Browsing Tag

akhlak

Dosa kecil berubah jadi dosa besar
Isu,

Usah lontarkan komunikasi dan komentar jelik, itu bukan akhlak Islam

MELIHAT hantaran, komentar dan komunikasi jelik di media sosial akhir-akhir ini, ia begitu menggusarkan. Lebih-lebih lagi negara baru sahaja melalui pasca pilihan raya.

Meskipun perbuatan itu hanya dilakukan oleh segelintir masyarakat, namun ia memberi mesej yang jelas bahawa krisis akhlak dan adab kian meruncing.

Bukan mahu membuat kesimpulan mudah, namun itulah realitinya. Lihat sahaja statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Sebanyak 48 pertuduhan difailkan di mahkamah sepanjang tempoh bulan Januari hingga September 2020 akibat menyalahgunakan media sosial.

Baca juga Tiga benda yang kita tidak boleh tunjuk di media sosial

Ia termasuklah 34 pertuduhan melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 seperti berkongsi dan menyebarkan kandungan lucah, kandungan jelik serta palsu.

Media sosial sewajarnya menjadi medium komunikasi yang mendatangkan maklumat bermanfaat untuk kemajuan ummah. Begitu juga halnya dengan akhlak yang menjadi indikator pembangunan sesebuah tamadun.

Malangnya, entah mengapa laras bahasa ketika berinteraksi di media sosial begitu ‘menyakitkan’ dan adakalanya berbaur mengapi-apikan pihak tertentu. Padahal, ia bukanlah cerminan akhlak Islam yang sebenar.

Apakah pendekatan yang diajar agama Islam untuk berkomunikasi menerusi platform tersebut? Bagaimanakah akhlak Rasulullah SAW ketika berinteraksi dengan orang lain?

Akhlak Islam

Ketika dilontarkan persoalan itu, pendakwah, Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan menjelaskan, perihal krisis akhlak ketika berinteraksi di media sosial kini seakan menjadi fenomena yang adakalanya dijadikan suatu bahan jenaka atau hiburan.

IMAM MUDA HASSAN

Apatah lagi, kita tidak mengenali antara satu sama lain dalam platform berkenaan menyebabkan orang semakin tidak takut untuk menokok tambah atau menambah ‘perisa’ tentang suatu perkara yang dibualkan menerusi medium tersebut, terangnya.

Hakikatnya, beliau menjelaskan, Islam begitu menitikberatkan soal aib saudaranya mahupun diri sendiri.

Baca juga Wajib jaga aib orang, aib sendiri apatah lagi

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam satu riwayat: “Tidak termasuk hamba yang mukmin iaitu mereka yang selalu mengungkap aib, gemar melaknat, berperangai buruk dan suka menyakiti.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Malangnya, ujar pendakwah itu, masyarakat kita termasuk umat Islam sendiri seolah-olah terjerat dengan media sosial sehinggakan tergamak melontarkan komentar mahupun hantaran bersifat mengaibkan, mengguris perasaan dan melibatkan isu sensitif seperti agama serta bangsa.

“Barangkali ada orang melihatnya sebagai perkara yang santai tetapi bukan itu pokok pangkalnya. Apa yang dipersoalkan, adakah sememangnya begitu akhlak Islam?

“Jika ada menganggapnya begitu, maknanya kita sudah lari daripada akhlak Rasulullah SAW. Inilah yang sepatutnya kita ambil perhatian. Seboleh-bolehnya, kita cubalah buang mana-mana perilaku yang menjauhkan kita daripada akhlak Islam. Antaranya apabila bermedia sosial, lakukanlah dengan penuh beretika dan menduplikasikan akhlak Islam.

“Sudahlah kita banyak dosa, jangan ditambah lagi ‘tabung’ dosa itu dengan tindak-tanduk yang boleh kita kawal dan nampak remeh,” ungkapnya.

Komunikasi

WALAUPUN tiada kemudahan media sosial pada zaman Rasulullah SAW, namun asas akhlak baginda boleh ditiru dan dibawa ketika berinteraksi menerusi platform berkenaan. -FOTO: UNSPLASH

Menyambung hujah, Imam Muda Hassan menyeru agar kita meniru cara Rasulullah SAW berkomunikasi. Baginda sangat menjaga hati manusia.

