Browsing Tag

al mubarak

fanus mesir
Berita Semasa, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Sambutan Yang Dirindui

no comment

Ramadan yang dinanti-nantikan umat Islam sudah tiba. Bulan yang penuh keberkatan yang mana dijanjikan Allah amalan ibadah kita dilipat gandakan berbanding bulan lain dalam takwim Islam.

Bulan yang juga di gelar Al-Mubarak itu juga banyak tertulis sejarah penting yang berlaku terhadap agama Islam dan diceritakan di dalam kitab al-Quran, antaranya ayat suci pertama al-Quran diturunkan, perang Badar, Israk dan Mikraj serta banyak lagi.

Memandangkan Ramadan memiliki keistimewaan di dalam kita beribadah, umat Islam pasti menyambutnya dengan serba meriah dan cara tersendiri.

Setiap negara memiliki budaya dan adat resam berbeza menjadikan ia sesuatu yang unik. Sambutan tradisi di setiap negara bukan saja disambut oleh negara yang memiliki status negara Islam semata, malah negara yang minoriti penganut Islam turut menyambutnya dengan meriah tanpa halangan.

Festival Garangaou istimewa untuk meraikan kanak-kanak.

1. Qatar
Tarikh 13, 14 dan 15 Ramadan adalah waktu yang sangat dinanti-nantikan masyarakat Islam di Qatar, khususnya kanak-kanak. Kebiasaannya tarikh inilah mereka akan menganjurkan festival Garangaou yang dibuat sebaik habis solat tarawih.

Festival ini sebenarnya dikhususkan kepada kanak-kanak di mana anak lelaki akan tampil mengenakan pakaian tradisional Arab manakala anak perempuan dengan pakaian tradisi disdaashas yang berwarna-warni. Mereka kemudian akan berarak dan menyanyi di sepanjang jalan dan mengunjungi rumah-rumah penduduk dan menerima apa saja barangan atau makanan yang ingin disedekah oleh tuan rumah.

Lampu fanus ibarat antara benda yang wajib ada di setiap rumah di Mesir menjelang Ramadan.

2. Mesir
Umat Islam di Kaherah, Mesir, memiliki tradisi unik ketika kedatangan bulan Ramadan. Mereka akan memasang lampu tradisional di setiap rumah yang disebut dengan lampu Fanus. Tradisi ini sudah muncul sejak zaman Dinasti Fattimiyah. Ketika itu, pemasangan lampu Fanus untuk menyambut kedatangan pasukan Raja yang datang berkunjung menjelang datangnya bulan Ramadan. Sementara untuk hidangan yang sangat dinantikan adalah pencuci mulut bernama kunafa yang memiliki cita rasa manis. Selain itu, banyak umat Islam Mesir berlumba-lumba mencari pahala dengan mendirikan tempat berbuka puasa secara percuma.

Kohl ialah sejenis celak mata untuk lelaki.

3. India
Menjelang bulan Ramadan, kaum lelaki akan menghiasi mata mereka dengan kohl iaitu sejenis celak mata. Malah bulan itu juga kebiasaannya peningkatan jualan bihun akan mendapat permintaan yang tinggi kerana bihun adalah menu yang sering digalakkan makan bersama-sama buah-buahan dan manisa. Mereka juga gemar menikmati ganghui iaitu sejenis sup yang dibuat dari terigu, beras dan potongan daging. Sementara ketika sahur, umumnya mereka akan meminum minuman khusus yang dibuat dari aneka kacang dan biji-bijian yang disebut harir. Di Kota Hyderabad atau wilayah Tamil Nadu dan Kerala, umat Muslim biasanya menikmati bubur yang kaya dibuat dari rempah-rempah bernama haleem atau nonbu kanji.

Kuih dschellab iaitu sejenis manisan pembuka selera.

