Browsing Tag

akidah

Sedih
Isu,

Bila rasa sedih, kesal dan marah, elakkan diri daripada cakap ‘kalau’

APABILA rasa sedih, kesal mahupun marah mula bertamu dalam hati, bibir kita begitu mudah menghamburkan segala sakit yang terbuku dalam hati.

Berhati-hatilah kerana bimbang andai kita menuturkan sesuatu yang boleh menjauhkan diri kita daripada ALLAH SWT seperti menggunakan kalimah ‘kalau’ hingga menidakkan suratan-NYA.

Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, terdapat keadaan yang dibenarkan untuk menggunakan istilah berkenaan dan ada juga tegahannya dalam Islam.

Kedua-dua penggunaan perkataan tersebut melibatkan nawaitu dan hati masing-masing, ungkapnya.

Secara spesifiknya, katanya, kalimah ‘kalau’ yang dilarang oleh Nabi Muhammad SAW adalah jika ia menjurus kepada rasa sedih dan membawa kepada penyesalan kisah-kisah lalu hingga menyebabkan seseorang mempertikaikan qada serta qadar ALLAH SWT.

DR SYED SHAHRIDZAN

“Satu lagi pula jika ungkapan berkenaan memicu kepada kemurkaan (marah dengan kisah silam). Demikianlah penjelasan para ulama mengapa istilah berkenaan dilarang sama sekali dituturkan.

Baca juga Jangan kerana ungkapan ‘kalau’, akidah jadi binasa

“Misalnya, menyebut perkataan ‘kalau’ menyebabkan diri dalam kesedihan, tertekan, menyesal tak sudah, seolah-olah menyalahkan diri sendiri sepertimana yang dilihat dalam realiti masyarakat kita sekarang.

“Ia termasuklah penyakit berkaitan mental dan psikologi yang menimpa seseorang disebabkan mempersoalkan cerita lama hingga menjadi tertekan, lalu menyalahkan diri sendiri,” terangnya panjang lebar ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Dek kerana larut dibuai perasaan yang menyesakkan itu, maka terlontar jua pernyataan-pernyataan seperti ‘kalau aku buat begini, mesti situasi tak jadi begitu’ dan ‘kalau aku datang awal, mesti dia hidup lagi’.

Jika diteliti, jelas Dr Syed Shahridzan, semua yang diperkarakan itu tanpa disedari boleh menyebabkan syaitan menyusup dalam hati manusia hingga akhirnya membuatkan seseorang tidak menerima ketentuan ALLAH SWT.

“Mengertilah, menyesal dan bersedih itu biasa dan memang sudah menjadi fitrah manusia, tetapi kita kena ingat bahawa setiap yang berlaku adalah qada dan qadar ALLAH SWT.

“Segala yang terjadi itu hanyalah sebab sahaja. Umpamanya kemalangan, ia hanya sebab, tetapi hakikatnya ia adalah ketentuan ALLAH. Memang sudah ditakdirkan detik itu waktu kematiannya, keretanya rosak dan sebagainya.

Sedih

USAH terlalu sedih, kesal atau marah hingga membuka peluang kepada syaitan menyusup dalam hati kita dan mempertikaikan apa yang telah ditentukan oleh ALLAH SWT. -Foto: 123rf

“Malangnya, ada yang tidak boleh menerima suratan-NYA. Lebih teruk lagi apabila ia membuka ‘amalan syaitan’ dan mempertikaikan apa yang ditentukan Sang Pencipta kepada-NYA,” katanya.

Baca juga ENAM cara syaitan sesatkan manusia

Ketahuilah bahawa semua itu terkait dengan soal akidah yang mana umat Islam diajar supaya berpegang teguh kepada Rukun Iman, ungkapnya.

“Rukun Iman terakhir adalah beriman kepada qada dan qadar ALLAH waima baik ataupun buruk. Ingatlah, kita tidak boleh terima (takdir) yang baik saja, tetapi qada dan qadar buruk pun kita kena menerimanya.

“Pendek kata, dalam kita dirundung kesedihan dan penyesalan, fikirkanlah bahawa semua yang berlaku itu adalah ketentuan-NYA. Tidak perlulah kita bangkitkan rasa pilu itu dengan perkataan ‘kalau’ yang tidak memberikan apa-apa manfaat sekalipun.