“Setiap kali bertutur dengan orang, Rasulullah SAW tidak akan memalingkan tubuh dan wajah baginda daripada individu berkenaan.

“Siapa pun yang datang jumpa nabi, mereka akan balik dalam keadaan gembira waima orang itu Muslim ataupun bukan, kanak-kanak mahupun orang tua.

Baca juga Rasulullah Tokoh Berpengaruh Sepanjang Zaman. Dalam Diri Baginda Terdapat Segala-galanya Untuk Diteladani

“Walaupun pada zaman baginda tiada media sosial, namun asas akhlak Nabi Muhammad SAW boleh ditiru dan dibawa ketika berinteraksi di media sosial. Fikirkanlah, apakah orang akan dapat manfaat daripada perkongsian atau komentar kita? Adakah ia akan menyebabkan orang suka atau semakin membenci kita?” katanya sambil mengingatkan umat Islam supaya diam apabila tiada percakapan baik yang mahu diungkapkan.

Kata-kata cerminan penuturnya

Sebelum mengakhiri bicaranya, penceramah tersebut menegaskan, perkataan yang keluar daripada mulut mahupun yang ditaip oleh jari-jemari merupakan cerminan penuturnya.

“Apabila kita bercakap tentang kebejatan orang lain, sebenarnya itulah keburukan diri kita. Lazimnya, individu yang suka mengaibkan ataupun mencari cela orang lain, mereka ada sifat ego dan sombong yang bersemayam dalam diri. Demikianlah yang disebut dalam kitab al-Wafi.

“Seperkara lagi, biasanya orang cakap ‘seseorang buat jahat disebabkan syaitan’. Hakikatnya, manusia boleh jadi jahat tanpa godaan mahupun bisikan syaitan jika dalam diri seseorang itu sudah ada penyakit takabbur. Ini kerana syaitan berbuat jahat disebabkan sifat tersebut. Berhati-hatilah kerana sikap itu amat berbahaya,” nasihatnya.

Baca juga Akhlak Di Laman Sosial Adalah Cerminan Status Hati Kita. Sama-Sama Kita Renungkan

Kenyataan tersebut turut diperakui oleh Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohd Nasir Masroom.

DR MOHD NASIR

Jelas beliau, pertuturan, perbuatan mahupun penulisan seseorang merupakan manifestasi status hati kita sendiri. Andai sanubari kita dipenuhi sifat terpuji, maka akan terpancarlah pada percakapan, perilaku dan karangan masing-masing, begitu juga sebaliknya.

Kepada satu soalan, ahli akademik itu menjawab: “Antara ciri seorang mukmin yang baik adalah bersifat istiqamah dengan akhlak yang terpuji termasuk niat, perbuatan, percakapan dan hasil tulisannya. Ini kerana setiap anggota badan kita akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dilakukannya.”

Ia sebagaimana yang disebut dalam al-Quran yang mana ALLAH SWT berfirman: “…sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya…” (Surah al-Isra’, ayat 36)

Dalam pada itu, Dr Mohd Nasir turut mengingatkan agar setiap orang perlu menyematkan sifat berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk supaya sentiasa selaras setiap masa.

“Suka saya ingatkan, akhlak mulia bukan hanya terkait dengan tingkah laku baik semata-mata tetapi juga ketika berbicara dan mengarang sesuatu agar selari dengan kehendak agama.

“Dalam sebuah hadis masyhur ada mengingatkan supaya kita berkata baik atau diam. Diam di sini membawa maksud ‘diam’ daripada menulis perkara buruk seperti menipu, memfitnah mahupun memaki hamun. Ini bermaksud, jika tidak mampu menulis yang baik-baik, jangan mencoretkan apa-apa yang buruk,” tegasnya.

Waspada laras bahasa ketika berbicara

Selain itu, jelas beliau, laras bahasa yang digunakan ketika di media sosial sepatutnya sama sahaja apabila bersemuka dengan orang lain iaitu penuh berhemah, sopan, hormat, ikhlas dan jelas.

Komunikasi

PELIHARALAH penggunaan laras bahas ketika berkomunikasi di media sosial agar tidak melontarkan perkataan yang jelik sehingga mengganggu keharmonian. -FOTO: FREEPIK

“Sebagai seorang pengguna media sosial yang bijak, jauhkanlah diri daripada menggunakan bahasa kasar, lucah, mencaci maki dan berunsur penghinaan terhadap pihak lain.

