Browsing Tag

al-azhar

Untitled design - 2022-01-21T163415.879
Gaya Hidup,

10 Panduan Hadapi Virus Omicron Menurut Ulama Al-Azhar Mesir 

LEBIH dua tahun ‘hidup’ bersama Covid-19 telah membuatkan kita tegal dengan kehidupan normal baharu sebagaimana yang diimplementasikan kini.

Semuanya demi mempersiapkan diri untuk bergelut dengan ‘musuh’ iaitu wabak yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Apatah lagi, semakin banyak varian baharu muncul sejak akhir-akhir ini. Antaranya Omicron yang dikesan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian membimbangkan.

Omicron kali pertama dilaporkan di Botswana dan Afrika Selatan pada 24 November tahun lalu dan kini merebak ke pelbagai negara termasuk di benua Asia, Afrika, Eropah dan Australia.

Justeru, suka atau tidak, kita perlu mengikuti saranan dan protokol kesihatan yang ketat sebagaimana digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Baru-baru ini, Pusat Fatwa Global Al-Azhar, Mesir (Al-Azhar) ada mengeluarkan 10 panduan untuk menghadapi pandemik Covid-19 berdasarkan hadis Rasulullah SAW.

Panduan itu seiring dengan peningkatan kes varian Omicron di seluruh dunia.

Berikut merupakan panduan yang dikeluarkan oleh Al-Azhar sebagaimana dipetik daripada portal Republika yang mengambil sumber asal daripada portal berita berpengaruh di Mesir, Timur Tengah dan Afrika Utara, Masrawy:

1. Menghindari kontak langsung dengan orang yang menunjukkan gejala influenza.

 

Jauhi diri bertemu golongan itu buat sementara waktu terutama di tempat-tempat awam seperti sekolah, pasar, kampus dan lain-lain.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang mana baginda bersabda: “Janganlah yang sakit dicampurkan dengan yang sihat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

2. Berada di rumah sahaja kecuali jika ada keperluan di luar atau hajat yang darurat.

Panduan hadapi virus Omicron menurut ulama

Ketahuilah, Islam memberikan khabar gembira bagi mereka yang tinggal di rumahnya dengan sabar dan reda dengan qada ALLAH SWT saat berlakunya wabak.

Pahala seorang syahid bakal menanti, sekalipun bukan meninggal dunia disebabkan penyakit berkenaan.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah orang yang pada saat musim wabak taun melanda dan dia berdiam diri di rumah dengan sabar dan berharap pahala kepada ALLAH, meyakini bahawa dia tidak akan terkena bencana kecuali sesuai dengan apa yang telah tertulis untuknya di lauhul mahfuz, maka dia akan mendapatkan pahala seperti orang yang syahid.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Ahmad)

Baca juga Pahala Duduk Rumah

3. Mematuhi arahan kesihatan dan pencegahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Langkah itu penting demi melindungi nyawa daripada bahaya dan kemusnahan.

Rasulullah SAW pernah memberi peringatan tentang hal itu. Baginda bersabda: “Tidak patut seorang mukmin iitu menghinakan dirinya. Para sahabat bertanya: “Bagaimana dia menghinakan dirinya?” Rasulullah SAW menjawab: “Meletakkan dirinya dalam ujian yang tidak mampu dia hadapi.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

4. Kerap mencuci tangan.

Panduan hadapi virus Omicron menurut ulama

Bukan itu sahaja, pastikan kita menjaga kebersihan termasuklah dari segi peralatan dan kelengkapan yang digunakan.

Sabda baginda SAW: “Kebersihan itu separuh daripada iman.” (Hadis Riwayat Muslim)

5. Menutup mulut atau hidung setiap kali bersin atau batuk dengan tisu dan seumpamanya.

Perlakuan itu dapat dilihat ketika mana Nabi Muhammad SAW menutup mukanya dengan tangan atau pakaiannya dan merendahkan suaranya.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa: “Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW apabila bersin, baginda menutup wajahnya dengan tangan atau kain sambil merendahkan suaranya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Panduan hadapi virus Omicron menurut ulama

6. Jangan meludah di tempat laluan orang dan tempat duduk.

Meludah sembarangan di tempat awam boleh menjadi satu dosa kerana ia akan memudaratkan orang lain dan menyebarkan penyakit.

Sabda Rasulullah SAW: “Meludah di dalam masjid adalah satu kesalahan dan kafarahnya adalah dengan menahannya.” (Muttafaq alaih)

7. Jaga kebersihan dan jangan membiarkan peralatan makanan dan minuman terbuka selepas digunakan.

Dalam hal itu, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tutuplah tempat air kalian, tutup pintu dan matikan lampu kalian kerana binatang-binatang berbahaya bila datang dapat menarik sumbu lampu sehingga menyebabkan kebakaran yang membunuh penghuni rumah.” (Sahih al-Bukhari)

Panduan hadapi virus Omicron menurut ulama

Baca juga Islam Tuntut Umat Hidup Dalam Suasana Bersih

8. Tidak meniup makanan atau minuman.

Baginda SAW bersabda: “Jika salah seorang di antara kamu minum, maka janganlah bernafas di tempat air minuman tersebut.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

9. Hindarkan diri daripada minum dari bekas minuman yang ingin dikongsi dengan orang lain.

Dalam sebuah Hadis Riwayat al-Bukhari, Nabi Muhammad SAW melarang minum terus dari cerek atau teko.

10. Orang yang bekerja secara langsung contohnya penjual makanan mesti memberi penelitian pada tahap kebersihan.

Ini kerana kesihatan manusia adalah amanah yang dipertanggungjawabkan oleh ALLAH SWT.

Baginda SAW bersabda: “Tidak (sempurna) iman seseorang yang tidak amanah.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Panduan hadapi virus Omicron menurut ulama

Rupa-rupanya semua protokol kebersihan dan kesihatan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sememangnya diajar dalam agama Islam sendiri.

Justeru, ayuh sama-sama kita memelihara diri, keluarga dan insan sekeliling daripada ditimpa wabak berbahaya yang boleh mengancam nyawa.

Foto: Pexels & Freepik