“Cakaplah macam mana ‘kalau’ sekalipun, ia tetap tidak akan mengubah sejarah dan kisah-kisah lalu. Bahkan, ia akan menimbulkan lagi konflik akidah yang boleh membahayakan keimanan seseorang,” tegasnya.

Hanya untuk sesuatu yang positif

Meneruskan perkongsian ilmunya, Dr Syed Shahridzan kemudian memperincikan perihal keadaan yang dibolehkan untuk seseorang mengungkapkan perkataan ‘kalau’.

Jelas beliau, ia dibenarkan andai kita menuturkan kalimah itu ke arah membawa kepada kebaikan.

“Sebagai contoh, orang berkata ‘kalau aku kaya, aku hendak belanja engkau’ atau ‘kalau aku menang, aku belanja engkau’. Frasa itu tidak menjadi masalah kerana niat kita dalam hati untuk berbuat baik kepada rakan.

Sedih

UNGKAPAN ‘kalau’ boleh digunakan untuk perkara yang membawa kebaikan seperti orang berkata ‘kalau aku kaya, aku hendak belanja engkau’ dan elakkan menuturkan kalimah itu ketika diri dihambat rasa sedih, kecewa dan seumpamanya. -Foto: 123rf

Baca juga Buat kebaikan tak semestinya dengan sesuatu yang ‘grand’

“Begitu juga jika ungkapan ‘kalau’ digunakan untuk perkara yang positif iaitu mengharapkan sesuatu yang baik. Umpamanya, kita menuturkan ‘kalaulah saya dapat pergi haji, saya hendak banyak berdoa dan solat di sana’ ataupun ‘kalaulah saya ada duit segepuk, saya dah derma di masjid dan pada anak yatim’.

“Inilah antara bait-bait ayat ‘kalau’ yang tidak dilarang di sisi agama. Bahkan, ia berupaya menyuntik seseorang untuk melakukan amalan kebaikan,” ungkapnya.

Bukan itu sahaja, agamawan itu menjelaskan, apa sahaja ungkapan tersebut yang boleh membangkitkan kemahuan itu untuk menjadi lebih baik juga sangat disarankan.

Baca juga Biar tamak lakukan kebaikan dalam ibadah, jangan haloba urusan dunia

“Barangkali ada yang mengatakan ‘kalau saya dapat ke sini, nescaya saya akan kenal ramai orang dan banyak menuntut ilmu’. Tidak mengapa menyatakan sedemikian kerana dirinya mengharapkan suatu perkara yang baik berlaku.

“Seperkara lagi, ungkapan ‘kalau’ boleh digunakan untuk tujuan post-mortem (pemeriksaan bagi tujuan penambahbaikan). Sebagai contoh, ada orang mengatakan ‘tahun ini aku solat tarawih lapan rakaat, kalaulah aku diberi umur yang panjang dan bertemu Ramadan akan datang, aku nak solat tarawih 20 rakaat’.

“Pernyataan itu juga tiada masalah diungkapkan. Ini kerana walaupun ia melibatkan perkara telah lalu, tetapi tiada pertikaian perkataan ‘lau’ dengan urusan yang dibuat pada masa lepas dengan penyesalan tidak bermanfaat, cuma kita inginkan penambah baik dilakukan pada masa akan datang,” terangnya sambil menitipkan pesan agar melazimkan zikrullah dan membaca al-Quran bagi menenangkan hati yang sedih mahupun gundah-gulana.

Kalau
Isu,

Jangan kerana ungkapan ‘kalau’, akidah jadi binasa

“KALAU aku tak buat begitu, mesti tak akan jadi begini.”

Pernyataan itu tidak begitu asing pada halwa telinga kita. Lebih-lebih lagi saat sesuatu yang buruk menimpa seseorang. Frasa tersebut begitu laju meluncur dari bibir.

Bagaimanapun, berwaspadalah dengan ungkapan ‘kalau’ yang dizahirkan. Ini kerana ia seolah-olah menunjukkan betapa kita enggan berdamai dengan qada dan qadar yang ditentukan Sang Pencipta.

Baca juga Hati-hati Dengan Ungkapan ‘Kalau’

Lantaran itu, umat Islam dilarang untuk menyebut perkataan ‘kalau’. Dikhuatiri gara-gara satu kalimah itu, akidah kita yang menjadi taruhannya.

Apakah perkaitan antara perkataan tersebut dengan akidah umat Islam? Benarkah kita ditegah sama sekali daripada menyebut istilah berkenaan?