“Sekiranya ada rasa tidak berpuas hati, marah atau kecewa, ia tidak ‘menghalalkan’ kita untuk memaki hamun, apalagi menghina orang lain.

Baca juga Jaga-jagalah pertuturan kita, ia umpama suatu doa… Ramai yang tak sedar tentang perkara ini

“Oleh itu, sewaktu menulis sesuatu status atau komen, buatlah semakan beberapa kali bagi memastikan tiada perkataan tidak sesuai atau mungkin menyebabkan kesan buruk digunakan,” ungkapnya.

Sudah tentu setiap perkara ada pro dan kontranya. Begitu juga halnya dengan media sosial.

Ujar pendakwah itu, ia seumpama pisau yang digunakan untuk memotong sayur dan boleh mencederakan orang lain andai disalah guna.

“Ramai para pendakwah yang menjadikan media sosial sebagai wadah menyampaikan kebaikan dan ilmu. Mereka begitu kreatif dan inovatif untuk menjadikan medium tersebut sebagai platform menyebarkan dakwah.

“Justeru, media sosial tidak boleh dipersalahkan sekiranya berlaku segala kepincangan yang dilontarkan oleh penggunanya. Sebaliknya, penggunalah yang perlu bijak dan bertanggungjawab untuk menghormati orang lain,” katanya.

Berhenti sebarkan fitnah

Apakah solusi terbaik bagi menangani masalah krisis akhlak ketika berkomunikasi dan menyebarkan sesuatu di media sosial?

Menjawab persoalan itu, pendakwah, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud menjelaskan, semua pihak perlu berganding bahu memainkan peranan masing-masing.

USTAZ MOHAMAD ZARIFI

Misalnya, para asatizah bersama institusi dakwah perlu sentiasa memberikan nasihat kepada semua pihak termasuk kempen-kempen mengajak masyarakat kembali kepada ajaran Islam dan nilai-nilai murni.

“Pada masa sama, masyarakat perlu dididik supaya tabayyun atau menyelidik terlebih dahulu setiap berita diterima. Kita perlu lebih bertanggungjawab dan fitnah mesti dihentikan di semua platform kerana ia adalah satu dosa dalam agama.

“Dalam konteks keluarga, ibu bapa memainkan peranan penting untuk memberikan contoh yang baik kepada anak-anak.

Baca juga Kempen hentikan fitnah di media sosial, bimbing masyarakat kembali kepada fitrah

“Sentiasalah beri peringatan kepada anak-anak supaya menjaga akhlak ketika berkomunikasi kerana melibatkan dosa dan pahala.

“Pihak berwajib juga perlu mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang melakukan perkara bercanggah dengan peraturan dan undang-undang supaya ia memberi pengajaran kepada semua pihak,” katanya.

Jelas penceramah itu, peri pentingnya mengajak masyarakat kepada fitrah kerana Islam ialah agama rahmat yang menyebarkan kasih sayang dan kebaikan kepada semua.

Komunikasi

LEBIH baik diam jika tiada perkara yang baik mahu diperkatakan atau ditulis bagi mengelakkan komunikasi jelik kerana Islam begitu menjulang tinggi akhlak apabila berteraksi. -FOTO: 123RF

“Ingatlah, Islam begitu menjulang tinggi nilai akhlak dan tatasusila. Justeru, semua pihak perlu berusaha menerapkan akhlak apabila berinteraksi menerusi platform media sosial agar ia dapat membina keharmonian dalam bermasyarakat,” ungkapnya.

ANEKDOT

Formula al-Quran ketika berkomunikasi di media sosial

– Dalam Surah al-Hujurat, ayat 11-13 ada disebutkan 7 akhlak ketika berinteraksi. Berikut perinciannya:

  • Jangan mencemuh dan merendah-rendahkan orang lain.
  • Usahlah sebilangan daripada manusia menyatakan keaiban orang lain.
  • Jangan memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk.
  • Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kita tidak menyangka dengan sangkaan yang dilarang) kerana ia sebahagian prasangka itu adalah dosa.
  • Jangan sesekali mengintip atau mencari-cari kesalahan, apalagi keaiban orang lain.
  • Hindari diri daripada mengumpat orang lain.
  • Saling bertaaruf dan kenal mengenali di antara satu sama lain.

