Browsing Tag

air mata

empat kisah rasulullah menangis
Berita Semasa,

Empat kisah Rasulullah SAW menitiskan air mata

EMPAT kisah di mana Rasulullah SAW menitiskan air mata.

Dalam budaya masyarakat kita, tangisan kadangkala dilihat sebagai suatu tanda jiwa yang lemah. Apatah lagi jika individu yang menitiskan air mata tersebut adalah daripada kaum Adam. Pastinya akan ada label-label seperti ‘tak macho’ dan ‘lembut’ yang terpalit pada dirinya.

Ketahuilah, Nabi Muhammad SAW seorang yang gagah perkasa juga pernah menangis.

Baginda beberapa kali pernah dilihat mengalirkan air mata oleh para sahabat. Bahkan, Nabi Muhammad pula tidak menyorokkan wajahnya menangis.

Baca juga Nabi Muhammad tidak menguap, ini keistimewaan yang ada pada baginda

Berikut beberapa perkara yang membuatkan Rasulullah SAW menangis:

1. Menangis ketika menghadap ALLAH SWT.

Ketika solat berjemaah, Nabi SAW pernah menangis sehinggakan suara esak tangis di dadanya didengari oleh para sahabat yang menjadi makmum baginda.

Aku pernah melihat Rasulullah SAW solat, ketika itu baginda menangis. Rintihan air mata baginda telah jatuh ke dadanya dengan banyaknya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Baca juga 6 sikap romantik Rasulullah yang patut dicontohi

empat kisah nabi menangis

RASULULLAH SAW menangis ketika mendengar alunan kalamullah kerana teringatkan azab ALLAH SWT yang sangat dahsyat.

2. Menangis ketika mendengar ayat suci al-Quran.
Suatu hari Nabi Muhammad SAW meminta Abdullah bin Mas’ud membaca al-Quran. Beliau berkata, “Adakah saya layak membacanya kepada tuan sedangkan ia turun kepada tuan?”

Nabi SAW berkata, “Saya suka mendengar bacaan daripada orang lain.”

Lalu Abdullah membacanya daripada Surah al-Nisa’. Sampai sahaja pada ayat 41, Rasulullah berkata, “Cukuplah, cukuplah.”

Abdullah Mas’ud melihat wajah baginda sedang menitiskan air mata.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Baca juga Rasulullah SAW pernah disihir? Ini sebab surah al-Falaq diturunkan.

3. Menangis kerana kehilangan orang terdekat yang dicintainya.

Dinukil dari portal Liputan 6 yang memetik buku ‘Sahabat-sahabat Cilik Rasulullah’ karya Nizar Abazah, apabila Ibrahim, salah seorang putera Rasulullah meninggal dunia, air mata baginda mengalir deras sehingga membasahi wajahnya

Melihat hal itu, sahabat Abdurrahman bin Auf bertanya, “Engkau menangis Rasulullah?” Bukankah engkau sendiri melarang menangisi kematian seseorang?”

“Ibnu Auf, aku tidak melarang menangis. Yang ku larang adalah dua teriakan dosa; nyanyian yang tidak bermakna dan melalaikan serta ratapan histeria ketika ditimpa musibah dengan menampar wajah dan merabak-rabakkan pakaian. Sedang yang terjadi padaku ini adalah ungkapan kasih sayang,” jawab baginda.

empat kisah rasulullah

NABI Muhammad SAW juga pernah melalui ‘Tahun Kesedihan’ di mana baginda berada kesedihan yang amat mendalam setelah kehilangan bapa saudara kesayangannya, Abu Talib serta isterinya, Khadijah pada tahun yang sama.

4. Menangis teringatkan kita umatnya.

Pernah satu ketika berlaku gerhana matahari. Keadaan mendung dan kelam ini mengingatkan Rasulullah SAW tentang azab yang menimpa umat terdahulu di mana bumi menjadi gelap. Baginda lantas melaksanakan solat gerhana.

Dalam sujud yang panjang, Nabi SAW menangis dan merintih:

“Wahai Tuhanku, bukankah Engkau berjanji tidak akan memberi azab terhadap umatku sedangkan aku di sisi mereka?

“Wahai Tuhanku, bukankah ENGKAU berjanji tidak akan memberi azab terhadap mereka sedangkan mereka beristighfar?” (Hadis Riwayat Tirmizi dan Muslim)

Malah, menurut Abdullah ibnu Amr, ketika Rasulullah SAW membaca ayat berkenaan doa Nabi Ibrahim terhadap umatnya (Surah Ibrahim, ayat 36) dan doa Nabi Isa tentang umatnya (Surah al-Maidah, ayat 118), baginda tiba-tiba menangis lalu berdoa:

“Ya ALLAH, umatku, umatku.” (Hadis riwayat Muslim)

Baca juga Rasulullah SAW menyayangi umatnya sehingga di akhirat. Contohilah keperibadian baginda dengan sebarkan kasih sayang

Sebenarnya masih banyak peristiwa lain yang membuatkan Rasulullah SAW menitiskan air mata. Namun, sebahagian besar sebab baginda menangis adalah kerana takut apabila terbayangkan azab ALLAH SWT serta perasaan risau ketika teringatkan nasib umatnya.

Begitulah betapa tingginya cinta Rasulullah SAW kepada kita. Dalam solat, baginda SAW menangis kerana teringatkan kita. Ketika membaca al-Quran, teringat lagi tentang kita lalu baginda menangis.

Oleh itu, mari perbanyakkan selawat buat Rasulullah SAW sebagai tanda sayang kita kepada baginda.

Foto: Unsplash