Waspada dengan pertuturan

Bagi mendasari topik itu, Sinar Islam Plus mendapatkan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu, Dr Mohd Hasrul Shuhari.

DR MOHD HASRUL

Jelas beliau, perkataan kalau dalam bahasa Arab yang disebut sebagai ‘lau’ pada asalnya tiada masalah andai digunakan dengan baik.

Bagaimanapun katanya, ia boleh bertukar menjadi sebaliknya jika penggunaan istilah berkenaan diduplikasikan pada waktu atau tujuan yang salah.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu seperti orang-orang kafir (orang-orang munafik) itu, yang mengatakan kepada saudara-saudara mereka apabila mereka mengadakan perjalanan di muka bumi atau mereka berperang: “Kalau mereka tetap bersama-sama kita tentulah mereka tidak mati dan tidak dibunuh”. Akibat (dari perkataan dan keyakinan mereka) yang demikian itu, ALLAH menimbulkan rasa penyesalan yang sangat di dalam hati mereka…” (Surah Ali Imran, ayat 156)

Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Kalau engkau tertimpa musibah, janganlah engkau mengatakan: “Kalau tadi aku lakukan begini, tentu jadinya akan begini dan begini, tapi katakanlah: Sudah takdir ALLAH, ALLAH melakukan apa sahaja yang DIA kehendaki”. Kerana sesungguhnya kata ‘kalau’ itu membuka pintu amalan syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dr Mohd Hasrul kemudian menukilkan pandangan Imam an-Nawawi tentang maksud sebenar ungkapan ‘kalau’ yang membuka pintu amalan syaitan’.

Baca juga Sakit boleh jadi penghapus dosa. Tapi jangan sesekali mengeluh atau persoalkan takdir ALLAH

“Ulama tersohor dalam Mazhab Syafie itu menjelaskan, ia boleh menjadi sedemikian apabila ungkapan tersebut dilafazkan kerana kekecewaan dan penyesalan terhadap kepentingan duniawi.

Kalau

UNGKAPAN ‘kalau’ boleh membuka pintu amalan syaitan andai kita melafazkannya kerana kekecewaan dan penyesalan terhadap kepentingan duniawi hingga menentang takdir yang ditetapkan oleh ALLAH SWT. -Foto: F123rf

“Bukan itu sahaja, Imam an-Nawawi juga menukilkan pendapat Imam al-Qadhi ‘Iyadh yang mengatakan, perkataan ‘kalau’ yang ditegah itu adalah apabila tercetus di dalam hati seseorang perasaan menentang takdir yang dibisikkan oleh syaitan.

“Sementara itu, Ibn Daqiq al-‘Id dalam kitab Ihkam al-Ahkam pula berpandangan antaranya bahawa ia menunjukkan tidak menyerahkan sesuatu yang berlaku itu kepada takdir ALLAH SWT,” terangnya panjang lebar.

Sebagai manusia biasa yang tidak terlepas daripada pelbagai jenis perasaan, adakalanya kita tanpa sengaja membutirkan kalimah ‘kalau’ gara-gara terlalu sedih dan kecewa.

Namun begitu, hati tidak tergamak langsung mahu menyalahkan suratan takdir. Apatah lagi meletakkan ‘kesalahan’ itu kepada Sang Pencipta.

Dalam situasi tersebut, apakah lafaz terbaik dalam melepaskan tekanan yang dihadapi?

Menjawab persoalan tersebut, Dr Mohd Hasrul menjelaskan, terlalu banyak ungkapan yang boleh disebut tatkala terjadi musibah dan seumpamanya. Antara ayat yang sepatutnya diucapkan adalah seperti sebagaimana disebutkan dalam satu riwayat.

Baca juga Puji ALLAH saat senang dan ketika diuji dengan musibah

Anas bin Malik RA berkata: “Adalah Rasulullah SAW, apabila menghadapi suatu masalah, baginda berdoa: ”Wahai Yang MAHA HIDUP KEKAL, Yang terus menerus mengurus (mahluk-NYA), hanya dengan rahmat-MU sahaja, aku meminta pertolongan.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Kalau

APABILA menghadapi suatu musibah, berdoalah kepada ALLAH SWT memohon pertolongan-NYA agar kita boleh melapangkan dada dan tidak menuturkan ungkapan ‘kalau’ yang boleh membawa kita mempertikaikan takdir yang ditentukan-NYA. -Foto: 123rf

Elak berkata ‘kalau aku Tuhan’

Menyambung hujah, pensyarah itu mengingatkan agar kita tidak sewenang-wenangnya mengungkapkan frasa seperti ‘kalau aku Tuhan’ dan seumpamanya.

