Browsing Tag

akad

Gharar
Iqtisad,

Bukan semua ‘gharar’ diharamkan dalam Islam, berikut perinciannya  

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

ANTARA unsur negatif dalam muamalat Islam yang dilarang dalam Islam ialah gharar. Ringkasnya gharar merujuk kepada ketidakpastian yang berlaku dalam akad.

Dalam memberikan takrif gharar, fuqaha terdahulu menyebut tentang tiada kemampuan membuat serahan barang jualan atau ketidakpastian sama ada sesuatu itu akan berlaku atau tidak, seperti menjual burung yang terbang di udara, atau sesuatu yang tidak diketahui kuantiti dan kadarnya.

Antara dalil pengharaman gharar adalah hadis daripada Abu Hurairah R.A yang berkata: “Rasulullah SAW melarang jual beli al-hasah (mana-mana yang terkena lontaran batu adalah terjual) dan jual beli gharar.(Hadis Riwayat Muslim)

Beza gharar menurut mazhab

Dalam perbahasan fuqaha, gharar terbahagi kepada dua iaitu ketidakpastian yang banyak (gharar fahish) dan ketidakpastian yang sedikit (gharar yasir). Contoh gharar fahish adalah menjual ikan yang ada dalam kolam. Sementara contoh gharar yasir adalah menjual buah epal secara bilangan di mana ada perbezaan saiz yang tidak ketara sangat.

Gharar

FUQAHA menyatakan, ketidakpastian atau tiada kemampuan membuat serahan barang seperti menjual burung di udara adalah termasuk di dalam takrif gharar.

Fuqaha bersepakat bahawa gharar fahish jika berlaku dalam akad pertukaran seperti akad jual beli dan sewaan, maka kontrak akan batal. Namun jika berlaku dalam akad yang tiada pertukaran seperti akad hibah misalnya, ada perselisihan pandangan.

Hanya Mazhab Maliki yang tidak membatalkan akad hibah yang ada gharar fahish. Sementara gharar yasir pula, kesemua fuqaha bersepakat, ia tidak menyebabkan akad batal sama ada berlaku dalam akad pertukaran atau selainnya.

Baca juga Peniaga barang atau perkhidmatan wajib ambil tahu perkara ini elak gharar dalam perniagaan

Parameter gharar dan kesan kepada akad

Dalam artikel bertajuk Ahkam al-Gharar fi Uqud al-Tabarru`at: Dirasah Fiqhiyyah Muqaranah, tulisan Abdel Wadoud Mustofa Moursi Al-Saudi, beliau merumuskan parameter gharar yang membawa kesan kepada akad sebagaimana berikut:

1. Gharar berlaku pada perkara yang asal (matbu’) dan bukannya perkara sampingan (tabi’). Oleh itu menjual lembu bersekali dengan anak lembu yang ada dalam kandungan ibunya adalah diharuskan walaupun tidak pasti bilangan anak di dalamnya atau tidak pasti anak itu sempurna kejadiannya atau ada kecacatan. Ini kerana anak dalam kandungan itu adalah sifatnya mengikut sahaja (tabi’). Ini berdasarkan kaedah fikah “Gharar pada perkara yang mengikut (tabi’) adalah dimaafkan tetapi tidak dimaafkan jika melibatkan yang diikut (matbu’) (iaitu subjek utama dalam akad)”.

Gharar

MENJUAL buah epal dan seumpamanya secara bilangan yang mana ada perbezaan saiz yang tidak begitu ketara adalah termasuk dalam kategori gharar yasir.

2. Pengharaman gharar tidak membawa kepada kemudaratan (dharar) yang lebih berat berbanding jika dikekalkan kewujudan gharar dalam transaksi tersebut. Ini kerana apabila bertembung antara mudarat yang besar dengan mudarat yang kecil, maka perlu menanggung mudarat yang kecil demi mengelak daripada berlakunya mudarat yang besar.

3. Gharar itu banyak.

4. Gharar itu berlaku dalam kontrak ada balasan (kontrak pertukaran) Oleh itu, kita perlu memahami bahawa tidak semua bentuk gharar diharamkan dalam Islam. Ini kerana untuk menghapuskan gharar secara 100 peratus adalah suatu yang hampir mustahil kerana ia sangat sukar dielak.

Asas larangan gharar fahish ini adalah kerana ia boleh membawa kepada pertelingkahan sesama manusia sedangkan pergaduhan dilarang dalam Islam.

Ini kerana manusia secara umumnya tidak mampu bertoleransi bila melibatkan gharar fahish dalam akad pertukaran. Secara fitrahnya, seseorang itu mahukan sesuatu yang setimpal dengan apa yang telah dibayar. Andai kata bayaran sudah dibuat tetapi barang tidak dapat diserahkan kepada pembeli, sudah tentu akan berlaku pertikaian antara penjual dan pembeli. Sebaliknya gharar yang sedikit biasanya manusia boleh bertoleransi seperti jual beli telur dan buah-buahan secara bilangan meskipun ada sedikit perbezaan saiz. Wallahu a’lam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Unsplash & Freepik