Peri penting kuasai kemahiran komunikasi

– Komunikasi merupakan proses yang melibatkan individu, kumpulan atau organisasi menyampaikan maklumat kepada pihak lain. Ia juga bermaksud proses pertukaran maklumat antara penyampai dan penerima.

– Interaksi yang baik berlaku apabila sesuatu mesej dapat difahami oleh penerima sebagaimana yang dimaksudkan oleh pemberi mesej. Ia turut membantu dalam memupuk kesefahaman, toleransi dan muafakat.

Komunikasi


KOMUNIKASI yang baik berlaku apabila mesej pengirim dapat difahami oleh penerima, tetapi interaksi yang buruk boleh mengakibatkan persengketaan dan seumpamanya. -FOTO: FREEPIK

– Sebaliknya, komunikasi yang buruk menyebabkan permusuhan, pergaduhan dan persengketaan. Masalah akan timbul jika mesej yang dihantar tidak dapat difahami atau membawa maksud yang lain kepada penerima mesej.

– Peri pentingnya kemahiran berkomunikasi kerana ia berlaku dalam semua bidang kehidupan seperti perniagaan, organisasi, keluarga, masyarakat dan hubungan antara negara. Selain itu, skil berkenaan juga penting dalam menyampaikan ilmu dan dakwah.

– Komponen yang terpenting dalam komunikasi adalah tutur kata atau percakapan. Dalam hal itu, Nabi Musa AS pernah berdoa kepada ALLAH SWT agar tutur bicaranya mudah difahami oleh kaumnya; “Berkata Musa: “Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku dan mudahkanlah untukku urusanku dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku supaya mereka mengerti perkataanku.(Surah Taha, ayat 25-28)

– Terdapat dua kaedah berkomunikasi iaitu secara lisan dan melalui tulisan. Kedua-duanya mempunyai impak yang hampir sama kepada penerima mesej.

– Para nabi dan rasul banyak menggunakan kaedah berdialog dan perbincangan yang membuka ruang kepada para pendengar untuk bertanya dan mendapatkan penjelasan lanjut terhadap sesuatu perkara yang diperkatakan.

– Bagaimanapun, kemudahan internet dan teknologi pada hari ini menyebabkan sesuatu mesej dapat menjangkau lebih ramai penerima dan terdedah kepada manipulasi. Suntingan video dan audio, teknik ‘super imposed’ gambar dan perkongsian maklumat di media sosial menjadi satu ancaman baharu kepada masyarakat.

Sumber: Pendakwah Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud & Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohd Nasir Masroom

Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Petugas agama
Isu,

Petugas agama perlu miliki akhlak dan peribadi murni

UNTUK menjadi petugas berketerampilan, kader perlu sedar bahawa mereka ialah jentera agama yang perlu disulami dengan akhlak dan sahsiah tinggi.

Menurut Pengarah Kanan, Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Ustaz Azhar Yahya, disiplin dan adab perlu dititikberatkan sebelum mereka berhadapan dengan masyarakat.

“Ketahuilah, pengaruh dan populariti hanya bonus kerana ia bukanlah kayu ukur pengiktirafan sebagai tokoh ilmuan,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Baca juga Kerana segelintir bergelumang noda, busuk nama pejuang agama

Mengulas tentang polemik berkaitan individu yang disiasat pihak polis gara-gara kes-kes tertentu, jelas Ustaz Azhar, ia sebenarnya mempunyai perkaitan rapat dengan soal keadilan sama ada hak mangsa mahupun tertuduh.

USTAZ AZHAR

Apatah lagi jika individu berkenaan begitu ‘dekat’ dengan agama. Niatnya hanya satu iaitu menjaga Islam daripada ditunggangi dan dijadikan topeng oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, ungkapnya.

“Sebab itu ia perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa undang-undang agar telus dan berkredibiliti. Menjadi hak tertuduh untuk mempertahankan maruah dan tohmahan ke atasnya. Maka, dia perlu terlibat dengan proses mahkamah.

“Di sinilah masyarakat perlu memainkan peranan sebagai pemerhati dan bukannya pengadil. Mengertilah, pengadilan hanyalah pada pihak kehakiman. Selagi tidak selesai sabitan hukum, selama itulah tertuduh belum bersalah.

