Browsing Tag

al-Quran jadi teman

Berita Semasa,

Al-Quran jadi teman saat diuji musibah Covid-19

COVID-19 benar-benar menguji kita. Masakan tidak, implikasinya begitu besar. Bukan sahaja terjejas dari segi ekonomi dan kehidupan, tetapi lebih parah lagi apabila ia turut menjejaskan emosi pesakit, keluarga mereka dan petugas barisan hadapan.

Dalam keadaan yang berkecamuk, semestinya ketika itu kita memerlukan sokongan fizikal. Sokongan rohani juga penting. Maka, di sinilah al-Quran begitu penting.

Dengan kalam ALLAH itulah ia mampu menjadi santapan jiwa dan rohani untuk menyuntik tenaga yang barangkali sudah longlai.

Demikian antara luahan rasa petugas barisan hadapan Hospital Sungai Buloh, Selangor ketika menerima sumbangan al-Quran wakaf yang disampaikan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas hasil sumbangan pewakaf di hospital itu.

Ketika menerima mushaf tersebut, terpancar riak kegembiraan pada wajah petugas hospital.

Al-Quran jadi teman

PASUKAN pengurusan jenazah Covid-19, Hospital Sungai Buloh tidak berenggang dengan kalam ALLAH yang telah dijadikan ‘sahabat sejati’ untuk berdepan dengan ujian pandemik yang masih tiada penawarnya lagi.

“Apa tidaknya, mereka sebelum ini hanya mampu menatap ayat al-Quran menerusi telefon bimbit masing-masing,” kata Pegawai Agama Hospital Sungai Buloh, Ustaz Ahmad Tarmezi Ali.

Menurut Ustaz Ahmad Tarmezi, sumbangan al-Quran wakaf sebanyak 2,300 naskhah sebelum ini tidak mencukupi memandangkan terdapat penambahan jumlah petugas di hospital tumpuan pesakit koronavirus dari masa ke masa.

“Disebabkan kita tidak boleh masuk wad melainkan staf yang memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) sahaja, jadi kami dari jabatan pengurusan mewujudkan Quran Corner di semua jabatan, unit dan surau,” katanya ketika ditemui ketika sesi penyerahan al-Quran berkenaan di Hospital Sungai Buloh baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, sempena World #Quran Hour 1441H pada 13 Mei lalu, Hospital Sungai Buloh turut mengadakan program tersebut di auditorium Hospital Sungai Buloh. Hanya 80 staf dibenarkan untuk bertadabbur Surah ar-Rahman.

GAMBAR kanan, Ustaz Ahmad Tarmezi dan Dr Ahmad Fahmi.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Klinikal) merangkap Ketua Unit Spiritualiti dan Kesihatan, Dr Ahmad Fahmi Md Sahray berkata, musibah Covid-19 menjadikan umat Islam semakin dekat dengan ALLAH dan pada masa sama telah berjaya mengharmonikan hubungan sesama manusia.

Dsumbangan al-Quran wakaf berkenaan, katanya, ia telah menjadi satu pemangkin dan bingkisan kekuatan spiritual kepada warga hospital, pesakit dan waris.

Dr Ahmad Fahmi memberitahu, unit yang dikendalikannya antara lain berperanan memberi sumbangan dan sokongan spiritual kepada ramai pihak lebih-lebih lagi kepada mereka yang terkesan akibat wabak Covid-19.

“Dalam kalangan anggota kesihatan, ada yang mengalami tekanan akibat Covid-19 sehingga menyebabkan krisis spiritual. Terdapat individu yang takut berhadapan dengan pesakit. Jadi, unit ini berperanan memberi kekuatan kepada mereka agar terus berkhidmat untuk membantu negara dalam menangan pandemik tersebut,” katanya.

Sejak menerima al-Quran wakaf, Hospital Sungai Buloh telah mengadakan tiga siri #QuranTime pada bulan April lalu di tempat masing-masing.

Semoga dengan berkat al-Quran dengan baca, faham dan amal itu, semua petugas Hospital Sungai Buloh dan pelbagai agensi lain yang bersengkang mata membanteras Covid-19 akan mendapat perlindungan dan rahmat ALLAH SWT.

Penulis: Fouziah Amir