Browsing Tag

Al-Muqaddasi

Al-Muqaddasi
Personaliti,

Al-Muqaddasi bukukan pengalaman dan pemerhatiannya kira-kira 20 tahun dari Lautan Atlantik hingga Lautan Hindi dalam Kitab Ahsan at-Taqasim fi Ma’arifat al-Aqalim

MENELUSURI abad ke-10, lahirlah seorang cendekiawan hebat dalam bidang geografi. Tokoh yang dimaksudkan itu ialah Al-Muqaddasi yang juga antara pelopor dalam bidang tersebut.

Pemilik nama penuh Muhammad bin Ahmad Shamsuddin Al-Muqaddasi merupakan seorang ahli geografi Arab yang unggul. Masakan tidak, beliau mampu membina dan melukis secara terperinci tempat yang disinggahinya. Tidak hanya berupaya menggambarkan kondisi geografi kawasan tersebut, tetapi juga jumlah penduduk, adat, aktiviti perdagangan dan seumpamanya.

Dek kepakarannya, beliau dianggap sebagai penulis tentang masyarakat Islam yang terhebat bukan sahaja pada eranya, tetapi sepanjang zaman.

Menjejaki salasilah tokoh Islam berkenaan, tidak banyak maklumat yang dijumpai. Namun, encyclopedia.com menyatakan, Al-Muqaddasi dilahirkan di al-Quds (Jurusalem), Palestin pada tahun 945 Masihi. Nama panggilannya diambil dari nama tempat kelahirannya, al-Quds.

Menurut satu riwayat yang masyhur, bapa dan datuknya terkenal sebagai arkitek. Tidak hairanlah sarjana itu memiliki latar pendidikan yang sangat baik. Pada usia 20 tahun, Al-Muqaddasi berpeluang menunaikan ibadah haji di Makkah. Usai menunaikan Rukun Islam kelima itu, figura hebat berkenaan bertekad menumpukan dirinya dalam pengajian geografi.

Beliau sanggup melakukan beberapa siri perjalanan selama dua dekad bermula dari Baitulmaqdis sehingga ke seluruh dunia Islam secara bergilir-gilir.

Al-Muqaddasi

AL-MUQADDASI terkenal dengan penghasilan peta dalam warna semula jadi sepertimana amalan biasa pada hari ini.

Semua itu dilakukan demi memperoleh gugusan maklumat yang diperlukan untuk pengajiannya itu.

“Hanya pada tahun 985 Masihi, Al-Muqaddasi menghasilkan kitab berjudul Ahsan at-Taqasim fi Ma‘arifat al-Aqalim. Ia merupakan catatan sistematik tentang semua tempat dan wilayah yang telah dilawatinya.

Baca juga Piri Reis Rujuk Lebih 30 Sumber Hasilkan Peta Dunia Yang Menakjubkan

“Buku ini adalah risalah geografi epik dan karya sastera yang hebat. Ia berdasarkan pengalaman dan pemerhatian peribadi kira-kira 20 tahun yang dicatat sepanjang tinjauannya tentang duniaIslam dari Atlantik sehingga ke Lautan Hindi,“ katanya sebagaimana dipetik menerusi muslimheritage.com.

Menerusi karya agungnya itu, Al-Muqaddasi telah membahagikan dunia Islam kepada 14 iklim atau wilayah yang berbeza. Risalah tersebut dikatakan sebagai karya geografi Arab pertama yang menghasilkan peta dalam warna semula jadi sepertimana amalan biasa pada hari ini.

Jaga ketajaman akal

Sepanjang penghasilan adikarya itu, republika.co.id melaporkan, Al-Muqaddasi sentiasa merendah diri. Untuk menulis, beliau sentiasa memohon pertolongan daripada YANG MAHA ESA.

“Ada satu perkara yang wajar diteladani daripada cendekiawan itu dalam menjaga ketajaman ingatannya. Al-Muqaddasi tidak pernah lalai untuk selalu berinteraksi dengan ALLAH SWT,“ kata portal itu.

Catatan beliau membuktikan segalanya. Saat ditanya pandangan mengenai perbezaan kota besar dan kecil, ilmuan agung itu menjawab: “Lihatlah masjid dan mimbarnya. Semakin megah bangunan dan indah mimbar sebuah masjid di sebuah wilayah, ia menunjukkan kedudukan daerah tersebut.“

Sebagaimana yang diuar-uarkan, Ahsan at-Taqasim fi Ma‘arifat al-Aqalim, sememangnya sebuah kitab yang unggul. Ia dianggap karya pertama yang diterima sebagai bentuk kesusasteraan. Al-Muqaddasi juga memperincikan tentang pembahagian wilayah. Setiap wilayah bermula dengan pembahagian daerah dan pekan, diikuti penerangan yang menyeluruh.

Buah fikiran beliau yang ditulis pada akhir abad ke-10 itu juga masih menarik perbincangan dalam kalangan pakar geografi Barat abad ke-19. Malah, karya ulung ilmuan hebat itu turut mendapat perhatian orientalis Jerman, Aloys Sprenger dan dibawa ke Eropah.

Al-Muqaddasi


ILUSTRASI Al-Muqaddasi.

PROFIL

Nama: Muhammad Ahmad Shamsuddin Al-Muqaddasi

Gelaran: Al-Muqaddasi dan Al-Maqdisi

Asal: Al-Quds, Palestin

Tahun kelahiran: 945 Masihi

Tahun kematian: 991 Masihi

Sumbangan: Hasil karyanya memberikan maklumat teratur tentang semua tempat dan wilayah dilawatinya

Karya agung: Ahsan at-Taqasim fi Ma‘arifat al-Aqalim

Foto: Muslimnews24.com, muslimheritage.com, alchetron.com & memim.com