Sistem GPS

Malah, astrolab kajiannya menjadi sangat maju pada abad ke-9 dan sangat berharga dalam dunia Islam untuk menentukan waktu solat dan arah Makkah.

Menjadi resam seorang ilmuwan untuk berhijrah. Demikianlah yang dilakukan oleh Al-Farghani. Beliau telah berpindah ke Kaherah, Mesir. Di situlah tokoh hebat itu mencipta sejarah baharu apabila berjaya memperbaiki dan mengawasi pembinaan nilometer (alat mengukur paras air untuk ramalan banjir) pada tahun 861 Masihi.

Nilometer berkenaan wujud sejak zaman Pharaonic, Umayyah (dinasti Arab pertama) sekitar tahun 715 Masihi. Dek sumbangannya itulah, sebuah tugu Al-Farghani dan nilometer didirikan di Kaherah pada tahun 2007.

Sementara itu, encyclopedia.com melaporkan, Al-Farghani juga menulis tentang jam matahari, selain ulasan mengenai Claudius Ptolemy, seorang ahli astronomi dan pakar matematik terkemuka abad ke-2.

“Namun sayangnya, kebanyakan karyanya itu hilang. Hanya karya astronomi agung garapannya, The Elements of Astronomy yang masih tinggal. Ia kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Latin sebanyak dua kali dan menjadi rujukan yang sangat popular,” kata laman web berkenaan.

Selain terkandung cara menghitung arah dan waktu, monumental agung tersebut juga merangkumi 30 bab tentang cakerawala yang ditulis sekitar tahun 833 Masihi.

Al-Farghani

TUGU Al-Farghani dibina di Kaherah, Mesir sebagai tanda penghargaan atas sumbangannya kepada dunia.

The Elements of Astronomy telah dianggap sebagai deskriptif yang kompeten oleh Almagest Ptolemy. Beliau dikatakan telah menggunakan penemuan dan menyemak semula dapatan ahli astronomi Islam terdahulu.

Pada abad ke-15 pula, Christopher Columbus menggunaan perkiraan ukur lilit bumi Al-Farghani sebagai asas perjalanannya ke Amerika Syarikat.

Sumbangan dan penemuan intelektual Islam itu sangat dihargai dan disebabkan itu, sebuah kawah bulan telah dinamakan sebagai Al-Farghani sebagai tanda penghargaan kepada figura terulung berkenaan.

PROFIL

Nama penuh: Abu Al-Abbas bin Muhammad bin Khatir Al-Farghani

Gelaran: Al-Farghani dan Alfraganus

Asal: Farghana, Transoxiana

Tahun kelahiran: 798 Masihi

Tahun kematian: 865 Masihi

Sumbangan: Penemuan ukuran diameter bumi iaitu 6,500 batu, prinsip matematik astrolab dan menambah baik nilometer

Karya agung: The Elements of Astronomy

Foto: islamidia.com, en.wikipedia.org, republika.co.id & loc.gov