Browsing Tag

Akad sewaan

AKAD ijarah yang diamalkan dalam pembiayaan kenderaan biasanya adalah akad sewaan yang akan berakhir dengan akad jual beli.
Muamalah,

Ketahui Hak Dan Liabiliti Kita Dalam Akad Sewaan  

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

ANTARA akad (kontrak) muamalat Islam adalah akad ijarah (sewaan). Ia sebenarnya termasuk dalam kategori akad jual beli juga. Ini kerana kedua-dua pihak yang berakad iaitu penyewa dan pemberi sewaan akan saling bertukar sesuatu apabila akad disempurnakan oleh mereka.

Sebagai contoh, A menyewakan rumahnya kepada B. Maka A akan memberi laluan kepada B untuk menggunakan rumah yang telah disewa tersebut berdasarkan terma-terma perjanjian sewaan yang telah dipersetujui. Manakala B pula akan membuat bayaran sewa kepada A berdasarkan apa yang telah dipersetujui.

Dalam dunia kewangan Islam, antara kontrak yang digunakan dalam pembiayaan kepada pelanggan bank Islam adalah akad ijarah (sewa). Namun, akad ijarah yang menjadi amalan dalam pembiayaan kenderaan biasanya adalah akad sewaan yang akan berakhir dengan akad jual beli.

Maksudnya, kenderaan berkenaan disewakan oleh pihak bank kepada pelanggannya untuk tempoh tertentu dan setelah bayaran sewa yang terakhir dibuat oleh pelanggan, bank akan menjual kenderaan berkenaan kepada pelanggannya. Dalam perbankan Islam, ia lebih dikenali dengan al-ijarah thumma al-bai’ (AITAB).

Kenapa lahirnya produk pembiayaan dengan gunakan akad AITAB ini? Pihak bank Islam menawarkan alternatif pembiayaan kenderaan menggunakan AITAB kerana terdapat pelanggan yang pada asasnya memang ingin memiliki kenderaan tertentu seperti kereta.

Namun, pelanggan tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar secara tunai kepada penjual kereta berkenaan, maka dia perlu mendapatkan pembiayaan daripada pihak bank Islam. Oleh itu, aturan akan dibuat di mana pihak bank membeli kereta berkenaan terlebih dahulu yang biasanya diwakilkan kepada pelanggannya.

Kemudian, pihak bank akan menyewakan kereta tersebut kepada pelanggannya untuk tempoh seperti lima, tujuh atau sembilan tahun. Dalam tempoh sewaan ini, pelanggan akan membayar sewaan berdasarkan apa yang telah dipersetujui dalam perjanjian.

Akad sewaan

FAHAMI akad ijarah yang dimeterai bersama pihak bank atau pemilik aset tidak kiralah sama ada dalam urusan jual beli kenderaan mahupun sewaan rumah. Ia supaya tidak timbul masalah di kemudian hari. 

Apabila bayaran terakhir dibuat, pelanggan dan pihak bank akan melaksanakan akad jual beli di mana ketika ini pemilikan yang asalnya dipegang oleh pihak bank akan dipindah kepada pelanggannya. Oleh itu, kereta berkenaan akan menjadi milik pelanggan.

Memandangkan dalam tempoh pembiayaan menggunakan AITAB ini pelanggan adalah penyewa dan bukannya pemilik, maka secara dasarnya segala kos penyelenggaraan akan ditanggung oleh bank sebagai pembeli sewa.

Baca juga Ini Kaedah Pelaksanaan Tadbir Urus Syariah Dalam Institusi Kewangan Islam Yang Ramai Tidak Tahu

Dalam para S 16.1, Dokumen Polisi Ijarah yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia dinyatakan bahawa segala hak dan liabiliti yang terhasil daripada pemilikan aset yang disewa hendaklah ditanggung oleh pemberi sewaan, manakala hak dan liabiliti yang terhasil daripada penggunaan aset yang disewa hendaklah ditanggung oleh penyewa.

Begitu juga dalam para S 16.2, ada dinyatakan bahawa apa-apa risiko yang berkaitan dengan pemilikan asset ditanggung oleh pemberi sewa. Sementara sebarang perbelanjaan bagi tujuan mengekalkan ketersediaan penggunaan aset yang disewa hendaklah ditanggung oleh penyewa.

Contohnya, kos takaful bagi tujuan untuk perlindungan risiko kerosakan kereta yang disewa bukan kerana sebab penggunaan atau kecuaian penyewa, maka kosnya berada di bawah tanggungan bank.

Tetapi jika kerosakan itu berlaku kerana penggunaan seperti kehausan tayar, maka kos pembaikan itu ditanggung oleh penyewa.

Namun, mengikut para G 16.8 dan G 16.9, pemberi sewa, boleh mewakilkan penyewa untuk mengurus dan menjaga aset yang sewa dan/atau mendapatkan perlindungan takaful bagi aset tersebut. Kos perbelanjaan berkenaan boleh dituntut oleh penyewa melainkan apa-apa perbelanjaan yang dipersetujui bersama untuk ditanggung oleh penyewa.

Oleh itu, kepada pelanggan yang mengambil pembiayaan kenderaan yang menggunakan akad ijarah hendaklah meneliti juga aspek ini di samping aspek-aspek lain dalam perjanjian yang ditandatangan supaya tidak timbul pertikaian pada kemudian hari. Wallahualam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: 123rf & Pexels