Ya, memang tiada masalah andai ia dibutirkan dalam keadaan tidak memaksudkannya.

“Sebagai contoh, individu yang melafazkan pernyataan ‘Ya ALLAH, ENGKAU hambaku dan aku Tuhanmu’ dalam keadaan terkejut, terleka atau tanpa sedar.

“Demikian yang dinyatakan oleh Imam al-Qadhi Iyadh seperti yabg dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitab Fath al-Bari,” jelasnya.

Baca juga Jangan buat kerja Tuhan

Namun begitu, Dr Mohd Hasrul menegaskan, ia tidak boleh diungkapkan banyak kali.

Ini kerana, beliau berhujah dengan pandangan al-Hafiz al-‘Iraqi yang menyatakan, perkara itu perlu dilihat kepada realiti individu melafazkannya.

“Jika ia berlaku berulang kali dan dia dikenali sebagai orang yang sering melakukan pelanggaran agama, maka dakwaan tersasul itu tidak diterima.

“Namun, jika ia tersilap sebut dan dia dikenali sebagai orang yang warak dan memelihara agamanya, maka alasan itu boleh dipertimbangkan. Perkara ini perlu diperincikan lagi, yakni apa keadaannya atau tujuannya ketika menyebutkannya,” tuturnya.

Apa pun, beliau mengingatkan bahawa perkara itu syubhat yang perlu dielakkan kerana ia juga boleh terjatuh kepada fahaman bidaah Muktazilah seperti as-Solah wal-Aslah yakni mewajibkan ALLAH SWT buat sesuatu berdasarkan akal kita!

Kalau

PELIHARALAH bibir kita daripada menuturkan kalau andai diri dibelenggu dengan pelbagai rasa yang menyakitkan atau mempersoalkan urusan Tuhan. -Foto: 123rf

“Contohnya, ‘jika aku Tuhan, pasti aku akan buat itu atau buat ini’.

“Selain itu, ia juga melibatkan bidaah Mushabbihah kerana menyamakan makhluk dengan Tuhan.

“Di samping itu, dari satu sudut, ungkapan berkenaan menyebabkan unsur kekurangan pada ALLAH, yakni seolah-olah Tuhan sekarang tidak buat sesuatu yang sempurna,” ungkapnya.

AJARAN SI HULK
Aqidah,

Selamatkan akidah umat Islam, banteras segera ajaran sesat ‘Si Hulk’

BARU-BARU ini telah muncul beberapa video yang dikongsi oleh warganet mengenai pengakuan atau dakyah yang disebarkan oleh pengikut ajaran sesat ‘si hulk’ mengatakan bahawa ALLAH itu Nabi Muhammad dan Nabi Muhammad itu adalah ALLAH.

Ketuanya iaitu Suhaini Mohammad telah berkali-kali mengucapkan secara terbuka bahawa ALLAH adalah Muhammad dan giat mengajarkan kepada pengikutnya.

Menurut kenyataan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada tahun 2021 ajaran ‘si Hulk’ ini telah diharamkan dan diwartakan sesat namun hari ini ia kembali aktif.

Mereka menyebarkan ajaran ini melalui produk air Sihulk yang dilatari dengan propaganda membesar-besarkan pencipta produk dan teori-teori konspirasi dooms day.

Baca Juga Sudah difatwakan sesat, ajaran ‘Si Hulk’ kembali dikesan JAINJ, PDRM

Kini Suhaini telah lari ke New Zealand dan murid-muridnya pula semakin aktif dan berani menyebarkan penyelewengan yang tidak masuk dek akal ini.

Rentetan isu ini, ramai agamawan yang lantang bersuara kerana ia melibatkan akidah umat Islam dan menyeru pihak berkuasa membanteras ajaran ini sehabisnya.

Pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed menerusi satu hantaran video di laman media sosial miliknya berharap kepada pihak berkuasa agar dapat mencari pengasas dan pengikutnya untuk diperbaiki kembali akidah mereka.

ANTARA fahaman dan ajaran Suhaini Mohammad yang bertentangan dengan akidah, syariah dan Islam ialah mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan.

“Kepada pengasas ‘si hulk’ jangan sampai rakyat Malaysia yang Muslim ini mencari sendiri mereka untuk diberikan hukuman kerana di negara kita sudah tertakluk undang-undang mengenai ajaran sesat ini.