“Seandainya memang tertuduh terlibat dan mengaku bersalah atau disabitkan kesalahannya, maka ia menjadi satu tragedi kepada dunia dakwah. Taubat nasuha dan pembaikan serta penghukuman perlu dilakukan. Peluang perlu diberikan bersekali dengan undang-undang. Tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang dan ruang taubat juga terbuka luas,” katanya.

Petugas agama

KES melibatkan individu yang ‘dekat’ dengan agama disiasat pihak pihak polis gara-gara kes tertentu berkait rapat dengan soal keadilan. -Gambar hiasan/FOTO: UNSPLASH

Sebagai peneraju gerakan dakwah di Malaysia, jelas Azhar, Yadim senantiasa mengambil langkah proaktif melalui pengkaderan (pembinaan jati diri) pendakwah terutama tenaga muda supaya bersiap siaga dengan ilmu kerohanian dan kepimpinan sebelum terjun ke medan dakwah.

Baca juga Perselisihan Faham Sesama Pendakwah Hanya Merugikan Ummah, Rencatkan Misi Dakwah Dan  Kemanusiaan

“Bukan hanya mengejar gelaran sebagai selebriti dakwah.

“Betapa pentingnya mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran dakwah agar bersedia menghadapi cabaran serta isu semasa masyarakat supaya berhikmah dalam menyelesaikan masalah ummah,” ungkapnya.

***Foto: Unsplash

akhlak berdasarkan quran
Isu,

10 akhlak murni yang perlu diteladani berdasarkan al-Quran

TERDAPAT 10 akhlak murni yang wajar diteladani berdasarkan ayat-ayat suci al-Quran.

Kalamullah tersebut diibaratkan sebagai manual kehidupan dan menyentuh pelbagai aspek penting yang membentuk sebuah insan seperti akhlak.

Baca juga Model keluarga terbaik disebutkan dalam al-Quran

Perihal akhlak, al-Quran sudah pun memberikan acuan yang terbaik untuk dituruti seluruh umatnya. Dinukil daripada sebuah hantaran di akaun media sosial, Soul Fitness Centre, ada beberapa akhlak yang pernah disebutkan oleh ALLAH SWT untuk diikuti oleh para Muslimin, iaitu:

1. Tidak mencela orang lain

…Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain…” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

akhlak berdasarkan quran

BERBUAT baiklah sesama manusia tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama.

2. Menepati janji

…Dan jagalah sumpahmu…” (Surah al-Maidah, ayat 89)

3. Menahan kemarahan

…dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), ALLAH mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah Ali Imran, ayat 134)

Baca juga Empat perkara yang lebih berharga daripada isi dunia

4. Bersangka baik kepada orang lain

Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata”.” (Surah an-Nur, ayat 12)

5. Tidak bergosip

Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.” (Surah an-Nur, ayat 15)

Baca juga Ketahui 5 cara hapuskan dosa mengumpat

6. Jauhkan diri daripada perbualan buruk

Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.” (Surah al-Mukminun, ayat 3)

7. Sentiasa merendah diri

Dan hamba-hamba (ALLAH) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.” (Surah al-Furqan, ayat 63)

akhlak berdasarkan quran

SENTIASA merendah diri dalam setiap pergaulan bersama orang lain, baik kawan mahupun orang yang tidak dikenali.

8. Balas kejahatan dengan kebaikan

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Surah Fussilat, ayat 34)

9. Tidak mengutuk agama lain

Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari ALLAH…” (Surah al-An’am, ayat 108)

Baca juga Enam situasi dibolehkan mengumpat yang anda perlu tahu

10. Tidak boros dan kedekut
“Dan juga mereka (yang diredhai ALLAH itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah al-Furqan, ayat 67)

Semoga perkongsian ini disematkan dalam jiwa untuk dijadikan amalan dalam kehidupan seharian kita semua.

10 akhlak murni yang perlu diteladani berdasarkan al-Quran

Foto: Pexels

empat perkara
Isu,

Empat perkara yang lebih berharga daripada isi dunia

SABDA Nabi Muhammad SAW, wujud empat perkara yang lebih berharga daripada keseluruhan isi dunia.

Bagi sebahagian besar manusia di dunia, wang ringgit, pangkat dan harta benda sering dijadikan kayu pengukur sebuah kebahagiaan. Asalkan perkara-perkara tersebut ada pada seseorang, maka dia dianggap berjaya.