4. Jerman
Sebagian besar dari umat Islam di Jerman berasal Turki. Oleh itu, suasana seperti berada di Turki akan terasa setiap kali Ramadan. Uniknya di Jerman, warga emas dan kanak-kanak akan membuat pemeriksaan kesihatan bersama doktor sehari sebelum berpuasa bagi menentukan tahap kesihatan sebelum melaksanakan ibadah puasa. Selain itu, hanya bulan Ramadan saja di Jerman kita akan menjumpai sejenis kuih pemanis mulut yang dipanggil dschellab iaitu campuran kuih dari kurma yang sira dengan air gula, qamaruddin (jus aprikot), qata’ef dan kalladsch (kuih kering yang disiram air gula) sambil menikmati suus iaitu minuman yang dibuat dari gula hitam sebagai bahan utamanya.

Japan Islamic Centre menjadi tumpuan setiap kali Ramadan.

5. Jepun
Sambutan Ramadan di Jepun agak berbeza dengan bulan-bulan lain. Inilah masanya mereka akan mengambil kesempatan untuk mengeratkan ukwah sesama umat Islam yang lain dengan berkongsi kegembiraan. Japan Islamic Centre adalah tempat yang popular di mana umat Islam akan berkumpul dan mendapatkan apa saja maklumat dan menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan. Mereka akan membentuk Jawatankuasa Ramadan yang akan bertugas menyusun aktiviti sepanjang bulan itu. Contohnya seperti ceramah keagamaan, majlis kesyukuran, solat tarawih berjamaah hingga penerbitan buku-buku keislaman. Jawatankuasa juga akan menerbitkan jadual berbuka puasa dan mengedarkannya di masjid, rumah penduduk dan restoran halal seluruh negara itu.

Minuman tradisional Rusia, kvass tanpa alkohol selepas melalui proses fermentasi dan dicampur dengan perasa buah.

6. Rusia
Islam di Rusia umumnya berpuasa selama 17 jam dan menjadi negara paling panjang tempoh berpuasa. Di Rusia kini terdapat sekitar 8,000 masjid dan 20 juta umat Islam serta dua juta di antaranya tinggal di Kota Moscow. Selain berbuka puasa dengan kurma dan buah-buahan lain, mereka juga menikmati makanan seperti roti yang dibuat dari tepung dan diisi pelbagai aneka masakan. Jika isinya labu atau keju, maka disebut khingalsh dan jika terbuat dari gandum, maka disebut galnash. Sementara untuk menghilangkan dahaga, biasanya mereka akan meminum kvass, iaitu minuman tradisional Rusia tanpa alkohol yang dihasilkan dari proses fermentasi dan dicampur dengan perasa buah.

Bubur lambuk biasanya dibuat dalam kuantiti yang banyak untuk diagihkan kepada orang ramai.

7. Malaysia
Negara yang memiliki budaya berbilangan kaum ini juga memiliki cara tersendiri menyambut Ramadan. Aktiviti gotong-royong membersihkan sekitar masjid, surau dan tanah perkuburan Islam antara amalan yang biasa dilakukan masyarakat Islam di Malaysia beberapa hari sebelum Ramadan. Keseronokkan itu dikongsi semua peringkat umur yang dapat berkumpul bagi mengeratkan ikatan silaturahim sesama mereka. Selain itu, acara yang hanya berlangsung pada bulan Ramadan adalah gotong-royong memasak Bubur Lambuk yang menjadi salah satu makanan istimewa. Bubur Lambuk adalah bubur nasi yang berisi daging lembu atau ayam yang di cincang dan dicampur udang kering dengan rempah-rempah istimewa seperti bunga cengkeh, bunga lawang, jintan putih, kulit kayu manis dan lain-lain. Bubur yang siap dimasak akan diagihkan kepada orang ramai dan menjadikannya sebagai juadah berbuka puasa.

Masjid Sultan menjadi tumpuan ramai setiap tahun menjelang Ramadan.

8. Singapura
Seperti di Singapura, masyarakat tidak kira beragama Islam atau tidak menjadikan sekitar Masjid Sultan sebagai pusat tumpuan ketika Ramadan dan berlangsung sejak tahun 1960-an lagi. Kerana di situlah pelbagai aktiviti baik beribadah mahupun aktiviti perniagaan bazar dilakukan. Tarikan utama adalah bazar Ramadan yang menantikan pengunjung dalam dan luar negara dengan pelbagai jenis makanan baik makanan tradisional mahupun makanan moden. Bazar itu dibuka bermula jam 3 petang hingga 8 malam setiap hari selama sebulan di bulan Ramadan.