“Mereka berani membuat satu dakwaan sesat dan boleh membawa mereka kepada murtad!! Ini isu akidah dan mereka sedang sebarkan dalam sosial media.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, bersama-sama kita mencari pengasas ini dan maklumkan kepada pihak berkuasa dan jika pihak sepatutnya lambat bertindak maka perkara ini perlukan umat Islam untuk ke hadapan,” kongsi Pu Syed.

ARTIKEL BERKAITAN 

Ini isu akidah

Fahaman ini sangat menyentuh sensitiviti umat Islam dan memahami ayat al-Quran sewenang-wenangnya, bahkan ia berkait dengan akidah.

Sikap “tak apa” dan tidak cakna terhadap isu ini bakal mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada umat Islam, sebagaimana ditegaskan oleh Ustazah Asma’ Harun.

Ujarnya, di media sosial hari ini, serangan terhadap agama Islam berlaku sangat hebat. Kebatilan dan kebenaran seakan bercampur aduk dan menyebabkan masyarakat menghadapi kekeliruan yang sangat besar.

“Maka, sebelum bibit ini berakar umbi dan meracuni generasi kita akan datang, umat Islam perlu lebih cakna dan berilmu untuk menghalang daripada berlaku pertembungan serta salah faham tentang agama Islam dan Rasulullah SAW yang mulia.

JAWATANKUASA Fatwa Negeri Johor pada tahun 2021 ajaran ‘si Hulk’ ini telah diharamkan dan diwartakan sesat namun hari ini ia kembali aktif. 

“Kita perlu tahu tentang kewujudan ideologi sesat ini dan perlu sentiasa berwaspada. Hari ini kita melihat segelintir yang terlibat mempromosikan ajaran ini ada dalam kalangan anak muda, ia sangatlah bahaya.

“Jika ada terlihat anak-anak terlibat banteraslah segera. Perhatikanlah sekeliling kita dan apa yang anak-anak kita ikuti terutamanya di media sosial.

“Adakah kita menjamin anak-anak kita selamat? Orang sekeliling kita selamat? Sedangkan siapa sangka mereka boleh sahaja terlibat dan terpengaruh tanpa pengetahuan kita.

“Saya bukan ingin menakutkan, ini juga peringatan keras untuk diri saya sendiri. Kita perlu bangkitkan kesedaran Islam yang sebenar buat anak-anak dan orang sekeliling.

Turut Disyorkan Ajaran Sesat Berselindung Di Sebalik Nama Agama

“Semoga ALLAH SWT sentiasa membimbing dan memelihara kita semua agar sentiasa terhindar daripada dosa-dosa maksiat dan kemungkaran yang berleluasa,” katanya.

Ustazah Asma’ turut menitipkan satu doa untuk diamalkan agar sentiasa ditetapkan di atas jalan agama dan dijauhkan daripada sebarang kemaksiatan.

اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

Maksudnya: “Ya ALLAH, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-MU.” (Hadis Riwayat Muslim)

mentega terbang
Isu,

Kebiadapan atas nama kreatif, filem ‘Mentega Terbang’ papar mesej buruk tentang Islam, dimana sensitiviti pembuat filem?

Kebiadapan atas nama kreatif, filem ‘Mentega Terbang’ papar mesej buruk tentang Islam, dimana sensitiviti pembuat filem?

BELUM selesai isu filem yang diharamkan kerajaan Terengganu tempoh hari gara-gara memuatkan adegan tidak sepatutnya, kini timbul satu lagi kontroversi melibatkan karya tempatan dikatakan bercanggah dengan akidah Islam.

Filem ‘Mentega Terbang’ arahan Khairi Anwar yang pernah disiarkan melalui platform penstriman, Viu itu menerima bantahan daripada umat Islam di negara ini kerana didakwa mempromosikan agenda liberalisme, pluralisme agama serta menggalakkan murtad.

Baca juga Liberalisme dan Pluralisme: Jangan rosakkan akidah

mentega terbang

Baca juga Walaupun sudah difatwakan haram, umat Islam masih dikesan sertai perarakan Thaipusam di Pulau Pinang

‘Mentega Terbang’ mampu menjejaskan akidah

Filem itu mengisahkan konflik keagamaan yang dihadapi seorang remaja Muslim, Aisyah yang mula mengkaji pelbagai kitab agama lain setelah tertarik dengan konsep kelahiran semula selepas mati.