Namun, ingatlah tujuan sebenar kita diturunkan ke bumi adalah untuk beribadah dan mencari keredaan ALLAH SWT, pencipta makhluk sekalian alam.

empat perkara

DR AHMAD SANUSI AZMI

Penceramah bebas, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, Rasulullah SAW pernah menjelaskan empat perkara yang baginda anggap lebih berharga daripada segala harta benda yang di atas bumi

Apakah perkara yang disebutkan oleh Rasulullah itu?

Yang pertama sekali, adalah amanah. Tidak berguna kekayaan yang dimiliki sekalipun memegang gelaran jutawan jika tiada sifat amanah dalam diri seseorang. Bahkan, ia dianggap sebagai salah satu ciri-ciri orang yang munafik.

Sabda Nabi SAW: “Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim)

Baca juga Begitu beratnya sebuah amanah sehinggakan langit, bumi dan gunung-ganang pun tidak sanggup memikulnya

Perkara kedua adalah berkata-kata benar, iaitu jujur. Perbuatan menipu amat dibenci oleh ALLAH SWT dan Rasulullah SAW. Menurut baginda, orang yang sering menipu seolah-olah dia telah meninggalkan ajaran agama dan sunnahnya.

Nabi SAW bersabda, “Bukan dari kalangan kami (umat Muhammad SAW) siapa yang menipu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Baca juga Jangan terjebak dengan sifat munafik, besar azab menanti.

empat perkara

SENTIASA berkata jujur dalam apa jua perbualan seperti yang diingatkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Seterusnya, perkara yang ketiga, iaitu mempunyai akhlak yang baik. Jadilah seperti Rasulullah SAW yang pernah dipuji oleh ALLAH SWT kerana akhlaknya yang tinggi: “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Surah al-Qalam, ayat 4).

Di samping itu, Saidina Usamah bin Zaid juga pernah bertanya kepada Nabi SAW: “Katakanlah kepada kami wahai Rasulullah, apakah pemberian paling baik yang diberikan ALLAH kepada manusia? Lalu baginda SAW bersabda: “Akhlak yang baik.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Baca juga Tanda taubat diterima akhlak berubah baik, mudah lakukan ibadat

Akhir sekali atau perkara yang keempat adalah mempunyai kesucian makanan. Dalam erti kata lain, makan daripada sumber yang baik-baik.

Sebagai umat Islam, kita diingatkan untuk memakan daripada sumber yang halal dan elok kerana ia mempengaruhi sikap, hati dan keseluruhan hidup kita.

empat perkara

PILIHLAH makanan daripada sumber-sumber baik dan yang sudah disertai dengan nama ALLAH SWT.

Ingat, mengambil makanan yang haram juga boleh menyebabkan doa ditolak oleh ALLAH SWT. Menurut Ibnu ‘Abbas, beliau berkata: “Ayat al-Quran ini (surah al-Baqarah, ayat 168) dibaca oleh Nabi Muhammad SAW: Wahai manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.

“Lalu Sa’ad bin Abi Waqqas bangun dan berkata: Wahai Rasul ALLAH, tolonglah berdoa kepada ALLAH SWT dan pintalah supaya doa aku ini diterima. Maka, Baginda menjawab: Wahai Sa’ad, bersihkanlah makananmu dan percayalah doamu akan diterima oleh ALLAH SWT.

“Sesungguhnya jiwa Muhammad di tangan-Nya, seorang hamba yang makanannya daripada sesuap benda yang haram ke dalam perutnya. Sesungguhnya ALLAH tidak akan memakbulkan doanya selama empat puluh hari dan setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram dan riba, maka api nerakalah yang layak baginya.” (Riwayat al-Tabrani)

Baca juga Kenali Makanan Super Yang Disebut Dalam Al-Quran Dan Hadis

Oleh itu, keempat-empat perkara tersebut perlu ada diri seseorang menandakan dia telah meraih kebaikan yang ada dalam dunia ini, kata Dr Ahmad Sanusi.

“Apa gunanya mempunyai banyak harta jika tiada keempat-empat perkara. Tidak guna jika jadi jutawan sekalipun dia tidak bersifat amanah, tidak bercakap jujur, tidak mempunyai akhlak yang baik ataupun mempunyai sumber makanan yang tidak baik.” pesan beliau.

Foto: Pexels & Freepik