Antara kandungan filem yang dikritik termasuk babak memaparkan bapa Aisyah yang berfahaman liberal ‘merestui’ keputusan anaknya sekalipun memilih untuk murtad. Selain itu, Aisyah juga digambarkan sebagai seorang Muslim yang menunaikan solat lima waktu, namun tidak kisah memakan babi mahupun memegang anjing.

mentega terbang

WATAK Firdaus Karim sebagai bapa membenarkan anaknya menukar agama dalam filem tersebut mengundang kritikan para netizen. Foto: Google

Baca juga Imam Masjidil Haram dipenjara 10 tahun kerana tegur?

Apabila diajukan persoalan tentang pembabitannya dalam filem berkenaan, pelakon Firdaus Karim yang memegang watak sebagai bapa Aisyah berkata, dia hanya menjalankan tugas sebagai pelakon.

“Jika saya diberi tanggungjawab menjayakan sesebuah naskhah, saya akan cuba sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita di sebuah majlis pelancaran filem, semalam.

Tambahnya, dalam pemilihan naskhah untuk dilakonkan, Firdaus hanya menyerahkan soal itu kepada rezeki.

“Perjalanan saya bergantung kepada rezeki yang ada di mana-mana. Saya percaya rezeki itu datang dari ALLAH,” ujar pelakon tersebut.

Turut disyorkan Islam diunjur menjadi agama dominan dunia menjelang tahun 2075

NIAT tidak menghalalkan cara. Oleh itu, rezeki perlu dicari daripada sumber yang betul. Foto: 123RF

Baca juga Hati-hati, berdosa mendedahkan aib sendiri

Cari rezeki di tempat yang betul

Bekerja mencari rezeki adalah sesuatu yang disukai oleh ALLAH SWT. Bahkan Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH mencintai seorang Mukmin yang giat bekerja.” (Hadis Riwayat at-Tabrani)

Pun begitu, portal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjelaskan, syariat Islam telah membahagikan jenis pekerjaan kepada dua bahagian iaitu pekerjaan halal dan pekerjaan yang haram.

Agamawan terkemuka, Syeikh Yusuf al-Qaradawi pula menghuraikan, perkara yang halal itu ialah setiap perkara yang diharuskan dan diberi keizinan oleh syarak untuk melakukannya,

Manakala perkara yang haram pula ialah yang ditegah agama kerana ia akan mendapat balasan buruk di dunia dan akhirat. Boleh jadi perkara ini termasuk menghasilkan karya seni yang mengandungi unsur bertentangan ajaran agama.

Baca juga Enam punca harta jadi haram yang orang tidak sedar

NABI Muhammad SAW pernah memberikan amaran bahawa umat akhir zaman tidak akan mempedulikan urusan halal dan haram. Foto: Pexels

Baca juga Tidak sesuai ditayangkan buat umat Islam – PU Syed kritik filem tempatan

Ingatlah walau kita hanya sekadar ‘menjalankan tanggungjawab’, namun setiap pekerjaan yang kita lakukan akan dipersoalkan sama ada ia dimanfaatkan pada jalan ALLAH atau digunakan untuk kebajikan ummah, ketika di akhirat kelak.

Sabda Nabi SAW, “Tidak akan bergerak kaki seorang manusia dari sisi ALLAH pada hari kiamat (nanti), sampai dia ditanya tentang lima (perkara): tentang umurnya, untuk apa dihabiskan?. Tentang masa mudanya, untuk apa digunakan? Hartanya, dari mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan? Ilmunya, bagaimana dia amalkan ilmunya?” (Hadis Riwayat al-Tirmizi).

Dalam pada itu, Rasulullah SAW sudah memberi amaran tentang salah satu penyakit yang menimpa umat akhir zaman, iaitu tidak mengendahkan urusan halal dan haram.

Nabi SAW bersabda :“Akan datang satu zaman ke atas umatku di mana seseorang itu tidak peduli apa yang diusahakannya sama ada daripada yang halal atau pun haram.” (Riwayat al-Bukhari).

Lantas, janganlah kita hanya memikirkan keuntungan duniawi semata-mata, sedangkan pada hakikatnya keuntungan yang kita perolehi itu tidak membawa sebarang keberkatan bahkan sebaliknya akan mendatangkan bencana pula di hari akhirat kelak.

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

Foto: 123RF, Google & Pexels